SAYA amat tertarik dengan tajuk itu dan amat setuju pandangan jauh dengan penuh ikhlas Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan cadangan Friendship Bridge Jambatan Persahabatan semasa lawatan singkat Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini.
Saya masih ingat kisah jambatan yang dicadangkan oleh Datuk Yahya Ab. Jalil, syarikat Merung Mahawangsa kepada kerajaan di zaman Tun Dr. Mahathir. Secara tak langsung, saya tahu banyak halnya dari awal. Kami amat berbangga dengan adanya anak Johor yang berani mengambil risiko dengan galakan Tun Dr. Mahathir. Amat dinanti-nanti terbinanya Jambatan Iskandar menggantikan Tambak Johor.
Ramai pemerhati dalam dan luar negara dapat melihat pelancaran besar-besaran dibuat di tapak kompleks CIQ sekarang oleh Dr. Mahathir. Tanpa persetujuan Singapura ia dibatalkan.
Tanpa patah semangat dengan sokongan Dr. Mahathir cadangan membina "Jambatan Bengkok" dilancarkan. Sedihnya Jambatan bengkok dibatalkan di era Tun Abdullah Badawi selaku PM. Di mana silapnya saya kurang pasti.
Hal Tambak Johor bermain di fikiran saya sejak zaman persekolahan. Setiap tahun cuti hujung tahun, pakaian sekolah dibeli di Woodlands. Ke Woodlands menaiki bas balik dengan pakaian serba baru dengan kasut, berjalan kaki ikut Tambak Johor.
Anak Johor zaman saya mengalami semua ini, seronok juga. Selepas setiap tahun berulang alik ke Woodlands, terlintas di hati bila agaknya Tambak Johor akan digantikan dengan jambatan yang lebih moden dengan kapal yang dapat menggunakan Selat Johor sepenuhnya, hilanglah bau busuk Sungai Sengget itu.
Masih teringat Dr. Mahathir pernah melawat kawasan itu pada awal 90-an apabila Tun menjadi PM. Waktu itu saya berfikir bila agaknya, Tambak Johor akan digantikan. Haram tak berlaku!
Selalunya niat yang baik susah berlaku, ada sahaja halangannya.
Almarhum Tuanku Sultan Johor pernah bersuara Robohkan Tambak Johor. Sekarang ini ia disambut pula oleh Tuanku Sultan Ibrahim dengan suara Robohkan Tambak Johor. Dengan pesatnya pembangunan Bandar Raya Johor Bahru, tepat pada masanya Tambak Johor dirobohkan -- barulah boleh bernafas jalan raya yang sempit dan sesak setiap hari.
Saya merasa pemimpin-pemimpin masyarakat Johor akan bersuara lagi. Kedua-dua pihak Johor/Singapura akan dapat manfaatnya dengan Jambatan Persahabatan dibina menggantikan Tambak Johor.
Mungkin itu yang dimaksudkan oleh PM kita baru-baru ini. Semoga reaksi Singapura baik dan dipersetujui dalam masa terdekat.
Jangan tunggu 2020 lama sangat. Kosnya akan melambung pada masa itu.
Adalah harapan semua pihak terutama anak Johor yang ingin melihat terbinanya Jambatan Iskandar menggantikan Tambak Johor, hasil sumbangan Alharhum Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Amin.
Shah De Bunt JP
Anak Muor.
No comments:
Post a Comment