Wednesday, April 16, 2014

Cantik Di Usia 40-an

Memasuki usia 40-an segala usaha untuk kekal muda terasa semakin sukar.
 
Bukan setakat kedut dan garis-garis halus di muka bertambah, usaha untuk mengekalkan berat badan agar kekal langsing juga semakin mencabar.

Leka sedikit mudah sahaja angka pada penimbang berat badan naik mendadak.

Sebelum keadaan bertambah teruk, ikuti beberapa tip mudah yang tidak memerlukan belanja besar atau peruntukan masa tambahan bagi mengurangkan berat badan dan kekal kelihatan (dan berasa) seksi seperti dahulu.

1 Timbang berat badan setiap hari.
Sentiasa perhatikan berat badan sendiri dengan sekurang-kurangnya memiliki alat timbang di bilik tidur anda. Ia mungkin nampak keterlaluan tetapi ini membantu anda agar tidak hilang tumpuan. Pastikan berat turun naik secara puratanya tidak melebihi dua kilogram.

Air adalah kunci utama.
Semakin banyak anda minum air, semakin baik tubuh berfungsi (jika anda tidak gemar minum air kosong, campurkan sedikit jus buah-buahan yang anda sukai untuk memberi rasa).

Elak makanan proses.
Peraturan asasnya, semua makanan proses dan berpek adalah tidak sihat kerana mengandungi bahan-bahan seperti perasa tiruan, pengawet dan sebagainya. Seboleh mungkin elakkan makanan ini. Memang tidak mudah tetapi berbaloi untuk mencubanya.

Elak minuman bergula dan makanan segera.
Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan ia rendah lemak atau untuk diet. Makanan serta minuman seperti ini hanya membuatkan anda bertambah gemuk.

Dapatkan tidur berkualiti yang cukup sekurang-kurangnya tujuh jam.
Kekal sihat adalah perkara asas dan untuk memperolehnya minum banyak air dan tidur yang cukup. Kedua-duanya membantu tubuh berfungsi dengan baik. Tidak percaya, boleh cuba.
Aktifkan diri jangan biarkan terpersuk di sofa.
Sentiasa lekatkan dalam minda bahawa menurunkan berat badan adalah 33 peratus berkaitan makanan, 33 peratus memberi tubuh apa yang diperlukan untuk ia berfungsi (rehat, air dan sebagainya) dan 33 berkaitan pergerakan fizikal (sama ada bersenam, melakukan kerja rumah dan sebagainya). Menghadap televisyen hanya membuang masa terutama apabila duduk di sofa sambil mengunyah kerepek atau bertih jagung. Cuba elakkan menonton televisyen hingga lewat malam, sangat tidak bagus.

Sayur-sayuran atau salad sangat penting dalam diet makanan.
Memang ramai yang tidak suka sayur, tetapi tubuh ternyata amat menyukainya dan memainkan peranan besar dalam usaha untuk mengurangkan berat badan.

Sebolehnya ambil ikan, sayur dan buah-buahan dalam diet pemakanan harian.
Ketiga-tiga kategori makanan ini membuatkan anda lebih sihat dan bertenaga, selain sememangnya lebih berkhasiat serta kurang kalori.

Sumber : utusan@Kesihatan

No comments:

Post a Comment