Tuesday, June 28, 2011

Ahli Pas Persoal Konsep Negara Berkebajikan

Pas hanya memperjuangkan parti, bukan Islam itu sendiri. Perjuangan Islam telah terpisah sama sekali dari parti Pas.

ARTIKEL saudara Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia 23 Jun berhubung konsep negara berkebajikan menarik untuk diberi perhatian. Dengan membuat perbandingan sedemikian, kita percaya ia akan memudahkan kefahaman mengenai konsep dan definisi negara berkebajikan sebagaimana yang ingin dilakukan oleh Pas.

Baru-baru ini, sewaktu pulang ke Kelantan, saya sempat meninjau pandangan beberapa rakan lama yang walaupun berbeza haluan dan ideologi masing-masing tetapi masih akrab berhubung.

Selepas berbincang dengan mereka yang juga ahli Pas, ramai beranggapan isi kandungan negara berkebajikan itu sendiri bukanlah sesuatu yang begitu penting berbanding kesan yang diingini oleh kepimpinan parti tersebut setelah menilai perjalanan parti itu selepas bekerjasama dalam satu pakatan. Walaupun pandangan tersebut bukanlah mewakili pandangan majoriti dalam Pas, ia signifikan dan menarik untuk diteliti.

Perubahan strategi Pas itu bermakna mereka melakukan pengorbanan yang terlalu besar dengan meminggirkan perkara-perkara yang begitu sentimental kepada para pengikutnya.

Misalnya, sebahagian pengikut Pas di Pasir Puteh menyatakan kekesalan mereka dengan menggelarnya sebagai 'strategi mempermainkan keimanan'.

Apa tidaknya, kata mereka, setelah berhempas pulas berjuang selama 30 tahun memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiyah, tiba-tiba bertukar kepada negara berkebajikan.

Menurut mereka lagi, mendengar sebutannya sahaja pun sudah berbunyi sekular sepertimana negara kebajikan di Eropah.

Pengikut Pas ini mungkin tidak faham bagaimana perubahan itu dibuat berasaskan strategi yang dicanai hasil perbincangan ketiga-tiga parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

Kepada mereka, Pas ialah Pas asal yang sepenuhnya komited terhadap perjuangan penubuhan negara Islam dengan segala komponennya, termasuklah pelaksanaan hukum hudud sebagai simbol utama keislaman sesebuah negara menggantikan perlembagaan dan undang-undang tinggalan penjajah.

Lebih dikesalkan, apabila mereka membandingkan dengan dua lagi parti komponen pakatan, iaitu DAP dan PKR tidak perlu pun melakukan sebarang penyesuaian terhadap dasar mahupun strategi parti.

DAP tetap berkeras sejak dulu dengan perjuangan meritokrasi Malaysian Malaysianya manakala PKR berterusan dengan dasar sekular. Mengapakah cuma Pas sahaja yang perlu berkorban dan berkompromi sehingga menghampiri perubahan perlembagaan parti tersebut?

Rakan Pas ini juga berhujah bahawa Pas pernah dibuktikan sejarah sebagai king maker kerana kekuatan jenteranya, sehingga mampu memberi tumpang kepada PKR malah DAP dalam membawa kemenangan di sesetengah kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semasa itu, mereka tidak pun berkompromi mahupun merasa rendah diri terhadap dasar dan prinsip, mahupun strategi yang diatur oleh pemimpin parti mereka.

Mereka turut bimbang bahawa konsep negara berkebajikan ini suatu strategi yang gopoh, yang tidak dicerna dalam perbincangan dengan semasak-masaknya.

Pengikut tidak dimaklumkan sebarang perubahan, sehinggalah tiba-tiba diumumkan dalam ucapan dasar presiden dalam muktamar berkenaan.

Paling membimbangkan ialah apa yang dibuat akan kelihatan kepada rakyat Malaysia, Pas bukan lagi parti yang sepenuhnya memperjuangkan Islam.

Pas hanya memperjuangkan parti, bukan Islam itu sendiri. Perjuangan Islam telah terpisah sama sekali dari parti Pas.

Umar Zain
Pasir Puteh, Kelantan

No comments:

Post a Comment