Thursday, March 31, 2011

Bertindak Susun Semula Ekonomi Melayu

Laporan yang menyatakan saham milik syarikat-syarikat bumiputera di negara ini cuma tinggal RM2 bilion yang pada asalnya diperuntukkan sejumlah RM54 bilion sewajarnya menyedarkan keseluruhan kaum bumiputera. Isu ini perlu dikaji sedalam-dalamnya bagi mencari satu penyelesaian holistik bagi menyusun semula ekonomi kaum bumiputera dan melayu.

Mungkin ada kebenaran di sebalik ingatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Jitra, Kedah pada awal bulan ini. Beliau mengingatkan usahawan Melayu supaya cekap mengurus wang kerana inilah faktor utama kegagalan usahawan Melayu meskipun pelbagai bantuan diberikan kerajaan kepada mereka.

Hakikatnya, bijak mengurus kewangan adalah kunci utama kejayaan sesebuah perniagaan. Tanyalah mana-mana tokoh perniagaan yang bukan berbangsa bumiputera, nescaya jawapan mereka tidak lain tidak bukan ialah mesti cekap mengurus kewangan syarikat.

Apabila tidak dapat mengurus kewangan dengan bijak, perniagaan akan mengalami kerugian dan akhirnya terpaksalah menjual saham milik bumiputera kepada bukan bumiputera.

Cukup malang jika perkara ini terjadi. Sepatutnya saham milik bumiputera semakin meningkat. Peluang yang diberikan sewajarnya digunakan sebaik mungkin. Bukannya akhirnya jatuh ke tangan orang lain. Jika ini berulang kali terjadi sampai bila pun ekonomi bumiputera tidak dapat berada pada paras yang setanding dengan kaum lain.

Itu baru memperkatakan mengenai saham-saham milik bumiputera. Bagaimana pula dengan hartanah yang dijual kepada kaum lain sedangkan hartanah tersebut merupakan warisan turun-menurun. Hartanah tersebut dijual semata-mata untuk mengaut keuntungan jangka masa pendek, walhal keuntungan jangka masa panjang dinikmati oleh orang lain.

Orang lain membeli tanah daripada kaum bumiputera untuk membangunkan hartanah bernilai tinggi bagi mendapatkan keuntungan jangka masa panjang. Umpamanya, membangunkan kilang-kilang milik mereka, pusat perniagaan, kondominium mewah dan kawasan perumahan yang sukar dibeli oleh kaum bumiputera itu sendiri.

Perkara ini nampak ketara apabila hanya segelintir sahaja kaum bumiputera yang mampu memiliki hartanah bernilai tinggi dan selesa di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Majoriti kaum bumiputera tinggal di pinggir-pinggir bandar dan tinggal di rumah yang berharga di bawah RM300,000 ke bawah. Rumah yang diduduki pula kurang selesa, manakala persekitarannya pula tidak begitu baik untuk pembelajaran anak- anak.

Hal ini perlu ditangani segera dengan melaksanakan pelbagai strategi. Pertama, kaum bumiputera perlu dilatih agar bijak mengurus kewangan terutamanya usahawan-usahawan muda.

Antara caranya, mewajibkan mana-mana usahawan-usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan menjalani latihan kewangan di mana-mana perniagaan yang ditaja oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Mara.

Selain itu, meramaikan lagi kaum bumiputera yang mahir dalam bidang kewangan. Caranya ialah dengan meningkatkan bilangan pelajar bumiputera yang mengambil kursus perakaunan dan kewangan. Kalau kita lihat pada masa kini, bilangan kaum bumiputera yang memasuki bidang ini masih rendah berbanding kaum bukan bumiputera.

Pendekatan sebegini amatlah penting kerana kalau kita kaji, rata-rata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terkenal, berjaya dan mempunyai kewangan yang kukuh seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Khazanah Nasional Berhad diketuai oleh golongan yang mahir dalam bidang kewangan.

Kedua, dari segi hartanah. Satu dasar berkaitan hartanah yang lebih jelas perlu dilaksanakan agar tanah-tanah milik bumiputera tidak terlepas ke tangan orang lain. Selalu terjadi tanah-tanah yang pada asalnya milik bumiputera terpaksa dijual secara keseluruhannya apabila sebahagian pemilik telah menjualnya, maka, mahu tidak mahu pemilik lain yang pada awalnya tidak mahu menjual terpaksa menjualnya kepada orang lain.

Selain itu, tanah-tanah milik bumiputera yang tidak dibangunkan perlu dibangunkan seperti tanah wakaf dan tanah terbiar. Antara bidang yang boleh dibangunkan secara besar-besaran ialah pertanian selain daripada membangunkan bangunan bagi tujuan komersial.

Dengan cara ini, kaum bumiputera akan menguasai keseluruhan rantaian nilai bermula sebagai pengilang dan pengeluar sehinggalah penjual. Di sini, teknologi terkini mestilah diterapkan di kalangan usahawan bumiputera.

Ketiga, menggembleng kekuatan usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya agar membantu usahawan-usahawan baru dari segenap segi. Usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya perlu mempunyai satu pemikiran dan tindakan bahawa kejayaan usahawan-usahawan baru akan meneruskan usaha-usaha mereka selama ini, seterusnya memberi manfaat kepada anak cucu-cicit dalam tempoh jangka masa panjang.

Begitu juga, janganlah dijual saham-saham dan syarikat-syarikat milik bumiputera semata-mata menginginkan keuntungan jangka masa pendek. Pemikiran yang hanya menginginkan keuntungan jangka masa pendek tanpa memikirkan masa depan kaum bumiputera secara keseluruhannya akan merugikan kaum bumiputera itu sendiri dalam tempoh jangka masa panjang.

Dengan cara ini sahajalah, ekonomi kaum bumiputera dapat dipertingkatkan pada tahap yang setanding dengan kaum bukan bumiputera.

Oleh : Rohami Shafie

Wednesday, March 30, 2011

Bila Anak Memberontak

KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Tabiat
Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.

“Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

“Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.

“Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.

“Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

“Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.

“Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.

“Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.

“Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.

“Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya.

Wanita lebih murung
Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.

Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.

“Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.

“Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.

“Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli.

Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.

“Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya.

Oleh : Siti Nor Afzan Kasimin

Tuesday, March 29, 2011

Apabila Isteri Bersuara

SALAH satu azam wanita yang melangkah masuk ke alam perkahwinan ialah ingin menjadi isteri solehah. Ia mungkin mudah disebut. Tetapi untuk melaksanakan tugas sebagai isteri terbaik tidaklah mudah.

Kehadiran isteri yang baik akan mudah melahirkan rumah tangga bahagia. Sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumah tangga yang kucar-kacir.

Wanita sememangnya dilahirkan dengan sifat kehalusan yang dianugerah oleh Allah, bersesuaian sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.

Rumah tangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri yang solehah dengan memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan yang pembentukan rumah tangga yang bahagia.

Dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, isteri sebenarnya merupakan pembantu kepada suami, jadi sekira suami bertindak tidak betul adalah menjadi tanggungjawab isteri untuk menegur.

Setiap individu mempunyai kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan suami. Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan tersebut.

Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah, sudah tentu ia mengecewakan. Keadaan itu jika tidak diperbaiki ia akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan.

Jika seorang suami itu buta dengan kelemahan dan kelemahan ini menyebabkan kesusahan atau kegagalan baginya mendapatkan kejayaan adalah mustahak bagi isteri menyediakan kesedaran tersebut.

Sebenarnya, dalam kehidupan berumah tangga, isteri juga ada hak dalam menentukan kebahagiaan cuma ia mesti dilaksanakan dengan cara kewanitaan, lemah lembut dan penuh berhemat.

Sebenarnya, isteri boleh bersuara dalam hal-hal tertentu yang melanggar etika pergaulan suami isteri demi mempertahankan kewibawaannya sebagai isteri yang berhemah.

Sekiranya suami ada membuat kesilapan, tegurlah secara diplomasi kepada suami dan nasihat kepada secara berhemah supaya meninggalkan perbuatan itu.

Sekiranya ia melibatkan hal-hal yang menimbulkan dosa, isteri mempunyai hak untuk menjauhkan anak-anak malah dirinya sendiri daripada terlibat melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Tidak salah menasihati dan menegur kesilapan suami walaupun dia adalah ketua keluarga.

Biarpun begitu, sebagai isteri yang solehah, sikap taat adalah ciri penting dalam kehidupan berumah tangga.

Sebagai isteri, selagi perbuatan tidak menyalahi undang-undang dan syariat agama, kita sebagai isteri wajib untuk mentaati suami.

Namun sekiranya kita mendapati ada perbuatan yang tidak betul, cuba berbincang secara baik supaya tidak menimbulkan masalah dalam rumah tangga.

Percayalah, sekiranya kita taat kepada suami dengan ikhlas, pasti Allah akan memberi rahmat kepada diri kita.

Begitu juga dalam situasi suami menzalimi anak-anak, isteri perlu bertindak sebagai pelindung kepada anak-anak.

Ajaklah berbincang secara waras dengan suami, apakah relevannya suami bertindak ganas dengan anak-anak.

Sekiranya suami mempunyai sebab-sebab yang tertentu menyebabkan dia ganas mendidik anak, kompromi dengan si suami supaya tidak terlalu ganas dalam mendidik anak.

Bagaimanapun, sebagai ibu jangan pula terlalu menyokong tindakan anak-anak sehingga menyebabkan pergaduhan kepada suami isteri.

Lazimnya, anak-anak yang terlalu di manja akan menjadi degil dan besar kepala kerana setiap perbuatan yang dilakukan seolah-olah mendapat restu daripada ibunya.

Oleh : Zuhayati Yazid

Friday, March 25, 2011

Saham Bumiputera Tinggal RM2 Bilion

KUALA LUMPUR 24 Mac – Saham milik syarikat-syarikat bumiputera di negara ini cuma tinggal RM2 bilion iaitu penyusutan sebanyak RM52 bilion berbanding jumlah asal bernilai RM54 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyusutan ketara itu disebabkan sikap negatif masyarakat bumiputera sendiri yang tidak menghargai dan mengoptimum peluang diberi, sebaliknya lebih gemar terperangkap dalam soal hak.

Katanya, kerajaan sedar banyak pihak akan marah apabila mereka dihadapkan dengan fakta tersebut sedangkan untuk menyelesaikan isu itu, masalah sebenar perlu dikenal pasti sebelum menyelesaikannya.

“Inilah kerugian dan pembaziran bukan sahaja kepada individu tetapi masyarakat bumiputera secara keseluruhan jika kita hanya memberi tumpuan terhadap hak tanpa mengoptimumkan peluang yang terbit daripada hak tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah ICT Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF)-Awani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Utusan Malaysia merupakan rakan media bagi anugerah berkenaan.

Mengambil iktibar daripada kesilapan tersebut, Najib tidak mahu masyarakat bumiputera abad ke-21 berterusan terperangkap dengan polemik hak yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya, beliau mahu golongan tersebut bangkit menjadi sebuah masyarakat yang berdaya tahan serta mampu mencipta kejayaan dengan menerokai pelbagai peluang dalam bidang yang masih belum diterokai.

Menurutnya, masyarakat bumiputera perlu berubah jika tidak mahu dilihat sebagai kaum yang gemar meminta-minta, cepat berpuas hati serta suka berada dalam zon selesa agar tidak berterusan ditinggalkan kaum lain.

“Pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu dan menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, jangan kita bersikap dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isi,” katanya

Menyentuh mengenai perkembangan ICT di Malaysia, Perdana Menteri bangga kerana negara kini mempunyai asas yang kukuh dalam bidang tersebut terutama dalam aspek pembangunan perisian, aplikasi serta sebagai pembekal.

Tambahnya, industri ICT memainkan peranan yang amat penting dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE) dengan berpaksikan pengetahuan serta inovasi.

Utusan Malaysia

Kumpulan Mafia Bantu Mangsa Gempa, Tsunami

TOKYO: Kumpulan mafia Jepun turut membantu ketika negara itu mengalami saat genting akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu apabila turut melakukan tugas sivik yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Sehari selepas gempa bumi, Inagawa-kai (kumpulan penjenayah terancang ketiga terbesar di Jepun yang diasaskan pada 1948) menghantar 25 trak empat tan dipenuhi lampin pakai buang, mee segera ramen, bateri, lampu picit, minuman dan keperluan harian ke kawasan Tohoku. Seorang anggota Sumiyoshi-kai, kumpulan penjenayah kedua terbesar pula menawarkan perlindungan kepada warga asing. Yamaguchi-gumi, kumpulan jenayah terbesar Jepun di bawah kepimpinan Tadashi Irie, juga membuka pejabatnya di seluruh negara kepada orang awam dan menghantar trak dipenuhi bekalan, namun secara senyap-senyap.

Antara tengah malam 12 Mac dan awal pagi 13 Mac lalu, ahli Inagawa-kai di sini menghantar 50 tan bekalan ke Dewan Bandaraya Hitachinaka di daerah Ibaraki.

Bekalan termasuk mee cawan ramen, tauge, lampin pakai buang, teh dan air minuman. Perjalanan dari bandar ini mengambil masa 12 jam. Anggota Inagawa-kai di Kanagawa pula menghantar 70 trak ke kawasan Ibaraki dan Fukushima untuk menghantar bekalan di kawasan paras tinggi radiasi.

Secara keseluruhan, Inagawa-kai menggerakkan lebih 100 tan bekalan ke rantau Tohoku. Mereka ke kawasan terdedah radiasi tanpa sebarang perlindungan atau memakan pil potassium iodida.

Anggota Yamaguchi-gumi yang mana penulis temui berkata: “Tolong jangan kata apa-apa lagi berkenaan apa yang kami lakukan.”

Bagi mereka yang tidak begitu mengenali yakuza, ia mungkin mengejutkan untuk mendengar sifat dermawan mereka, namun ini bukan kali pertama mereka menunjukkan semangat kemanusiaan.

Pada 1995 selepas gempa bumi Kobe, Yamaguchi-gumi paling aktif menyalurkan bekalan ke kawasan terjejas.

Mereka mengakui bekalan itu dibayar dengan wang hasil memeras penduduk di kawasan itu namun tiada siapa mampu nafikan mereka pantas apabila penduduk memerlukan bantuan.

Mungkin membingungkan bahawa yakuza, yang juga kumpulan penjenayah terancang, mendapatkan hasil daripada aktiviti haram seperti mengumpul wang perlindungan, mengugut, memeras dan penipuan, memiliki sifat sivik semula jadi.

Bagaimanapun, di Jepun sejak selepas perang mereka sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan. – Agensi

Tuesday, March 22, 2011

Nafkah Batin - Bukan Hanya Keperluan Seks

Tidak semua wanita yang tidak mahu berkahwin itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar. Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita ingin mencari lalaki yang berilmu dan beramal diatas segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt.

Oleh itu mereka terpaksa bertangguh untuk mendirikan rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang beramal saleh di akhir zaman ini ibarat payahnya mencari sebutir mutiara asli. Sebabnya, ramai suami dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja.

Kita percaya hampir ke semua suami berjaya menunaikan tanggungjawabnya di dalam memberi nafkah zahir(seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada ahli keluarganya. Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu.

Bila sesempit itu pandangan mereka, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai mengaji Al Quran, cuai berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.

Nabi saw telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:

“Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka. Nabi saw pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud: “Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya. “

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardhu ain iaitu tauhid, fekah dan tasauf. tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya aqidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Contohnya, mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul. Mempercayai rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam.

Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmannya bermaksud: “Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi seorang suami memerintahkan isterinya (dan mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan sunat).”

Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.

Tujuan mempelajari ilmu tasawuf pula supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub, sombong dan lain-lain lagi.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isterinya sekiranya ada, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama “Beruk punya anak″ maka lahirlah watak beruk pada si anak yang sukar untuk dilentur perangainya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.

Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt. Ajarkannya batas-batas aurat, kehormatan diri dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.

Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar. Semoga dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.

Ibnu Abbas pernah berkata: Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka.”

Sumber : Taman-taman Syurga

Sunday, March 20, 2011

DAP Akan Tentang Larangan Loteri Di Kelantan

SEREMBAN, 19 Mac — Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh memberi PAS amaran bahawa pihaknya akan menentang rakan komponen Pakatana Rakyat (PR) itu jika terus berkeras dengan larangan jualan loteri di Kelantan.

Dilihat sebagai kata dua kepada PAS, Karpal meminta parti Islam itu supaya “tidak bermain dengan undang-undang”, sebaliknya mahu ia menghormati hak bukan Islam di negeri tersebut.

“Apa jua tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, kami akan bertindak bertentangan dengan (pendirian) PAS,” kata beliau pada majlis makan malam sambutan 45 tahun DAP di sini malam tadi.

Kerajaan PAS Kelantan berhadapan dengan kritikan parti-parti yang mewakili kaum Cina dari kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) ekoran larangan menjual loteri.

Para pemerhati melihat larangan itu sebagai usaha PAS mengembalikan undi Melayu, yang kini kelihatan sudah kembali kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil sejak awal tahun lalu.

Kenyataan Karpal (gambar), yang juga ahli Parlimen dan seorang peguam, seolah-olah menggambarkan semula pendirian beliau dalam isu dasar negara Islam yang hendak dibawa PAS.

Bagaimanapun pada konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 19 Disember lalu, Karpal berkata, isu itu boleh dibincangkan dan perlu diselesaikan dengan segera agar tidak dieksploitasikan oleh BN.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Penasihat Undang-Undang negeri mengkaji semula pengharaman loteri ‘big sweep’.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri ‘big sweep’ yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan,” katanya yang turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda DAP Anthony Lok Siew Fook; ahli jawatankuasa DAP pusat Liew Chin Tong; Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PKR Dr Mohd Nor Manuty bagi membincangkan isu judi tersebut.

Isu pengharaman loteri itu timbul berikutan Majlis Perbandaran Kota Baru - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah melakukan serbuan ke atas dua buah kedai buku dan merampas tiket loteri tersebut pada bulan lepas.

Oleh : Yow Hong Chieh

Saturday, March 19, 2011

Pantau Syarikat Warga Asing Bina Sistem Maklumat Keselamatan Negara

ISU keselamatan negara perlulah diambil perhatian dan dititikberatkan oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan soal keselamatan negara tidak diperkotak-katikkan oleh negara luar yang selama ini memang mencemburui keamanan negara kita.

Saban hari, saya terbaca di Internet yang membicarakan soal keselamatan negara terutama di bawah KDN. Bagaimana begitu mudah rakyat Indonesia memasuki negara ini berulang kali walaupun telah 'ditangkap' juga berulang kali oleh anggota keselamatan.

Yang menjadi kemusykilan, bagaimana 'sistem' kemasukan pelancong atau pekerja asing dinilai dan ditapis oleh 'sistem maklumat' kerajaan? Jika pelancong atau pekerja asing tersebut telah menukar nama atau identiti, adakah sistem keselamatan negara dapat mengetahui identiti asal pelancong atau pekerja asing tersebut? Jawapan yang saya ada sekarang ialah TIDAK.

Saya dikejutkan dengan penemuan pertama apabila seorang pelancong 'tulen' dari seberang mengakui bahawa nama asalnya tidak sama dengan yang tertera di dalam pasportnya sekarang. Kata pelancong tersebut, mereka hanya memerlukan kurang daripada Rp2 juta (RM700) untuk menukar identiti diri atau membuat pasport berlainan di negara asal mereka dan kemudian boleh memasuki mana-mana negara tanpa ada sekatan.

Ini terbukti, dia dapat masuk ke negara ini tanpa dapat dikesan identiti asalnya. Walaupun 'kesalahan lalu' yang dibuat bukanlah terlalu berat iaitu 'duduk melebihi tempoh yang ditetapkan visa', namun ia membuatkan kita berasa curiga mengenai sistem keselamatan yang ada di setiap pintu masuk negara ini dalam memastikan tidak dibolosi penjenayah-penjenayah berat.

Kedua, saya difahamkan sistem biometrik yang digunakan dalam kad pekerja asing (I-Kad) dan sistem kawalan pintu masuk yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh warganegara asing yang 'memenangi' banyak anugerah dan mempunyai 'patent pending' di lebih 100 buah negara telah tidak berfungsi sejak awal tahun 2010.

Akibatnya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana warganegara asing berkenaan enggan bekerjasama menyelesaikan masalah-masalah yang ditimbulkan, telah cabut ke luar negara membawa bersama keuntungan berpuluh-puluh juta.

Oleh yang sedemikian, saya amat-amat berharap pihak kerajaan terutamanya Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri mengarahkan pegawai kerajaan agar lebih berwaspada dalam isu keselamatan dalam negara terutamanya melibatkan pembinaan 'sistem-sistem keselamatan negara' agar tidak diberikan kepada syarikat-syarikat yang berdaftar di Malaysia, tetapi dimiliki oleh warganegara asing atau selepas diberikan kontrak yang besar, ia dipindah milik kepada syarikat-syarikat lain yang pada zahirnya juga berdaftar di Malaysia tetapi dimiliki warganegara asing.

Apakah perlu kita mendapatkan khidmat syarikat asing untuk membantu membina sistem maklumat keselamatan negara, sedangkan di dalam negara kita mempunyai banyak pakar pembina sistem yang lebih canggih dan selamat? Tidakkah ini akan mendedahkan keselamatan negara kepada ancaman luar jika sistem keselamatan negara dibina oleh syarikat berdaftar di Malaysia tetapi sebenarnya dimiliki oleh warganegara asing atau syarikat asing?

Pada masa kini, banyak isu dan komen di Internet menyatakan, kerajaan Malaysia telah memberikan Letter of Award (LOA) untuk membina 'sistem kawalan keselamatan' dengan nilai kontrak RM400 juta selama lima tahun pada Mei/Jun 2008 kepada sebuah syarikat tempatan, tetapi setelah satu tahun kontrak tersebut dilaksanakan, dan memperoleh keuntungan bersih lebih RM110 juta dalam masa yang singkat, syarikat tersebut kemudian menjual 100 peratus sahamnya dengan harga RM170 juta kepada sebuah syarikat berdaftar di Malaysia tetapi dimiliki 98 peratus warganegara asing

Sama dengan syarikat yang diberikan kontrak I-Kad itu, syarikat warganegara asing itu juga menggunakan taktik-taktik seperti memenangi banyak anugerah dan patent pending di lebih 100 buah negara, tetapi sebenarnya tidak mempunyai sebarang reference site pun.

Ini adalah mengenai isu keselamatan negara dan ia mesti berpaksi kepada cintakan negara, bukannya mencari keuntungan singkat dan kerajaan yang akan mengalami masalah di kemudian hari. Oleh yang sedemikian, kawalan khas iaitu seperti 'mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum menjual saham kepada warganegara asing' perlu dimasukkan dalam terma perjanjian dan perlu ada exit clause dalam kontrak tersebut supaya kerajaan mempunyai hak untuk menghentikan kontrak tanpa membayar apa-apa pampasan kepada syarikat tersebut.

Kerajaan harus lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek mega dan perlu mendapat maklum balas daripada rakyat terlebih dahulu atau melantik juru perunding khas, sebelum membuat sesuatu keputusan yang membabitkan jumlah kos yang besar kerana dikhuatiri ia akan menyusahkan rakyat dan kerajaan semula di kemudian hari.

Kerajaan harus menjalankan Due Diligence kepada akaun-akaun dan inbois-inbois untuk memastikan syarikat tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti window dressing dan creative accounting untuk memberikan gambaran palsu bahawa kedudukan kewangan syarikat tersebut betul-betul kuat dan berpuluh juta hasil pendapatan datang dari luar negara, tetapi sebenarnya pendapatan dan keuntungan yang dilaporkan adalah dari Malaysia, yang belum mempunyai apa-apa hasil pun.

Oleh : Mat Noor Amin
Johor Bahru

Friday, March 18, 2011

Berwaspada Daripada Terlibat Noda, Dosa Di Hujung Jari!

DUNIA di hujung jari adalah ungkapan yang sering didengar. Ia merupakan suatu fenomena yang mana segala perkara dan maklumat yang berlaku di segenap penjuru dunia boleh diketahui dengan segera melalui kepantasan pelbagai jaringan laman sesawang yang wujud ketika ini.

Namun dosa di hujung jari jarang diperkatakan sehingga ramai yang tanpa sedar terjebak dengan elemen-elemen negatif di sebalik kecanggihan teknologi garapan akal pemikiran manusia yang terhad. Lebih membimbangkan apabila masyarakat Islam secara umumnya terdedah kepada perlakuan dosa di alam maya yang menyumbang pula kepada gejala sosial dan moral yang berpanjangan.

Baru-baru ini, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim mendedahkan betapa perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia semakin membimbangkan. Purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit adalah satu statistik yang menunjukkan bagaimana nilai kasih sayang dan tanggungjawab dalam membina sebuah institusi kekeluargaan Islam mula tercemar dek kerana kurang pemahaman terhadap selok-belok dan peraturan agama.

Akibatnya anak-anak jugalah yang menjadi mangsa dan berkemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan statistik salah laku sosial dan moral di kalangan muda-mudi Islam.

Ini ditambah lagi dengan kewujudan laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan lain-lain yang disalahgunakan. Ada pasangan suami isteri tanpa sedar telah bermain kayu tiga sambil memadu kasih di Internet. Akibat terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumah tangga diluahkan kepada individu maya yang tidak dikenali. Kemungkinan juga terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku.

Ada pula yang telah bergelar suami dan isteri berlagak seperti anak muda apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah tangga tidak terurus sehingga terlibat pula melakukan dosa zina dan mengundang perceraian yang dimurkai Tuhan.

Kalangan pelajar sekolah juga turut terpalit sama. Ada yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulang kaji pelajaran terabai. Pelbagai laman sesawang yang berunsur pornografi juga mudah diakses di mana-mana lalu menimbulkan keghairahan dan keinginan untuk mencuba sekali gus membawa kepada jenayah seksual dan rogol yang menakutkan.

Laporan akhbar juga menyebut bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di alam maya daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan.

Begitulah hebatnya kecanggihan teknologi masa kini yang seakan berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebagai musuh bentuk baru yang berusaha untuk merosakkan pemikiran dan hala tuju kehidupan umat Islam secara umumnya.

Memang tidak dinafikan, kecanggihan teknologi ICT seperti ini boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme perhubungan antara sesama kerabat, rakan dan taulan dengan kos yang murah, pantas dan menyeronokkan. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada.

Sungguhpun demikian, umat Islam secara khususnya diminta berwaspada dan berhati-hati daripada terlibat dengan noda dan dosa saban hari. Ini dapat dilakukan misalnya dengan pemantauan ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak terutama ketika melayari internet di rumah.

Amalan buruk seperti bersembang di internet tanpa mempedulikan solat mahupun tugasan yang dipertanggungjawabkan menyumbang kepada kemurkaan Allah SWT lagi ditegah oleh agama. Sedarlah juga betapa umur yang ada semakin meningkat setiap tahun sedangkan masa yang tinggal untuk memperbanyak amal semakin berkurangan.

Pastinya sukar untuk pihak berwajib mengharamkan akses kepada pelbagai laman sesawang termasuk laman sembang sosial, pornografi dan lain-lain secara total. Namun begitu setiap individu Muslim diseru sentiasa memuhasabah dan menilai diri sendiri dalam apa jua kegiatan yang dilakukan.

Ini penting bagi mengelak sesuatu yang memudaratkan berlaku ke atas pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam. Ia juga sangat bertepatan dengan objektif syariah yang bertujuan untuk memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Penyalahgunaan Internet yang mula dibicarakan akhir-akhir ini jika tidak dibendung kemungkinan menyumbang pula kepada masalah-masalah lain yang lebih kronik jika tidak di atasi dengan segera. Mana tidaknya budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburuk-burukkan sesama sendiri seakan-akan berkembang subur dan sukar dielakkan. Lebih membimbangkan lagi apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab guna untuk mengaibkan sesama sendiri.

Keburukan ini semakin terserlah apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan.

Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh merosakkan keharmonian hidup manusia pada bila-bila masa dengan terlibat melakukan pelbagai dosa tanpa disedari.

Oleh : Mohd Ali Muhamad Don
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Thursday, March 17, 2011

Waspada Dalam Berkata-kata

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari pernahkah kita terfikir untuk berhati-hati ketika meluahkan setiap perkataan daripada mulut kita?

Sememangnya boleh dikatakan semua orang memahami betapa pentingnya apabila mahu berkata-kata kerana jika tersilap langkah mereka boleh terjerumus ke dalam dosa.

Kita hanya sekadar menguar-uarkan pepatah kerana mulut badan binasa tetapi ramai yang tidak mematuhinya.

Pada dasarnya, ucapan mahupun perkataan merupakan cerminan jiwa. Maka itu, Nabi Muhammad SAW berpesan pilihlah kata-kata yang baik.

Dalam hal ini, baginda merupakan teladan terbaik. Setiap saat, Rasulullah senantiasa menggunakan kata yang baik dan lembut untuk umatnya.

Baginda menjauhkan kata-kata yang buruk, kasar, dan keji. Bahkan, Rasulullah sangat membenci jika ada kalimat yang digunakan tidak pada tempatnya yang sesuai. Misalnya, ada perkataan yang baik dan bermakna mulia namun diucapkan kepada orang atau sesuatu yang sebenarnya tidak berhak menyandang ucapan itu.

Begitulah juga sebaliknya, jika ada kalimah buruk dan bermaksud menghina tetapi ditujukan untuk orang atau sesuatu yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian memanggil orang munafik dengan panggilan tuan kerana jika dia memang seorang tuan, maka dengan panggilan itu kalian telah membuat Tuhan kalian murka".

Selain itu, umat Islam diminta menjaga ucapan yang mengandungi syirik. Seperti ucapan, "Aku meminta pertolongan kepada Allah dan kepadamu".

Sesuai tuntutan Rasulullah, mereka yang mengucapkan kalimat-kalimat seperti itu bererti telah menyekutukan atau sepadan bagi Allah SWT.

Dalam buku Berakhlak dan Beradab Mulia, Contoh-contoh dari Rasulullah, Saleh Ahmad asy-Syaami menambahkan, kalimat bernada mencela juga sebaik-baiknya dihindari. Peringatan itu juga disampaikan oleh Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan Bukhari, Muslim dan Muttafaaq alaih.

Rasulullah mengatakan: "Allah SWT berfirman, Anak keturunan Adam menyakiti-Ku, kerana mereka mencela masa, padahal Aku adalah Zat yang menciptakan dan menguasai masa. Aku yang menggantikan malam dan siang". Asy-Syaami menyatakan, perkataan yang mencela melahirkan kesalahan besar.

Menurut beliau, celaan yang diucapkan itu sebenarnya akan mengenai diri mereka sendiri. "Mereka telah berkata hal-hal yang tak patut," katanya.

Asy-Syaami menegaskan, ucapan-ucapan yang tak baik sama sekali tidak mendatangkan manfaat apa pun, sebaliknya, menjerumuskan seseorang ke jalan kebatilan. Ucapan yang buruk juga mendatangkan perpecahan dan pertikaian antara sesama manusia.

Termasuk yang perlu dijauhi adalah berkata bohong. Islam tidak memberikan keringanan bagi umatnya yang berbohong.

Ibn Qayyim dalam kitab al-Fawa'id mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap pembohongan. Sebab, kebohongan akan merosakkan cara pandang umat terhadap fakta yang sebenarnya.

Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengatakan, pembohongan akan mengiring pelakunya kepada kejahatan dan kejahatan akan menjerumuskan ke dalam neraka.

utusan malaysia

Wednesday, March 16, 2011

Cara Kekalkan Kasih Suami

Hakikatnya, tugas isteri zaman moden bukanlah mudah kerana kebanyakan mereka bekerja. Di samping tugas di pejabat, wanita juga mempunyai tanggungjawab kepada keluarga iaitu anak dan suami.

Tanggungjawab mungkin boleh diserahkan kepada pembantu rumah jika anda terlalu sibuk tetapi bagaimana dengan suami?

Bukan sedikit cerita suami mengadakan hubungan sulit dengan pembantu rumah gara-gara kelalaian isteri tidak melayan suami dengan baik.

Justeru, bagi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga, di sini diberi 15 panduan lagi bagaimana isteri boleh memikat hati suami.

* Jika marah, tunggu sehingga sejuk. Bila sudah sejuk, beritahulah suami apa yang menganggu fikiran secara sopan. Jangan salahkan suami.
* Apabila suami bercakap, beri perhatian sepenuhnya. Jika boleh, hentikan apa sahaja tugas yang sedang dilakukan.
* Bila memesan barang kepada suami ke kedai, senaraikan di atas kertas. Jangan biarkan suami ke kedai dua kali.
* Tanya suami bila dia mahu berehat atau tidur.
* Peluk suami dengan kasih sayang sebanyak tujuh kali sehari.
* Telefon suami di tempat kerja jika perkara itu penting. Telefon dengan kerap jika suami suka.
* Jika suami perlu menjauhkan diri sekali sekala, tanya bila dia akan pulang.
* Jangan ganggu suami jika asyik melakukan sesuatu.
* Apabila suami marah, jangan menjawab. Tunduk dan diam walaupun kita tidak salah. Terangkan keadaan sebenar apabila suami sudah tenang.
* Apabila meminta bantuan suami, terangkan kepada suami kerja rumah yang memerlukan bantuannya, pilih kerja yang suami suka dan jangan suka mengarah. Gunakan perkataan yang sesuai dan lemah lembut.
* Pesan kepada suami supaya menelefon ke rumah jika dia bertugas di luar. Jangan pula melenting jika dia terlupa berbuat demikian, beritahu dia yang anda cuma risau.
* Sentiasa kemas, anggun dan menggunakan wangian sebelum tidur bersama.
* Sokong pendapat suami walaupun kadangkala pendapatnya berbeza dengan orang lain.
* Bila keluar berkereta, jangan ganggu suami yang memandu. Jangan menunjuk-nunjuk jalan selagi suami tidak meminta berbuat demikian. Jangan berleter apabila suami tersalah jalan, bersangka baik apabila tersesat jalan.
* Peluk dan belai suami sekali sekala tanpa impian seksual.
MalaysiaRia

Tuesday, March 15, 2011

Rehda Wujudkan Situasi Panik?

KUALA LUMPUR 13 Mac - Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) didakwa cuba mewujudkan situasi panik di kalangan pembeli dengan kenyataan kenaikan harga rumah pada separuh pertama tahun ini.

Kenyataan itu seolah-olah memberi tekanan kepada para pembeli supaya mendapatkan rumah sekarang atau terpaksa menanggung harga kediaman yang tinggi pada masa depan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md. Ariffin yang menyelar kenyataan Rehda itu menyifatkan kenyaaan tersebut sebagai jalan mudah untuk membantu pemaju mendapatkan keuntungan pada masa yang singkat.

Malah, beliau mempersoalkan mengapa kenyataan itu tiba-tiba dikeluarkan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kemudahan pinjaman 100 peratus bagi pemilikan rumah, baru-baru ini.

''Tahukah Rehda kenyataan mereka itu memberi kejutan kepada pasaran, sedangkan kenaikan bahan-bahan mentah seperti minyak mentah masih lagi di peringkat awal dan ia masih belum pasti akan melonjak ke paras tertinggi dalam masa terdekat ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Rehda yang mendakwa harga rumah yang bakal dilancarkan pada tahun ini dijangka naik dua peratus hingga 50 peratus, atau secara puratanya 13 peratus.

Kenaikan itu diunjurkan daripada kajian oleh Rehda pada Disember lalu yang melibatkan 135 daripada 972 ahlinya.

Kajian bagi separuh kedua 2010 mendapati harga bahan binaan dan petrol semakin meningkat mendorong kepada kenaikan harga rumah yang dilancarkan pada Januari hingga Jun 2011.

Selain kenaikan harga barangan mentah, persatuan itu dikatakan berdepan dengan masalah kekurangan bank tanah di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Tegas Shahrom, prestasi jualan pasaran rumah di Malaysia sekarang bukan disebabkan permintaan yang tinggi tetapi didorong oleh pembiayaan mudah daripada sektor kewangan serta skim-skim pinjaman perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

''Jadi, janganlah disebabkan faktor-faktor ini para pemaju mengambil kesempatan daripada keadaan semasa,'' jelasnya.

Berikutan itu, Shahrom mencadangkan supaya kerajaan komited untuk melaksanakan konsep bina dan jual untuk mengekang tindakan 'besar kepala' di kalangan pemaju perumahan.

Idea yang dikemukakan oleh kerajaan itu wajar dipraktikkan kerana pemaju perumahan lebih mengejar keuntungan berbanding kualiti rumah yang disiapkan.

''Sekurang-kurangnya dengan cara ini para pemaju tahu bagaimana untuk memastikan kualiti produknya adalah setara dengan harga yang perlu dibayar oleh para pembeli,'' ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Korporat Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam pula meminta kerajaan dan pemaju berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Perbincangan itu perlu untuk menawarkan harga rumah yang masih mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana.

''Sekiranya peningkatan kos bahan binaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kedua-dua pihak perlu mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu tersebut.

''Pelbagai cara dapat dilakukan untuk mereka seperti menstruktur semula kos, mengubah reka bentuk atau bahan binaan yang mampu digunakan tanpa memberi kesan kepada faktor-faktor keselamatan,'' ujarnya.

Oleh : Sarah Nadlin Rohim
utusan malaysia

Monday, March 14, 2011

Fahami Akta Sebelum Bincang Isu Islam

Usah jadikan alasan Bible tulisan Melayu sebagai usaha untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

PERKARA 11 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada setiap rakyat menganut dan mengamalkan ajaran agamanya tetapi Perkara 11 juga memberi sekatan kepada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam. Ini disebabkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa agama Islam berbanding agama lain di Malaysia. Hal itu diakui penghakiman mahkamah seperti dalam kes Meor Atiqurrahman dan Lina Joy. Perkara 11(4) Perlembagaan menyatakan undang-undang boleh digubal badan perundangan negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

Setakat ini, empat negeri masih belum menggubal undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam itu mewujudkan kesalahan yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan menyatakan dengan terperinci kalimah serta frasa yang tidak boleh digunakan bukan Islam bagi merujuk agama mereka.

Ramai cuba berhujah berkaitan undang-undang ini walaupun mereka sendiri tidak pernah membaca undang-undang itu. Undang-undang ini bukan menghalang orang bukan Islam menyebut kalimah dan frasa mempunyai asal agama Islam tetapi menjadi kesalahan jika kalimah dan frasa itu dirujuk untuk agama bukan Islam.

Umpamanya kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat jika dirujuk kepada agama Islam tidak menjadi kesalahan bagi bukan Islam mengucapkannya. Ia hanya menjadi kesalahan jika kalimah itu dirujuk kepada agama bukan Islam seperti Allah sebagai tuhan penganut Kristian, Baitullah sebagai gereja orang Kristian ataupun solat sebagai upacara sembahyang penganut Kristian.

Selain kalimah dan frasa, undang-undang itu melarang penerbitan bahan agama bukan Islam diberikan kepada orang Islam.

Timbul kembali isu mengenai Bible berbahasa Melayu yang dirampas pihak berkuasa. Bible berbahasa Melayu ini sarat dengan perkataan dan frasa yang dilarang dirujuk bagi agama bukan Islam.

Undang-undang menghalang penggunaan perkataan dan frasa itu pula masih lagi berkuat kuasa dan tidak dimansuhkan di sesetengah negeri. Oleh itu, tindakan pihak berkuasa merampas Bible mengandungi perkataan terlarang itu sejajar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

Hak mengembangkan agama bukan Islam melalui Bible berbahasa Melayu ini sebenarnya tertakluk kepada peruntukan Perkara 11(4). Ia tidak boleh diberikan, dijual atau dicetak untuk orang Islam. Sekiranya Perlembagaan ini dapat diikuti dan perkataan terlarang itu dikeluarkan mungkin ia boleh dibenarkan.

Mungkin sudah menjadi aliran sekarang ini agama lain langsung tidak boleh disentuh tetapi apabila berkaitan dengan agama Islam semua mahu menjadi mufti mengeluarkan fatwa termasuklah orang bukan Islam.

Ada kalangan bukan Islam melabelkan sesetengah orang itu lebih fakih Islamnya berbanding orang lain semata-mata kerana orang itu mengeluarkan pandangan agak liberal. Tanpa segan silu mereka mempersoalkan isu Islam tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam termasuklah mufti yang mengeluarkan fatwa.

Dalam kalangan orang Islam juga ada yang terlalu takjub dengan logika akal dalam isu Bible berbahasa Melayu ini dalam erti kata mendaulatkan bahasa kebangsaan. Persoalannya apakah dalam isu Bible ini saja kita mahu mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak dalam aspek lain seperti pendidikan, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan dokumentasi perundangan?

Mengapa tidak pula mereka memimpin isu ini? Kenapa hanya dalam isu Bible berbahasa Melayu saja mahu ditegakkan penggunaan bahasa Melayu?

Bagi saya, isu agama Islam hendaklah diletakkan kepada pakar agama Islam. Saya sendiri agak kekok untuk mengeluarkan hukum kerana saya bukan graduan lulusan agama. Undang-undang kawalan agama adalah hasil dari permesyuaratan ahli agama.

Ia bukanlah suatu yang dipolitikkan seperti sering ditohmah. Masyarakat kini terlalu mudah menuduh sesuatu perkara itu dipolitikkan pihak kerajaan sedangkan ia tidak benar, dalam hakikat sebenar orang yang menuduh itulah yang mempolitikkan isu agama ini.

Saya menyarankan supaya sebelum isu enakmen kawalan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam atau Bible berbahasa Melayu diperkatakan, bacalah dulu undang-undang berkenaan.

Tidak cukup dengan undang-undang itu, bacalah juga hansard (perbahasan di Parlimen/ dewan undangan negeri) ketika undang-undang itu digubal bagi mengetahui undang-undang dan falsafahnya. Membuat sanggahan atau komentar terhadap sesuatu undang-undang yang seseorang itu sendiri tidak pernah membacanya adalah amat memalukan.

Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Sunday, March 13, 2011

JCorp Mahu Jual Kulim Berhad?

PUTRAJAYA 12 Mac – Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa ada mendengar ura-ura bahawa pihak pengurusan JCorp merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd (Kulim).

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Formulasi Dana Wakaf’ pada Persidangan Kebangsaan Mengenai Program Transformasi Melayu Muslim (MTP) di sini hari ini, beliau berkata maklumat itu diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai.

Menurutnya sama ada dakwaan itu benar atau tidak, beliau berharap keputusan untuk menjual Kulim difikir sedalam-dalamnya memandangkan ia merupakan asset utama JCorp dan orang Melayu.

Beliau yang pernah bersama Jcorp selama 30 tahun, turut melahirkan rasa sedih dan kecewa sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Saya juga percaya rancangan itu akan mendapat tentangan hebat daripad pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang mahu melihat Kulim kekal di bawah JCorp untuk membantu bangsa Melayu,” katanya.

Muhammad Ali berkata Kulim kini adalah satu daripada penjana pulangan wang utama kepada JCorp kerana ia merupakan badan induk kepada QSR Brands Bhd, KFC Holdings (M) Bhd dan turut memegang hak 38,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.

Bagaimanapun, jika JCorp benar-benar berhasrat untuk untuk menjual Kulim, ia boleh dijual kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang menjamin kepentingan orang Melayu, katanya yang juga Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Persidangan yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dihadiri kira-kira 300 peserta mewakili kelompok cendekiawan Melayu Islam dalam pelbagai bidang. – Bernama

Nampaknya - memang Melayu mudah lupa. Mudah lupa terhadap jasa orang lain dan mudah lupa terhadap pengorbanan orang lain. Jcorp bakal hancur sekiranya yang memimpin organisasi itu merupakan "gunting dalam lipatan".

Saturday, March 12, 2011

Sikap Pasif Rakyat Terhadap Pertahanan Negara

BEGITU aneh dan ironis kandungan buku terbaru bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) bertajuk Hard Truths: To Keep Singapore Going yang mempunyai maklumat dasar pertahanan negara tersebut dan lebih bermakna berbanding dengan dokumen rasmi Kementerian Pertahanan republik tersebut.

Tidak keterlaluan jika diandaikan pembaca Hard Truths akan lebih memahami strategi pertahanan Singapura kerana LKY tidak bersembunyi dan malu-malu dalam menakrifkan apa yang beliau telah laksanakan semasa memegang jawatan tertinggi lebih dua dekad yang lalu.

Bukan mudah bagi kepimpinan Singapura untuk meyakinkan rakyat bahawa perbelanjaan besar diperuntukkan untuk pertahanan adalah kerana keadaan yang memaksa, bukannya hanya kerana mahu bermegah.

Memang benar strategi yang digunakan oleh kepimpinan Singapura terutama sekali LKY adalah melampau dan kadangkala tidak masuk akal, tetapi hakikatnya ialah sebahagian besar rakyat mereka menerima dalil dan hujah yang dikemukakan.

Bayangkan tanggapan LKY yang memberi persepsi jika pertahanan Singapura tidak hebat seperti hari ini, Malaysia sudah pasti akan mengambil kesempatan daripada kelemahan tersebut. Walaupun rakyat Malaysia menilai kenyataan tersebut adalah propaganda LKY sebagai justifikasi perbelanjaan pertahanan yang besar, tetapi rakyat Singapura menerima kenyataan itu sebagai suatu yang benar dan tidak menganggapnya sebagai satu mitos.

Peruntukan tahunan pertahanan Singapura dalam lingkungan 5-6 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah antara yang ke-10 tertinggi di dunia. Tetapi jika dikaitkan dengan per kapita pula, maka peruntukan tersebut adalah kedua tertinggi di dunia iaitu hanya di belakang Israel. Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan negara, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan, diikuti Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15.

Hakikatnya adalah segala apa yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem. Anehnya rakyat mereka menerima hakikat ini sebagai keperluan untuk melangsungkan kemajuan negara mereka.

Sebaliknya, begitu ironis sekali sebilangan rakyat Malaysia kerana tidak mempunyai persepsi pertahanan yang selari seperti mana yang dimiliki oleh rakyat Singapura. Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang dilancarkan pada November 2010 langsung tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun dokumen tersebut dianggap begitu penting.

Malah Kementerian Pertahanan Malaysia telah menerbitkan dokumen DPN versi yang mudah difahami tetapi ia masih tidak mampu menarik perhatian rakyat. Apakah rakyat Malaysia mempunyai pendirian bahawa hal ehwal pertahanan adalah masalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) begitu sukar untuk diselami dan difahami.

Sikap kurang prihatin terhadap hal ehwal pertahanan seperti yang dipamerkan oleh sebahagian rakyat Malaysia adalah tidak sihat kerana ia mampu mempengaruhi senario politik semasa. Jika ada golongan yang mempersoalkan mengapa perlu berbelanja besar untuk memperoleh jet pejuang Sukhoi, kapal selam Scorpene ataupun kapal tempur pesisir, isu itu boleh dijadikan modal politik oleh mereka yang mempunyai agenda tertentu.

Jika rakyat tidak mengambil berat dan lepas tangan mengenai hal ehwal pertahanan, maka modal politik tersebut boleh memberi tekanan kepada kerajaan dan besar kemungkinan akan menghasilkan implikasi jangka panjang yang tidak baik kepada pertahanan negara.

Sikap acuh tidak acuh terhadap hal ehwal pertahanan juga memberi kesan mendalam kepada tahap kesediaan organisasi ATM. Isu pertahanan pada hari ini berkait rapat dengan penggunaan teknologi termaju dan sudah pasti ATM mahukan anggota tentera dari kalangan yang terbaik. Tetapi hakikatnya ialah mereka yang terbaik ini tidak mahu menyertai ATM.

Ini berbeza dengan angkatan tentera Singapura (SAF). Rakyat mereka begitu bangga kerana mereka akur bahawa hanya yang terbaik akan diterima SAF. Sebab itu, LKY mendabik dada menyatakan Kabinet kerajaan Singapura adalah yang terbaik dan terpintar di dunia, mempunyai komposisi sekurang-kurangnya 30 peratus dari kalangan pegawai tertinggi SAF. Malah Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga asalnya dari SAF.

Tidak dapat dinafikan bahawa kepentingan ekonomi selalunya dikaitkan secara langsung dengan dasar pertahanan. Negara yang mempunyai sistem pertahanan mantap akan memudahkan kelangsungan kepentingan ekonomi mereka. China yang baru saja memintas Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia setiap tahun memperuntukkan perbelanjaan pertahanan yang besar bagi menjaga kepentingan ekonomi yang terdapat di seluruh pelosok dunia. Begitu juga dengan India yang dianggap sebagai kuasa ekonomi baru dunia pada tahun lalu telah meningkatkan peruntukan pertahanan sehingga 11.6 peratus berbanding dengan empat peratus pada tahun sebelumnya.

Langkah tentera darat Amerika Syarikat (AS) mendakwa prebet tentera Bradley E. Manning atas tuduhan membantu musuh yang boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup membayangkan betapa sensitifnya apabila berhadapan dengan isu pertahanan. Manning dipercayai bertanggungjawab menyalurkan maklumat mengenai kabel sulit Jabatan Negara AS serta rekod perang Iraq dan Afghanistan kepada WikiLeaks.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia membuat anjakan dan perubahan daripada sikap pasif kepada lebih prihatin terhadap hal ehwal pertahanan negara. Tidak salah mempersoalkan strategi dan jumlah peruntukan pertahanan negara tetapi jangan sampai ke tahap memperlekehkan atau mempersenda apa yang dimiliki. Jika rakyat sentiasa mengambil sikap negatif terhadap pertahanan negara, maka yang akan rugi adalah generasi akan datang.

Oleh : Azmi Hassan
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi
dan Sains GeoSpatial (INSTEG), UTM

Friday, March 11, 2011

Melayu Lupa Keberkatan?

NAMPAKNYA orang Melayu Islam telah lupa mengenai pentingnya keberkatan dalam hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memainkan peranan penting dalam hidup. Oleh itu, mereka akan memastikan segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam mulut adalah halal berikutan ia akan menjadi darah daging mereka.

Muslim sedemikian, akan memastikan mereka tidak melakukan penipuan dan menerima rasuah bagi mengkhianati kaum sendiri kerana mereka tahu wang yang diperoleh secara tidak halal akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalam hati.

Apabila hati telah mati dan menjadi keras, orang Melayu akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak kaum mereka untuk bekerja atau berniaga diketepikan.

Itulah rintihan yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat kepada wartawan Utusan Malaysia dalam satu pertemuan lebih dua jam pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Apa yang disebut oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu adalah masalah besar yang kini menghimpit orang Melayu khususnya para peniaga kerana mereka tidak lagi dibantu oleh kaum sendiri.

Menurut beliau, ahli-ahli politik Melayu kini hanya sibuk bergaduh sesama sendiri bagi merebut kuasa dan agama Islam yang masing-masing anuti gagal untuk menyatukan mereka.

Dalam masa sama, agensi dan jabatan kerajaan yang sepatutnya menolong orang Melayu lebih mementingkan keuntungan dan melupakan agenda sebenar untuk mengembalikan hak dan maruah kaum itu.

Beliau memberi contoh restoran di sebuah kompleks beli-belah ternama di Kuala Lumpur yang menjadi tempat temu bual kami yang sehingga kini gagal untuk mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan.

Jelas beliau, pengusaha terbabit wajar dibantu kerana dia telah menjalankan tanggungjawab murni untuk mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan kecil Melayu di premisnya.

''Restoran ini adalah segelintir premis yang diusaha peniaga Melayu di sini dan saudara dapat lihat ia dihimpit oleh banyak gerai lain yang dipunyai bukan kaum kita.

''Ada agensi kerajaan yang pernah menjanjikan bantuan RM5,000 tetapi setelah tiga tahun, pengusaha restoran ini masih menunggu janji ini ditunaikan," ujarnya.

Menurut Nadzim, beliau turut menerima aduan daripada seorang usahawan penternakan yang mendakwa beliau ditekan sebuah agensi kerajaan supaya berpindah dari ladangnya.

''Ternakan beliau telah diracun pihak tertentu sehingga rugi berjuta-juta ringgit. Taktik ini digunakan supaya beliau keluar dari situ kerana kawasan berkenaan akan dimajukan sebagai padang golf oleh usahawan dari negara jiran.

''Masalah ini berlaku kerana ada sesetengah agensi kerajaan kita diketuai oleh Napoleon Kecil yang hanya mementingkan keuntungan termasuk komisen yang diterima, bukannya agenda utama untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau menyifatkan Napoleon Kecil itu sebagai sangat berkuasa dan cukup angkuh kerana mereka tidak menghiraukan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang dibawa oleh usahawan itu yang mengarahkan isu berkenaan diselesaikan segera secara baik.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa sikap mengabaikan keberkatan dalam hidup turut menular di kalangan syarikat yang dimiliki parti politik Melayu.

''Jangan terkejut jika saya beritahu saudara bahawa syarikat terbabit telah memesan berpuluh ribu kuih yang dihasilkan usahawan Cina. Mungkin alasan yang diberikan adalah kerana harga yang murah dan servis lebih baik.

''Saya tidak menyalahkan usahawan Cina terbabit kerana dia pandai, tetapi saya menyalahkan orang Melayu seperti ini yang tidak sedar diri," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, komen itu bukan bererti beliau mempertikaikan ajaran Islam sebagai agama yang cintakan keamanan dan kedamaian di antara kaum.

''Islam tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan kaum atau bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang.

''Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim.

''Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita berniaga dengan bukan Islam. Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka berniaga dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim," ujarnya kesal.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kehairanan dengan sikap menteri-menteri Melayu yang amat payah untuk membantu kaum sendiri.

''Ada menteri kita kata, saya tidak boleh nak tolong, kerana saya ikut buku. Kalau ikut buku, kita tidak perlu menteri lagilah kerana kita boleh berurusan terus dengan pegawai-pegawai.

''Kita berjumpa menteri kerana mengharapkan mereka dapat menggunakan kuasa budi-bicara termasuk yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Menteri kita nampaknya macam tidak jelas agenda masing-masing, hendak tolong pun susah.

''Menteri ini tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu membantu dan mereka kena belajar dengan menteri Cina, bagaimana mereka menolong orang Cina," katanya.

Tambah beliau, di seluruh dunia budaya bending backwards (melentikkan badan ke belakang) untuk menolong adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti China, Jepun dan Yahudi.

''Kita patut belajar daripada Datuk Seri S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) kerana beliau pernah menelefon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memaklumkan permohonan sebuah syarikat kaum India untuk mendapatkan sijil halal. Kita mana ada menteri nak buat kerja macam ini,'' ujar beliau.

Tegas beliau, lebih banyak bantuan harus diberikan kepada orang Melayu berikutan kedudukan kaum itu yang masih tidak sama rata dengan kaum lain.

''Kalau kita yang tidak tahu ikat tali sarung tangan tinju pun disuruh berlawan dengan bekas juara dunia, Mike Tyson, ini tentu tidak boleh. Jika ini dibiarkan, kita akan terikat dengan undang-undang dunia iaitu yang kuat akan menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba.

''Saya harap saudara tulis perkara ini, bagi menyedarkan semua pihak bahawa kedudukan orang Melayu kini cukup hina kerana kita lemah dalam segenap segi termasuk sosial, ekonomi dan pendidikan,'' katanya.

Walaupun situasi sekarang tidak memihak kepada orang Melayu, ujarnya, beliau yakin mereka boleh menjadi kaum yang kuat, jika sedar diri dan sanggup berubah dari sekarang untuk menolong kaum sendiri.

Oleh : Nizam Yatim - utusan malaysia

Thursday, March 10, 2011

Rahsia Tangan Isteri

Pada yang belum berkahwin tu, simpan nasihat ni baik-baik kerana insyaAllah satu hari nanti bila dah jadi orang punya tu tau le apa yg patut di buat dan sebaliknya.... bagaimana petua org tua-tua dpt membantu kita membena rumahtangga yg harmoni serta penuh kasih sayang...Insya Allah, dipermudahkan kita oleh NYA mendapat petunjuk dan jalan...

Membasuh pakaian, sekarang rasanya 95% dari kita semua ada mesin basuh, ok tak apa suruh maid basuh baju kita, tapi yg 'kecik-kecik' terutama kita punya dan suami tu, sebaik-baiknya kita basuh sendiri. Sedapat mungkin bila kain baju sudah dibasuh dan siap diangkat, masa melipat pun, kita pilih yg patut kita lipat dan uruskan sendiri. ada rahsia tu.

Juga bilik. Bilik tidur kita sepatutnya adalah kawasan larangan terutama kpd penbantu rumah. NO ENTRY !!!!. apa pun yg ada didlmnya adalah hanya dlm pengetahuan kita dan suami.Terutama tempat tidur (katil), minta sangatlah kita yg bergelar ISTERI ini yg mengemasnya. Usah sesekali dibiarkan pembantu yg menguruskannya. ada rahsia tu),

APA RAHSIA NYA???
AIR TANGAN!!!!... itulah rahsianya, air tangan kita sebagai isteri dan sebagai ibu. Tak ada cara yg saintifik yg mampu menjelaskan kehebatan serta 'powernya' air tangan seorg ibu dan isteri itu terhadap keluarganya, tapi dapat dijelaskan melalui kaedah rohaniah. Kalau kita masih keliru dan kurang yakin, cuba kita fikir (bagi yg merantau selalunya terasa sangat), kita sering teringat masakan ibu, kemana pun kita pergi dan bertemu dgn masakan yg serupa, namun rasanya masih tidak dapat menyamai dari apa yg terhidang hasil 'air tangan ibu'. Walaupun sekadar mee maggie!!!.

Begitu juga memberi makan anak, suapan kemulut anak dgn tangan kita itu membawa banyak kesan yg akan hanya kita nikmati 10 - 15 thn akan datangnya. Bila anak-anak sudah pandai bergaul sendiri, sudah tahu memilih teman, kebanyakan mereka 'kurang mendengar' apa yg kita ibu bapa pesan dan ingatkan, namun baraqah dari 'air tangan' (usaha ibu bersusah payah mendidik dan menyediakan keperluan anak-anak) sedikit sebanyak, kalau pun anak-anak itu ingin mengikut 'kehendak sendiri' namun dia, Insya Allah pada akhirnya akan tetap mencari 'restu siibu' dlm hidupnya.

Pecayalah...Tak dapat lakukan sepanjang hari kerana kita bekerja, mungkin pada sebelah malamnya kita dapat lakukan, sekurang-kurangnya sekali sehari pun memadai, kalau dapat selalu lebih baik lagi. Sebab dgn suapan kita itu sambil kita berdoa ' air tangan' yg masuk keperut anak, Insya Allah akan membentuk darah daging yg baik, berkat doa dan tangan ibu.

Kebajikan Suami juga, kenapa harus biarkan pembantu yg beriya-iya menggosok baju dan seluarnya, melipat pakaian dlmnya. Kita isteri, sentuhan kita pada barang-barang suami sebenarnya ada 'roh' nya, jika 'roh' itu sentiasa di belai oleh org lain... apa akan jadi, sudah pasti daya tarikan itu beralih arah. Tu sebab kadangkala terjadi suami yg segak kacak dan tampan serta isteri yg jelita, bekerjaya hebat serta pandai pun, bermadu dan madu nya pula hanya seorg pembantu rumah yg rupanya alahai... (ni bukan kes menghina fitrah rupa manusia yg dijadikan Allah swt, ini kes nak menunjukkan bahawa si isteri jelita pun, kalau kurang beri perhatian dan belaian suami boleh berubah angin!!!).

Jadi berhati2lah dlm mengizinkan org lain menguruskan barangan / kebajikan suami. Begitu juga dlm hal makan minum, kan sudah dipesan org tua bahawa nak jaga suami jaga perutnya terlebih dahulu. Dan antara dua lututnya... (syahwatnya). Insya Allah, suami sentiasa sayang dan merindui kita.

Bayangkan suami balik dari kerja, sudahlah lapan jam diluar, makan mungkin beli di kedai, dah tentu org masak. Balik kerumah pun kita minta 'sunarti' buatkan air???. So bila masa kita dapat 'belai roh' suami agar dekat dgn kita??? Jadi kalau setakat secawan / seteko air, tolonglah buat sendiri.

Penat usah cerita, semua kita penat, samada bekerjaya diluar atau sekadar surirumah. Namun itulah salah satu dari beribu-ribu cara yg boleh diguna pakai. Yg kadangkala kita anggap remeh serta tak masuk akal.

Lagi satu bab pakaian kecik, kalau org moden-moden sekarang mungkin dia rasa ... apalah mana ade logik, tapi cuba kita lihat org tua dulu-dulu kat mana agaknya dia sorok pakaian dlm dia ya? Tak kan tak pakai pula kan, tapi kalau mereka basuh pun mereka sidai dlm satu tempat khas jauh dari penglihatan org lain. Masa saya kecik-kecik dulu, nenek sidai pakaian dlm dia, dibelakang rumah, dlm satu ruang yg berpagarkan mata punai dan terbuka berangin) so, semua yg kecil-kecil (pakaian dlm) nenek sidai disini, jauh dari penglihatan org ramai yg lalu lalang. Sampai hari ini ibu juga sidai pakaian dlm berasingan dgn baju-baju lainnya.

Berbanding kita sekarang, sidai pakaian dlm, bergayutan diampaian dan kalau duduk apartment lagi seronok, sidai di ruang yg menghadap kejalan raya lagi... semua mata boleh memandang. Sorok2lah sikit...malu org tenguk...tak boleh bagi alasan tak ade ruang cuba adjust, ... kita buat diakan, bukan dia yg buat kita...

Pakaian dlm ini (maaf TM kena berterus terang sikit...tapi rasanya masih bahasa yg berlapik) bekas kita 'menyorokkan' aurat (bahagia sulit) kita suami isteri. Sekali lagi, sebaik-baiknya dijaga / diurus hanya oleh siisteri. Usah sekali-kali membiarkan maid / pembantu membasuh (walau guna mesih) dan menyidai lalu melipatkannya. Bukan payah sangat pun, saiznya pun kecik-kecik saja ye tak...kenapa musti bagi org lain menguruskannya'???

Dan ini yg paling penting, bisik nenek ketelinga, "bilik tidur kamu ibaratkan tubuh kamu sendiri, usah dibiarkan orang lain menyentuhnya sewenang-wenangnya, rahsia suami isteri ada didlmnya terutama di katil (ranjang). Jadi usahakan sedapat mungkin tangan sendiri yg mengemasnya!!!. Betul juga tu, bukankah saban malam kita bersama suami baring disitu, 'bersama' juga disitu, justeru 'roh' yg ada pada nya hanyalah antara suami dan isteri, peliharalah 'keserasian dan hubungan mesra antara keduanya agar kekal sampai bila-bila.

Pesanan - Selalu-selalulah suap anak dengan tangan sendiri. Makanan yang ibu masak & disusuli dengan suapan tangan sendiri ke mulut anak akan menambahkan ingatan anak kepada ibu sentiasa. Hubungan akan lebih erat & anak akan makan lebih banyak berbanding dengan suapan sudu. Cubalah saya telah sedikit melihat hasilnya. Alhamdullilah

Sumber : MalaysiaRia

Wednesday, March 9, 2011

Lee Kuan Yew Akui Silap Label Muslim

SINGAPURA - Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengakui beliau silap tentang integrasi kaum Melayu dan Islam yang begitu baik di Singapura, lapor agensi berita Bernama semalam.

Kuan Yew membuat penarikan balik itu menerusi satu kenyataan kepada akhbar The Straits Times semalam.

Sebelum ini Kuan Yew membuat kenyataan berhubung kesukaran penduduk Muslim di Singapura berintegrasi dengan penduduk bukan Islam dalam buku terbarunya, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

"Hard Truths adalah sebuah buku berdasarkan kepada siri temu ramah selama 32 jam dalam tempoh masa dua tahun," kata Kuan Yew.

"Saya telah membuat satu kenyataan mengenai integrasi umat Islam dengan komuniti lain pada dua atau tiga tahun lepas. Menteri-menteri dan Anggota Parlimen, kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu, sejak itu memberitahu saya bahawa Melayu Singapura sebenarnya mengambil usaha-usaha khusus untuk berintegrasi dengan masyarakat yang lain, terutama selepas kejadian 11 September 2001 (apabila pengganas menyerang Amerika Syarikat) dan bahawa apa yang saya nyatakan itu adalah ketinggalan zaman.

"Saya mengaku silap. Saya harap trend ini (integrasi) akan berterusan pada masa hadapan," kata Kuan Yew.

Buku itu, berasaskan kepada siri temu bual yang diberikan oleh Kuan Yew kepada sepasukan tujuh wartawan daripada akhbar The Straits Times, diterbitkan oleh syarikat Straits Times Press dan dilancarkan pada 21 Januari lalu.

Dalam kenyataan yang kontroversi itu, Kuan Yew berkata: "Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya kebangkitan Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah."

Sementara itu, agensi berita Dpa melaporkan Persatuan Muslim Profesional menyambut baik kenyataan Kuan Yew itu.

Menurut persatuan itu, kenyataan tersebut memang patut ditarik balik.

Beberapa pemimpin kerajaan di negara ini berusaha untuk dilihat tidak sependapat dengan kenyataan Kuan Yew itu.

Ekoran pilihan raya umum akan diadakan sebelum Jun depan, pentadbiran Singapura pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha untuk tidak meminggirkan penduduk Muslim yang mewakili 15 peratus daripada lima juta warga Singapura.- Agensi/kosmo