TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba orang ramai dilanda panik apabila minyak masak yang selama ini memenuhi rak-rak barang di pasar-pasar raya, pasar mini dan kedai runcit sudah tiada lagi.
Masakan tidak, barang keperluan utama itu kini kehabisan sedangkan ia bahan keperluan. Tanpanya tidak berasaplah dapur dan kurang enaklah masakan.
Meskipun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan harga minyak itu tidak akan naik tetapi ia bukan isunya.
Percaturannya mudah, sekiranya bekalan minyak itu mencukupi tentu harga akan kekal. Tetapi adakah jaminan pengekalan harga boleh menjamin bekalannya cukup? Isu utama yang perlu dijawab adalah kenapa minyak masak tiba-tiba kehabisan bekalan.
Timbul pula persoalan mengapa Malaysia sahaja yang mengalami terputus bekalan, ia tidak berlaku di Thailand, Indonesia dan Singapura. Lebih pelik lagi, Malaysia merupakan negara pengeluar kedua terbesar minyak itu selepas Indonesia.
Pasar raya tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka berkira-kira untuk memasarkan bekalan yang ada kerana sebagai peniaga mereka juga terikat kepada perancangan harian. Itu strategi dalam perniagaan pasar raya besar.
Pihak berkuasa mungkin perlu mengambil tindakan terhadap 'jerung-jerung besar' dan konco-konco mereka yang memegang lesen pemborong bahan berkenaan daripada kerajaan.
Bilangan lesen borong yang diberikan oleh kerajaan tidak banyak, maka tidaklah sukar untuk mengetahui mengapa bekalan minyak masak berkurangan.
Tidak menghairankan jika perkembangan ini merupakan satu cara untuk mendapatkan kekayaan dengan cepat dan mudah. Ini kerana minyak sawit mentah dijangka mencecah RM4,000 setiap tan dalam tempoh terdekat ini. Harga semasa MSM kini adalah dalam lingkungan RM3,800 setan.
Tambahan pula, cuaca dunia yang tidak menentu mengakibatkan eksport minyak sawit melonjak secara mendadak, juga menjadi merupakan faktor utama kepada masalah ini. Apa yang berlaku ini, bolehlah diumpamakan seperti persediaan membeli dan menyimpan makanan menjelang bencana alam. Sudah tentulah banyak.
Bersandarkan hakikat ini, nampaknya awal-awal lagi pihak-pihak tertentu dalam sektor komoditi itu sudah membuat pengiraan keuntungan yang bakal diraih dengan menyekat bekalan minyak masak.
Bayangkanlah, berapakah keuntungan yang diperoleh jika dengan tindakan ini menyebabkan harga minyak masak dapat dinaikkan?
Minyak masak adalah barangan terkawal dengan harga sekilo RM2.50.
Justeru sudah sampai masanya kerajaan menyelesaikan masalah ini menggunakan mekanisme penimbal stok bagi menangani masalah menyekat bekalan makanan pada masa depan.
Ini menjadi penting kerana isu menyekat bekalan makanan ini adalah isu lapuk tetapi sehingga kini masih berlaku dan terus berlaku pada tahun-tahun akan datang jika tiada kesungguhan menanganinya.
sumber : utusan malaysia
No comments:
Post a Comment