Tuesday, January 4, 2011

Penderhakaan di Selangor

BIADAP 1
Isu pelantikan Mohd. Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) makin panas. Walaupun pelantikan itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim tidak berpuas hati dan terus "mengaruk".

Pentadbiran Khalid dari PKR yang dipengaruhi kuat oleh DAP membantah pelantikan tersebut. Semalam, Khalid turut menyalahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd. Sidek Hassan.

Perasaan Awang juga mendidih apabila beberapa blog menyiarkan kenyataan ringkas ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafei. Beliau dipetik sebagai berkata: ''Dalam sejarah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang Raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlangsung akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan! Didoakan agar ia tidak berlaku di Selangor."

Jika benar kata-kata itu daripada Suhaimi, beliau sesungguhnya amat biadap dan mesti ditentang habis-habisan. Janganlah gertak institusi raja apatah lagi seorang Sultan.

Pada Awang, dia sudah melampau kerana mengheret Sultan Selangor ke kancah politik dan kenyataannya itu menghina. Awang juga tidak faham mengapa beliau mahu mengaitkan rakyat dan menghasut mereka supaya bangkit menentang Raja dalam isu tersebut. Ini bukan isu rakyat tetapi isu kerajaan Selangor yang sebenarnya membelakangkan undang-undang tubuh negeri. Siapa yang sebenarnya tidak adil kalau bukan Khalid dan konco-konconya. Pihak yang sepatutnya ditentang kerana ketidakadilan dan tidak menghormati institusi diraja adalah kerajaan negeri itu sendiri. Ternyata tindakan Khalid dan Shuhaimi bercanggah dengan semangat Perlembagaan yang patut dijunjung. Mereka lebih terbawa-bawa aspirasi DAP yang kita tahu apa motifnya. Selama ini pun nama sahaja Khalid menjadi Menteri Besar berkuasa tetapi DAP yang banyak membuat percaturan. Realitinya para pemimpin DAP terutama bos mereka, Anwar Ibrahim berada dalam cengkaman DAP atas banyak sebab. Kalau mereka berkuasa memerintah negara, Malaysia akan dihalatujukan menjadi negara republik. Kepada Khalid dan khususnya Shuhaimi, hentilah menjadi barua DAP. Awang mahu mereka segera memohon ampun ke atas baginda. Jika tidak, sah mereka bukan sahaja barua malah penderhaka yang mesti diajar...

BIADAP 2
Awang menjunjung kasih ke atas Sultan Selangor atas ketegasan baginda dalam isu pelantikan SUK baru. Meskipun pelantikan tersebut dipersoalkan oleh kerajaan negeri, baginda tidak berganjak.

Perkenan Sultan Selangor terhadap Khusrin tidak akan ditarik balik. Khusrin akan tetap mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan di Istana Kayangan pada 6 Januari ini. Perkembangan tersebut sepatutnya menjadi mesej yang jelas kepada Khalid dan pihak yang membantah pelantikan Khusrin.

Cuma sebagai rakyat Malaysia, Awang sedih kerana pentadbiran Selangor tidak menjunjung institusi raja. Sebelum ini pun, kerajaan negeri enggan mematuhi arahan Sultan Selangor supaya tidak menjadikan masjid dan surau sebagai pentas politik. Dalam isu Khusrin, Awang tidak faham mengapa kerajaan negeri perlu campur tangan. Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, kuasa eksekutif pelantikan terletak dalam bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Ia bukan kuasa Menteri Besar. Selama ini, kerajaan BN memerintah Selangor, tiada pun masalah pelantikan SUK.

Ternyata bantahan kerajaan negeri adalah bermotif politik. Mereka mahukan calon yang pro pakatan pembangkang sedangkan jawatan itu adalah apolitical yang tidak memihak kepada parti politik. Dalam pada itu, khabarnya, Khalid dan DAP tidak senang dengan ketegasan Khusrin ketika menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Penduduk Selangor terutama umat Islam tahu betapa beliau tidak berkompromi kepada gejala mempolitikkan masjid dan surau. Apatah lagi dengan kecenderungan wakil rakyat bukan Islam daripada DAP dan PKR mencemari kesucian masjid di negeri itu. Jika Khusrin terus ditolak, yang nampak buruk dan jahat ialah kerajaan negeri. Kepada Khusrin, selamat bertugas dan usahlah goyah. Setapak kita berundur, budaya kaduk naik junjung ini akan menjadi-jadi.

BIADAP 3
Sudahlah buat perkara yang menyinggung perasaan umat Islam tetapi enggan minta maaf. Malah bersikap angkuh. Itulah yang boleh Awang rumuskan terhadap perbuatan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang menyertai acara senam robik dan tidak menutup aurat di perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong pada 12 Disember lalu.

Acara senam robik itu menyaksikan peserta lelaki termasuk jemaaah masjid dan wanita bercampur-campur. Perkara tersebut mula didedahkan oleh pengendali blog, RBF dan kemudian disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Walaupun menerima banyak bantahan daripada pelbagai kalangan umat Islam tetapi reaksi Nie Ching memualkan. Menurut Ahli Parlimen itu, beliau akan tetap menghadiri majlis di perkarangan surau dan masjid (tanpa komitmen dan janji untuk menjaga adab.) Alasannya, langkah itu selaras dengan konsep

Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Reaksi Nie Ching mengaitkannya dengan Malaysian Malaysia sudah boleh dibaca motifnya. Menolak negara Islam tetapi ghairah mempergunakan masjid untuk agenda politik. Pada Awang, Malaysian Malaysia adalah konsep untuk menuju negara republik sambil berselindung atas nama demokrasi dan kesamarataan.

Apakah Malaysian Malaysia menjelaskan lagi betapa DAP tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam? Nie Ching adalah satu lagi contoh pemimpin DAP yang mengambil mudah Islam. Jika perbuatan seumpama itu dilakukan di Indonesia, pasti reaksi umat Islam di sana cukup dahsyat. Ini bukan kali pertama Nie Ching berkelakuan seperti itu. Pada 22 Ogos lalu beliau mencetuskan kontroversi apabila masuk ke ruang solat Surau Al Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat untuk berceramah. Banyak pihak termasuk Sultan Selangor telah memberikan teguran tetapi nampaknya seperti tidak diendahkan.

Kalau didiamkan dan dibiarkan, jangan terkejut selepas ini, entah apa lagi yang dilakukan oleh DAP.

Kepada Nie Ching, jangan melampau. Hentikanlah daripada melakukan provokasi terhadap umat Islam. Hormatilah sensitiviti agama lain, barulah orang lain akan menghormati diri kita dan agama kita. Imej DAP sudah terlalu buruk di kalangan majoriti umat Islam, janganlah menjatuhkan lagi maruah parti itu. Persoalannya apakah Nie Ching akan mengulangi kali ketiga perbuatannya dan beranikah lagi beliau untuk menguji kesabaran kita? Kita tunggu. Tetapi kalau beliau mahu tunggang langgang tanpa pakaian sekali pun di perkarangan rumahnya, itu tiada hal. Mungkin lebih sesuai dengan konsep Malaysian Malaysia. Lantaklah...

Oleh : Awang Selamat
          Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment