nuffnang

Friday, November 12, 2010

Wahai Cina, India Dan Melayu, Ke Mana Haluan Kita?


"KENAPA sekarang dan tidak dahulu?" Pertanyaan itu sebenarnya soalan seorang warga emas berbangsa Cina, beragama Islam yang juga adalah emak saya. Sungguhpun beliau sudah memeluk Islam lebih 30 tahun lalu, namun beliau tetap seorang Cina.

Sebagai seorang Cina, emak selalu berbahas kerana saya membela Melayu, emak tetap membela Cina. Semalam, saya dipancing dengan dua soalan daripada emak. Soalan pertama: Apakah salah budak sekolah hingga dirotan kerana membawa bekal daging babi ke sekolah? Soalan kedua: Mengapa kini ramai pengetua Melayu bertindak racist, kenapa tidak dari dahulu?

Jawapan saya pada soalan pertama -- budak tersebut adalah mangsa dan beliau langsung tidak bersalah. Malah, mimpi ngeri yang beliau alami akan mengubahnya dari dalam diri, menjadi seorang yang bencikan Malaysia. Jika nasibnya baik, sudah pasti dia akan berhijrah dari Malaysia, negara yang dibencinya.

Soalan kedua sebenarnya adalah soalan bonus, kerana jawapannya akan menjelaskan semua perilaku orang Melayu biasa yang digelar sebagai rasis.

Jawapan "kenapa sekarang dan tidak dahulu," adalah kerana sekarang Cina dan India begitu lantang mempersoalkan hak Melayu dan Raja-raja. Lebih berani lagi, Cina dan India juga begitu terbuka mencabar kesucian agama Islam termasuk isu Kalimah Allah, Namewee mempersendakan laungan azan, berucap dalam masjid, membaca petikan al-Quran, kes kepala babi di Masjid, menyimbah cat ke surau kerana ditegur, menghina Allah dan Nabi Muhammad dalam Facebook dan Internet, mempersendakan solat, menderma wang judi, menggunakan wang zakat, menyaman kerajaan kerana tidak membenarkan kad pengenalan Lina Joy dibuang perkataan agama Islam, menuduh Islam sebagai pengganas dengan melakukan ethnic cleansing dan banyak lagi.

Kesemua perlakuan Cina dan India ini langsung tidak dikenakan tindakan. Pada saat ini, undi Cina dan India adalah 'Tuhan' kepada parti politik terutama Pas yang kelihatan begitu menyembah dua kaum itu supaya beri undi kepada mereka.

Kerajaan pula terpaksa mengikut rentak Pas dengan berlembut terhadap Cina dan India dan semua pihak yang mencabar Islam dibiarkan bebas. Perkembangan ini masih dapat mendiamkan Melayu, tetapi apakah Cina dan India benar-benar fikir Melayu diam bererti Melayu takut?

Oleh kerana kerajaan dan pemimpin politik Islam dari pakatan pembangkang tidak mampu mempertahankan kesucian Islam, maka sebagai rakyat biasa, sebagai hamba kepada Allah, pengetua di Johor, di Kedah, dua beradik membakar gereja dan ramai lagi telah bertindak sendiri.

Sifat amarah mereka meningkat setiap kali Cina dan India menghina Allah, Rasul dan agama Islam.

Kenapa tidak dahulu pengetua yang sudah menginjak usia 50 tahun ini bertindak sedemikian? Kerana dahulu, Pas adalah jaguh mempertahankan Islam dan kerajaan pula begitu tegas terhadap mana-mana individu yang dilihat bukan sahaja mengancam, tetapi memprovokasi agama lain.

Soalan akhir kepada emak saya, jika Namewee, Cina dan India, Dr. Chua Soi Lek, Lina Joy murtad, gereja yang memohon guna kalimah Allah, wakil rakyat Cina masuk ke masjid dan membaca petikan al-Quran tidak memulakan dahulu tindakan provokasi mereka, apakah Melayu yang lemah lembut ini akan memulakannya?

Lebih malang lagi Melayu yang disiat-siat kesabarannya, setiap kali orang Melayu atau akhbar Melayu mengeluarkan kenyataan, mereka akan dikenakan tindakan tetapi bila Cina, India dan akhbar mereka, jawapan yang kita dapat adalah sedang disiasat.

Tepuk dada, tanyalah selera wahai Cina, India dan Melayu, ke mana haluan kita? Tetapi percayalah, pilihan dalam tangan kanan kita adalah yang terbaik, yakni marilah kita sama-sama belajar menghormati undang-undang yang sudah termaktub dan tertulis hak Melayu dan marilah kita menghormati kesucian semua agama di Malaysia. Jika tidak, buruk padahnya.

...MUSTAQIM ABDUL RAHMAN
Batu Caves, Selangor.

No comments:

Post a Comment