Friday, November 5, 2010
Surat Terbuka Khas Kepada UMNO Dan Pas
Almukarram UMNO dan Pas
Dua wadah perjuangan Melayu
Sudilah berhenti anda bertengkar
Ambil yang jernih buang yang keruh
Jika rumah sedang terbakar
Jangan ditanya punca apinya
Panggillah bomba padamkan segera
Bukanlah masa untuk bertengkar
Jika kita menghadapi bahaya
Bahaya Melayu kehilangan kuasa
SURAT terbuka ini ditujukan bukan khas kepada Dato Seri Najib Tun Razak dan juga bukan khas kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebaliknya, sasaran utama surat ini ialah UMNO dan Pas, sebagai dua wadah perjuangan bangsa Melayu yang sepatutnya wujud untuk saling lengkap melengkapi dan tidak saling musuh memusuhi.
Namun begitu, walau pun surat ini bukan ditujukan khas kepada mereka berdua, diharap sangat agar kedua-dua pemimpin tertinggi dua parti politik tersebut akan mendapat input atau laporan daripada para pembantu masing-masing mengenai kandungan surat ini.
Ilham untuk menulis surat terbuka ini berpunca daripada beberapa komen atau reaksi terhadap tulisan saya bertajuk "Hala tuju dan tindak laku politik Melayu" yang tersiar di ruangan ini dua minggu lalu.
Dalam tulisan tersebut saya merumuskan keadaan politik Melayu sekarang dengan menggunakan tiga ungkapan: "tragis dan ironis", "suram dan sugul", "defensive and explosive".
Jika keadaan politik yang sedemikian dilihat serentak dengan keadaan ekonomi, maka kesugulan itu menjadi bertambah suram dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat dan purata pendapatan isi rumah masih jauh lebih rendah berbanding dengan kaum-kaum lain. Begitu juga kesempatan berniaga yang semakin sempit.
Ertinya ketika kekuasaan politik bangsa Melayu semakin terancam dan merudum kerana ancaman dari luar akibat perpecahan dalaman (sesama sendiri), keadaan ekonominya pula tidak banyak berubah malah ada yang semakin bertambah susah.
Maka tidak salah untuk mengatakan bahawa bangsa Melayu sekarang hampir mendekati keadaan seperti diibaratkan oleh ungkapan silam: yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran.
Saya teringat lebih empat puluh tahun yang lalu, Allyarham Aminuddin Baki (seorang tokoh pendidikan yang sekarang namanya diabadikan di beberapa institusi) berkeluh kesah dan memberi amaran tentang kemungkinan "itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kebuluran."
Seterusnya bila gambaran politik yang kacau-bilau dan gambaran ekonomi yang sugul suram itu ditambah lagi dengan gambaran sosial yang menyeramkan (menggerunkan?) maka imej-imej yang terhampar di hadapan mata kita ialah remaja-remaja lelaki menjadi "mat rempit" berlagak berani, remaja-remaja perempuan hamil tanpa suami dan tanpa hati nurani membuang bayi, kisah-kisah ragut di sana sini dan penagih-penagih dadah di pusat serenti.
Demikianlah gambaran kasar keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa Melayu yang ingin saya nukilkan dalam surat ini untuk diberi perhatian oleh UMNO dan Pas sebagai dua wadah perjuangan yang mengaku hendak meninggikan maruah dan martabat bangsa Melayu dari segala segi.
Memang benar, di sebalik gambaran suram seperti yang dilakarkan di atas terdapat juga sisi-sisi ceria dan aspek-aspek positif bangsa Melayu. Saya tidak bermaksud untuk memejamkan mata terhadap pelbagai kemajuan yang telah dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati bangsa Melayu semenjak negara ini mencapai kemerdekaan. Tetapi semuanya sekarang itu berada dalam "zon bahaya".
Mesej utama yang hendak saya sampaikan ialah pada masa ini bangsa Melayu berada dalam keadaan yang sangat kritikal dari pelbagai segi (politik, ekonomi dan sosial).
Jika keadaan kritikal ini tidak di atasi, tidak mustahil sekiranya kemajuan yang telah dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang akan pupus dan sirna begitu sahaja. Dan tidak mustahil seperti dibayangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bangsa Melayu akan kehilangan kuasa politik yang dimilikinya selama ini. Dan kalau itu berlaku, amatlah sukar, malah mungkin mustahil untuk menebus atau memperoleh kembali kuasa politik itu .
Kerana itulah "isyarat bahaya" perlu dibunyikan dan perlu disahut oleh UMNO dan Pas. Setakat ini UMNO dan Pas masih gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama. Kegagalan ini berarti kegagalan usaha untuk menggembleng tenaga politik Melayu yang utuh, berkesan dan berwibawa.
Satu hakikat yang wajib diterima bahawa hanya bangsa (kepimpinan) Melayu yang benar-benar jujur dan ikhlas yang sedia (boleh diharapkan) untuk membela nasib dan memperjuangkan kepentingan Melayu. Dan hanya kepimpinan Melayu yang utuh, berkesan dan berwibawa yang akan berjaya melakukan itu semua dengan berkesan.
Gabungan tenaga politik Melayu yang diwakili Pas dengan tenaga politik Melayu yang diwakili UMNO akan disegani oleh semua pihak (termasuk oleh petualang-petualang politik setiap kaum) seperti terbukti dalam zaman pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam separuh pertama dekad 1970-an dahulu.
Semoga UMNO sekarang sedia melakukan "introspeksi" (melihat ke dalam diri) secara jujur menginsafi kesilapan sendiri. Dan semoga Pas bersedia pula melakukan "muhasabah" secara jujur, dan kembali ke pangkalan jalan. Semoga UMNO dan Pas sedia mengambil yang jernih dan membuang yang keruh. Amin.
SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah pakar rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment