Monday, November 1, 2010

Lalang oh Lalang


Apabila kita menyentuh sifat jati diri, lazimnya sifat tersebut dibandingkan dengan lalang, iaitu sejenis tumbuhan yang hidup di merata tempat. “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Kita perlu memiliki jati diri yang tidak mudah melentuk umpama lalang!”, demikian pesanan yang selalu diberi.

Agar kita lebih memahami bagaimana sifat jati diri boleh diumpamakan atau dicontohi dengan merujuk kepada lalang, marilah kita mengkaji lima sifat lalang yang begitu terserlah, sekali pun mungkin di antara pembaca ada yang tidak menyedarinya.

**Lalang Tetap Kukuh Pada Dasarnya.
Benar bahawa lalang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Namun perhatikan betapa kuat sekali pun angin yang bertiup, lalang tidak terlepas daripada dasarnya. Pokok mungkin tumbang, atap rumah mungkin terangkat, tetapi lalang tetap pada dasarnya. Ia tidak berganjak walau sedikit jua.

Ini adalah salah satu sifat lalang yang patut dimiliki oleh umat Islam yang berjati diri. Kita patut, bahkan wajib, memiliki dasar yang kuat dalam pegangan agama kita. Dasar ini tidak berganjak sekali pun ditiup oleh pelbagai arus yang ingin memusnahkannya. Ia tetap berdiri pada dasarnya dalam diri kita sekali pun arus yang menentangnya mampu menumbangkan pokok dan menerbangkan atap.

Terdapat beberapa dasar yang membentuk asas agama kita. Namun dalam kesempatan ini, memadai saya menyentuh dasar yang pertama, iaitu bahagian pertama daripada dua kalimah syahadah. Dasar ini menetapkan bahawa “Tidak ada tuhan selain Allah”. Berdasarkan “Tidak ada tuhan selain Allah”, maka kita umat Islam menetapkan bahawa tiada yang mampu melakukan peranan ketuhanan kecuali Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Iaitu tiada sesiapa atau apa-apa yang mampu mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya kecuali Allah Azza wa Jalla.

Berdasarkan dasar ini, kita memiliki jati kerohanian yang amat kukuh. Kita tidak kasih, berharap, takut, merujuk, taat dan bertujuan secara mutlak melainkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini berbeza dengan orang yang jati kerohaniannya amat lemah dimana dia sentiasa kasih, berharap, takut, merujuk, taat dan bertujuan kepada selain Allah. Akhirnya dia sentiasa lemah lagi hina kerana telah meletakkan makhluk sebagai tuhan bagi dirinya.

**Lalang Mudah Melentuk Namun Tetap Berpaksi Pada Dasarnya.
Sifat lalang yang mudah melentuk tidak patut dipandang sebagai satu kelemahan. Ini kerana melentuk ke arah mana sekali pun, ia tetap berpaksi pada dasarnya. Berbeza dengan daun kering yang ditiup angin, ia terbang mengikuti angin dengan meninggalkan tempat asalnya. Ini barulah boleh dianggap sebagai satu kelemahan.

Sifat lalang yang kedua ini boleh kita rumuskan sebagai kukuh pada perkara dasar yang sememangnya tidak boleh berubah manakala fleksibel pada perkara cabang yang boleh disesuaikan dengan zaman dan tempat. Sifat ini adalah sesuatu yang patut dimiliki oleh umat Islam. Jati diri tidak bererti “besi diri”, iaitu kaku lagi lurus dalam semua perkara, tetapi berprinsip pada perkara yang dasar dan fleksibel pada perkara yang dibolehkan untuk bersikap fleksibel selagi mana ia tidak mengorbankan perkara yang dasar.

Satu contoh ialah etika berpakaian. Kita umat Islam memiliki beberapa dasar dalam etika berpakaian, iaitu:

1. Dipertengahan antara mewah dan buruk.
2. Tidak menyerupai fesyen yang memiliki nilai agama lain.
3. Tidak menyerupai fesyen jantina yang berbeza (the opposite sex).
4. Tebal, tidak nipis sehingga menampakkan tubuh.
5. Longgar, tidak ketat sehingga menampakkan struktur tubuh.
6. Tidak memakai wangian yang bertujuan menarik perhatian jantina yang berbeza.
7. Menutup aurat.

Semua dasar di atas adalah sama bagi lelaki dan wanita kecuali dasar keenam dimana batas aurat bagi lelaki dan wanita adalah berbeza. Maka apa jua fesyen yang dipakai, ia adalah fleksibel asalkan berpaksi kepada tujuh dasar di atas. Bagi muslimah umpamanya, fesyen baju kurung Melayu, jubah Arab, jubah Pakistan (jubah berseluar) dibolehkan. Akan tetapi fesyen jean londeh tidak boleh kerana ia menampakkan perut serta pusat dan fesyen kebaya ketat tidak boleh kerana ia menampakkan bentuk badan.

**Lalang Amat Sukar Dimusnahkan.
Sesiapa yang pernah ber-“interaksi” dengan lalang pasti akan mengetahui bahawa ia amat sukar untuk dimusnahkan. Jika dipotong ia tumbuh kembali, jika dicabut ia mentunas kembali. Pilihan yang ada ialah mencabut hingga ke akarnya atau menyembur racun lalang. Ini juga tidak menjamin keberhasilan yang 100%. Tidak jarang ia tetap tumbuh semula.

Sifat lalang ini wajib ada pada diri kita umat Islam. Kita tidak boleh putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri daripada pelbagai arus yang bukan sahaja mencabar kita, tetapi seakan-akan ingin menenggelamkan kewujudan kita dan agama yang kita cintai. Maka sebagaimana lalang memiliki jati diri untuk terus hidup, kita umat Islam juga wajib memiliki jati diri yang jauh lebih kental untuk terus hidup menghadapi pelbagai arus yang menentang kita. Istilah putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri tidak boleh wujud dalam kamus umat Islam.

**Lalang Mudah Lagi Cepat Berkembang.
Lalang bukan sahaja sukar dimusnahkan, ia juga mudah lagi cepat berkembang. Pernah jumpa lalang yang tumbuh bersendirian? Tentu tidak. Ia mudah berkembang dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan tanah.

Sekali lagi, sifat ini perlu diteladani oleh umat Islam. Tidak cukup sekadar kita yang Islam, tetapi kita juga perlu berdakwah untuk mengembangkan Islam dan meletakkannya pada kedudukan yang tinggi lagi kukuh di dunia. Ini adalah amat penting supaya Islam dan umatnya sentiasa memiliki tempat di dunia ini, bahkan kembali menerajui tempat yang pertama berbanding umat yang lain.

Kita perlu sedar dan akur bahawa kedudukan hina yang dialami oleh umat Islam sekarang ini adalah disebabkan oleh kelemahan kita sendiri dan bukannya kekuatan umat lain. Badan yang lemah akan menjemput segala macam penyakit untuk menghinggapinya manakala badan yang kuat (sihat) akan mampu menahan apa jua penyakit. Penyakit sentiasa wujud, bezanya sama ada badan kita adalah lemah atau kuat.

Maka sebagaimana lalang bekerja keras untuk berkembang dalam pelbagai keadaan tanah, maka kita juga wajib bekerja keras untuk mendakwahkan Islam kepada pelbagai lapisan masyarakat dan suasana. Kita perlu berubah dari sifat pasif kepada aktif, lembab kepada cergas, jahil kepada berilmu, leka kepada berfikir, tidur kepada berjalan, berdiam kepada berbicara dan jumud kepada dinamik.

Dakwah itu sendiri terbahagi kepada dua, yang pertama adalah menjemput orang bukan Islam kepada Islam. Kedua adalah mengajak umat Islam untuk meningkatkan penghayatan Islam mereka (Islah) berdasarkan ilmu dan amalan. Sama ada yang pertama atau kedua, yang penting adalah cara dan hikmah dalam berdakwah. Tidak sedikit yang mengalami kegagalan dalam dakwah, bukan kerana kedegilan orang yang didakwahkan tetapi kesalahan dalam strategi berdakwah.

**Lalang Mampu Memberi Pengaruh Kepada Manusia.
Cuba berjalan di kalangan lalang, pasti kulit kaki terasa miang. Aduh! Tumbuhan yang dianggap remeh oleh kebanyakan manusia mampu memberi pengaruh kepadanya? Ya! Begitulah hakikatnya. Tidak sekadar itu, lalang juga mampu memberi pengaruh dalam bentuk ia dapat dijadikan bahan membuat atap bagi pondok-pondok di kawasan pendalaman.

Pengajaran penting yang dapat diambil iktibar adalah, sekali pun dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya, kita masih mampu untuk menukar pandangan tersebut. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jika setiap daripada kita berusaha untuk memberi pengaruh yang positif kepada dunia dan manusia, pasti dunia akan mengubah pandangannya terhadap Islam dan kita. Akuilah bahawa dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya disebabkan oleh sikap kita sendiri yang selama ini amat minimum dalam memberi apa-apa pengaruh positif kepada dunia.

Pengaruh positif boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, daripada sekecil-kecil senyuman yang terukir di bibir sehinggalah kepada misi keselamatan dan kebajikan dalam rangka menolong mangsa tragedi. Daripada mengangkat paku di jalan sehinggalah kepada menyelamatkan haiwan liar yang tersesat di bandar. Daripada mengajar matematik kepada anak-anak miskin sehinggalah kepada mencipta penemuan ilmiah bagi menyelesaikan penyakit atau masalah yang dihadapi oleh manusia terkini. Senarai ini boleh berlanjutan tanpa batas.

**Lalang Oh Lalang!
Di mana sahaja kita berada, ke mana sahaja kita pergi, sudah agak pasti kita akan menemui lalang. Jangan berpaling begitu sahaja, sebaliknya renungilah ia dan jadikanlah ia sebagai sumber iktibar mengukuhkan jati diri kita sebagai umat Islam. Sebagai manusia kita sering lupa atau terlanjur, maka lalang sentiasa ada untuk mengingatkan semula kejatian diri kita. Ingat! Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak mencipta sesuatu untuk sia-sia melainkan ia memiliki hikmah dan manfaat untuk kita.

...malaysiaria

No comments:

Post a Comment