JOHOR BAHRU 25 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan perlu mengkaji secara mendalam saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perlunya jambatan baru dibina menggantikan Tambak Johor.
Perdana Menteri berkata, pembinaan jambatan baru itu perlu dikaji secara terperinci kerana ia memberi banyak implikasi dalam beberapa aspek termasuk perundangan dan kos.
"Kita kena kaji dulu (pembinaan jambatan baru) sebab banyak implikasi dari segi perundangan, kos dan obligasi kerajaan Pusat dan kerajaan Singapura," katanya ditemui selepas merasmikan kilang Asiaflex Product milik Technip Malaysia Sdn. Bhd. di Tanjung Langsat, Pasir Gudang dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Technip Malaysia, Bernard di Tullio; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksektutif Technip Malaysia, Therry Pilenko.
Perdana Menteri diminta mengulas saranan Sultan Ibrahim baru-baru ini yang berharap kerajaan Pusat tetap mempertimbangkan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang merentasi Selat Tebrau menghubungkan Johor dengan Singapura.
Sultan Ibrahim dalam titah baginda sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-52 Isnin lalu mengulangi hasrat baginda supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan jambatan baru itu untuk menggantikan Tambak Johor.
Baginda berpendapat, jambatan baru itu bukan sahaja akan memudahkan lebih 250,000 rakyat negara ini yang kini bekerja di Singapura untuk berulang-alik setiap hari, malah memudahkan rakyat negara jiran itu melancong ke Malaysia.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim telah beberapa kali melahirkan hasrat tersebut kerana menurut baginda, jambatan baru itu amat penting kepada rakyat kedua-dua negara.
Jambatan ganti Tambak Johor
JOHOR BAHRU 25 Nov. - Pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor wajar dibina secara usaha sama antara Malaysia dan Singapura bagi mencerminkan keakraban antara kedua-dua negara.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, usaha sama antara kedua-dua negara pernah dilakukan apabila Malaysia dan Singapura berjaya membina Linkedua yang menghubungkan Gelang Patah di Johor dan Tuas di Singapura.
"Pembinaan Linkedua itu modalnya dibiayai oleh kedua-dua kerajaan dan kini jambatan itu memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini dan negara itu.
"Oleh itu saya yakin, bukan mustahil untuk mewujudkan kerjasama dengan Singapura bagi membina jambatan yang sempurna bagi menggantikan Tambak Johor kerana kita telah membuktikan kerjasama yang cukup baik semasa pembinaan Linkedua," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.
Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 Isnin lalu, Sultan Ibrahim bertitah, pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang alik ke Singapura malah menjadi kemudahan bagi rakyat negara itu melancong ke negara ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Laut, Mok Chek Hou berkata, hasrat Sultan Ibrahim yang mengulangi supaya jambatan baru dibina bagi menggantikan Tambak Johor memang ada kewajaran dan menjadi keperluan antara rakyat kedua-dua negara.
Beliau berkata, sebagai ADUN Stulang yang dapat melihat setiap hari kesulitan yang dihadapi oleh kira-kira 250,000 rakyat negara ini yang berulang alik ke Singapura sedikit sebanyak dapat merasakan kesukaran dan keperitan mereka.
Malah sebagai wakil rakyat beliau sering 'dihujani' dengan aduan rakyat mengenai kesesakan Tambak Johor yang kini tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.
"Oleh itu, saya yakin dengan kewujudan jambatan itu kerana ia akan melancarkan komunikasi dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara," katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa MCA Johor berkata, jambatan baru itu juga membolehkan kapal kecil dan sederhana merentasi Selat Tebrau.
Kewujudan jambatan itu boleh menjadi daya tarikan pelancong apabila dianjurkan pelbagai acara sukan laut di kawasan selat berkenaan, katanya.
Sementara itu, ADUN Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman turut mengalu-alukan titah Sultan Ibrahim itu dan berharap rundingan menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru diadakan dengan kadar segera.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau yakin pembinaan jambatan baru itu akan mengubah landskap bandar raya ini khasnya di Tanjung Puteri menjadi lebih 'hidup' serta membolehkan aliran air di Selat Tebrau menjadi bersih dan indah.
"Keindahan itu boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti sukan laut yang boleh menarik pelancong dan mengukuhkan kedudukan ekonomi kedua-dua negara.
"Dalam suasana yang agak 'harmoni' saya menaruh keyakinan pemimpin kedua-kedua negara sedang memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikan hasrat Sultan Ibrahim kerana pada penghujungnya jambatan itu akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.
‘Jambatan Bengkok’ Tiada Implikasi Undang-Undang - Tun M
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembinaan jambatan baru ke Singapura tidak akan melibatkan implikasi undang-undang jika ia menggunakan kaedah ‘jambatan bengkok’ yang pernah dicadangkan sebelum ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia kerana model ‘jambatan bengkok’ itu langsung tidak mendapat bantahan daripada republik itu.
Beliau turut percaya keyakinan rakyat Johor yang marah sehingga menyerahkan enam kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada pembangkang pada pilihan raya 2008 akan dapat dikembalikan dengan pembinaan jambatan baru.
...utusan malaysia
Salam singgah bertandang juga. semoga anda sihat ceria sentiasa :)
ReplyDeleteJom Jalan-jalan ke Pahang "Tak kenal maka tak cinta."