Kita merasa amat terkejut, kecewa dan amat marah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyatakan kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee kerana tidak melakukan sebarang kesalahan kepada kerajaan!
Sudah berbulan-bulan dan desakan demi desakan dibuat oleh pelbagai pihak untuk tindakan ke atas pemuda ini yang celupar dan beraksi 'kurang ajar' menjatuhkan maruah seorang pengetua sekolah dan juga memperlekehkan Kementerian Pelajaran!
Setelah menunggu sejak sekian lama, ini sahaja jawapan 'terbaik' yang boleh diberi oleh seorang menteri kanan. Amat mengecewakan.
Kita ingin bertanya menteri berkenaan, apakah memperlekehkan Kementerian Pelajaran dan sebelum ini mempermainkan lagu Negaraku, mempersendakan azan Subuh dan sebagainya itu tidak melibatkan kerajaan dan sensitiviti perkauman?
Dengan keputusan kerajaan ini telah menjadikan Namewee dan yang serupa dengannya bertambah besar kepala! Bagi pemuda lulusan Taiwan ini adalah satu kemenangan dan siapa yang berani menyekat kreavitinya?
Adakah generasi muda yang 'kurang ajar' dan tidak menghormati perasaan kaum lain sebegini yang kita mahu tonjolkan dan pupuk dalam wawasan 1 Malaysia? Apakah keistimewaan pemuda dari Muar ini? Kita berpandangan sebarang keputusan yang dibuat seharusnya berlandaskan fakta kes.
Kita juga kadang-kadang tertanya-tanya jika sekiranya kesalahan ini dilakukan oleh pemuda Melayu, adakah tindakan yang sama akan diambil? Atau pendakwaan akan terus dibuat tanpa memberi peluang memohon ampun dan maaf?
Kita tidak mahu pendakwaan dibuat secara terpilih seperti beberapa isu sebelum ini seperti isu 'kepala lembu' dan berpuluh-puluh laporan polis yang telah dibuat berkenaan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan.
Apakah isu yang melibatkan orang Melayu dianggap tidak penting, remeh dan boleh ditangguhkan? Tindakan segera pula perlu diambil jika melibatkan kaum Cina dan India? Kita juga amat menyokong tindakan PERKASA yang membawa isu -isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
Dengan keputusan kerajaan ini, kita juga tidak mahu akan ada berpuluh-puluh lagi Namewee selepas ini dengan aksi dan kata-kata lucah sesuka mereka sahaja kerana tiada tindakan. Orang Melayu pula akan merasa kecewa dan seolah-olah dipinggirkan.
...Sharial Omar Al-Munsyi
Rawang, Selangor.
Nazri Pertahan Kenyataan Namewee Tak Bersalah
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Wee Meng Chee atau Namewee tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan melanggar undang-undang yang membolehkan dia diambil tindakan kerana mendakwa kenyataan itu dibuat setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.
Menurutnya, reaksi kurang senang ditunjukkan sesetengah pihak terhadap kenyataan beliau itu berkemungkinan disebabkan mereka tidak memahami undang-undang atau dipengaruhi emosi sehingga meminta kerajaan tetap mengambil tindakan terhadap Namewee kerana mendakwa video itu mempunyai unsur hasutan.
"Dalam perkara sebegini, kita tidak boleh beremosi dan perlu melihat setiap kesalahan itu secara spesifik tanpa mengaitkannya dengan kesalahan yang lain.
"Untuk kita kata dia mesti ada kesalahan lain sehingga boleh didakwa, itu sudah semacam kita ada masalah peribadi dengan dia. Sebagai pengamal undang-undang kita perlu profesional dan tidak mengambil sesuatu secara peribadi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Parlimen di sini hari ini.
Kelmarin, beliau dalam satu kenyataan memberitahu, Namewee melalui klip video terbarunya mencerca dan menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor dan ia merupakan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
Disebabkan itu, mengikut akta tersebut katanya, hanya mangsa iaitu pengetua sekolah dalam kes ini yang boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas Namewee.
Sebagai mengulas kenyataan menteri itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) melalui Setiausaha Agungnya, Dr. Hassan Mad menzahirkan rasa terkejut kerana menganggap video itu mempunyai unsur-unsur hasutan yang membolehkan Namewee didakwa.
Mohamed Nazri menambah, meskipun terdapat kritikan ditujukan kepada Kementerian Pelajaran, namun ia tidak menjadi masalah kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara.
"Kalau dia kritik saya sebagai seorang menteri, tak kan saya hendak ambil tindakan? Tiada tindakan boleh diambil kecuali jika dia melanggar undang-undang negara.
"Kalau ada mana-mana pihak yang rasa cerdik, pergilah nasihatkan Peguam Negara di bawah akta manakah undang-undang boleh diambil ke atasnya. Pejabat Peguam Negara sudah tengok klip video itu dan berbincang tetapi tiada tindakan boleh diambil. Itu hakikatnya," ujarnya.
Mengenai klip video negarakuku yang lebih awal dihasilkan Namewee, beliau memberitahu masih belum menerima apa-apa makluman daripada Pejabat Peguam Negara.
Namun beliau terlebih dahulu memberitahu bahawa tindakan tidak dapat diambil di bawah Akta Hasutan kerana apa dilakukan itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada kaum Melayu sahaja malah rakyat Malaysia berbilang kaum.
"Kita tak boleh ambil tindakan di bawah akta hasutan kerana apa dilakukan itu sebenarnya mendatangkan perasaan marah bukan hanya pada sesuatu kaum tetapi pada semua kerana negara ini bukan hak orang Melayu.
"Kalau negara hanya hak orang Melayu dan dia hina negara, itu mungkin menghasut dan bersifat perkauman tetapi di sini ia tidak menjadi isu perkauman kerana negara ini hak rakyat Malaysia berbilang kaum," katanya.
Ditanya mengapa mengambil masa terlalu lama masa diperlukan untuk mengambil tindakan terhadap klip video negarakuku, Nazri menegaskan: "Peguam Negara belum maklumkan apa-apa lagi. Saya tunggu nasihatnya.
"Saya pun tidak tahu mungkin ada akta menghina lambang-lambang Malaysia yang membolehkan tindakan diambil tetapi di bawah Akta Hasutan, ia jelas tidak kerana Negaraku bukan hak orang Melayu sahaja.
"Sebagai menteri yang menjaga undang-undang, saya tidak kira siapa. Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, saya tetap akan ambil tindakan jika dia bersalah. Undang-undang tetap perlu ditegakkan," tegasnya.
...utusan