Monday, January 23, 2017

Arena Axiata...

Jangan dikorbankan nama Putra demi Arena Axiata

BERAKHIRLAH sudah nama Stadium Putra yang dimasyhurkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Sukan Komanwel 1998 berlangsung untuk memberikan laluan kepada Arena Axiata ekoran termeterainya perjanjian sepuluh tahun dengan peruntukan bernilai RM55 juta.

Keputusan itu seolah-olah nama Putra itu tiada apa-apa nilai sentimental kepada pihak yang me­ngubahnya sedangkan nama asal itu adalah sempena nama Bapa Malaysia dan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang telah menabur jasa tidak terkira banyaknya dalam pembangunan sukan negara, apatah lagi negara secara keseluruhannya.

Mat Sport cuba segarkan semula ingatan anda yang mungkin terlupa atau sengaja enggan mengambil tahu bahawa sejarahlah yang membentuk jati diri, asal-usul dan cara atau budaya hidup kita sekarang.

Tunku Abdul Rahman ialah Perdana Menteri pertama kita.

Almarhum juga merupakan anak Melayu pertama yang bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1958 hingga 1974; jawatan yang sebelumnya bertukar ta­ngan daripada seorang Mat Salleh kepada Mat Salleh lain sebanyak lapan kali.

Tunku juga warganegara Malaysia pertama yang me­nerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1958 hingga 1977 sekali gus mendorong langkah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Sultan Ahmad Shah menyandang jawatan berkenaan masing-masing pada 1978-1994 dan 1994-2002.

Begitu besar jasa Tunku namun di mana lagi gelanggang sukan di Malaysia yang dinamakan sempena nama Almarhum selain Stadium Putra di Bukit Jalil itu?

Jangan salah faham! Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia. Ejaan Tuanku pun berbeza.

Adakah hanya wang ringgit yang mempengaruhi pertimbangan kita sekarang atau ‘only dollars and cents make any sense now’? Nilai sejarah dan jasa tokoh?

Mungkin bagi sesetengah pihak, hanya re­levan bagi mereka yang hidup dalam zaman silam dan yang mahu dibuai oleh kenangan demi kenangan yang tidak berkesudahan.

Perlukah kita meniru Pusat Staples, Los Angeles; Arena 02, London atau Arena Mercedes Benz, Shanghai atau Arena Allianz, Munich dan Stadium Emirates, London milik Arsenal?

Kajilah mengapa gelanggang sukan berkenaan dinamakan sedemikian. Jika bukan kerana syarikat korporat itu melabur berbilion-bilion wang sejak pembangunan awalnya atau ketika kerja-kerja pecah tanahnya lagi, mana mungkin jenama mereka boleh dimasyhurkan sebegitu.

Apalah salahnya kalau nama Putra itu dikekalkan sekali dengan nama baharu yang berbunyi Arena Putra-Axiata. Janggalkah kalau begitu? Yang lama dilupa jangan, yang baharu kita majukan.

Bohonglah kalau hendak dikatakan wang itu tidak penting dalam hidup ini tetapi mengapa sehingga kita sanggup membuang nama negarawan kita ini.

Salah bagi sesiapa yang cuba berkata: “Apalah ada pada nama.” -

Oleh :  Mat Sport

Sunday, January 22, 2017

Apa Dah Jadi Dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan...!

UniKL iktiraf UEC bagi syarat kemasukan

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut.


Beliau berkata walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," katanya selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang.

Justeru, Annuar menggalakkan lepasan UEC untuk memohon pelbagai jurusan yang ditawarkan oleh UniKL termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

"Semua lepasan UEC ini merupakan pelajar yang berkualiti dan kita harap penjelasan ini akan membuka mata mereka untuk melanjutkan pelajaran di UniKL.

Daripada pergi ke Taiwan dan negara lain, ambil peluang belajar di sini kerana kita ingin lihat kepelbagaian latar belakang," katanya.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

KPT sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta dan bukan universiti awam kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.- www.malaysiakini.com

Kerajaan belum iktiraf UEC, tegas KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menegaskan pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) masih di peringkat perbincangan, belum dimuktamadkan.

Dalam kenyataannya, KPT memberi maklum balas sedemikian sebagai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang dipetik sebagai berkata UEC akan diiktiraf 'tidak lama lagi'.

“Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan pertemuan tidak rasmi, pada bulan Mac, dengan pelaksana UEC di Kuching untuk meninjau pandangan mereka dan membincangkan hal tersebut.

“KPT mahu menekankan bahawa dasar semasa masih diguna pakai, dengan UEC harus menerima syarat semasa kementerian untuk kemasukan ke dalam universiti awam,” jelas kementerian itu.

UEC adalah ujian standard untuk pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Semalam, gerakan penyokong sekolah satu aliran mengeluarkan kenyataan bagi membantah sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC.

Pengerusi gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP), Shahril Hamdan menggesa Chong agar menjelaskan perkara itu.

“Kami menentang sekeras-kerasnya hal ini dan kami mahu Chong menjelaskan sama ada kenyataannya itu berdasarkan harapan sendiri atau sememangnya ianya telah dipersetujui oleh pihak kerajaan,” kata Shahril dalam kenyataannya.

Shahril, yang juga ahli majlis eksekutif Pemuda Umno berkata, Chong harus menyedari UEC tidak menggunakan kurikulum nasional dan telah menggunakan kurikulum Taiwan selain diuruskan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), berbanding kerajaan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak secara prinsipnya bersetuju mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.

Langkah itu menjadikan negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

Putrajaya sebelum ini tidak menerima UEC sebagai syarat untuk menyertai institusi awam, kerana ia dikatakan gagal mengikuti dasar-dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

Saturday, January 21, 2017

Peniaga Jual Kuih Guna Matawang Yuan ¥ Di Forest City, Johor

PENIAGA di Forest City Johor didakwa menjual kuih menggunakan matawang Negara China, Yuan. Sekeping gambar yang dikirim di Twitter berhubung perkara itu, oleh pengguna Twitter bernama Zata menjadi viral di media sosial.

Seorang pengguna lain pada awalnya meluahkan rasa tidak senang melihat papan tanda "Jangan pijak rumput" dalam bahasa Cina, sambil mendakwa Johor Baharu sedang dijual kepada pelabur-pelabur dari Negara China.

"I hate that JB is being sold off to mainland China investors. How ridiculous it is that you need Chinese signboards for 'don't step on grass', " tulis Iman Tanita Al Ghul di akaun Twitter miliknya.

Tweet itu kemudian dibalas oleh Zata beserta satu gambar yang didakwa diambil pada September tahun lalu (4 bulan lepas) di Forest City, Johor Baharu menunjukkan peniaga menjual kuih dengan memaparkan harga dalam matawang Yuan yang digunakan di Negara China.

Perkara itu menimbulkan perbualan hangat di media sosial. Ini menggambarkan seolah-olah begitu ramai warga China berada di Forest City pada waktu ini sampaikan peniaga boleh gunakan matawang Yuan untuk berniaga.

Jika kuih di Forest City dijual dengan harga mengikut Dollar Singapura, SDG masih boleh difahami kerana Negeri Johor memang terletak begitu hampir dengan Singapura.

Sama seperti di Golok, Thailand — Rantau Panjang, Kelantan contohnya, peniaga menerima matawang Ringgit Malaysia, RM atau Thailand Baht dalam transaksi perniagaan kerana lokasi premis terletak di sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Sebelum ini Tun Mahathir meluahkan kebimbangannya mengenai pembangunan di Forest City, Johor yang didakwa membina bangunan pencakar langit untuk menempatkan lebih 700,000 warga asing dari China memandangkan harga rumah yang dibina sangat mahal lebih RM1,000,000 sekaligus menjadikannya mustahil untuk dibeli dan dipenuhi oleh warga tempatan.
Sumber : http://www.milosuam