Tuesday, July 16, 2013

Adakah Kita Bacul Biarkan Dihina?

Sekali lagi nampaknya agama rasmi negara, kedaulatan Raja-Raja, dan kesabaran pribumi negara ini dihina begitu rupa. Kali ini oleh individu yang sepatutnya lebih beradab iaitu Wakil Vatican ke Malaysia yang bertaraf diplomat Archbishop Joseph Marino.

Dengan megah, ego dan tanpa sebarang rasa bersalah, Marino yang baru sahaja dilantik dipetik sebagai berkata beliau amat bersetuju, menyokong penuh tuntutan itu memang sangat kena pada tempatnya seperti mana yang dipetik oleh blog bigdog.dot.com.

Ini merupakan rantaian penghinaan yang berlaku tanpa hentinya semenjak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dengan hasrat menjadi lebih berhemah, telus dan mesra rakyat.

Meskipun masih ada Akta Hasutan, kumpulan dalang di belakang semua ini tidak langsung merasa gentar, takut atau merasa cuak untuk meneruskan agenda jahat dan busuk mereka sehingga sudah sampai ke tahap naik tocang. Yang pelik, hairan bin ajaib masih belum kelihatan sebarang tindakan keras seperti yang diharapkan oleh ramai rakyat yang cintakan keamanan yang dikenakan kepada kumpulan berkenaan.

Apakah perlu api dibalas dengan api, penghinaan dibalas dengan rusuhan sehingga merealisasikan impian 'Arab Spring' berlaku di negara ini baru pihak berkuasa akan memulakan tindakan.

Jangan lagi diuji dan disakiti perasaan umat Islam dan Melayu di negara ini dengan sengaja melengah-lengahkan tindakan. Kita khuatir, umat Islam dan orang Melayu sudah menjadi tepu dengan amarah dan kesabaran yang sentiasa tercabar.

Jangan nafikan fakta dan sejarah seperti mana kes pencerobohan di Lahad Datu tempoh hari yang selalu diremeh dan dipandang enteng sebelumnya meskipun sudah banyak petanda-petanda menunjukkan ia bakal berlaku.

PPIM dan seluruh NGO Islam dan Melayu tidak lagi boleh berdiri sebagai badan bebas menegur, merayu dan menagih simpati lagi daripada pihak berkuasa. Kita perlu menggerak jentera dan mengatur agenda ummah bagi menegakkan kesucian dan kemurnian agama kita daripada terus dipecacaikan di bumi kita sendiri.

Kita tidak lagi membuat himpunan untuk mengumpul Sejuta Ummah tetapi kini kita mengatur strategi untuk bertindak. Jangan pula menyalahkan umat Islam kerana bertindak, kena tanyalah diri sendiri kenapa memalu gong perang kalau mengharap orang menari ronggeng. Tidak mungkin resepi tomyam boleh mendatangkan hasil kari kawah.

Kita juga mengambil kesempatan ini kepada umat Islam dan kesemua orang Melayu dan bumiputera kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi meletakkan noktah kepada semua tindakan biadab dan kurang ajar mereka ini. Kita perlu ajar mereka mengenai apa yang dikatakan kebebasan beragama yang sebenarnya. Kita juga perlu membuktikan bahawa tunduk kita selama ini bukan untuk dipijak dan diam kita bukan bererti kita takut.

Kalau benar mereka yang beragama lain sungguh tulus dan ikhlas, tidakkah mereka melihat betapa negara Islam Malaysia ini begitu prihatin memberikan bukan sahaja kebebasan beragama, mengamalkan agama pilihan sendiri malah turut memberikan bantuan kewangan kepada pelbagai institusi agama selain agama rasmi negara ini.

Tidak cukup lagi, Parlimen Malaysia yang dikuasai oleh Barisan Nasional yang didokong kemenangannya oleh orang Melayu masih prihatin menarik semula pembacaan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 berkaitan penentuan agama anak kerana dikhuatiri memberikan tanggapan yang salah kepada rakyat yang bukan beragama Islam di negara ini. Sedangkan, Kerajaan Barisan Nasional sepatutnya lebih bersimpati kepada mereka yang menyokong dan mendokong kemenangan mereka selama ini bukan sebaliknya.

Pemerintah memang cukup sedar bahawa dengan penarikan balik bacaan dan pembentangan mengenai Rang Undang-undang berkaitan sudah tentu menggores hati banyak pihak sama ada dalam UMNO ataupun seluruh umat Islam yang lain.

Tentunya kerajaan Barisan Nasional telah mengambil risiko yang sangat tinggi mengambil tindakan berkenaan dan sanggup menerima impak daripada tindakan berkenaan.

Namun, bukan pujian dan kerjasama yang diperolehi oleh Barisan Nasional sebaliknya mereka sengaja ditikam dan dilemahkan secara berterusan seolah-olah memang termaktub dalam agenda menjatuhkan pemerintah yang ada sekarang sehingga berjaya.

Rupanya para pemimpin negara kita kadangkala terlebih prihatin kepada orang lain daripada penyokong mereka sendiri. Benar jugalah komentar sesetengah pihak bahawa kita terlebih menyusukan kera di hutan sehingga anak sendiri mati kelaparan. Sedang mereka yang disusukan itu menjadi kera besar ganas dan buas sehingga sanggup menuba semua kolam, pokok, padang dan tasik tempat kita mencari makan. Yang penting mereka mencapai matlamat peribadi dan kepentingan sendiri. Benar juga pepatah kita mengatakan, bagai kera diberikan bunga inilah jadinya.

Adalah disarankan kepada pihak berkuasa dan diseru semua orang Melayu dan mereka yang beragama Islam kembalilah ke pangkal jalan. Mari kita buktikan siapakah sebenarnya tuan di negara tercinta ini. Kita juga ingin mereka yang cintakan keamanan ajarlah kumpulan penyangak ini erti tata susila dan sopan santun. Tahu dan sedarlah harga diri supaya nanti jangan dikatakan lebih sudu daripada kuah. Malah mereka yang baru diberikan kuasa dalam Kabinet yang baru dilantik ini supaya mencermin diri setiap hari supaya tidak tersasar daripada amanah yang diberikan.

Kerajaan yang sedia ada sudah puas merayu, berlembut dan mengamalkan tolak ansur. Rasanya tidaklah zalim kalau sekarang mula bertindak keras dan tegas demi memantap, memulih dan memperteguhkan kedudukan negara kita yang kini semakin hari semakin mereput dan goyah akibat dibaham oleh anasir yang tidak tahu di untung ini.

Meskipun kita berada di bulan Ramadan yang mulia dan tidak digalakkan untuk berkeras dan bertegang urat leher mahupun bertengkar, tetapi tidak bermakna kita boleh membiarkan agama mulia kita ini dinoda begitu sahaja.

Dengan semangat Ramadan, marilah kita aturkan agenda dan strategi di samping berdoa semoga Allah memperkasakan kita, memberikan kekuatan rohani dan jasmani bagi menentang musuh-musuhnya baik yang terang dan nyata ataupun yang tersembunyi dengan apa cara sekalipun.

Oleh : Dr. Ahmad Zaki Ismail

Saturday, July 13, 2013

Kukuhkan Akidah Bukan Banyakkan Juadah

SEMPENA Ramadan al-mubarak ini, umat Islam perlu memulakan satu keazaman untuk mengukuhkan akidah dalam diri yang cuba digugat oleh isme seperti liberalisme, pluralisme dan hedonisme. Ramadan sebagai bulan di mana umat Islam berlapar dan dahaga selepas habis waktu imsak hingga waktu matahari terbenam (Maghrib) perlu dijadikan wadah untuk menjadikan akidah kita sepejal tembok batu dan tidak mudah goyah oleh gejala menggugat akidah yang semakin membimbangkan.

Hikmah berpuasa itu sendiri mencegah kita bermulut celupar seperti menggalakkan orang lain benci-membenci satu sama lain. Misalnya menghasut orang lain boikot-memboikot, tidak kira produk, masjid mahupun surau.

Hari ini manusia berpolitik tanpa mengira batas masa hingga soal agama dan kepercayaan (akidah) mahu dijadikan bahan atau modal mereka. Boikot biarlah perkara yang baik seperti produk yang menaja keganasan zionis terhadap rakyat Palestin bukannya memboikot membuta-tuli. Nanti digelar orang manusia gasar pula.

Sebaik-baiknya bulan Ramadan kita berazam untuk mengimarahkan surau atau masjid. Perpecahan akibat kempen pilihan raya lalu buat-buat lupa sajalah. Komuniti tidak kira daripada penyokong parti UMNO dan Pas perlu bekerjasama demi ummah. Jangan pula dalam tazkirah semua orang 'ditembak' hingga penceramah melihat diri sebagai manusia sempurna sedangkan Allah SWT maha menilai niat kita itu berceramah berasaskan politik atau bersifat mendidik.

Sepatutnya para ustaz dan penceramah agama tidak kira yang suka membuat lawak mahupun menyanyi sebagai kaedah berdakwah gunakan ia sebagai cara untuk memantapkan akidah ummah yang semakin sakan dengan penderaan, buang bayi, bunuh-membunuh kerana wang, lumba haram dan macam-macam lagi.

Gunakan bakat berdakwah untuk membetulkan akidah ummah, jangan gunakan ia sebagai wadah untuk mengkritik dan membasuh seorang dua orang Islam yang rosak akidah mereka.

Pada bulan Ramadan yang mulia gunakan ia dengan amalan memantapkan akidah dengan ibadah seperti solat lima waktu, melakukan perkara sunat dan berzakat. Jangan pula mengejar juadah yang tidak dapat dicari semasa bulan biasa.

Pada masa orang sibuk bersiap ke masjid untuk berbuka sebelum bersolat jemaah, jangan pula kita leka di bazar Ramadan. Jika ke bazar tersebut sekalipun pakailah pakaian yang mengikut ajaran Islam. Yang perempuan elok bertudung dan yang lelaki jangan pula menjadikan bazar Ramadan tempat mengurat wanita.

Justeru, pada bulan Ramadan marilah kita berlumba-lumba beribadah dan memperkukuhkan akidah agar tiada pihak yang merosakkannya dan seterusnya menjadikan umat Islam terus berpecah-belah. Bacalah al-Quran yang semakin berhabuk.

Lupakan dulu soal juadah kerana itu semua godaan semata-mata, yang penting puasa kita diberkati Allah. Berbuka puasa tidak perlu membazir dengan menjadikan juadah penuh semeja sedangkan amalan sedu-sedan semata. Kepada umat Islam lupakan sengketa, marilah teguhkan ukhuwah agar perkasa akidah kita. Ingatlah, inilah negara kita, di sini agama kita Islam menjadi tonggak kejayaan kita. Akidah perlu dipertahankan. Allahuakbar!

Oleh : Abdul Razak Idris

Friday, July 12, 2013

Kuasa Senyuman

SEKUNTUM senyuman yang kamu lemparkan mampu untuk menceriakan kehidupan insan lain. Betul, hanya dengan berbekalkan sekuntum senyuman sahaja.

Kamu juga akan mendapat manfaat yang pelbagai untuk kesihatan hasil daripada senyuman kamu itu. Senyuman bagaikan satu senaman dalaman yang dapat merangsang sistem saraf otak, hormon dan tubuh kamu.

Jadi, jika kamu ingin sentiasa tampil sihat dan bertenaga, berikan senyuman kamu yang paling manis buat mereka yang berada di sekeliling kamu dan teruskan membaca!

10 sebab mengapa kamu perlu senyum
Senyuman bukan hanya sekadar tindak balas gerak muka, tetapi turut mempunyai hubungan dengan penghasilan endorphin di dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi. Jadi, ia turut menjadikan seseorang itu berasa jauh lebih selesa dan yakin dengan diri sendiri.

Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah dengan menambah kemasukan oksigen dalam darah dan hal ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan dengan lebih cepat.

Mengakhiri senyuman dengan ketawa mampu menyahaktifkan bahan kimia dalam badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan juga ulser.

Senyuman adalah ekspresi muka yang terhasil dengan merengangkan otot di hujung mulut dan di sekeliling mata.

Kajian juga menunjukkan senyuman merupakan respons daripada rangsangan tertentu yang menggambarkan kegembiraan.

Penyelidik Jerman menjelaskan bahawa mereka yang memiliki ekspresi raut wajah yang senang hati, tampil menarik termasuk kelihatan lebih muda daripada usia mereka yang sebenarnya.

Universiti Illinois, Amerika Syarikat telah melakukan satu kajian yang membuktikan bahawa apabila seseorang itu gembira dan selalu tersenyum, hayatnya boleh mencapai satu dekad lebih berbanding mereka yang tidak senyum.

Menurut kajian sains, senyuman akan melepaskan sejenis hormon yang dipanggil endorphin iaitu hormon yang membuatkan manusia berasa gembira.

Tahukah kamu, apabila kita senyum badan kita akan menghasilkan antibodi dan Sel T atau sel darah putih yang akan memberikan imunisasi optimum kepada badan.

Senyuman dapat mencegah sakit sembelit pada waktu pagi. Pergerakan Peristaltik (gerakan otot pada saluran pencernaan) usus masih perlahan, namun apabila kamu tersenyum pada waktu berkenaan, gerak usus tersebut akan terangsang akibat daripada kontraksi otot perut hasil daripada kesan senyuman kamu tadi.

Senyuman juga boleh dijadikan penawar pada penyakit rohani yang kronik.

Oleh : Laili Suhana