Friday, November 8, 2019

LTTE: Sahkan Reputasi Buruk Seorang Peguam Negara

Diminta failkan kembali pertuduhan sama ke atas ADUN
BANGI – Tindakan menarik balik dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran tanpa memberikan sebarang tunjuk sebab memberi gambaran bahawa Peguam Negara tidak berwibawa.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan ini secara terbuka menunjukkan wujudnya campur tangan politik dan pilih kasih jika dibandingkan dengan pertuduhan yang dikenakan kepada tahanan lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Penarikan pertuduhan tanpa sebab dalam kes Harimau Kebangkitan Tamil Eelam (LTTE) yang membabitkan ADUN DAP ini hanya mengesahkan reputasi buruk Peguam Negara yang sudah banyak kali menyemak dan menggugurkan pertuduhan yang dibuat ke atas ahli politik daripada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan kerajaan yang melaung-laungkan prinsip ketelusan supaya tidak menggunakan kuasa pregoratif Peguam Negara sewenang-wenangnya seperti yang pernah diamalkan pada zaman Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan masalah keganasan bukan masalah yang boleh dipandang enteng kerana ia mampu menjejaskan keselamatan negara.

“Sekalipun jika pertuduhan ini ditarik balik kerana masalah-masalah teknikal, rakyat mahu Jabatan Peguam Negara menyelesaikan masalah-masalah itu dengan segera dan failkan kembali pertuduhan yang sama ke atas Adun itu.

“Saya percaya bahawa kes yang berkaitan keganasan lebih-lebih lagi di bawah SOSMA tidak akan dibawa ke mahkamah melainkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh,” katanya.

Semalam, Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada jam 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu. - www.ismaweb.net

Agenda Pengganas Komunis Hapuskan Islam, Institusi Diraja

Pelik bila ada pihak mahu iktiraf komunis pejuang kemerdekaan
BANGI – Perjuangan kumpulan pengganas komunis hanya untuk memporak-perandakan dan merampas apa yang telah dicapai oleh sebuah negara merdeka.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata, sejak dahulu lagi, pengganas komunis berjuang untuk menjatuhkan kerajaan, sama ada British atau kerajaan merdeka untuk dijadikan sebagai republik komunis.

Beliau berkata, mereka akan komited dengan sistem komunis atau berlindung di bawah negara berpengaruh supaya sistem sedia ada di sebuah negara merdeka dapat dipecahkan.

“Melalui itu juga, Raja-Raja Melayu, kerajaan, Perlembagaan dan agama Islam dihapuskan. Negara diambil alih oleh pengaruh dan ideologi lain.

“Mereka (komunis) mahu rampas apa yang kita capai sebagai negara merdeka,” katanya dalam temubual rancangan Cakap Serupa Bikin, di TV Pertiwi, hari ini.

Justeru, beliau hairan dan tidak bersetuju apabila ada pihak tertentu yang mahu mengiktiraf pengganas komunis, kononnya sebagai pejuang kemerdekaan.

“Saya mendengar komunis pejuang kemerdekaan ini baru-baru saja lagi. Masa mula berkhidmat dahulu, saya tidak pernah dengar pun yang komunis ini pejuang kemerdekaan.

“Apa yang pasti mereka ini adalah ‘pengganas’, kerana kita lebih menilai mereka daripada tindak-tanduk kumpulan itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha mengkomuniskan rakyat di negara ini bukanlah perkara baharu yang berlaku pada masa kini, sebaliknya telah dijalankan sejak dahulu lagi.

“Berdasarkan pengalaman saya, usaha mengkomuniskan telah dilaksana masa dulu lagi. Cuma sekarang ia ditingkatkan lagi untuk mempengaruhi orang ramai menyokong fahaman yang mereka pelopori masa kini.

“Dahulu sudah ada usaha ini, tapi tidaklah secara terang-terangan. Polis mungkin tahu, tetapi tidak menghebahkan seperti sekarang,” katanya. - www.ismaweb.net

Thursday, November 7, 2019

Ruang Untuk Chauvinist, Komunis Dan Terrorist Melakukan Kejahatan

PM janji pindaan Sosma, akta drakonian selesai tahun ini
PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berjanji pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan mana-mana peruntukan undang-undang berbentuk drakonian akan selesai dalam sidang Parlimen tahun ini.

Perdana menteri berkata, pindaan itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan undang-undang drakonian.

“Kita mungkin tidak hapuskan undang-undang ini sama sekali, tapi akan ada perubahan di bahagian-bahagian bersifat drakonian seperti menangkap dan tahan tahanan tanpa didakwa akan dipinda.

“Termasuklah yang terdapat dalam Sosma akan dilakukan secepat mungkin,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, pindaan terhadap sebahagian peruntukan dalam Sosma sudah dibincangkan Kabinet.

Mahathir bagaimanapun menafikan pindaan itu ada kaitan dengan penahanan dua Adun dan ahli DAP yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) minggu lalu.

“Kita dah kata nak buat janji ini sebelum ini, tapi ‘delayed’ sebab beberapa faktor. Jadi, kita fikir kena ambil langkah seberapa cepat sebab tak nak disalah gunakan.”

Sidang Dewan Rakyat selama 36 hari yang bermula 7 Okt lalu dijadualkan berakhir 5 Dis nanti.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan habeas corpus yang difailkan lima suspek, termasuk dua Adun DAP yang didakwa menyokong LTTE, atas alasan ia adalah akademik.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahril Mohd Salleh dilaporkan berkata, tangkapan dan penahanan awal lima lelaki itu untuk siasatan sudah luput selepas mereka didakwa di mahkamah.

Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama Adun Gadek, G Saminathan, S Chandru, V Suresh Kumar serta S Arivainthan memfailkan permohonan untuk dibebaskan daripada penahanan di bawah Sosma pada 21 Okt lalu, susulan penahanan mereka antara 10 dan 12 Okt.

Pada 31 Okt lalu, Gunasekaran, Saminathan, Suresh dan B Subramaniam didakwa memberi sokongan kepada LTTE melalui ucapan atau media sosial sejak 2014 hingga bulan ini.

Lapan lagi – A Kalaimughilan, Chandru, V Balamurugan, Arivainthan, R Sundram, S Thangaraj, M Pumugan dan S Teran – berdepan satu pertuduhan tamabahn memiliki bahan berkaitan kumpulan
pengganas itu.

Semua kecuali Subramaniam dan Sureshkumar didakwa dengan pertuduhan sama di lima negeri pada 29 Okt lalu. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, jika sabit kesalahan. - www.freemalaysiatoday.com