Wednesday, March 9, 2016

Arkitek Reka Pencakar 
Langit Bercorak Ular Tedung

MOSCOW – Seorang arkitek Rusia berjaya mereka sebuah bangunan pencakar langit yang mempunyai corak seperti seekor ular tedung dan meramalkan menara ciptaannya itu akan dibangunkan di sebuah bandar terkenal di Asia Barat.


















Reka bentuk memukau itu mempunyai corak bulat pada bahagian asas bangunan yang menya-mai badan seekor ular, manakala bahagian puncak struktur ber-kenaan mempunyai bentuk seperti kepala reptilia tersebut sedang menganga, yang akan menempatkan restoran atau kelab malam di situ.

Mail Online melaporkan, bangunan yang akan diberi nama ‘Asian Cobra Tower’ itu direkabentuk oleh arkitek yang berpangkalan di Monaco, Vasily Klyukin dari Moscow.
Ahli perniagaan dan bekas pekerja bank itu mendakwa karya yang dihasilkannya ‘meramalkan masa depan’.

Arkitek itu sebelum ini turut dikenali dengan karyanya dengan rekaan kapal layar dan jet yang boleh dipisahkan.

Jurubina itu percaya, menara ular ciptaannya besar kemungkinan akan menarik minat pemaju-pemaju di bandar Asia Barat dan Asia, kawasan yang dilapor menganggap ular sebagai simbol kebijaksanaan.

“Di Jepun jika seseorang memberitahu dia adalah seekor ular bermakna satu pujian, manakala di China, ular dan naga sering membawa maksud yang sama,” kata Klyukin.

Antara ciri lain yang dimasukkan dalam rekaan bangunan berwarna emas dan hitam itu adalah cahaya yang boleh bertukar warna dengan reka bentuk berlian pada bahagian belakang struktur itu yang melambangkan simbol Yin dan Yang.

Klyukin berkata, pembinaan menara itu juga akan mengubah pandangan bandar di seluruh dunia dan menjadi gambaran paling jelas akan perkembangan kebudayaan dan ekonomi dalam abad ke-20.

“Pada masa sama, struktur itu merupakan bangunan pencakar langit yang menentukan corak kawasan perniagaan dan keseluruhan bandar,” katanya.- utusan

Friday, March 4, 2016

Islam Dan Orang Melayu

Persamaan lebih banyak daripada perbezaan
ORANG Melayu terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Mereka juga sinonim dengan amalan bergotong-royong, saling membantu dan bekerjasama dalam apa jua keadaan. Ditambah pula dengan nilai ajaran Islam yang memang mahukan umatnya bersatu padu membina kekuatan dalam menegakkan syiar agama.

Masyarakat Melayu berbeza dengan masyarakat Arab jahiliah yang gemar berperang dan bermusuhan atas alasan kecil yang tidak munasabah. Bahkan orang Melayu, sejak dahulu lagi hidup bermasyarakat dengan harmoni tanpa perpecahan yang menghuru-harakan keadaan. Ini semua adalah kerana orang Melayu Islam mempunyai banyak persamaan yang mengatasi perbezaan.

SATU MATLAMAT SATU TUJUAN
Ia ibarat sebuah kapal yang menuju destinasi yang sama. Orang Melayu yang hebat akal fikiran dan mantap imannya sudah tentu meletakkan matlamat akhir kehidupannya untuk mencapai reda Allah.

Untuk mencapai keredaan-Nya, semua aspek kehidupan telah disusun atur agar selari dengan hukum syarak termasuklah dalam isu rumah tangga, kemasyarakatan bahkan dalam isu pentadbiran dan politik negara.

Dengan matlamat yang jelas, setiap orang Melayu berperanan melaksanakan apa yang termampu dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak tanpa mengira nama kumpulan mahupun warna bendera.

Menyentuh isu agenda umat Islam dan Melayu secara keseluruhan, ia tidak mampu dilaksanakan oleh satu-satu pihak tanpa sokongan orang lain. Tanggungjawab besar ini memerlukan kekuatan dan usaha bertali arus yang terhasil daripada semangat kerjasama sesama umat Islam dan orang Melayu.

Agenda ini yang sepatutnya menyatukan seluruh orang Melayu di negara ini kerana jika agenda ini tidak dibangunkan, kepada siapa lagi yang diharapkan kalau bukan orang Melayu itu sendiri.

IDENTITI DAN SEMANGAT KEMELAYUAN
Menelusuri sejarah tamadun Melayu di rantau ini, seharusnya akan melahirkan rasa kebanggaan dengan kegemilangan sejarahnya tanpa ada rasa sedikit pun memandang kaum lain dengan pandangan hina.

Ia adalah perasaan fitrah dalam diri manusia yang mengetahui asal usul keturunannya dan identiti ini perlu disemai agar lebih membuahkan rasa cinta kepada bangsa sendiri seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan bangsa.

Bersatu padu di bawah identiti dan semangat ini tidak menjadikan orang Melayu bersikap rasis dan menindas kaum lain, sebaliknya menjadikan mereka lebih menghargai fitrah kejadian dan berusaha meneruskan survival bangsanya yang pernah mendaulatkan agama Islam satu ketika dahulu.

TANAH WATAN YANG DIWARISI
Negara ini menjadi tanah tumpah darah kita dan ia mesti dipertahankan. Kehilangan Pulau Temasik perlu dijadikan pengajaran agar umat ini perlu membentuk kuasa politik yang kuat, satu suara dalam menjaga tanah air daripada diceroboh dan terlepas ke tangan-tangan tidak bertanggungjawab.

Tanah inilah yang bakal kita wariskan kepada generasi anak cucu selepas kita. Tiada lagi tanah lain yang diperuntukkan khusus untuk bangsa Melayu selain daripada negara Malaysia. Tanah inilah yang menyatukan kita. Kita berjuang kerananya seperti mana datuk nenek kita berjuang untuk kita hari ini.

ANCAMAN YANG SENTIASA MENGINTAI
Realiti hari ini menunjukkan banyak ancaman yang dihadapi oleh agama, bangsa dan negara kita. Semuanya mengintai-intai peluang untuk menyusup dan menyebarkan racun merosakkan anak bangsa kita.

Arus hedonisme, hiburan melampau, penularan ideologi-ideologi celupan Barat seperti liberalisme, pluralisme dan humanisme dan banyak lagi virus lain amat membimbangkan kita.

Musuh-musuh yang kita hadapi adalah sama. Meskipun mereka dilihat nampak tersusun dan strategik, hakikatnya Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa mereka sebenarnya lemah.

Mereka berjaya melaksanakan impian jahat mereka adalah disebabkan kelemahan kita dan kewujudan kita yang terpisah-pisah dan tidak bersatu padu.

Bayangkan jika umat Islam tegas sebulat suara mempertahankan hak dalam apa-apa isu, nescaya tiada lagi suara sumbang yang berani menghina dan memperlekehkan maruah agama, bangsa dan negara.

KESATUAN ADALAH PENYELESAIAN

Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Apa yang penting adalah bagaimana kita menghadapinya, adakah dengan cara yang terbaik atau dengan cara lama yang sudah terbukti tidak memberi kesan sebaiknya.

Antara jalan keluar bagi permasalahan umat Islam khususnya bangsa Melayu di Malaysia hari ini ialah duduk semeja, berbincang dan bekerjasama sesama umat Islam.

Jika kita berterusan memberikan alasan perbezaan sebagai penghalang, cuba kita senaraikan apakah perbezaan yang ada di antara kita. Agama, budaya, tanah air, cara hidup, identiti dan bahasa antara perkara besar dalam kehidupan kita. Menariknya kita berkongsi agama, budaya, tanah air, cara hidup, identiti dan bahasa yang sama.

Namun, tidak dinafikan perbezaan itu tetap ada. Nama, paras rupa, warna kulit, warna bendera sudah tentu berbeza, tapi apakah perbezaan itu lebih utama sehingga mengatasi persamaan yang disenaraikan di atas?

Sudah tentu tidak. Bersatulah, membentuk kekuatan demi menjayakan agenda perjuangan agama, bangsa dan negara tercinta. - utusan

Thursday, March 3, 2016

Pengkhianatan Pulau Batu Puteh

Pasukan khas perlu dibentuk siasat kes Batu Puteh
KUALA LUMPUR  – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pasukan khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditubuhkan bagi membongkar status pemilikan Pulau Batu Puteh yang kini menjadi hak milik Singapura.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, kedua-dua pasukan itu perlu meneliti beberapa perkara penting yang tidak dikemukakan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sehingga menyebabkan persempadanan pulau tersebut ‘terlepas’ kepada negara jiran.

“Mereka perlu menyiasat akuan bersumpah yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim berkaitan pulau berkenaan di samping beberapa maklumat yang diperoleh pasukan polis Johor tentang kes jenayah yang berlaku di sana.

“Ini berikutan, sekiranya pihak polis pernah menjalankan siasatan di Pulau Batu Puteh, ia sekali gus membuktikan bahawa pulau itu adalah milik Johor,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Menurut Zakwanhafiz(dua dari kiri), pihaknya turut menerima maklumat berkaitan penugasan dan rondaan pihak berkuasa antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen, namun jadual tugasan telah hilang.

Jelasnya, struktur bangunan di atas pulau berkenaan juga perlu dikaji dan diselidik bagi mengetahui siapa yang bertanggungjawab dalam perancangan pembinaannya.

Ujarnya, siasatan lanjut berkaitan perpindahan sejumlah wang yang banyak di Hong Kong juga dipercayai berkaitan dengan pertukaran persempadanan pulau itu yang terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa siasatan dilakukan ke atas semua ahli panel dari Jabatan Peguam Negara dan agensi berkaitan yang mewakili negara dalam prosiding tuntutan Pulau Batu Puteh di ICJ, Belanda.

Katanya, ia berikutan terdapat wakil yang kurang berpengalaman dihantar untuk menyertai prosi­ding perundangan terbabit.

Pada 23 Mei 2008 ICJ yang berpusat di Hague, Belanda memutuskan Pulau Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca oleh Singapura adalah milik sah negara berkenaan dan hanya Terumbu Karang Tengah (Middle Rock ) serta Terumbu Karang Selatan (South Ledge) milik Malaysia.

Keputusan itu dimuktamadkan dengan selepas 12 daripada 16 panel hakim menyebelahi Si­ngapura. - utusan