Thursday, June 18, 2020

Kembalikan GST: Ada Berani?

DI SESETENGAH tempat, bilangan pengunjung ke pusat beli-belah nampak ramai. Mungkin disebabkan mereka mahu `balas dendam’ terkurung tiga bulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi tanya hati sendiri. Mesti terdetik rasa `sedikit kurang seronok’.

Hendak masuk ke pusat beli-belah, anda kena cari pintu yang dibuka kerana walaupun ada banyak eskalator atau lif, ia dikurangkan menjadi satu atau dua sahaja. Ia berkaitan kesulitan pengurusan pusat beli-belah mengadakan tempat pendaftaran dengan tenaga yang terhad.

Ia jadi lebih boring bila hendak masuk ke kedai individu. Lagi sekali kena daftar dan tembak dahi. Hendak pakai aps MySejahtera pun ada kedai yang tidak ada aps tersebut. Jangan tanya kenapa. Pengurus mungkin ingat dia kena bayar pakai duit poket sendiri (ia percumalah, bro!)

Ada sekali lalu di hadapan kedai perabot Eropah, nampak orang sanggup berbaris panjang di tengah panas semata-mata untuk memasukinya. Amboi gigihnya!

Hendak makan pula, memang dilema jika datang ramai sebab satu meja hanya dibenarkan dua orang. Paling lawak, seorang kena duduk paling hujung sendirian – nak kata pengerusi tak juga, apalagi speaker dewan sebab agak berjarak. Lebih senang berhubung guna Whatssap daripada cuba bercakap dalam nada tinggi supaya dia boleh faham.

Ini semua `normal baharu’. Selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, belum disahkan mujarab, selama itulah perkara tersebut di atas jadi amalan. Kalau rimas, elakkan semua lokasi di atas. Tiada masalah besar. Masa PKP semua dah berlatih pesan makanan guna penghantar bermotosikal. Di rumah, semua anak beranak boleh duduk semeja dan meriah.

Hilang Kerja
Satu perkara yang pasti dan sudah pun berlaku akibat bencana pandemik covid-19 ialah perniagaan melingkup mengakibatkan orang kehilangan pekerjaan. Tidak pasti bagaimana penerimaan anda masing-masing.

Bagi yang bekerja dengan kerajaan, mungkin paling terjamin kerana dalam apa keadaan sekali pun, perkhidmatan awam hanya melaksanakan dasar tiada pengambilan baharu. Jarang ada pemberhentian berskala besar.

Dan ini tidak sama kerja kerajaan yang dibuat atas dasar lantikan politik. Bila perdana menteri meletak jawatan, memang semua hilang pekerjaan. Tapi itu kejadian sebelum kuatkuasa PKP.

Yang paling rapuh, paling vulnerable adalah pekerja sektor swasta, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan. Impak yang terkena kepada sektor perhotelan, memang diketahui.

Ada yang mengatakan hotel yang terpilih sebagai hotel kuarantin, boleh survived sepanjang PKP. Saya diberitahu selepas tamat kuarantin 14 hari, tidak bermakna pengusaha dapat bayaran sewa bilik. Kena tunggu juga. Sementara hendak tunggu, modal operasi memang pusing kepala.

Tetapi bukankah hotel yang terpilih itu terdiri daripada hotel yang memiliki rangkaian? Bukan berstatus rumah tumpangan kendalian orang perseorangan. Tentulah mereka boleh survived. Itu persepsi liar. Bila bilangan sewaan bilik sekadar 20% sebulan, hotel bertaraf tujuh bintang pun boleh tersungkur dalam tempoh 3 bulan PKP.

Begitu juga industri media. Akhbar-akhbar arus perdana walaupun memiliki sayap berita dalam talian masing-masing, tahu tanpa sokongan versi cetak, daya hidup mereka pun turut terjejas.

Minggu lepas, tersebar angka cetakan yang menyeramkan. The New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro di bawah Media Prima, dikira secara bergabung sekadar terjual 70,000 naskhah. Ketika akhbar Utusan Malaysia tamat riwayat akibat bangkrap pada Oktober 2019, angka jualannya ialah 60,000 naskhah.

Sudahpun terbit berita Media Prima berkemungkinan mengadakan satu lagi pusingan Skim Pemberhentian Kerja Sukarela (VSS). Tidak pasti sejauh mana kebenaran, walaupun teman-teman di Media Prima mengakui mereka sudah diminta bersedia untuk dipotong gaji.

Secara peribadi, sebagai bekas anggota akhbar yang ditutup akibat masalah kewangan, apa yang berlaku di Media Prima dapat saya rasai sama peritnya sekarang kerana sudah pun melaluinya, hilang kerja, menjadi murung, menjadi penerima manfaat Skim Insurans Pekerja Perkeso selama enam bulan dan kemudian cuba bangkit semula untuk menyara hidup sekarang.

Insyallah, kepada yang kehilangan kerja akibat Covid-19 ini, anda boleh bangkit semula. Anda boleh lakukannya. Hilang kerja tidak semestinya dunia sudah berakhir. Mungkin dulu tergolong dalam kelas T20, tiba-tiba hilang menjadi B40 dan layak menerima duit saguhati kerajaan RM30, semua ini akan menjadi pendorong untuk kita bangkit, bangkit dan terus melangkah memperbaiki kehidupan.

Hidupkan semula GST
Beberapa penganalisis ekonomi termasuk pakar percukaian kini perlahan-lahan mula meluahkan apa yang suatu masa dahulu dianggap pendapat `paling tidak popular’, malah merupakan satu penyebab kerajaan BN digulingkan iaitu Cukai Barangan & Perkhidmatan atau GST.

Benarkah? Begitu jeliknya GST ini diperlakukan oleh ahli politik yang menggunakannya sebagai senjata ampuh menumbangkan kerajaan, dan kita tertawa kebodohan kepada diri sendiri membaca pernyataan kerajaan PH yang mengakui kerugian 50% daripada kutipan yang dicatat GST sebelum itu.

Untuk rekod fakta sahih, GST yang berkuatkuasa pada 1 April 2015 meraih hasil cukai RM41 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.

Rakyat dibuai dengan tiga bulan bebas cukai selepas kemenangan pilihan raya umum PH pada Mei 2018 sebelum penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST 2.0) pada 1 September 2018. Untuk rekod sahih, SST sekadar mencatat perolehan RM27.5 bilion.

Untuk rekod sahih, GST bukanlah suatu sistem percukaian direka daripada ilham hasil mimpi Datuk Seri Najib Tun Razak semasa bermalam di Pekan, Pahang. Sebaliknya ia adalah hasil rundingan dan perbincangan pakar-pakar ekonomi negara yang diminta mencari satu kaedah bagaimana hendak menutup ketirisan yang dinikmati para peniaga tetapi merugikan negara sekian lama.

GST dimomok oleh penentang Najib sebagai sistem percukaian ala-penjajah British yang hanya merugikan penduduk yang dijajah. Kononnya, rakyat membayar berganda berbanding SST. Hanya selepas GST ditamatkan oleh PH dan diganti dengan SST pada 1 September 2018, baharulah kita sedar bahawa harga cukai perkhidmatan minum di restoran itu tidak menurun sesen pun! Sebab itu tak perlu sibuk tinggalkan duit tips di restoran. Mereka sudah caj service tax kaw-kaw!

Satu aspek kelemahan GST yang diperakui ramai ahli ekonomi luar dan dalam negara ialah kadar 6% yang anggap mengejut dan membebankan secara mendadak.

Atas hujah serupa jugalah mengapa sekarang ada sebilangan ahli ekonomi, pakar percukaian mula berani menyarankan agar diperkenalkan semula GST. Ini kerana ia adalah kaedah percukaian paling berkesan untuk negara meraih hasil.

Dan hasil ini sangat-sangat penting ketika kerajaan berusaha memulihkan negara kesan pandemik Covid-19.

Tetapi di dalam keadaan banyak perniagaan pun sedang sakit sekarang, apakah pengenalan semula GST ini kena pada masanya?

Secara umumnya, memang tidak sesuai tetapi jika sewaktu aman pun SST hanya mencatat RM27.5 bilion, berapakah boleh diunjurkan semasa Covid-19 ini? Kira nasib baik jika dapat raih RM9 bilion.

Oleh itu, GST boleh diperkenalkan semula tetapi pada kadar yang lebih rendah seperti 3% mulai sekarang sehingga 2021. Tahun hadapan, kerajaan boleh mengkaji semula sama ada hendak melanjutkan 3% GST atau naikkan kepada 4%. Bergantung kepada prestasi ekonomi negara tahun hadapan.

Dan tidak perlu `blanket ruling’ GST ini dilaksanakan. Pekebun kecil getah atau kelapa sawit misalnya, hanya dikenakan cukai GST bila komoditi mencatat kenaikan harga.

Samalah seperti inisiatif kerajaan sekarang seperti pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel, pelepasan cukai bagi pengurangan sewa, penangguhan pembayaran cukai adalah langkah yang betul bagi membina semula ekonomi negara.

Tapi kalau saranan ini pantas dijadikan senjata politik sekali lagi, saya minta rakyat yang sayangkan negara supaya meneliti sedalam-dalamnya pandangan dan hujah pakar-pakar ekonomi luar dan dalam negara untuk anda benar-benar faham bahawa GST adalah sama dengan sistem percukaian yang diamalkan di negara Barat.

Kurangkan membaca celaan politik mengenai GST. Negara kita perlukan bantuan kita semua untuk pulihkan ekonomi. GST ini adalah satu daripada jalannya.

No comments:

Post a Comment