Tuesday, June 30, 2020

Bina Kuil Ditapak Haram, Ini ‘Rule of Jungle’: Firdaus Wong

Populasi Hindu di Singapura, Eropah tinggi tapi masalah ini tak berlaku
Pendakwah bebas, Firdaus Wong mempersoalkan mengapa masalah pembinaan kuil haram kerap berlaku di negara ini.

Beliau yang hairan dengan masalah berkenaan berkata, perkara tersebut tidak berlaku di Singapura atau mana-mana negara lain di Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, beliau turut menyifatkan aktiviti membina kuil di tanah orang lain sebagai ‘rule of jungle’.

“Ajaran siapa ini sebenarnya dan dimanakah rule of law? Kenapa yang sering kedengaran adalah kuil Hindu yang dibina di atas tapak haram, tetapi jarang sekali dengan gereja, tokong Cina mahupun masjid dibina di atas tapak haram?

“Kenapa masalah kuil dibina di tapak haram tak berlaku atau jarang berlaku di Singapura, Eropah dan Amerika yang juga mempunyai populasi penduduk beragama Hindu, tetapi kerap berlaku di Malaysia?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin DAP, P Ramasamy yang mendesak kerajaan untuk menghentikan perobohan kuil dan menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk peka terhadap hak masyarakat Hindu di negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap perobohan sebuah kuil Hindu berusia 100 tahun terletak di hadapan pintu masuk stesen keretapi Alor Setar di Kedah.

Dalam pada itu, Firdaus mendakwa, secara kebiasaannya modus operandi pembinaan sesebuah kuil sering dilakukan di atas tanah milik orang lain.

Dakwanya, sekiranya pemilik mahu mengambil kembali tanahnya, mereka akan mendakwa bahawa binaan kuil telah berada di sana untuk tempoh lama kira-kira 100 tahun.

Malah, dakwanya lagi, mereka yang memiliki kuil enggan meninggalkannya meskipun diberi tempoh untuk keluar.

“Mereka minta pampasan. Ini seolah-olah tanam pokok dalam rumah orang lain dan minta pemilik rumah bagi pampasan? Siapa suruh tanam di rumah orang?

“Satu kumpulan dapat pampasan dan kumpulan lain tidak dapat. Kecoh satu dunia. Setelah bertahun suruh pindah tetap tak berpindah. Bagi notis keluar dalam masa terdekat akan buat cerita kononnya mereka ditindas,” dakwanya lagi.

Lantaran itu, Firdaus berkata, pemerintah bebas untuk merobohkan mana-mana pembinaan haram tanpa kompromi.

Beliau berkata, undang-undang di negara ini tidak berpihak kepada emosi sebaliknya berlandaskan fakta.

“Semakin diberi ruang, semakin degil. Kita perlu elakkan satu lagi kematian seperti Allahyarham Adib kerana sesuatu yang dibina atas tapak haram.

“Tun Mahathir pernah berkata, kerajaan Pakatan Harapan berhadapan dengan masalah rumah ibadat yang dibina di atas tapak orang lain yang tidak mahu pindah walaupun telah diarahkan pindah,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment