Friday, April 24, 2020

Iktiraf UEC Musnahkan Perpaduan Nasional

Dong Zong ekstremis hanya perjuang kepentingan Cina
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin digesa membatalkan pengambilan pelajar UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), serta menolak semua usaha mengiktiraf sijil itu di negara ini.

Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku walaupun bersyarat, kerana UEC benar-benar bercanggah dengan Dasar Pendidikan Nasional.

“QIAM sentiasa berdiri teguh dan menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk memantapkan keharmonian antara agama dan bangsa di negara yang tercinta ini.

“Sebaliknya jika ada usaha daripada parti politik atau pun badan bukan kerajaan yang bertentangan dengan aspirasi tersebut, QIAM akan bangkit dan berjuang menentang semua usaha itu.

“UEC adalah jelas menghancurkan perpaduan nasional dan keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Sirajuddin Salleh turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi lebih fokus dalam menggerakkan usaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui peningkatan tadbir urus, peruntukan kepada sekolah luar bandar yang daif serta kebajikan guru-guru.

Katanya, usaha untuk mengiktiraf sijil UEC oleh pihak Dong Jiao Zong dilihat sebagai menggoncang teras perpaduan nasional.

“Mengiktiraf UEC sama seperti mengiktiraf kewujudan dan perjuangan Dong Jiao Zong, satu pertubuhan rasis, cauvinis, provokatif dan ekstremis yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum Cina sahaja.

“Pertubuhan ini sepatutnya diharamkan di bumi yang bertuah ini kerana mereka langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada Perlembagaan Persekutuan, budaya Melayu dan agama Islam,” tegas beliau.

KPM sebelum ini mengeluarkan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon laluan khas untuk pelajar lepasan UEC.

Malah, terdapat poster dikeluarkan dengan kapsyen calon lepasan UEC, Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) berumur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2020 layak untuk memohon PISMP.

KPM menjelaskan, ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan UEC untuk PISMP adalah untuk subjek Bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC).

Kementerian itu berkata demikian setelah menerima beberapa pertanyaan dan maklum balas berkaitan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon lulusan SMA, SMU dan UEC Ambilan 2020

Difahamkan pengambilan pelajar bawah program itu dibuat setiap tahun semenjak 2011 lagi. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment