Monday, April 27, 2020

China Tubuh Dua Daerah Baharu

Strategi Beijing meluaskan pengaruh di Laut China Selatan

Pulau Yongxing adalah Bangunan Pentadbiran Sansha, bandar 
paling selatan China. [Foto / Xinhua]

BEJING meneruskan agenda perluasan pengaruhnya di Laut China Selatan dengan penubuhan dua struktur pentadbiran baru di kawasan Kepulauan Spartly bagi dua daerah baru.

Daerah itu dinamakan Xisha dan Nansha akan diletakkan di bawah kerajaan kawasan Sansha, sebuah bandar selatan kepulauan Hainan.

Kawasan daerah ini meliputi kepulauan Paracels dan Macclesfield Bank, kawasan bertindih antara China, Vietnam dan Taiwan.





Pemandangan Pulau Pattle yang merupakan sebahagian dari Pulau Xisha,
di Kota Sansha. (Sumber: Xinhua)

Sebelum ini, China telah bertindak dengan memusnahkan kapal nelayan Vietnam di sekitar kawasan yang dituntutnya.

Tindakan ini menyebabkan kemarahan Washington yang menganggap China mengeksploit wabak Covid-19 untuk meluaskan pengaruh di Laut China Selatan.

Kejadian ini adalah sebelum kehadiran kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang memasuki perairan zon ekonomi eksklusif negara pada pertengahan April tahun ini.

Kepentingan Penubuhan Daerah
Kedudukan pusat pentadbiran daerah baru ini sangat kritikal dalam proses China untuk mengesahkan kepada dunia bahawa mereka adalah tuan kepada kepulauan yang kaya dengan hasil bumi ini.

Pusat pentadbiran Xisha akan berada di Pulau Woody yang digelar Yongxing Island, manakala pusat pentadbiran Nansha akan berada di Fiery Cross Reef (Yongshu Reef).

Pentadbiran baru ini bererti Beijing akan meletakkan lebih banyak anggota tentera dan sumber dari segi logistik.

Penulis beranggapan pusat pentadbiran ini boleh dijadikan sebagai markas operasi hadapan yang memerhati lalu lintas kapal di Laut China Selatan.

Daerah ini juga akan menjadi barisan hadapan dan bertindak sebagai ‘buffer zone’ sekiranya berlaku konflik maritim.

Beijing telah membangunkan kawasan ini secara agresif dan pesat dalam jangka masa 6 tahun.

Profesor Kang Lin dari Hainan University menjelaskan bahawa penubuhan pentadbiran baru ini adalah atas tekanan dari Beijing untuk mengukuhkan pengaruh dan imbangan kuasa maritim di Laut China Selatan.

Penulis melihat COVID-19 ini sebagai waktu yang sesuai China untuk bertindak meluaskan kuasa, memandangkan Amerika Syarikat tidak berupaya untuk mengekang dan mengawal Laut China Selatan.

Penstrukturan semula kawasan yang diduduki China di Laut China Selatan menunjukkan Beijing begitu komited terhadap mempertahankan infrastruktur dan aset-aset yang membentuk barisan pertahanan pertama China.

Kedudukan Strategik Daerah Baru terhadap Insiden Pencerobohan di Perairan Malaysia

Pentadbiran kedua-dua daerah baru ini diletakkan di bawah bandar Hainan. Kedudukan strategik Hainan dari segi akses kapal ke Laut China Selatan tidak dapat dinafikan lagi.

Markas Laut Yulin (Yulin Naval Base) milik Tentera Laut China adalah markas bagi kapal selam nuklear bagi operasi di kawasan Selatan China.
Yulin Naval Base, China

Kapal selam ini berupaya membawa peledak nuklear yang diletakkan pada misil antara benua, hasil laporan Jabatan Keselamatan Amerika Syarikat.

Dengan melicinkan urusan pemindahan anggota dan logistik antara dua daerah baru ini, China secara tidak langsung mempercepatkan lagi respons operasi kapal perang sekiranya diancam.

Penulis berpendapat, China menggunakan kapal penyelidik yang berada di perairan negara bagi melakukan pemetaan laut dalam bagi pengoperasian kapal selam nuklear dan konvensional mereka.

Oleh : Irfan Alias

No comments:

Post a Comment