Namun polis sebagai sebuah pasukan yang dianggotai oleh individu-individu pelbagai latar belakang peribadi, perilaku dan pendidikan. Walaupun tugas polis adalah mengawal keamanan dan kedamaian masyarakat, siapa pula yang mengawal dan memantau anggota polis supaya mereka berlaku betul, adil dan mesra rakyat?
Justeru, pasukan polis walaupun dilatih berdisplin, adalah terbuka kepada kemungkinan salah laku, terjebak dalam perilaku bersifat devian dan melampau adakalanya. Akibatnya, penyelewengan dalam pasukan polis juga telah banyak berlaku. Ada yang bersifat rasuah, bersekongkol dengan kongsi gelap, terlibat dalam jenayah, melindungi sarang pelacuran dan perjudian, dan pelbagai lagi salah laku. Ini semua menimbulkan keraguan.
Akibat daripada terdapatnya pola perilaku negatif ini dalam kalangan anggota polis di England, Wales, Amerika Syarikat dan Australia, telah ditubuhkan Pejabat Bebas untuk memantau perilaku devian ini sebagai satu tindakan menghindari daripada ia berulang atau membaik pulih yang terjebak dalam perilaku ini. Usaha ini juga menambahbaik urus tadbir kepolisan.
Di Malaysia terdapat kejadian kematian dalam lokap melibatkan yang tertuduh atau direman. Ada juga yang didera dan dicederakan semasa penyiasatan dan diseksa sehingga separuh nyawa. Keluarga yang terlibat dalam kes-kes yang membabitkan polis telah mendapatkan bantuan peguam masing-masing dan disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin telah membawa beberapa kes ini ke mahkamah untuk pengadilan.
Akibatnya persepsi orang awam terhadap polis terjejas, seolah-olah mereka telah hilang kepercayaan tentang kemampuan polis untuk melindungi mereka. Malah mereka merasakan polis menjadi kuasa yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Oleh yang demikian pada 2004 kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk penambahbaikan pengurusan dan prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Nama suruhanjaya ini adalah Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (SPPP-PDRM). Ia diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, sebagai pengerusi dengan 14 orang anggotanya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tujuan penubuhan suruhanjaya ini adalah untuk menjadikan PDRM sebagai penjaga keamanan dan penguatkuasaan undang-undang yang berwibawa dan terus menerima kepercayaan rakyat. Setelah kira-kira setahun menjalankan penyiasatan suruhanjaya ini akhirnya menyerahkan suatu laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Laporan itu, setebal 433 muka surat, mengandungi 125 cadangan untuk dilaksanakan oleh kerajaan. Salah satu cadangan tersebut adalah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Ini dibuat pada 2005, iaitu sebaik saja laporan itu dibuka untuk tatapan ramai.
Alasan IPCMC perlu ditubuhkan adalah untuk PDRM lebih terbuka kepada orang ramai dan kegiatan mereka, khususnya yang devian, dipantau melalui aduan yang diterima daripada anggota masyarakat. Tindakan terhadap yang bersalah dalam PDRM akan diambil, dan dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan.
Tarik tali antara polis, pertubuhan sivil dan penjawat awam mengenai kewajaran diwujudkan IPCMC telah berlanjutan agak panjang dari tahun 2005 ke awal 2019 ini.
Di satu pihak, polis mendapati IPCMC mengancam hak mereka bertindak sepenuhnya. Syak dan buruk sangka terhadap polis tidak baik untuk imej pasukan itu. Pihak polis merasakan seolah-olah kuasa mereka akan dirampas dengan tertubuhnya IPCMC.
Di satu pihak lain pula, khususnya dalam kalangan masyarakat sivil, mendapati oleh kerana wujudnya banyak aduan oleh orang awam mengenai salah laku dan salah guna kuasa di pihak polis maka badan pemantau seperti IPCMC sangat diperlukan untuk membendung perilaku negatif ini sekali gus melindungi rakyat jelata. Tadbir urus pasukan polis akan juga ditambah baik.
Ringkasnya, ada beberapa perkara yang kurang difahami oleh kedua-dua pihak yang mewujudkan kebimbangan dan syak wasangka termasuk soal kuasa, hak merayu, perkara berkaitan disiplin. Pihak polis merasakan mereka akan akan kehilangan kuasa. Pihak penyokong penubuhan IPCMC merasakan rakyat lebih selesa jika kegiatan PDRM dipantau secara terbuka.
Ternyata isu pokok dalam tarik tali antara kedua pihak ini adalah ‘siapa nak jadi polis kepada polis’?
Akhirnya Kerajaan PH dengan konsep Malaysia Baharunya, berjaya menemukan persetujuan antara kedua pihak yang bertelingkah mengenai patut tidaknya ditubuhkan IPCMC. Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) di Jabatan Perdana Menteri telah menjadi orang tengah dalam perundingan antara pihak-pihak berkepentingan dalam merealisasikan inisiatif positif ini. Akhir katanya, persetujuan PDRM amat kritikal untuk menubuhkan IPCMC.
Oleh itu, diisytiharkan baru-baru ini oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa IPCMC akan dibentuk hujung tahun ini setelah Rang Undang-undang IPCMC dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.
Selepas hampir 15 tahun setelah penubuhan IPCMC disarankan barulah ia bakal menjadi kenyataan. Semoga tidak tertangguh lagi demi keamanan, kestabilan dan memelihara perpaduan negara.
Oleh: SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN
No comments:
Post a Comment