KITA sering diperingatkan berhati-hati supaya jangan sampai apa yang kita lakukan menghumban negara dalam keadaan ‘menang jadi arang kalah jadi abu’. Justeru amat tepat apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mahu rakyat bersikap sederhana dalam memperjuangkan hak kaum dan agama bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan. Malaysia adalah negara majmuk. Majoriti penduduknya orang Melayu dan agama rasmi Persekutuan adalah Islam. Oleh itu mana-mana pihak yang mahu membuat tuntutan perlu pastikan tindakan tersebut tidak melampaui batas hingga menggores perasaan orang Melayu.
Tidak salah memperjuang hak kaum dan agama masing-masing, namun apa yang termaktub dalam Perlembagaan sudah cukup molek dan wajar dipertahan sampai bila-bila.
Tetapi malangnya keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah mengubah senario politik negara. Kita terima keputusan rakyat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO dan kita menerima hakikat kuasa politik Melayu semakin lemah. Bagaimanapun ia bukanlah lesen pihak tertentu untuk terlalu banyak membuat tuntutan atau tindakan yang boleh disifatkan menangguk di air keruh. Perbuatan cuba menulis kembali peristiwa berdarah 13 Mei, menuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu, menggesa supaya matrikulasi dihapuskan, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diiktiraf dan pelbagai tuntutan lain bukan tindakan bijak.
Pihak membuat tuntutan itu perlu faham bahawa apa yang dilakukan ibarat memasang bom jangka, apabila tiba masanya ia meledak sudah pasti tiada siapa untung. Oleh itu lebih baik berhati-hati dan tidak melampaui batas dalam membuat apa-apa tuntutan. Percayalah di mana-mana juga perasaan tidak puas hati orang Melayu semakin ketara.
Tetapi orang Melayu sudah diajar tidak bertindak keterlaluan kerana ia bukan ajaran Islam. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 8 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa kamu lakukan.”
Tidak dinafikan ada dalam kalangan umat Islam terpengaruh dengan gerakan radikal dan militan tetapi jumlahnya terlalu kecil. Majoriti orang Melayu masih lagi rasional. Bantahan dilakukan secara berhemah seperti mengadakan perhimpunan aman. Tetapi janganlah apabila orang Melayu berbuat demikian, ada pihak menuduh ia perkauman, bermotif politik atau pelbagai gelaran buruk lain.
Dalam soal rasional dan sederhana ini, ahli-ahli politik juga janganlah membuat kenyataan yang boleh membuka ruang kepada pihak lain menangguk di air keruh, contohnya berhubung isu berkaitan raja-raja. Ketika ini ada keberanian luar biasa sesetengah individu memperlekeh dan menghina raja-raja, apabila pihak polis bertindak maka terpekik terlolonglah puak-puak yang kononnya memperjuang keadilan dan hak asasi manusia. Memperjuang hak asasi dan kebebasan bersuara ada hadnya. Jangan sampai ia membangkit kemarahan sesiapa hingga akhirnya ia menghancurkan segala yang kita bina sejak merdeka lagi.
Percayalah tiada rakyat yang mahukan kekacauan atau huru-hara berlaku di negara ini. Kita mahukan kedamaian. Sudah berpuluh-puluh tahun kita hidup aman damai. Apapun keputusan pilihan raya, ia diterima dengan hati terbuka kerana itu keputusan rakyat. Tetapi janganlah pula apabila melihat kuasa politik Melayu semakin lemah, ada pihak menganggap ini waktu terbaik untuk mencabul perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Berpada-padalah, usah dilihat bagaikan sengaja menjolok sarang tebuan atau cuba bermain api kerana kesannya tidak menguntungkan sesiapa. Kepada orang Melayu, sampai bilakah mereka harus bertelagah? Sampai bilakah mahu menjadi ‘buih-buih di lautan, banyak tetapi tidak mendatangkan manfaat’? Sepatutnya dalam keadaan sekarang, mereka bersatu. Tidak salah untuk berbeza pandangan atau pendapat dalam sesuatu perkara tetapi jangan sampai mencetuskan perpecahan sehingga merugikan mereka sendiri.
Kalaulah pihak lain berbeza fahaman politik boleh sepakat dan senada memperjuang agenda yang menguntungkan mereka, kenapa orang Melayu susah nak bersatu? Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 73 bermaksud; “Dan orang-orang kafir, sesetengah menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu membantu sesama sendiri yang diperintah oleh Allah) itu nescaya akan berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan besar.”
Oleh: Zulkiflee Bakar
No comments:
Post a Comment