Nampaknya gerakan liberalisme di negara ini semakin berani. Mereka semakin berani menonjolkan diri secara terbuka. Tidak lagi bersembunyi seperti dahulu. Mungkin kerajaan sekarang lebih `lunak’ dengan golongan ini. Yalah, semuanya mungkin.
Dahulu mungkin mereka tidak berapa berani seperti sekarang. Mungkin pada masa itu pihak berkuasa lebih tegas baik Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri. Namun segala-galanya kini sudah berubah. Seolah-olah semuanya boleh.
Dibiarkan sahaja golongan ini mencetuskan kontroversi yang jelas menyentuh sensitiviti agama. Secara spesifiknya agama Islam. Apa yang mereka lakukan dilihat cuba mencabar hukum dalam Islam. Mencabar ketetapan yang jelas termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Persoalannya, siapakah yang melakukannya? Mereka ini ialah orang Islam yang secara umumnya tahu akan hukum asas dalam Islam. Namun corak pemikiran mereka cukup berbeza. Mereka telah didoktrinkan dengan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam.
Dari segi definisi, liberalisme adalah satu fahaman sekularisme iaitu yang memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama. Dengan kata lain hak kebebasan individu adalah segala-galanya.
Bagi mereka hak asasi adalah paling utama. Agama tidak boleh menghalang kebebasan seseorang untuk melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar undang-undang negara.
Yang pasti, fahaman liberalisme adalah pemikiran asing yang kini cuba masuk ke dalam aliran pemikiran Islam. Liberalisme menafikan wujudnya hubungan antara agama dan kehidupan. Golongan liberalisme ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga perlu dibuang.
Begitu dahsyatnya pemikiran ini dan sekarang ia berusaha mempengaruhi umat Islam di Malaysia melalui gerakan atau pertubuhan berasaskan liberalisme. Umat Islam perlu berwaspada kerana pendukung-pendukung gerakan ini adalah dalam kalangan orang Islam sendiri. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan terpelajar.
Baiklah, isu yang ingin penulis sentuh minggu ini ialah berkenaan penganjuran forum Malay Woman & Dehijabbing atau maksud dalam bahasa Melayu, Wanita Melayu & Buka Tudung pada 13 April lalu di Petaling Jaya. Dalam forum tersebut ditampilkan beberapa panel yang mengisahkan bagaimana mereka membuat keputusan untuk membuka tudung selepas mengenakan hijab beberapa tahun.
Di samping itu turut dilancarkan buku bertajuk Unveiling Choice yang memuatkan kisah mereka yang membuat pilihan untuk menanggalkan hijab mereka selain mengisahkan apa yang dikatakan `penderitaan’ wanita Muslim dalam konteks pemakaian tudung sebagai salah satu busana yang wajib dipakai.
Persoalannya, apakah tujuan sebenar forum seperti ini dianjurkan? Apakah niat di sebalik penganjuran forum ini? Yang jelas, mereka sengaja menyentuh sensitiviti agama Islam memandangkan hukum menutup aurat adalah wajib. Muktamad.
Dalam Islam menutup aurat baik lelaki mahupun wanita hukumnya wajib. Tiada kompromi. Hukumnya termaktub dalam dua sumber hukum utama dalam Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Penulis percaya masyarakat Islam seluruhnya maklum tentang perkara tersebut. Kalau mereka kata tidak tahu, itu mustahil.
Mengapa pula secara tiba-tiba sahaja ada pihak yang cuba menimbulkan polemik dan kontroversi dengan mempopularkan wanita yang bertudung kemudian mengambil keputusan membuka tudungnya dalam penganjuran forum seumpama ini?
Hakikatnya, penganjuran forum tersebut tidak mendatangkan sebarang faedah dan manfaat sebaliknya boleh mengundang kemarahan dalam kalangan umat Islam negara ini kerana perkara yang disentuh dalam forum itu melibatkan hukum asas dalam agama.
Seperti mana ujar Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid:”Memilih untuk membuka tudung adalah urusan peribadi mereka. Akan tetapi untuk menganjur suatu perbahasan yang menyentuh soal agama tanpa menujuk kepada pihak berautoriti dalam agama memberi implikasi yang negatif kepada Islam.”
Apapun sudah terang lagi bersuluh bahawa penganjuran forum ini sebenarnya bukan setakat mahu mempopularkan wanita membuka tudung (aurat) malah ia adalah gerakan licik puak-puak liberalisme untuk menyebar luas fahaman itu kepada masyarakat Islam di negara ini.
Mereka cuba mengasingkan agama dalam kehidupan dengan meletakkan pilihan individu paling utama. Aurat adalah subjek yang paling mudah digunakan. Justeru, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu melakukan siasatan. Jika benar forum itu mendatangkan mudarat kepada masyarakat Islam, tindakan sewajarnya perlu diambil.
Setakat hari ini, JAIS belum membuat sebarang pengumuman tentang hasil siasatan yang dibuat. Masyarakat Islam masih menunggu akan perkembangannya. Adakah penganjur tersebut bersalah atau sebaliknya.
Bagi penulis, forum-forum seperti ini perlu disekat kerana mudaratnya lebih besar. Ini soal aurat. Mungkin esok luas tentang kebebasan lain pula. Tentang hubungan bebas antara lelaki dan wanita. Mungkin juga akan dianjurkan forum membenarkan perkahwinan sejenis. Nauzubillah. Semuanya berkemungkinan dan inilah yang perlu dibanteras.
Dalam pada itu, penulis amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa keputusan kerajaan mendiamkan diri berhubung penganjuran forum tersebut seolah-olah membuktikan perkara itu hanya dipandang remeh.
Tidak dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, telah ambil maklum dan menyifatkannya sebagai serius namun itu sekadar kata-kata. Hingga hari ini tiada tindakan konkrit diambil terhadap pihak yang terlibat dalam forum berkenaan.
Oleh: Pahit-Pahit Peria
No comments:
Post a Comment