Malaysia baharu atau lain?
PADA pagi 10 Mei, 2018, sekelompok rakyat Malaysia dengan gembiranya mengisytiharkan yang negara ini sudah menjadi “Malaysia baharu,” meletakkan makna-makna yang ditentukan oleh naratif politik yang mereka bawa.
Bagi mereka, Malaysia baharu ialah slogan kemenangan ke atas apa yang didakwa sebagai Malaysia lama dikuasai “kleptokrat” dan segala dasar dan budaya lama merosakkan.
Tetapi kini, menjelang setahun selepas hari bersejarah itu, makna besar yang diletakkan pada slogan politik Malaysia baharu itu semakin kabur, malah terdedah kelemahannya.
Dari sudut politik, dapat diperhatikan gerakan populis meneruskan naratif anti elit yang ditujukan pada kerajaan sebelum ini, apabila cukai GST dan program-program pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan dirombak dan dibatalkan.
Pada masa sama, cerita lebih berbentuk sensasi dan mencetus emosi dibina dan disebar, melibat rampasan barangan mewah dan wang tunai dalam jumlah besar.
Walaupun kelihatan bersifat politik kepartian atau kelompok, permainan imej korupsi elit pemerintah lama ini menjadi satu asas membina naratif untuk menolak segala yang berkait dengan “Malaysia lama.”
Mesej ini mungkin belum jelas terutama bagi orang awam, tetapi menjelang setahun selepas PRU-14, ia sudah makin jelas.
Kedudukan agama Islam, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan keistimewaan Melayu dan Islam yang diinstitusikan semakin digugat, sama ada terang atau tersirat melalui sikap dan tindakan kerajaan baharu.
Pada peringkat awal, mungkin ada yang boleh mendakwa keterlanjuran ini disebabkan oleh kelemahan akibat kekurangan sensitiviti, tetapi selepas setahun, amat naif sekira masih berpegang pada pandangan ini.
Sikap bertentangan dengan asas dan identiti negara ini yang ditunjukkan bukan sesuatu yang baru muncul dan menzahirkan diri selepas PRU ke-14, tetapi sudah muncul dalam pelbagai bentuk sejak lama dulu.
Tetapi sebagai sebahagian strategi politik, tentulah pendirian tidak popular ini tidak dikempen sehebat kempen “Selamatkan Malaysia,” “Tolak rejim kleptokrasi,” dan “Tentang GST yang miskinkan rakyat.”
Di sinilah terletaknya satu kelemahan besar demokrasi liberal, yang perlu kempen kepada rakyat dilaksanakan dalam usaha memperolehi mandat mentadbir negara.
Kempen dan mesej semasa pilihan raya hanya satu daripada bahagian yang disampai parti politik, tetapi keseluruhan kempen ini tidak memberi gambaran sebenar dasar yang akan dilaksana.
Secara mudahnya, dapat difahami bahawa sokongan rakyat diperlukan untuk menang undi yang cukup bagi membentuk kerajaan, tetapi dasar akan dilaksana selepas menang itu tidak lagi memerlukan maklum balas rakyat, termasuk rakyat memberi undi.
Malah, naratif Malaysia baharu di bawa sejak setahun, terbukti menyembunyi satu realiti imperatif kekuasaan malah permusuhan politik.
Sebagai mana mudahnya satu agenda politik ditakrifkan sebagai sebahagian agenda Malaysia baharu, semudah itu juga sebarang kritikan disudutkan sebagai elemen jahat yang menentang agenda disifatkan sebagai murni dan progresif.
Realitinya, satu bahagian besar rakyat Malaysia berpegang nilai konservatif berlandaskan agama Islam, bertentangan sama sekali agenda di bawa pendukung agenda liberal disifat sebagai “Malaysia baharu.”
Pendukung kerajaan mungkin boleh mengemukan senarai perkara dilaksanakan didakwa sebagai sebahagian agenda memartabatkan Islam, membela kepentingan Melayu, dan mempertahankan Perlembagaan, tetapi suasana sejak setahun lalu membuktikan sebaliknya.
Pada 8 Disember, 2018, perhimpunan melibatkan orang Islam terbesar, yang menolak ICERD, berjaya diadakan menggabungkan parti dan kumpulan Melayu dari seluruh negara.
Hakikatnya perhimpunan besar dilakukan sebagai respons sikap PH menunjuk kewujudan sentimen berleluasa, bertentangan aspirasi kerajaan.
Sokongan pihak yang dominan dalam kerajaan yang mahu Statut Rom segera diterima dan diratifikasi juga telah mendedahkan satu pendirian yang bertentangan dengan kepentingan negara.
Dalam kalangan pendukung kerajaan PH, semakin terserlah agenda liberal termasuk perjuangan normalisasi LGBT yang bertentangan dengan norma masyarakat negara ini.
Terkini, wakil rakyat DAP bersuara menggesa normalisasi dengan Israel, menunjukkan pendirian mereka yang sama sekali terasing daripada masyarakat.
Jelas sekali satu agenda utama apa yang diletakkan sebagai “Malaysia baharu” ini berpotensi mengubah keseluruhan asas negara Malaysia, sekali gus menafikan kedudukan Islam dan Melayu yang juga sumber asas dan identiti negara.
Perjuangan membawa Malaysia ke arah perubahan lebih baik, yang membawa kesejahteraan dan menolak elemen-elemen korup pasti mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia, tetapi perjuangan ini bukan yang didasari kepentingan kuasa kelompok tertentu yang membelakangi kepentingan terbanyak.
Rakyat Malaysia pasti mahukan Malaysia baharu yang lebih baik untuk semua, tetapi bukan Malaysia yang lain yang menjadi matlamat kelompok tertentu.
Sejurus menang dan menguasai pentadbiran negara di Putrajaya, kelihatan dengan jelas satu agenda bertentangan dengan asas dan identiti Malaysia ini, apabila dasar, kecenderungan, dan budaya berpolitik baharu memunculkan diri.
Oleh : Haris Zalkapli
No comments:
Post a Comment