Friday, December 16, 2016

Wajibkan Paip Air Di tandas

DALAM usaha kita menjadi sebuah negara maju, ada sesetengah aspek kehidupan orang Barat yang sebenarnya tidak sesuai diamalkan di negara ini.

Paling mudah adalah pembinaan dan penggunaan tandas awam di negara ini sama ada di bangunan kerajaan, bangunan komersial mahupun hotel-hotel yang sepatutnya disediakan paip air bagi membersih diri selepas membuang air.

Malangnya, ada sesetengah pemilik atau pengurus bangunan ini perasan diri mereka ‘mat saleh’ dan hanya menyediakan tisu kepada pengguna.

Penggunaan tisu tandas sebenarnya hanya sesuai di negara beriklim sejuk kerana air sejuk menyakitkan dan boleh merosakkan jika terkena kulit.

Penyebaran bakteria juga tidak ketara kerana cuaca sejuk membunuh atau menghalang kuman merebak pada permukaan kulit mahupun di dalam tandas.

Di negara panas dan tropika seperti Malaysia, penggunaan tisu tandas sangat tidak sesuai kerana bukan sahaja memudahkan kuman merebak pada permukaan kulit dan tandas malah menyukarkan pembersihan tandas jika tiada paip air.

Jika tidak dicuci dengan baik, penyebaran kuman juga boleh membawa kepada penyakit berjangkit seperti taun dan demam kepialu.

Dari sudut sosial dan agama pula, penggunaan tisu tandas tidak sesuai bagi orang Melayu dan Islam malah mengundang perasaan was-was terhadap tahap kesucian badan ketika mahu menunaikan solat.

Saya memohon kementerian dan agensi berwajib tolong pantau isu ini kerana melibatkan kemudahan orang awam dan menjejaskan amalan agama penduduk majoriti di Malaysia.

Jika pihak berwajib tidak mempedulikan perkara semudah ini, rakyat mungkin melihat kerajaan mengikut rentak korporat yang lebih mengutamakan pelancong asing daripada penduduk di negara ini.

Oleh : Iman Muda

6 comments: