Barulah kita tahu bagaimana kaum Cina tidak lagi segan silu untuk turun ke jalanan. Walaupun tidak semua kaum Cina bersetuju dengan demonstrasi tersebut tetapi apa yang berlaku memberi kesedaran kepada orang Melayu begitulah keadaannya jika mereka terus berpecah belah.
Barulah kita tahu rupa-rupanya di negara ini masih ada pihak yang kononnya memiliki barisan peguam yang hebat-hebat seperti Bersih tidak tahu menghormati undang-undang. Mereka mahu berhimpun tetapi tidak mahu mematuhi apa yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Barulah kita tahu rupa-rupanya Bersih tidak suka berhimpun di tempat tertutup, biarpun akan mendapat kerjasama pihak polis. Yang mereka mahu ialah berhimpun di kawasan yang akan menyusahkan orang ramai untuk menjalankan aktiviti di hujung minggu.
Barulah kita tahu bagaimana masih ada ibu bapa yang tidak pandai menjaga keselamatan anak mereka apabila membawa kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa menyertai perhimpunan haram. Di situlah juga, barulah kita tahu rupa-rupanya ada ibu bapa mengajar anak mereka perbuatan biadab termasuk berbaring di jalan raya dan memegang sepanduk tertera perkataan lucah.
Barulah kita tahu, rupa-rupanya perhimpunan yang dihadiri oleh ribuan orang itu memberi kesempatan kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) menampakkan wajah mereka tanpa segan silu.
Barulah kita tahu betapa biadab dan kurang ajarnya sesetengah peserta Bersih apabila bertindak memijak gambar pemimpin seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akibat dipengaruhi politik kebencian.
Barulah kita tahu rupa-rupanya pertubuhan haram Bersih hakikatnya bukan sekadar mahu memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil tetapi mempunyai agenda politik, sebab itulah mereka tidak kisah apabila ahli-ahli politik pembangkang lebih mendominasi perhimpunan tersebut.
Barulah kita tahu betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang menjadi penggubal undang-undang di Parlimen tetapi mereka sendiri melanggar undang-undang dengan menyertai perhimpunan haram demi meraih keuntungan politik.
Barulah kita tahu rupa-rupanya masih ramai rakyat negara ini yang bersedia tidur di jalanan semata-mata demi satu perjuangan yang sia-sia dan melakukan tindakan tidak bertamadun termasuk kencing merata-rata.
Barulah kita tahu, segala kejelekan, kejahilan dan kebodohan serta perbuatan tidak bertamadun sepanjang perhimpunan haram tersebut tidak mampu menggugat semangat patriotik rakyat Malaysia. Ini terbukti apabila di seluruh negara, rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh kebanggaan tanpa terasa terganggu dengan kejahilan dan kebodohan peserta Bersih.
Barulah kita tahu, betapa tingginya toleransi pihak berkuasa khususnya anggota-anggota polis yang tetap tabah dan sabar melihat kerenah serta perbuatan biadab peserta-peserta Bersih. Barulah kita tahu, sesungguhnya orang Melayu tanpa mengira fahaman politik tidak akan teragak-agak untuk bangkit menentang sebarang perbuatan kurang ajar dan penghinaan yang dilakukan oleh peserta Bersih terhadap pemimpin-pemimpin negara.
Rumusannya, banyak perkara yang terdedah melalui perhimpunan haram tersebut dan memberi peringatan bagaimana dalam apa situasi jangan sampai ada kelompok ‘yang sudah diberi betis, kini mahukan paha’. Jika itu berlaku, tiada guna lagi apa yang kita tahu.
No comments:
Post a Comment