Adakah itu dibolehkan beroperasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sedangkan gerai-gerai kecil tepi jalan yang tidak mengganggu lalu lintas, silapnya kerana tidak berlesen dan menjaja di tempat yang sesuai, diangkut pula barang-barangnya oleh pihak berkuasa?
Sesuaikah restoran atau gerai makan beroperasi di tepi jalan besar? Kenapa ada setengah tempat boleh dan ada setengah tempat tidak boleh? Atau sebenarnya tidak boleh langsung?
Kadang-kadang kita semua pun keliru. Mana satukah yang ‘lebih haram’, penjaja-penjaja haram tidak berlesen yang menjual tanpa menyusahkan pengguna jalan raya atau restoran dan gerai makan yang beroperasi secara sah tetapi mengganggu lalu lintas hingga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya?
Contohnya, sebuah restoran di Sungai Besi, di Kuala Lumpur. Terletak betul-betul di jalan besar. Bersebelahan pula dengan stesen minyak yang amat menyukarkan orang ramai yang berurusan di stesen minyak tersebut untuk keluar kerana laluan paling kiri itu telah dipenuhi dengan kereta-kereta pelanggan restoran tersebut. Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas kelam-kabutnya pada waktu malam.
Sedangkan itu adalah jalan utama. Hendak terus masuk ke laluan tengah amat berbahaya kerana semua kenderaan laju-laju belaka. Hendak bermula dari laluan paling kiri sudah penuh dengan kereta-kereta pelanggan restoran terbabit.
Akhirnya terpaksa juga buat stunt masuk ke laluan tengah. Pemandu yang terhegeh-hegeh masuk ke laluan tengah pula sudah pasti menerima isyarat hon yang berpanjangan daripada pemandu-pemandu kenderaan yang sedang meluru laju itu termasuklah daripada penunggang motosikal. Biasalah perangai pemandu-pemandu Malaysia! Lambat sikit hon.
Saya pasti keadaan seperti ini bukan saja berlaku di kawasan terbabit. Banyak lagi restoran yang mengganggu lalu lintas tetapi tidak diambil tindakan. Atau sudah diambil tindakan tetapi denda tidak cukup tinggi dan mereka beroperasi lagi. Jadi yang mana satu, sudah ambil tindakan atau pengusaha memang degil?
Kadang-kadang kita pun selalu mendengar cakap-cakap orang ramai - Penjaja yang kecil-kecil diambil tindakan. Barangan mereka habis diangkut tetapi restoran atau gerai-gerai makan tertentu yang memang terang-terangan menjadi punca kesesakan jalan raya, boleh saja dibiarkan beroperasi. Nampak sangat ‘double standardnya.’ Maka ramai yang bising, pihak PBT hanya bertindak pada yang penjaja yang bertaraf ikan bilis saja, yang jerung dibiarkan lepas.
Dalam pada itu, ada juga cakap-cakap yang menyatakan tempat yang disediakan oleh PBT untuk penjaja-penjaja kecil ini nampak tidak masuk akal. Tempat yang sunyi sepi. Tiada kereta lalu lalang dan promosi juga tiada. Macam mana perniagaan mereka ini mahu hidup?
Sepatutnya, cakap-cakap ini diambil serius oleh PBT. Jangan terus dipekakkan telinga. Jangan guna konsep, jangan dengar sangat cakap orang. Sudah nama pun berurusan dengan orang ramai. Dengarlah aduan dan rungutan orang ramai. Tentu ada sebab dan asas, apabila orang ramai bercakap tentangnya.
Dan yang paling penting adalah keselamatan orang ramai. Membuka restoran di tepi-tepi jalan besar memang amat membahayakan pengguna. Jangan nanti, sudah ada
kemalangan maut baru sibuk-sibuk hendak bertindak. Pengusaha mungkin ada menyediakan kawasan meletak kenderaan. Tetapi ruang terhad dan sempit. Faktor ini perlu dipertimbangkan oleh PBT dalam mengeluarkan lesen.
Begitu juga dengan restoran yang dibenarkan meletakkan kerusi meja di tepi-tepi jalan. Jangan beri kebenaran sebarangan. Tengoklah juga kesesakan lalu lintas di situ. Memanglah negara kita ini mewah dengan restoran dan gerai makan. Siapa yang tidak suka, tetapi agak-agaklah. Tak akanlah lokasinya beberapa inci saja dengan jalan besar yang bertaraf lebuh raya!
Oleh : Fauziah Arof
No comments:
Post a Comment