Orang Cina di Malaysia yang berfikiran rasional pada hemat penulis tidak mungkin bersama perhimpunan Bersih 4.0 kerana mereka tahu sejak sebelum merdeka banyak manfaat yang mereka terima di negara ini.
Anugerah kerakyatan suatu kurnia yang tinggi nilainya kepada mereka dan penerimaan Perlembagaan Negara menjadi kontrak sosial untuk menutup jurang yang terjadi akibat penjajahan dan bersama-sama membangunkan Malaysia.
Penulis percaya sifat muafakat amat penting bagi setiap warga Malaysia supaya saling membantu kerana kemajmukan masyarakatnya menuntut penyantunan yang tinggi. Generasi muda Cina harus dikhabarkan banyak titik hitam dalam sejarah yang patut menjadi ingatan dan pengajaran dan jangan diulangi lagi.
Kemerdekaan yang kita perjuangkan menuntut ketabahan dan kesabaran tinggi supaya ketidakseimbangan yang terjadi dapat diatasi dengan penuh pengertian. Bayangkan, apabila kelompok majoriti masih lagi terpinggir jauh, ini memberi petanda tidak baik kepada Malaysia.
Ini bukan bermakna sejak kemerdekaan orang Cina disekat daripada bergiat dalam menguasai ekuiti (pegangan) dalam ekonomi atau menghalang penubuhan kolej dan universiti swasta untuk mengukuhkan dominasi mereka dalam bidang pendidikan atau membenarkan kewujudan parti politik tetapi orang Melayu menjadi sensitif dalam hala tuju perjuangan DAP dengan impian Malaysianya dan menyebabkan rasa curiga terjadi.
Perhimpunan Bersih 4.0 adalah testimoni memperlihatkan gelagat sebahagian orang Cina yang menolak etika keMalaysiaan dengan berhimpun dan memperlihatkan watak-watak jelik yang menyinggung hati kaum lain. Memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah amalan orang bertamadun. Membawa penyapu dilihat sebagai lambang yang amat menghina dan menghidupkan ingatan kepada Peristiwa 13 Mei 1969.
Gelagat ini amat menyinggung banyak pihak kerana boleh menyemarakkan semula api perkauman yang tidak mudah untuk dipadamkan. Kalau di Singapura, ini tidak mungkin dibenarkan terjadi.
Di Malaysia walaupun Bersih 4.0 diharamkan namun penganjurnya tetap melanggar undang-undang dan memberi isyarat yang tidak baik untuk negara. Bagi Pas ketidakhadiran pemimpin dan ahli-ahlinya adalah suatu kemujuran kerana ini menjadi ukuran mengenai kekuatan golongan kecewa yang diketuai oleh Mohamad Sabu. Penubuhan parti baharu bukanlah jawapan terhadap kemajuan dan pembangunan Malaysia sebaliknya golongan kecewa ini sanggup menjadi lembu-laga DAP untuk memerintah Malaysia dengan restu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam tinjauan penulis, Bersih 4.0 membuka mata kelompok majoriti dalam negara ini mengenai belang orang Cina DAP mengenai masa depan dan melemahkan MCA dan Gerakan kerana pendekatan sederhana yang diambil bersama dengan UMNO. Bayangkan kalau takdirnya Pas dan UMNO mengambil jalan kerjasama sesuatu yang paling ditakuti oleh DAP. Sebab itu, DAP amat mendukung kelompok yang kecewa dalam Pas supaya mereka boleh menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Orang Melayu yang berfikiran sederhana amat sedar tentang strategi DAP dan kumpulan kecewa ini. Malangnya, orang Melayu kononnya dari kelompok gerakan Islam dan profesional mengambil pendekatan demikian kerana membenci UMNO dan ingin menjulang Anwar, salah atau benar seperti yang dilakukan oleh DAP walaupun DAP tahu siapa Anwar sebenarnya.
Strategi dan cara DAP ini amat berbahaya kepada hari depan Malaysia seperti perhimpunan Bersih 4.0 dan menyebabkan pandangan majoriti orang Melayu terhadap orang Cina dalam kecurigaan. Hakikatnya, kecurigaan mudah terjadi tetapi membina persefahaman payah sekali. Orang Cina yang matang dan rasional harus memahami ini supaya generasi mudanya menginsafi bahawa muafakat dan kerjasama adalah jalan keluar daripada kemelut.
Jangan biarkan emosi menguasai diri dan retorik yang membakar semangat terjelma. Kebijaksanaan membangun negara amat dituntut kerana Malaysia kini masih sebuah negara yang aman dan terus membangun dengan sumbangan semua pihak.
Dari Jendela Tok Ki
No comments:
Post a Comment