Sunday, September 13, 2015

Ada Apa Dengan Filem Gangster Malaysia?

Malaysia memiliki pelbagai jenis filem yang mendapat perhatian ramai. Namun, di antara pelbagai jenis filem ini, filem bercorak gangster sering mendapat sambutan hangat di panggung wayang. Filem gangster ini dilihat juga dari sisi penerbit filem sebagai jenis filem yang memberi untung. Adakah masyarakat Malaysia gemar kepada filem sebegini? Adakah rakyat Malaysia gemar menjadi gangster? Adakah rakyat Malaysia ini ganas? Adakah jenayah merupakan satu bentuk hiburan fiksyen kepada rakyat Malaysia?

Ini merupakan jenis-jenis soalan yang selalu timbul apabila isu lambakan filem gangster muncul. Di Malaysia, filem gangster bergerak dalam beberapa sub-genre seperti komedi gangster dan seram gangster. Malaysia merupakan negara yang unik dan sering memberi makna rojak kepada filem. Justeru, kita sukar untuk menentukan apakah filem gangster di Malaysia ini benar-benar gangster atau hanya filem yang berpura-pura gangster?

Filem gangster di Malaysia sebenarnya boleh dianggap sebagai keliru kerana kita tidak memiliki identiti gangster yang sebenarnya. Kita tidak merujuk kepada dunia gangster yang sebenar dan kita gagal memahami perilaku dan organisasi gangster itu sendiri. Gangster secara realiti di Malaysia dan gangster di alam filem di Malaysia sememangnya berbeza dan jauh sekali untuk dibandingkan. Kita ambil contoh mudah mengenai filem gangster yang sering diperkatakan di Malaysia.

Judulnya sudah pasti ramai yang tahu. KL Gangster, terbitan Skop Production tahun 2011 dan diarahkan oleh Syamsul Yusof. Filem ini dilihat seolah-olah membuka dimensi baru kepada jenis filem gangster di Malaysia. Walaupun filem ini memiliki kekuatan dari segi teknikal, namun saya tidak gemar akan filem ini. Bagi saya filem ini tidak memiliki nafas yang cukup sebagai sebuah filem gangster. Filem KL Gangster ini diikuti dengan sekuelnya berjudul KL Gangster 2, terbitan produksi sama dan diarahkan oleh pengarah yang sama pada tahun 2013.

Bagi saya kedua-dua filem ini bukanlah sebuah filem yang menonjolkan kebijaksanaan organisasi gangster, tetapi lebih menunjukkan gangster ialah sampah dan penyakit masyarakat yang perlu dihindari. Namun, di sini kita perlu memikirkan juga niat pembikin itu sendiri. Mungkin niat pembikin itu mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa gangster ialah satu perkara yang perlu dijauhi. Melalui niat sebegini tidak salah untuk kita melihat filem gangster Malaysia hanya sekadar bentuk pesanan moral semata-mata. Gangster di dalam filem di Malaysia dilihatkan sebagai individu yang suka mengamuk, suka memukul ibu dan bapa, suka merogol adik sendiri, tidak mempedulikan keluarga, suka bercakap dalam bahasa Melayu yang berbunyi seperti Cina walaupun yang bercakap itu ialah Melayu, suka mencuri duit ahli keluarga, suka bersembang kuat-kuat di khalayak ramai, suka menembak, tetapi selalu tidak tepat pada sasaran, lebih suka bertumbuk daripada menggunakan pistol dan yang lebih penting gangster-gangster ini sering berebut kawasan, tetapi kita tidak tahu kawasan apa yang direbut dan tidak ada pembahagian kawasan yang jelas diceritakan. Kita juga tidak mengetahui apa bentuk perniagaan yang dijalankan oleh gangster-gangster ini.

Melalui senarai ini kita dapat menentukan sendiri sama ada gangster di dalam filem Malaysia memiliki keupayaan watak yang kuat atau pun tidak. Gangster di Malaysia sekadar iklan moral yang menunjukkan betapa buruknya perangai kamu jika kamu seorang gangster. Bukan sahaja kedua-dua filem arahan Syamsul Yusof ini sahaja kelihatan tidak real sebagai sebuah filem gangster, tetapi banyak lagi filem-filem gangster tempatan yang kurang kualiti dan nilai gangsternya. Di antara filem berkenaan termasuklah Kongsi, Mael Lambong, Bini-Biniku Gangster, Gangster Celop dan beberapa lagi filem lain yang ada kaitan dengan gangster.

Namun, satu persoalan besar muncul di sini. Adakah dunia gangster yang digambarkan di dalam filem-filem gangster Melayu sama seperti realiti yang berlaku di alam gangster Malaysia. Adakah sebenarnya gangster di Malaysia sememangnya tidak memiliki organisasi dan cara kerja yang bijak? Itu kita tidak tahu. Mungkin juga rujukan yang ada adalah terhad dan kekangan yang dihadapi misalnya kawalan kreatif menyebabkan kita hanya dapat menghasilkan filem gangster yang menunjukkan gangster hanya tahu berkumpul ramai-ramai dan bertumbuk. Kita tidak didedahkan dengan perihal organisasi. Misalnya seperti apa yang dilakukan oleh Francis Ford Coppola dalam trilogi The Godfather dan apa yang didedahkan oleh Martin Scorsese di dalam filem Goodfellas danCasino.

Kita dapat lihat bagaimana di dalam The Godfather, gangster atau mafia digambarkan sebagai memiliki organisasi yang teratur, menyayangi keluarga, bijak di dalam membuat keputusan dan sentiasa nampak cermat serta berpakaian kemas. Gangster di dalam trilogi The Godfather bukanlah gangster yang hanya tahu bertumbuk atau menggunakan senjata api, tetapi Gangster di dalam filem berkenaan ialah Gangster yang mahir berkomunikasi, memiliki seni rundingan yang tinggi dan cekap di dalam menggunakan kesempatan terhadap musuh. Mereka tidak berkumpul beramai-ramai di tengah-tengah jalan dan bersembang-sembang sambil berbalas-balas pantun dan kemudian diikuti dengan pergaduhan beramai-ramai. Babak ini sering diulang-ulang beberapa kali di dalam filem-filem gangster Melayu. Tidak sesekali kita dapat mengesan kebijaksanaan Gangster berkenaan menyelesaikan masalah. Di dalam The Godfather membunuh adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah dan cara membunuh di dalam filem The Godfather ditonjolkan secara pelbagai, ada yang dibunuh dengan mesingan, ada yang mati terkena jerutan, ada yang mati sakit semulajadi, ada yang mati ditembak di kepala.

Begitu juga dengan Goodfellas (1990). Kita dapat melihat bagaimana cukup teratur dan bersahaja penonjolan gangster yang dipaparkan. Gangster dilihat tenang dan berfikir dalam menyelesaikan masalah dan mereka benar-benar diletakkan dalam dunia mereka. Apabila kita menonton Goodfellaskita akan merasakan dan terdetik di dalam hati, begitu cool menjadi seorang gangster. Segala-galanya nampak teratur, jenayahnya terancang dan bukan membabi buta. Setiap perkara diambil sebagai perkiraan risiko dan apa yang boleh membebankan organisasi akan ditolak keluar. Kita lihat bagaimana watak Tommy DeVito lakonan hebat Joe Pesci di dalam filem ini. Watak ini dipaparkan sebagai seorang gangster yang psiko, panas baran dan sering menimbulkan masalah termasuk membunuh sesuka hati tanpa membuat pertimbangan wajar. Namun, Tommy dipaparkan sebagai seorang lelaki yang sayangkan ibunya dan tidak berlembut sewaktu bertutur kata dengan ibunya.

Sebuah filem Tamil hebat, Jigarthanda (2014) arahan Karthik Subbaraj juga boleh ditakrifkan sebagai sebuah filem gangster yang cukup rasa dan benar-benar memberikan kita sentakan mengenai bagaimana sebuah filem gangster harus dibikin. Kita lihat bagaimana watak ketua gangster bernama Sethu lakonan memberangsangkan Bobby Simha beraksi. Mengekalkan ciri-ciri gangster dari India, namun bentuk filem ini dibikin menghampiri corak yang dibuat oleh Quentin Tarantino dan Martin Scorsese. Pengaruh kedua-dua mereka di dalam filem ini jelas dapat dirasai. Bayangkan sebuah filem gangster Tamil dengan pengaruh Tarantino. Filem ini berjaya menjauhi tipikaliti filem gangster Tamil sebelum ini yang sering disulami dengan adegan-adegan pergaduhan yang tidak masuk akal dan melangkaui hukum fizik. Jika kita di Malaysia masih merasakan Hollywood itu terlalu jauh untuk dicontohi, kita boleh mula belajar dengan Karthik Subbaraj.

Walaupun begitu, masih terdapat filem gangster yang berkualiti daripada pembikin filem tempatan dan ini termasuklah Amir & Loqman Pergi Ke Laut (2014) arahan Mamat Khalid. Filem sebenarnya cuba membetulkan semula definisi filem Melayu dari segi teknik dan latarnya. Lihat sahaja watak-watak gangster di dalam filem ini, tidak perlu bercakap pelat Cina dan terjerit-jerit, semuanya dilakukan dengan tenang. Tidak perlu tatu naga atau ular, tetapi tetap berjaya menakutkan lawan. Lihat watak lakonan Kaza yang hanya berseluar biasa dan berbaju Melayu, tetapi mampu menjadi pembunuh upahan yang berkesan, lihat juga Dewa Sapri yang kelihatan seperti orang tua yang tidak mampu, tetapi mampu membunuh. Ini hanya fragmen kepada ulasan Amir & Loqman Pergi Ke Lautdan sekadar mahu menyebut bahawa filem gangster tempatan yang baik.

Pembikin filem yang mahu membikin filem gangster, seharusnya memahami organisasi dan perlakukan gangster di Malaysia. Adaptasi daripada kisah-kisah sebenar di Malaysia boleh diangkat untuk dijadikan filem. Misalnya kisah organisasi Geng Mamak yang berjaya menggemparkan negara pada 31 Ogos 1994 dengan hasil rompakan jongkong emas bernilai RM9.6 juta di Terminal B, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Kisah Geng Mamak ini jika difilemkan sudah tentu akan menjadi sebuah filem yang hebat, jika kena pada tangan pengarah, penulis lakon layar dan pelakonnya. Kisah tentang bagaimana organisasi ini tertubuh, bagaimana rancangan rompakan besar ini berjaya dilaksanakan tanpa mengorbankan nyawa sesiapa pun dan bagaimana pengakhiran organisasi geng ini. Ini merupakan di antara skop penceritaan yang boleh dikembangkan dengan baik lagi. Sebuah filem gangster yang baik, mesti berasaskan kepada organisasi yang sebenar. Namun, adakah Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan membenarkan semua ini? Saya tiada jawapan untuk itu. – Roketkini 

Sampah Yang Memualkan.....!

Thursday, September 10, 2015

Benarkah PBT Double Standard?

Apakah statusnya restoran atau gerai makan yang dibuka di tepi jalan besar sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas kerana kenderaan-kenderaan pelanggan yang memenuhi sebahagian ruang jalan berkenaan?

Adakah itu dibolehkan beroperasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sedangkan gerai-gerai kecil tepi jalan yang tidak mengganggu lalu lintas, silapnya kerana tidak berlesen dan menjaja di tempat yang sesuai, diangkut pula barang-barangnya oleh pihak berkuasa?

Sesuaikah restoran atau gerai makan beroperasi di tepi jalan besar? Kenapa ada setengah tempat boleh dan ada setengah tempat tidak boleh? Atau sebenarnya tidak boleh langsung?

Kadang-kadang kita semua pun keliru. Mana satukah yang ‘lebih haram’, penjaja-penjaja haram tidak berlesen yang menjual tanpa menyusahkan pengguna jalan raya atau restoran dan gerai makan yang beroperasi secara sah tetapi mengganggu lalu lintas hingga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya?

Contohnya, sebuah restoran di Sungai Besi, di Kuala Lumpur. Terletak betul-betul di jalan besar. Bersebelahan pula dengan stesen minyak yang amat menyukarkan orang ramai yang ber­urusan di stesen minyak tersebut untuk keluar kerana laluan paling kiri itu telah dipenuhi dengan kereta-kereta pelanggan restoran tersebut. Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas ke­lam-kabutnya pada waktu malam.

Sedangkan itu adalah jalan utama. Hendak terus masuk ke laluan tengah amat berbahaya kerana semua kenderaan laju-laju belaka. Hendak bermula dari laluan paling kiri sudah penuh dengan kereta-kereta pelanggan restoran terbabit.

Akhirnya terpaksa juga buat stunt masuk ke laluan tengah. Pemandu yang terhegeh-hegeh masuk ke laluan tengah pula sudah pasti menerima isyarat hon yang berpanjangan daripada pemandu-pemandu kenderaan yang sedang meluru laju itu termasuklah daripada penunggang motosikal. Biasalah perangai pemandu-pemandu Malaysia! Lambat sikit hon.

Saya pasti keadaan seperti ini bukan saja berlaku di kawasan terbabit. Banyak lagi restoran yang mengganggu lalu lintas tetapi tidak diambil tindakan. Atau sudah diambil tindakan tetapi denda tidak cukup tinggi dan mereka beroperasi lagi. Jadi yang mana satu, sudah ambil tindakan atau pengusaha memang degil?

Kadang-kadang kita pun selalu mendengar cakap-cakap orang ramai - Penjaja yang kecil-kecil diambil tindakan. Barangan mereka habis diangkut tetapi restoran atau gerai-gerai makan tertentu yang memang terang-terangan menjadi punca kesesakan jalan raya, boleh saja dibiarkan beroperasi. Nampak sangat ‘double standardnya.’ Maka ramai yang bising, pihak PBT hanya bertindak pada yang penjaja yang bertaraf ikan bilis saja, yang jerung dibiarkan lepas.

Dalam pada itu, ada juga cakap-cakap yang menyatakan tempat yang disediakan oleh PBT untuk penjaja-penjaja kecil ini nampak tidak masuk akal. Tempat yang sunyi sepi. Tiada kereta lalu lalang dan promosi juga tiada. Macam mana perniagaan mereka ini mahu hidup?

Sepatutnya, cakap-cakap ini diambil serius oleh PBT. Jangan terus dipekakkan telinga. Jangan guna konsep, jangan dengar sangat cakap orang. Sudah nama pun berurusan dengan orang ramai. Dengarlah aduan dan rungutan orang ramai. Tentu ada sebab dan asas, apabila orang ramai bercakap tentangnya.

Dan yang paling penting adalah keselamatan orang ramai. Membuka restoran di tepi-tepi jalan besar memang amat membahayakan pengguna. Jangan nanti, sudah ada

kemalangan maut baru sibuk-sibuk hendak bertindak. Pengusaha mungkin ada menyediakan kawasan meletak kenderaan. Tetapi ruang terhad dan sempit. Faktor ini perlu dipertimbangkan oleh PBT dalam mengeluarkan lesen.

Begitu juga dengan restoran yang dibenarkan meletakkan kerusi meja di tepi-tepi jalan. Jangan beri kebenaran sebarang­an. Tengoklah juga kesesakan lalu lintas di situ. Memanglah negara kita ini mewah dengan restoran dan gerai makan. Siapa yang tidak suka, tetapi agak-agaklah. Tak akanlah loka­sinya beberapa inci saja dengan jalan besar yang bertaraf lebuh raya!

Oleh : Fauziah Arof

Tuesday, September 8, 2015

Bersih 4.0 Kotorkan Pandangan Terhadap Cina

Orang Cina di Malaysia yang berfikiran rasional pada hemat penulis tidak mungkin bersama perhimpunan Bersih 4.0 kerana mereka tahu sejak sebelum merdeka banyak manfaat yang mereka terima di negara ini.

Anugerah kerakyatan suatu kurnia yang tinggi nilainya kepada mereka dan penerimaan Perlembagaan Negara menjadi kontrak sosial untuk menutup jurang yang terjadi akibat penjajahan dan bersama-sama membangunkan Malaysia.

Penulis percaya sifat muafakat amat penting bagi setiap warga Malaysia supaya saling membantu kerana kemajmukan masyarakatnya menuntut penyantunan yang tinggi. Generasi muda Cina harus dikhabarkan banyak titik hitam dalam sejarah yang patut menjadi ingatan dan pengajaran dan jangan diulangi lagi.

Kemerdekaan yang kita perjuangkan menuntut ketabahan dan kesabaran tinggi supaya ketidakseimbangan yang terjadi dapat diatasi dengan penuh pengertian. Bayangkan, apabila kelompok majoriti masih lagi terpinggir jauh, ini memberi petanda tidak baik kepada Malaysia.

Ini bukan bermakna sejak kemerdekaan orang Cina disekat daripada bergiat dalam menguasai ekuiti (pegangan) dalam ekonomi atau menghalang penubuhan kolej dan universiti swasta untuk mengukuhkan dominasi mereka dalam bidang pendidikan atau membenarkan kewujudan parti politik tetapi orang Melayu menjadi sensitif dalam hala tuju perjuangan DAP dengan impian Malaysianya dan menyebabkan rasa curiga terjadi.

Perhimpunan Bersih 4.0 adalah testimoni memperlihatkan gelagat sebahagian orang Cina yang menolak etika keMalaysiaan dengan berhimpun dan memperlihatkan watak-watak jelik yang menyinggung hati kaum lain. Memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah amalan orang bertamadun. Membawa penyapu dilihat sebagai lambang yang amat menghina dan menghidupkan ingatan kepada Peristiwa 13 Mei 1969.

Gelagat ini amat menyinggung banyak pihak kerana boleh menyemarakkan semula api perkauman yang tidak mudah untuk dipadamkan. Kalau di Singapura, ini tidak mungkin dibenarkan terjadi.

Di Malaysia walaupun Bersih 4.0 diharamkan namun penganjurnya tetap melanggar undang-undang dan memberi isyarat yang tidak baik untuk negara. Bagi Pas ketidakhadiran pemimpin dan ahli-ahlinya adalah suatu kemujuran kerana ini menjadi ukuran mengenai kekuatan golongan kecewa yang diketuai oleh Mohamad Sabu. Penubuhan parti baharu bukanlah jawapan terhadap kemajuan dan pembangunan Malaysia sebaliknya golongan kecewa ini sanggup menjadi lembu-laga DAP untuk memerintah Malaysia dengan restu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam tinjauan penulis, Bersih 4.0 membuka mata kelompok majoriti dalam negara ini mengenai belang orang Cina DAP mengenai masa depan dan melemahkan MCA dan Gerakan kerana pendekatan sederhana yang diambil bersama dengan UMNO. Bayangkan kalau takdirnya Pas dan UMNO mengambil jalan kerjasama sesuatu yang paling ditakuti oleh DAP. Sebab itu, DAP amat mendukung kelompok yang kecewa dalam Pas supaya mereka boleh menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Orang Melayu yang berfikiran sederhana amat sedar tentang strategi DAP dan kumpulan kecewa ini. Malangnya, orang Melayu kononnya dari kelompok gerakan Islam dan profesional mengambil pendekatan demikian kerana membenci UMNO dan ingin menjulang Anwar, salah atau benar seperti yang dilakukan oleh DAP walaupun DAP tahu siapa Anwar sebenarnya.

Strategi dan cara DAP ini amat berbahaya kepada hari depan Malaysia seperti perhimpunan Bersih 4.0 dan menyebabkan pandangan majoriti orang Melayu terhadap orang Cina dalam kecurigaan. Hakikatnya, kecurigaan mudah terjadi tetapi membina persefahaman payah sekali. Orang Cina yang matang dan rasional harus memahami ini supaya generasi mudanya menginsafi bahawa muafakat dan kerjasama adalah jalan keluar daripada kemelut.

Jangan biarkan emosi menguasai diri dan retorik yang membakar semangat terjelma. Kebijaksanaan membangun negara amat dituntut kerana Malaysia kini masih sebuah negara yang aman dan terus membangun dengan sumbangan semua pihak.

Dari Jendela Tok Ki

Saturday, September 5, 2015

Bersih: Barulah Kita Tahu...

BARULAH kita tahu betapa buruknya apabila sesebuah perhimpunan haram diadakan seperti mana dapat disaksikan pada Sabtu dan Ahad lalu. Barulah kita tahu bahawa dalam kalangan rakyat negara ini masih ramai yang tidak tahu menghormati undang-undang. Barulah kita tahu masih ramai yang suka melakukan perbuatan tidak bertamadun.

Barulah kita tahu bagaimana kaum Cina tidak lagi segan silu untuk turun ke jalanan. Walaupun tidak semua kaum Cina bersetuju dengan demonstrasi tersebut tetapi apa yang berlaku memberi kesedaran kepada orang Melayu begitulah keadaannya jika mereka terus berpecah belah.

Barulah kita tahu rupa-rupanya di negara ini masih ada pihak yang kononnya memiliki barisan peguam yang hebat-hebat seperti Bersih tidak tahu menghormati undang-undang. Mereka mahu berhimpun tetapi tidak mahu mematuhi apa yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Barulah kita tahu rupa-rupanya Bersih tidak suka berhimpun di tempat tertutup, biarpun akan mendapat kerjasama pihak polis. Yang mereka mahu ialah berhimpun di kawasan yang akan menyusahkan orang ramai untuk menjalankan aktiviti di hujung minggu.

Barulah kita tahu bagaimana masih ada ibu bapa yang tidak pandai menjaga keselamatan anak mereka apabila membawa kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa menyertai perhimpunan haram. Di situlah juga, barulah kita tahu rupa-rupanya ada ibu bapa mengajar anak mereka perbuatan biadab termasuk berba­ring di jalan raya dan memegang sepanduk tertera perkataan lucah.

Barulah kita tahu, rupa-rupanya perhimpunan yang diha­diri oleh ribuan orang itu memberi kesempatan kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) menampakkan wajah mereka tanpa segan silu.

Barulah kita tahu betapa bia­dab dan kurang ajarnya sesetengah peserta Bersih apabila bertindak memijak gambar pemimpin seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akibat dipengaruhi politik kebencian.

Barulah kita tahu rupa-rupa­nya pertubuhan haram Bersih hakikatnya bukan sekadar mahu memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil tetapi mempunyai agenda politik, sebab itulah mereka tidak kisah apabila ahli-ahli politik pembangkang lebih mendominasi perhimpunan tersebut.

Barulah kita tahu betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang menjadi penggubal undang-undang di Parlimen tetapi mereka sendiri melanggar undang-undang dengan menyertai perhimpunan haram demi meraih keuntungan politik.

Barulah kita tahu rupa-rupanya masih ramai rakyat negara ini yang bersedia tidur di jalanan semata-mata demi satu perjuangan yang sia-sia dan melakukan tindakan tidak bertamadun termasuk kencing merata-rata.

Barulah kita tahu, segala kejelekan, kejahilan dan kebodohan serta perbuatan tidak bertamadun sepanjang perhimpunan haram tersebut tidak mampu menggugat semangat patriotik rakyat Malaysia. Ini terbukti apabila di seluruh negara, rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh kebanggaan tanpa terasa terganggu dengan kejahilan dan kebodohan peserta Bersih.

Barulah kita tahu, betapa tingginya toleransi pihak berkuasa khususnya anggota-anggota polis yang tetap tabah dan sabar melihat kerenah serta perbuatan biadab peserta-peserta Bersih. Barulah kita tahu, sesungguhnya orang Melayu tanpa mengira fahaman politik tidak akan teragak-agak untuk bangkit menentang sebarang perbuatan kurang ajar dan penghinaan yang dilakukan oleh peserta Bersih terhadap pemimpin-pemimpin negara.

Rumusannya, banyak perkara yang terdedah melalui perhimpunan haram tersebut dan memberi peringatan bagaimana dalam apa situasi jangan sampai ada kelompok ‘yang sudah diberi betis, kini mahukan paha’. Jika itu berlaku, tiada guna lagi apa yang kita tahu.

Wednesday, September 2, 2015

‘Malaya Untuk Orang Melayu’, Kata Khoo Kay Kim

BANGI – Perbalahan antara kaum yang berlaku di negara ini berpunca daripada kejahilan generasi muda berkenaan sejarah.

Pihak yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak mengetahui bahawa hak keistimewaan itu sudah lama wujud dan diiktiraf oleh pihak British.

“Kalau kita memberi tumpuan kepada sejarah, kita (akan) faham apa sebenarnya yang telah berlaku. British tak pernah menafikan ini adalah tanah orang Melayu.

“Pada tahun 1931, di Durbar, persidangan Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Seri Menanti memang sudah ditetapkan, ‘Malaya for the Malays’, itu sangat jelas, sebelum perang dulu, tak ada orang menyoal masa itu,” kata pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dalam satu temu bual eksklusif oleh Ismaweb di pejabatnya di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika British berada di Tanah Melayu, orang Melayu mempunyai kelebihan berdasarkan status ‘rakyat raja’ yang diberikan kepada orang Melayu yang lahir di negeri-negeri Melayu ketika itu.
“Sepanjang masa British di sini, (hak istimewa Melayu) sudah ada, walaupun bukan dipanggil Perkara 153.

“Sebelum perang dunia kedua, sesiapa yang lahir di Negeri-Negeri Selat, Pulau Pinang, Melaka, Singapura, – Negeri-Negeri Selat itu dipanggil Tanah Jajahan Mahkota British – sesiapa yang lahir di situ termasuk orang Melayu menjadi rakyat British. Sesiapa yang lahir di negeri-negeri Melayu kalau ibu bapa mereka adalah orang Melayu, mereka menjadi rakyat raja. Kalau ibu bapa bukan orang Melayu, mereka menjadi stateless citizen.

“Kalau orang Melayu melangar undang-undang, membuat kesalahan serius, mereka boleh dibuang negeri tapi buat sementara, kemudian boleh kembali ke sini, Tanah Melayu tempat asal mereka.
“Tapi orang bukan Melayu dihantar balik ke negara asal, tak boleh balik sini.

“Jadi perbezaan itu sangat jelas,” katanya lagi.

Justeru beliau menyeru semua pihak agak kembali melihat sejarah bagi mengelakkan perbalahan antara kaum berlaku.

“Kalau kita tahu bagaimana keadaan dulu, bagaimana sempurnanya masyarakat kita, tiba-tiba timbul macam-macam masalah (hari ini), jadi kita seharusnya cuba kembali kepada keadaan dulu, yang sudah lepas tak semestinya tak baik, banyak yang lebih baik daripada sekarang,” katanya lagi.

Beliau tidak menolak kepentingan menjaga kaum sendiri tetapi seseorang yang telah menjadi warganegara mesti menzahirkan cintanya kepada negara kelahirannya mengatasi negara asal keturunannya.

“Pemikiran mereka macam itulah sejak kecil lagi memang tertumpu kepada keturunan mereka. 
Mereka tak faham, keturunan itu walaupun penting, tapi kalau seseorang itu sudah menjadi warganegara sesebuah negara, katalah seorang berasal dari Australia, dia duduk di Jepun kemudian menjadi warganegara Jepun, dia seharusnya menunjukkan perasaan cinta pada Jepun.

“Dia tak boleh kata Australia lebih penting dari Jepun, tapi (kefahaman) ini tidak dijelaskan kepada golongan muda, golongan muda tak faham tentang ini semua,” katanya – http://www.ismaweb.net