Friday, June 19, 2015

Nasib Melayu-Islam Sekiranya BN Tewas

Dengan takdir pembangkang menang (bukan sangat kerana mereka kuat) tetapi kerana pengundi dan raakyat jelata menyampah dengan BN, analisis saya adalah seperti berikut:-

1. Setelah menyaksikan apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh pakatan pembangkang sejak 2008, tidak ada perubahan besar akan berlaku kepada orang Melayu dan agama Islam.

2. Kita telah melihat kedaifan orang Melayu Kelantan di bawah pemerintahan PAS sejak awal Merdeka. Setelah PAS menyertai pakatan pembangkang pun nasib orang Melayu Kelantan sama saja – mundur dan miskin.

3. Orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain akan terus menikmati hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh institusi raja berperlembagaan.

4. Orang Melayu dan kaum Bumiputera lain akan terus “digula-gulakan” seperti yang dilakukan oleh BN selama ini dan sudah pun ditiru oleh pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang demi mendapatkan undi majoriti mereka. Yang mungkin berbeza hanya kaedahnya saja.

5. Parti atau pakatan mana pun yang memerintah memerlukan sokongan Bumiputera kerana mereka bukan saja majoriti, tetapi bilangan mereka lebih pantas berkembang berbanding Cina dan India.

6. Parti atau pakatan mana pun yang memerintah memerlukan sokongan orang Melayu-Bumiputera kerana mereka menguasai pentadbiran awam, polis dan tentera. Kakitangan awam, polis dan tentera yang didominasi oleh orang Melayu-Bumiputera mudah dilembutkan hatinya melalui kenaikan gaji biarpun tidak banyak mana.

7. Orang Melayu-Bumiputera miskin mudah diambil hatinya dan ditambat taat setianya dengan menaikkan kadar subsidi pendapatan ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

8. Pakatan pembangkang akan menuai hasil yang lumayan dengan mengatakan bahawa kenaikan subsidi dan gaji adalah hasil penghapusan pemborosan, gaya hidup mewah, salah guna kuasa dan rasuah zaman BN.

9. Sesiapa pun yang menggantikan BN akan menjadi lebih popular dan diyakini jika berani mengambil tindakan yang lebih tegas seperti menyiasat, mendakwa dan menghukum pemimpin BN dan tali barut mereka atas kesalahan jenayah.

10. Penambahan subsidi pendapatan kepada orang Melayu-Bumiputera akan juga menguntungkan orang miskin daripada semua bangsa dan kaum kerana mereka juga akan mendapat layanan yang serupa.

11. Hal-hal berkaitan agama Islam dan adat resam orang Melayu tidak akan dan tidak boleh disentuh sesuka hati kerana ia berada bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu. Pengalaman kerajaan pembangkang di Selangor dan Perak cukup untuk meyakinkan mereka bahawa “kuasa” Raja-raja Melayu terlalu sensitif untuk diapa-apakan. Hanya pendirian Raja-raja Melayu sahaja yang boleh menjejaskan Islam dan adat resam Melayu.

12. Apabila orang Melayu-Bumiputera sudah diambil hatinya melalui penambahan subsidi pendapatan, kenaikan gaji dan pembaikan syarat perkhidmatan, kerajaan baru bolehlah mengisi tuntutan orang Cina dan India dengan lebih mudah.

13. Orang Cina dan India, khususnya kelas perniagaan dan ikhtisas (profesional), lebih tinggi tuntutannya dan mereka inilah yang akan mempengaruhi dasar dan pendekatan pengganti BN dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

14. Mereka pasti menuntut hak dan peranan yang lebih luas dalam penentuan dasar-dasar negara, khususnya yang berkaitan ekonomi, pendidikan dan guna tenaga.

15. Mereka pasti menuntut penyertaan yang lebih luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang kini didominasi oleh Bumiputera.

16. Dalam sfera inilah kuasa dan pengaruh Bumiputera paling tercabar. PR pastinya tidak akan memberi keutamaan kepada usahawan Bumiputera yang dilihat sebagai proksi atau tali barut parti-parti BN dan akan menjadikan kegagalan korporat (corporate failure) GLC dan GLIC sebagai alasan meminggirkan eksekutif Bumiputera.

17. Pembatalan dan perundingan semula kontrak, konsesi dan pinjaman mudah akan menjadi amalan seperti yang sudah dilihat berlaku kepada perjanjian air dan konsesi lebuh raya bertol di Selangor.

18. Tanda tanya besar sekarang hanyalah sama ada pakatan pembangkang boleh dipulihkan tanpa PAS dan kembali kuat sebelum PRU akan datang.

19. PAS boleh memilih untuk menjadi parti dakwah yang berharapan menang hanya di negeri-negeri miskin seperti Kelantan atau terus berkongsi dengan DAP dan PKR untuk memerintah negara.

20. Pakatan pembangkang masih boleh berkuasa jika mendapat sokongan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah. Parti-parti suku kaum ini umumnya bebas daripada pengaruh BN pusat dan mungkin terbuka kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang jika ditawarkan “pakej autonomi” yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Nasib Melayu Pi Mai Tang Tu
Kesimpulannya, nasib orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam mungkin tidak lebih baik daripada di bawah BN sekiranya pakatan pembangkang memerintah Malaysia.

Tetapi nasib mereka juga tidak akan menjadi lebih buruk di bawah pakatan pembangkang. Tetapi orang Melayu-Bumiputera yang pandai memainkan peranan dan tahu mengambil kesempatan mungkin mendapat faedah daripada kerajaan baru.


Perkhidmatan awam, polis dan tentera kekuatan Melayu-Bumiputera

Kalau orang Cina menggunakan kekuatan ekonomi dan orang India menggunakan kekuatan profesional untuk mempengaruhi kerajaan, orang Melayu-Bumiputera boleh menggunakan bilangan mereka yang ramai dalam perkhidmatan awam, polis dan tentera sebagai pengimbang (leverage).

Bagi rakyat Malaysia amnya, keadaan mungkin menjadi lebih baik jika politik dan ekonomi negara diuruskan dengan lebih berhemah, pembaziran dan pemborosan wang negara diberhentikan dan rasuah serta salah guna kuasa disekat.

Pakatan pembangkang tidak boleh menganaktirikan orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam jika mereka mahu mentadbir secara adil sambil mengekalkan keamanan negara untuk jangka masa panjang. Wallahuaklam.

Oleh : A Kadir Jasin

No comments:

Post a Comment