Gesaan baginda agar Malaysia mencontohi Singapura bagi melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi membentuk perpaduan seawal sekolah rendah, sesuatu yang perlu dilihat dengan serius. Lebih-lebih lagi ketika negara-negara lain sudah lama melaksanakannya sedangkan Malaysia masih di takuk lama.
"Sekiranya di peringkat kanak-kanak lagi pendidikan dibuat secara berasingan berasaskan kaum dan bahasa maka sampai bila-bila pun akan wujud ruang perbezaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia,'' titah baginda.
Awang setuju 100 peratus.
Cabarannya ialah kesediaan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia untuk lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan kaum dan bahasa masing-masing dalam soal pendidikan.
Sudah terlalu lama Malaysia terperangkap dalam isu ini tetapi belum ada jalan keluar yang meyakinkan. Awang merasakan perlu ada iltizam baharu untuk semua kaum melihat pentingnya sekolah satu aliran tanpa mengorbankan bahasa ibunda masing-masing.
Sesuatu perlu digerakkan termasuk perbahasan yang sihat berhubung usaha ke arah merealisasikan sekolah satu aliran, setidak-tidaknya secara berperingkat-peringkat. Awang yakin, jika gerakan kesedaran diperhebatkan dan pendekatan yang elegan diambil, nescaya akan memberikan perkembangan yang positif. Jika tidak, segala gesaan dan rumusan serta pelbagai resolusi persidangan berkaitan integrasi kaum di negara ini, hanya tinggal retorik.
Dalam konteks Malaysia, sudah tentulah Bahasa Kebangsaan menjadi pilihan tunggal sesuai dengan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Tidak sepatutnya ada sebarang masalah terhadap penerimaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di tanah air ini ketika jutaan pekerja warga asing ghairah menggunakannya tanpa curiga.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, yang selalu sangat Awang ungkapkan dalam ruangan ini. Cukup jelas mesejnya.
Oleh : Awang Selamat
No comments:
Post a Comment