Cermin Sejarah, Warisan Melayu
PERSIDANGAN Antarabangsa Warisan Patani di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang 23 September lalu menarik perhatian ramai. Isu-isu sejarah, bahasa, seni dan budaya di samping peranan media sosial dalam tamadun Melayu memberi kesan yang mendalam. Persidangan itu memusatkan soal-soal budaya dalam zaman moden yang begitu banyak dicorakkan media sosial serta komunikasi olahan baru yang perlukan dokongan dunia Melayu.
Seminar juga meneliti penggunaan media sosial dalam kerja-kerja promosi bahasa Melayu, sastera dan puisi; Pengajian Melayu dan peradaban Islam di Patani yang memerlukan sentuhan di peringkat antarabangsa dan wilayah; juga dianalisis ialah soal cadangan agar Patani sebagai wilayah Melayu purba tidak terus terapit dalam kancah pergolakan politik fizikal seperti yang dialami pada masa ini.
Prof. Dr. Md Salleh Yaapar, pengerusi persidangan menonjolkan 21 kertas kerja dalam bidang-bidang menarik mengenai capaian warisan dan seni budaya Melayu di samping potensi yang perlu dicapai melalui media sosial. Sentimen kebersamaan pada sidang antarabangsa itu amat jelas. Kedudukan sejarah purba Patani (Fotani - lihat cebisan foto) sebagai kerajaan Melayu merupakan bahan tarikan terkuat. Misalnya aspek sejarah Patani Raya di zaman Langkasuka dan Srivijaya (650-1370) penuh dengan ciri-ciri gemilang. Narathiwat dengan nama Melayunya - Menara; Singgoranama bagi Songkhla. Pulau Phuket dulunya dipanggil Bukit. Nakon Si Thammarat dulu dipanggil Ligor dan Lingga ialah kawasan dekat Surat Thani sekarang. Penelitian sejarah selanjutnya menyingkap kesultanan Patani 1767 yang merdeka dan bebas susulan selesainya Perang Siam-Burma tetapi dijajah semula oleh Raja Rama I bila kemenangan memihak kepada Siam. Patani (dahulu kala dibunyikan Fotani Darussalam) seterusnya berada dalam genggaman Siam. Namun demikian keislaman Pattani tidak luntur dan unsur inilah yang terus memberi kegagahan kepada Patani.
Dalam tempoh abad 6 hingga 7, Patani berada di bawah pengaruh gemilang Srivijaya yang bertalian pemerintahan Langkasuka, satu-satunya kerajaan yang amat disegani lantaran tamadunnya. Di dalamnya termasuk Kedah dan Perlis serta beberapa pelabuhan. Orang Melayu yang beragama Hindu pada abad ke-2 di Lembah Bujang telah menempa zaman tamadun baru dengan kebolehan melebur logam termasuk besi dan emas; membuat alat-alat perhiasan dan senjata sambil mengasaskan perniagaan terus-menerus dengan benua Hindi.
Dengan persekitaran begini Patani berada dalam keadaan selesa untuk meneruskan tamadunnya yang juga diberi sebutan khas oleh beberapa orang pencatat sejarah dari China.Antara nama-nama yang diberi ialah Pan-Pan untuk Patani. Budaya Khmer, Siam dan Melayu berterusan mempengaru-hi kehidupan di Patani di samping budaya Melayu mirip cara hidup Kelantan merebak terus. Di bawah Perjanjian Bangkok 1909, Siam beroleh Patani, Inggeris mendapatkan Kelantan untuk Semenanjung Tanah Melayu.
Penghormatan
Tulisan Sheikh Daud Al-Pattani tahun 1880-an mendapat perhatian antarabangsa apabila Orientalis tersohor Belanda, Snouck Hurgonje memberi penghormatan khas kepadanya di Mekah. Hurgonje menyatakan bahawa tulisan Sheikh Daud merupakan karier bersifat kitabiah tulisan Jawi yang paling produktif bagi abad ke-19. Karier Sheikh Daud yang juga dikenali dengan nama Daud bin Abdullah, mutakhir diberi sanjungan oleh pengkaji tamadun Melayu tersohor masa kini, Virginia Matheson Hooker di dalam bukunya Jawi Literature in Patani: The Maintenance of of An Islamic Tradition.
Terdahulu lagi, Hikayat Patani yang mengandungi pelbagai kisah- legenda bagi tempoh 1690-1730 menjadi masyhur khasnya apabila disunting sendiri oleh orientalis Belanda tersohor, Prof. A Teeuw. Kemudian, sarjana Abdullah Munshi melaksanakan transkripsi khas hikayat tersebut pada tahun 1839. Pusat pengumpul bahan tamadun Amerika, Library of Congress mendapatkannya, lantas disimpan karier tersebut hingga kini. Hikayat Patani juga mengandungi penceritaan Dinasti Kelantan yang khas bagi Raja Bakal dan Alung Yunus. Bagi orang Patani bab tentang Bendahara-Bendahara Patani amat memberi makna kepurbaan yang khusus kerana ia dikatakan menjangkau ke abad 1400 M.
Kajian tentang hal Patani tentunya membawa perasaan nostalgia. Penilaian orang Melayu terhadap kebesaran Patani harus setimpal dengan atau mungkin lebih daripada kerajaan-kerajaan Melayu purba tersohor seperti Srivijaya, Majapahit, Dharmasraya, Aceh, Bugis, Minangkabau, Melaka dan lain-lain pemerintahan 'Malayo' dalam sejarah silam.
Pengkaji dan peneliti anak bangsa seharusnya berasa kagum dan insaf. Di sinilah pentingnya ilmu sejarah dan kajian Melayu senusantara ditingkatkan. Sekurang-kurangnya harus ada anak bangsa yang bercita-cita tinggi untuk jadi pengkaji terbilang, sejarawan terkenal, arkeologis ternama. Jangan biarkan hanya mereka seperti George Coedes (warga Perancis pakar pengaruh budaya India di Tenggara Asia), GDE Hall (sejarawan Tenggara Asia), Parr & Mackray (hal ehwal adat), Josselin de Jong (adat di Minangkabau), MB dan Matheson Hooker (undang-undang adat dan kesusasteraan Melayu lama di Indonesia dan Malaysia), S. Hurgonje (Islam dan Adat), W. Oppenheimer (asal usul dunia Melayu di Sundaland) dan lain-lain pengkaji dunia Melayu yang bertaraf tinggi.
Kumpulan di atas tidak termasuk lagi R. Winstedt, RJ Wilkinson, F. Swettenham dan Gerard Moussey yang gemar mengkaji hal ehwal Melayu dan budaya mereka di Nusantara. Kita mesti adakan kembali nama-nama besar seperti L. Andaya, Taib Osman, Sutan Takdir Alishahbana, Hamka, Naquib Al-Atas, Umar Yunus, Asmah Hj Omar, AB Shamsul dan angkatan pengkaji dunia Melayu yang berjiwa serta berkebolehan besar.
Satu cara ialah memperkasakan pusat kajian dunia Melayu Nusantara di dalam dan di luar negara. Merangkul kerjasama Indonesia dalam hal ehwal bahasa Melayu-bahasa Indonesia perlu berada pada tahap tertinggi supaya bahasa serumpun mendapat pengiktirafan dunia. Kita mesti menggalakkan terus wujudnya pusat-pusat pengajian Melayu dan Malaysia di beberapa negara maju demi mensohorkan identiti negara bangsa. Pusat Islam seperti yang diadakan di Universiti Oxford dan Pusat Ottoman-Melayu di Istanbul amat menggalakkan kerana melalui pemusatan akademik seperti itu seribu bahasa akan dapat menjelmakan erti dalaman bagi dunia sebelah sini.
Begitu juga pentingnya kerjasama sedemikian dengan China, Eropah, Jepun dan Korea. Kini ada pusat-pusat dan kerusi pengajian Melayu yang hidup segan mati tak mahu. Siswa kurang tarikan untuk menjadi tokoh besar dalam pengajian dalam hal bangsa dan budaya mereka. Ini disebabkan tiadanya dorongan atau insentif memperhebat kajian tamadun sendiri. Pada masa sama di Korea, Cina, Jepun, Perancis dan lain-lain industri kreatif bangsa masing-masing sedang bercambah dan mengisi poket mereka.
Dengan bersumberkan budaya dan sejarah, dengan mengekspoitasi hikayat, intisari legenda silam, pengajian alam Melayu tersedia dengan elemen tarikan industri budaya. Sejarah kita cukup genap dengan adegan menarik sekalipun kena diokestrasikan sedikit sebanyak oleh cerdik pandai animasi dan historiografi kita.
Memang, ini semua melibatkan kewangan. Tapi amaunnya tidaklah sebanyak mana berbanding tajuk belanjawan kebajikan lain. Kita sedikit akan alah membeli tapi akan menang memakai. Anak bangsa akan celik sejarah, celik budaya di samping berpotensi menang di arena tamadun dan industri budaya sendiri.
Seperti Budi dan Silat, pengetahuan dan amalan tentangnya kian lama kian luntur sedangkan budi dan silat ialah cerminan tamadun Melayu yang menulangi kehidupan bersantun dan kepahlawanan yang hebat semenjak zaman Wan Empuk, Wan Malini di Bukit Siguntang lagi.
Ayuh kita insafi gelutan zaman di Patani sebagai perbandingan kajian dengan kaca mata digital dunia moden. Memang, Melayu tak akan hilang di dunia. Tapi perlu ditanya, budaya dan identiti kita duduk di mana pada tahun 2020? Memperkukuh tamadun sendiri tidak pernah ditakrif sebagai satu kesilapan.
Oleh : Dr Rais Yatim
No comments:
Post a Comment