KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha khuatir kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat cubaan mencipta budaya baharu sekali gus membawa kepada perbuatan menghina Islam.
Tambah beliau, kempen itu telah menimbulkan keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam kerana jelas bercanggah dengan pegangan mazhab dan adat di negara ini. Mazhab Shafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah adalah haram.
Perbuatan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudian, katanya.
Analogi ini sangat menarik kerana dalam Islam mengikut mazhab Shafie kedudukan perkara ini adalah jelas. Tidak perlu fatwa baharu untuk membolehkan ia berlaku. Umat Islam di Malaysia sudah dididik sejak kecil lagi dengan hukum-hakam ini.
Tiba-tiba ia terjadi. Sudah tentu ada maksud terselindung di sebalik kejadian ini. Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin cuba membuat justifikasi. Ia mudah difahami kerana tokoh ini suka mengambil pendirian kontroversi atas banyak perkara.
Nurul Izzah Anwar, seorang ahli politik yang cukup kontroversi dengan tafsirannya sendiri suatu ketika dulu, melihat lunak akan kempen ini dan membuat kenyataan seolah-olah membolehkan ia berlaku.
Kenyataan-kenyataan tersebut secara halus mempertajamkan hubungan penganut mazhab Shafie yang menjadi anutan rasmi di Malaysia dengan yang bukan penganut mazhab Shafie yang telah sekian lama terjadi.
Bagi yang tidak faham kedudukan hukum-hakam kenyataan yang dibuat semacam ada elemen liberal melihat semua perkara boleh atas nama kasih sayang kepada haiwan dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Islam tidak mengajar kita membenci anjing. Islam meletakkan batasan boleh dan tidak boleh mengenai hal-hal berkaitan anjing terutama air liur dan najisnya yang diletakkan dalam kategori mughallazah iaitu najis berat yang perlu disamak.
Tidak pernah berlaku kempen membunuh anjing di Malaysia melainkan pihak yang berwajib menangkap anjing liar dan anjing gila.
Kalau begitu apakah isu mengenai anjing ini? Apakah kerana orang lain boleh memeluk dan mencium anjing maka umat Islam dikatakan tidak mempunyai nilai kemanusiaan maka harus diadakan kempen sentuh anjing?
Tidak mustahil akan datang sekiranya hal ini dibenarkan maka kempen menyentuh khinzir akan terjadi.
Yang peliknya, orang Islam turut sama menaja dan menjayakan kempen kontroversi ini malah kelihatan bangga memeluk anjing seolah-olah sejak dari kecil lagi mereka tidak dididik bagaimana caranya menyantuni anjing.
Pada hemat penulis perkara ini bukan isu baik dari segi agama apa lagi budaya. Ia sudah diterima sebagai pegangan yang berbeza. Bila pihak penaja menjadikan ia suatu isu dan tidak dipantau pelaksanaannya oleh Majlis Agama Islam Selangor (JAIS) banyak pihak yang ditipu dan tertipu.
Apabila pihak penganjur mempunyai muslihat yang tersembunyi kejujuran pihak penganjur sudah tidak ada. Perkara seperti ini tidak harus dibiarkan begitu. Jakim dan JAIS harus bertindak sewajarnya kerana mempermainkan hukum-hakam Islam tidak harus dibiarkan berlaku dalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
Akhir-akhir ini kian banyak tindakan menghina Islam terjadi. Islam sering menjadi agama yang disalah faham dan yang peliknya sesetengah tokoh Islam turut menyumbang seolah-olah tidak dapat membezakan hal-hal yang usul (pokok) dengan hal-hal yang furu’ atau ranting.
Kalau ia tidak dibendung pengaruh liberalisme agama seperti yang sedang berlaku di lndonesia dan fahaman pluralisme agama (semua agama sama) akan menjadi-jadi di Malaysia dan ia bahaya bagi kesatuan umat (wahdah) di negara ini.
Dari Jendela Tok Ki
No comments:
Post a Comment