DARI WhatsApp, Facebook, blog sehinggalah Twitter, tidak kurang ungkapan kurang manis dan tidak menyenangkan dilemparkan terhadap tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Terkadang, kita terpaksa menarik nafas panjang dek kerana pelik mengapa dalam saat-saat krisis sebegini, masih ada pihak yang sanggup mentohmah dan mencerca.
Mohd. Ridzuan Abdullah, 45, antara rakyat Malaysia yang terpanggil menyuarakan kebimbangan akan suasana semasa yang agak `membingitkan' ini.
Mengetuai Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau menarik perhatian perlunya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani bukan sahaja insiden MH17 malah cabaran isu dan politik semasa.
"Kalau nak maju, negara kena stabil. Pertama, politik, kedua, ekonomi. Kalau politik hancur, negara akan runtuh. Kalau nak susun politik yang kukuh, perlu ada perpaduan utuh antara kaum.
"Ketiganya, keyakinan rakyat kepada pemimpin. Itu mustahak. Kalau benda ini kita tidak yakin, susahlah, sebab perkara ini bersangkut-paut dengan ekonomi," katanya.
Presiden Ikhlas itu percaya untuk memastikan politik dan ekonomi terus stabil, paling mustahak negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang boleh menyandang jawatan paling kurang 10 tahun.
"Contohnya, selepas Najib mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita mula nampak trend politik yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri.
"Ada elemen siapa sahaja menjadi Perdana Menteri, akan ada pihak cuba mengucar-ngacirkan keadaan untuk menjatuhkannya," katanya.
Dalam hal ini, Ikhlas cukup yakin Dr. Mahathir yang berpengalaman selama 22 tahun mengetuai kerajaan dan masih memiliki hubungan akrab dengan para pemimpin dunia termasuk dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih mempunyai 'bisa' untuk memberi idea kepada kerajaan dalam mengharungi sepak terajang politik dan isu semasa.
"Kita boleh lihat dunia di luar sana masih boleh menerima Tun. Cuma, kenapa di Malaysia, sesetengah pihak kelihatan tidak bersetuju dengannya, tidak terima pakai cadangan dia?
"Di Jepun, negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Afrika, pandangan Tun dihargai. Mereka anggap pandangan Tun dapat membantu menyelesaikan masalah ekonomi, sosial dan politik," kata Mohd. Ridzuan.
Beliau bagaimanapun mengakui ada ketikanya teguran atau pandangan yang dilontarkan oleh Tun agak pedih untuk diterima pihak berkenaan.
"Sebenarnya teguran itu untuk perbetulkan keadaan dan berpandangan jauh. Kenapa Lee Kuan Yew masih menjadi penasihat Singapura? Singapura masih perlu teguran daripada Kuan Yew. Macam Indonesia juga, masih ada rakyatnya tidak dapat melupai Suharto kerana mereka masih memerlukan idea-idea daripada pemimpin ulung itu.
"Hari ini selepas Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menguasai rantau ini, yang tinggal masih belum dimasuki adalah Singapura dan Malaysia," kata Mohd. Ridzuan yang berpendapat tiada ruginya sehingga 2020, jika Dr. Mahathir diberi peluang dan ruang untuk bertindak sebagai penasihat ekonomi dan politik negara.
Menurut beliau, Ikhlas melihat sekiranya Perdana Menteri berganding bahu dengan Dr. Mahathir, Insya-Allah negara dari segi ekonomi, politik dan sebagainya akan nampak kemas.
Ikhlas juga percaya Perdana Menteri berupaya mentadbir negara sehingga maksimum lima penggal.
"Negara apabila sering bertukar Perdana Menteri tentu akan menghadapi masalah besar. Hari ini kita nampak negara terima pelbagai ancaman, boleh jadi ada ancaman sebelum tragedi menimpa MH370 dan kini MH17 pula," kata beliau.
Mengenai pakatan pembangkang, Mohd. Ridzuan berkata, mereka kini memperoleh 'kekuatan' kerana disokong dari luar.
"Sebab itu mereka terutama sebilangan kaum Cina berani protes terhadap kerajaan. Padahal mereka melalui MCA diberi peluang terlibat dalam pentadbiran negara selama setengah abad.
"Dalam hal ini, Ikhlas yakin ilmu untuk menarik balik sebilangan kaum Cina ini kepada kerajaan ada pada Dr. Mahathir," katanya.
Ikhlas berfungsi menjaga dan membela kebajikan usahawan-usahawan kecil. Dalam tempoh setahun ini, sebanyak tiga isu besar berjaya ditangani pertubuhan itu.
Antaranya, melibatkan sebilangan peniaga Melayu dalam BB Plaza, Kuala Lumpur. Disebabkan projek MRT sebelum ini, BB Plaza mahu dirobohkan. Setelah berhempas pula, Ikhlas berjaya menggagalkannya.
Kedua, isu Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail yang hendak dirobohkan untuk pembinaan kondominium. Hasil protes pertubuhan aktivis ini, perkara itu juga tidak kesampaian.
Ketiga pula, Ikhlas berjaya menyelamatkan Bangunan UDA di Bangsar yang hendak dirobohkan oleh UDA Holdings sedangkan premis terbabit terbukti menghasilkan peniaga-peniaga Melayu yang berjaya.
Semasa Ikhlas berdepan saman malu oleh UDA Holdings kerana cuba membela warisan Melayu di Central Market, Dr. Mahathir tampil membela Ikhlas. Proses saman terhenti di separuh jalan tahun lalu.
Kini, Ikhlas membuka lembaran baharu dengan mulai tahun depan melalui beberapa kedutaan Malaysia akan mewujudkan hubungan keusahawanan antarabangsa dengan negara-negara Asia seperti Vietnam dan Kemboja. Antaranya, mahu melahirkan usahawan tempatan sebagai pemborong dan pembekal dengan membawa masuk produk luar.
Mohd. Ridzuan, lulusan sarjana perniagaan dan pentadbiran dari sebuah universiti di California, Amerika Syarikat ini sudah 12 kali berjumpa Dr. Mahathir selaku Penasihat Ikhlas sejak 20 April 2011.
"Usia saya baru separuh daripada beliau (89 tahun). Saya dapat belajar banyak perkara dari segi pandangan dan nasihat serta nampak sendiri wawasan Tun. Kita selepas ini dalam tempoh 100 tahun, baru akan jumpa pemimpin sebegini," ujarnya.
Oleh : Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment