Sunday, June 27, 2010

Sultan mahu jambatan ganti Tambak Johor


JOHOR BAHRU 26 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, usaha menaik taraf Tambak Johor dengan membina jambatan tersebut amat penting bagi institusi Kesultanan Johor dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat negeri ini sejak dahulu.

"Saya yakin seluruh rakyat Johor berasa gembira dengan terbinanya bangunan JB Sentral yang serba lengkap dan indah ini, namun masih terdapat kekurangan dan kecacatannya apabila komponen utamanya iaitu jambatan masih belum dilaksanakan hingga hari ini.

"Sekali lagi, saya ingin menyeru kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010 di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral di sini hari ini.

Sultan Ibrahim menegaskan, Tambak Johor amat penting kepada rakyat malah institusi kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu yang sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor.

"Jika disingkap sejak dahulu, tidak dinafikan bahawa Tambak Johor adalah amat penting kepada rakyat.

"Berdasarkan kepada kepentingan Tambak Johor kepada rakyat, maka keluarga saya sejak zaman moyang, Almarhum Sultan Ibrahim sehingga ayahanda saya, Almarhum Sultan Iskandar sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor," titah baginda.

Sebab itu, kata baginda, perasmian bangunan JB Sentral hari ini adalah bersejarah selepas almarhum ayahanda baginda, Sultan Iskandar merasmikan Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin pada 1 Disember 2008.

Menurut Sultan Ibrahim, baginda sendiri turut terlibat dalam memberi pandangan dalam projek-projek pembangunan seperti Bangunan Sultan Iskandar, JB Sentral dan pembinaan jambatan yang diluluskan pada 2003.

"Apabila kerajaan mengatakan wujudnya masalah untuk mencari tapak yang sesuai dalam kawasan Johor Bahru bagi memindahkan penghuni Flat Lumba Kuda dan Bukit Chagar, maka Almarhum ayahanda saya telah memberi keizinan agar tanah milik kesultanan Johor di Kampung Bakar Batu digunakan secara menyeluruh bagi tujuan penduduk yang terlibat dalam projek tersebut.

Baginda berharap lebih banyak projek kerajaan diberikan kepada kontraktor bumiputera di negeri ini kerana kemampuan mereka terbukti dalam membangunkan projek bertaraf mega.

"Saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk menyeru kepada semua pihak agar memberi peluang dan keutamaan kepada syarikat bumiputera dan rakyat Johor dalam pemberian kontrak pembangunan yang dijalankan di negeri ini,'' titah baginda.

...utusan malaysia
..................................................................................
Jambatan ganti tambak jadi kenyataan?
MASA berubah, kepimpinan berganti dan tuntutan turut berbeza. Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Baginda bertitah, Tambak Johor amat penting kepada rakyat dan institusi Kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu yang sentiasa memberikan sokongan kepada usaha menaik taraf tambak tersebut.

Titah Sultan Johor itu pasti mengundang perhatian besar. Satu lagi kejutan daripada baginda. Baru-baru ini Istana Johor menarik balik atau memecat gelaran darjah kebesaran Johor daripada empat tokoh termasuk bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng dan wanita Asia pertama merentasi Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir kerana tidak lagi menepati kriteria Undang- Undang dan Peraturan Diraja Mahkota Johor.

Bagaimana dengan cadangan baginda agar dibina jambatan menggantikan tambak yang pernah mencetuskan kontroversi tidak lama dulu? Tidak sampai beberapa jam berita itu tersebar khususnya di Johor, ia mendapat respon positif. Ramai yang percaya cadangan tersebut yang diideakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mempunyai signifikan besar kepada negara.

Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak dalam reaksi ringkas menyatakan kerajaan sedia mengkaji semula. Adalah terlalu awal pada peringkat ini untuk melihat apakah kesudahannya projek jambatan itu yang telah dihentikan oleh Kabinet tidak lama dulu. Kajian semula tentunya akan mengambil masa dan apakah keputusannya nanti, sukar dijangkakan. Sebarang pertimbangan mengenainya tentu mengambil kira kekangan malah realiti baru terutama hubungan antara Malaysia dan Singapura yang kian kukuh.

Ini akan menjadi satu lagi cabaran kepada Najib tetapi Awang percaya beliau mampu tanganinya. Apa pun cadangan Sultan Johor itu membuka harapan baru kepada impian untuk melihat projek jambatan itu menjadi kenyataan. Kita tunggu dan lihat

...utusan malaysia-awang selamat

No comments:

Post a Comment