Thursday, May 20, 2010

"Baby dah buka bra ke belum?"


TERKEJUT seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan apabila membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit milik seorang pelajar yang dirampas di sekolah, baru-baru ini.

"Baby dah buka bra ke belum?" adalah SMS pertama diikuti SMS kedua yang bertulis "Kalau dah buka bra jgn lupa buka spender, mcm mana nak masuk..."

Itulah antara dua mesej yang dihantar oleh pelajar lelaki tingkatan empat di sekolah itu yang ditemui dalam telefon bimbitnya.

Mesej itu dihantar kepada teman wanitanya, seorang pelajar perempuan yang mungkin sebaya usia dengannya tapi bukan dari sekolah itu. Pelajar lelaki itu telah dikenakan tindakan oleh sekolah atas dua kesalahan iaitu membawa telefon bimbit ke sekolah selain menyimpan mesej yang berbaur lucah.

Adakah ini menjadi satu kebanggaan buat kita? Seorang pelajar berusia 16 tahun yang sepatutnya belajar bersungguh-sungguh menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan, menghantar mesej sedemikian rupa kepada teman sebayanya.

Walaupun bukan semua pelajar seperti pelajar lelaki yang 'matang cepat' itu, setidak-tidaknya ia membuka minda bahawa remaja di Malaysia kini kian terdedah kepada pergaulan terbuka tanpa batasan, seterusnya mampu menjurus ke arah perbuatan maksiat - zina, hamil anak luar nikah dan buang atau bunuh bayi.

Mereka begitu banyak dihidangkan dengan hiburan berunsur seks, gambar-gambar seksi sama ada di majalah-majalah, televisyen ataupun yang terbaru kemudahan Internet.
Pelajar kini boleh membuka 'YouTube' untuk mencari aksi-aksi lucah tempatan dan luar negara. Mereka boleh melihat aksi remaja Melayu berbogel yang dirakamkan menerusi telefon bimbit lalu dihantar ke laman itu.

Sedikit sebanyak, ia akan mempengaruhi remaja di Malaysia untuk terbuka mendapat pengetahuan mengenai seks.

Tanpa Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) sekalipun yang kini diperkenalkan di sekolah-sekolah, ramai pelajar kita yang lebih arif tentang hal-hal berkaitan seksualiti.

Kita sepatutnya bimbang dengan senario ini. Pelajar menyalahgunakan pengetahuan mereka tentang seks untuk jalan yang tidak sepatutnya.

Sebagai bukti, lihat apa yang berlaku di Melaka baru-baru ini. Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun melahirkan bayi lelaki hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya, pelajar sebuah institusi pengajian tinggi berusia 19 tahun.

Bayi lelaki itu yang dipercayai mati kemudian ditanam di tebing Sungai Melaka di Taman Melaka Baru, Batu Berendam.

Penyakit sosial seperti buang bayi ini dilihat semakin parah. Tidak mustahil ia berpunca daripada pengaruh-pengaruh negatif berunsur seks yang kini mendominasi jiwa para remaja.

Sikap ingin mencuba tanpa mengetahui kesan yang bakal dihadapi juga membuatkan remaja kini semakin banyak terlibat dalam kes buang bayi.

Di sinilah letaknya tanggungjawab kerajaan untuk bersama-sama pihak guru dan ibu bapa mendidik anak-anak bangsa supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkembangan kemajuan masa kini.

Bagi ibu bapa pula, janganlah pula hanya meletakkan beban mengajar anak-anak ini di bahu guru. Sesekali, jengoklah telefon bimbit mereka, dan lihatlah apa kandungan SMS yang dihantar kepada rakan sebayanya.

...Suffian Abu Bakar

No comments:

Post a Comment