Wednesday, December 18, 2019

PH Memerintah Lagi Teruk Dari BN

Pelbagai isu ancam Islam timbul, aset dijual konon bayar hutang
BANGI – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya menempelak kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang menafikan bahawa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) lebih makmur dari Pakatan Harapan (PH).

Haji Aminuddin berkata, pentadbiran di zaman BN tidaklah terlalu sempurna bagi memerintah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, namun pemerintahan PH hari ini lebih teruk.

Beliau berkata, pelbagai isu yang menjadi ancaman kepada umat Islam ditimbulkan termasuk Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom, pemansuhan hukuman mati, pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), pembelajaran tulisan jawi, dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

“Ini semua berpunca apabila negara dikawal oleh DAP dan bukan lagi orang Melayu.

“Pertelagahan di kalangan pimpinan Melayu juga punca mereka tidak ambil berat soal kebajikan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Khalid menafikan dakwaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa ekonomi negara hari ini tidak semakmur semasa pentadbiran BN dulu, hingga mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

“Bila dikata dikurangkan perjawatan awam itu tidak mencerminkan keadaan ekonomi negara, sebaliknya hanya mencerminkan bahawa adanya peningkatan dari segi efisiensi dan aktiviti di kalangan kakitangan kerajaan dan sebagainya dan juga penggunaan teknologi yang menyebabkan tidak perlu jumlah yang ramai untuk melakukan kerja yang sama,” kata Khalid.

Tidak bersetuju dengan perkara itu, Haji Aminuddin menegaskan, banyak aset-aset negara dijual, kononnya dengan alasan untuk membayar hutang walhal hutang negara semakin bertambah.

Beliau berkata, ramai pelabur yang lari dan membatalkan hasrat untuk melabur di negara ini.

Katanya lagi, perkara berkenaan juga berpunca daripada ketidaktentuan suasana politik negara yang masih tidak tahu mengenai transisi antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedudukan ekonomi orang Melayu semakin terkebelakang dan jurang pendapatan antara orang Melayu dan bukan Melayu juga semakin besar.

“Malah, pengangguran semakin meningkat dan ramai pekerja dibuang. Ini semua akan mengakibatkan isu sosial kian meruncing.

“Jika kerajaan tidak segera tangani isu ini, maka Malaysia akan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran lain di rantau Asia,” katanya. - www.ismaweb.net

Apa Akan Jadi Pada Bangsa Malaysia Kalau Macam Ini....

Iklan ‘sugar daddy’ di KL?
BANGI – Melampau! Iklan perkhidmatan ‘sugar daddy’ dipamerkan secara terbuka di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur.

Tular di media sosial, iklan perkhidmatan janji temu ‘sugar daddy’ menerusi papan iklan elektronik, di Bangsar dan Bukit Kiara. Difahamkan mula operasi sejak 3 Disember lalu.

Iklan berkenaan memaparkan wanita muda memeluk bahu seorang lelaki berusia dipercayai bagi mengiklankan applikasi ‘Sugarbook’ yang boleh didapati di Google Play.

Berdasarkan Facebook rasmi Sugarbook, pihaknya menawarkan hadiah keahlian premium secara percuma kepada pengikut Facebook yang bertuah.

Menerusi status di Facebook itu, pengguna hanya perlu mengambil gambar atau video papan iklan elektronik tersebut, kemudian tag pada Facebook dan Instagram Sugarbook, dan seterusnya hantaran itu perlu dikongsi di dinding Facebook dan Instagram masing-masing.

Bagaimanapun, iklan berkenaan mendapat kecaman netizen kerana perkhidmatan yang ditawarkan melampaui batas.

Memetik kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, beliau berkata, iklan kontroversi tersebut dimainkan di papan tanda di Bangsar Baru serta di Publika, Mont Kiara di kawasan Parlimen Segambut.

Beliau difahamkan iklan itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dan berkata, siasatan akan dijalankan serta tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha yang melanggar peraturan.

Rata-rata netizen turut mengecam dengan sikap sambil lewa kerajaan sehingga membiarkan perkara yang mengguris hati rakyat terus berlaku.

“Kenapa kerajaan sekarang suka sangat buat dulu. Tak ambil kira sensitiviti masyarakat ataupun agama? Buat dulu sesuatu benda atau perkara, selepas dapat maklum balas yang negatif daripada masyarakat baru kelam kabut nak kajilah, siasatlah, ambil tindakanlah.

“Jika tiada yang bising kira biarkan sahaja? Kenapa tidak kaji dulu sebelum buat? soal Nikiys Syikin.

Pengguna Facebook Toya Mat Amin pula mengingatkan kerajaan supaya tidak hanya menjaga hati minoriti sehingga mengguris hati orang Melayu.

“Takkan bab rasuah saja nak basmi. Bab lain dah tak penting ke? Bab sensitiviti agama, akidah macam mana? Takkan nak hidup atas dunia ni selama-lamanya? Tidak ada lagi kerajaan manusia yang kekal selamanya. Masa PH pun akan tiba,” katanya.

Sementara Hanan Gen pula berkata: “Jangan sampai iklan lucah pula keluar lepas ni sudahlah. Pelik, bukan ke kebiasaan iklan-iklan perlukan lesen. Batal saja lesen pemilik papan iklan. Bertegas sikit. Sampai bila nak bertemakan ‘buat salah, minta maaf, selesai’,” kata beliau.

Kaka Khai Kamruzli secara sindiran menyifatkan perkara itu sebagai konsep rahmatan lil alamin Kerajaan PH.

“Malaysia Baharu. Ini baru rahmatan lil alamin. Alasannya sebagai hak orang bukan muslim. Muslim yang baik tidak buatkan,” tulis beliau.

“Tak dapat kelulusan tapi disiarkan juga? Sudah tentu menyalahi undang-undang. Cuba tengok ada ambil tindakan ke tidak,” demikian pula kata Bugis Tok Bugis. - www.ismaweb.net

Bila Ultra Kiasu Tercabar....

DAP pandang serius saman berhubung sekolah vernakular
DAP menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan mencabar kesahihan sekolah vernakular di mahkamah bagi mengisytiharkan sekolah berkenaan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Selepas 62 tahun lalu sejak Merdeka pada tahun 1957, kewujudan sekolah Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan dan menerima pembiayaan awam.

"Buat kali pertama dalam sejarah, tindakan undang-undang difailkan dengan menamakan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"DAP melihat ini sebagai satu perkembangan yang berbahaya yang bukan sahaja boleh mengancam kewujudan sekolah Tamil dan sekolah-sekolah Cina, tetapi juga menjejaskan perpaduan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata DAP akan mempertahankan bersungguh-sungguh hak perlembagaan untuk mewujudkan sekolah Cina dan Tamil, dengan membawa isu itu dalam mesyuarat kabinet esok.

Beliau juga berkata kerajaan mesti mengarahkan peguam negara membantah perkara itu.

"Pada masa yang sama, DAP juga akan berusaha untuk campur tangan secara sah dalam saman itu bagi pihak sekolah vernakular dan telah mengarahkan Pengerusi Biro Undang-undang DAP dan Anggota Parlimen Bukit Glugor Ramkarpal Singh untuk menyediakan wakil perundangan," katanya.

Saman berkenaan difailkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz hari ini.

Beliau memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil, tidak konsisten dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. 

Saman itu bagi mencabar seksyen 17 Akta Pendidikan, yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28, atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.

Turut disasarkan adalah seksyen 28 Akta yang sama, yang menyatakan bahawa tertakluk kepada peruntukan akta, menteri pendidikan boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, dan mengekalkan sekolah berkenaan.

Saman yang difailkan Khairul Azam itu menamakan menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Khairull Azam pada 23 Okt, memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan sekolah vernakular.

Bagaimanapun, pada 11 Nov, Mahkamah tertinggi itu menolak permohonan Khairul Azam untuk meneruskan cabaran undang-undang berkenaan. - www.malaysiakini.com