Wednesday, December 31, 2014

Bila Alam Bersuara...!

Alam sedang bersuara adalah nyata. Bala diturunkan Allah juga adalah nyata.
Kedua-duanya adalah benar. Bukan tujuan saya mahu membuat andaian. Tapi sebagai manusia dan orang Islam yang percayakan qada dan qadar, sesuatu yang berlaku ada puncanya dan sebab musababnya. Ketentuannya telah ditetapkan.

Sebagai seorang wartawan dan bukan alim ulama - seperti kebanyakan orang sekarang - saya mahu melihat mengenai soal alam.

Saya pernah menulis mengenai kemusnahan alam di taman botani negara Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam satu ketika dahulu. Kemusnahan akibat kerakusan manusia cukup hebat sekali.

Tidak pernah-pernah taman pertanian Bukit Cerakah itu dinaiki air lumpur setinggi tujuh ke lapan meter, namun ia berlaku pada masa itu.

Hasil bedah siasat yang dijalankan ia adalah akibat pembangunan tidak teratur di satu kawasan baharu yang dibuka oleh kerajaan Dr. Khir Toyo pada masa itu dikenali sebagai Seksyen U10. Bukit-bukit ditarah, hutan ditebang dan tanah-tanah dilukai.

Pendedahan itu telah menarik perhatian nasional. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa campur tangan. Dr. Khir yang ketika itu sedang berada di luar negara terpaksa bergegas pulang.

Pendek kata, isu alam adalah isu manusia. Kita hidup bersama-sama alam. Jangan biarkan alam bersuara. Jika ia bersuara bermakna ia sedang murka. Alam boleh bertindak kejam kepada kita jika kita menjahanamkannya.

Banjir besar di Cameron Highlands juga adalah akibat perbuatan kejam manusia ke atas alam.

Hutan ditarah ikut suka. Pihak peniaga terlalu rakus. Pihak berkuasa pula tidak menjalankan amanah yang diberikan.

Ingatlah alam boleh menjatuhkan sesebuah pesawat yang dikatakan paling moden sekali pun. Ia juga membunuh ratusan ribu nyawa manusia seperti genap 10 tahun tsunami.

Kejadian banjir terburuk di Kelantan dan beberapa negeri lain harus dijadikan iktibar. Warna airnya sudah menunjukkan ia membawa tanah-tanih yang terluka. Banjir ke Kelantan lazimnya dibawa air dari kawasan hulu sejauh beratus batu. Jika di hulu keadaannya sudah tenat, maka tenatlah di hilirnya. Itu pasal kawasan Manek Urai paling teruk, kerana ia berada di hulu.

Saya tidak mahu membuat andaian, kerana alim ulama mengatakan ia adalah takdir. Namun sudah banyak contoh yang menunjukkan bencana alam yang terjadi kepada manusia adalah akibat daripada kerakusan mereka sendiri.

Seorang rakan, rakyat Kelantan yang dipanggil sebagai Pok Nik menulis SMS kepada saya.

Renungilah tulisan beliau itu. “Masa saya kecil-kecil dulu. Waktu banjir kita gembira bermain air. Kita mandi-manda dari pagi hingga ke petang. Selagi mata tidak merah kita tidak naik ke rumah. Tetapi hari ini air banjir warna teh susu yang mengalir direct dari Ulu Kelantan dari Sg. Lebir, Sg. Galas, Sg. Kemubu dan Sg. Kelantan AKIBAT KERAKUSAN YANG MEMAKAN BALAK DI HULU KELANTAN. Habis bukit hutan belukar dikekah, ditarah dan dimamah kerana mahukan wang! Sekarang jangan salahkan sesiapa. BUKAN BALA. Tetapi insaflah . Inilah akibat kerakusan dan ketamakan manusia. Tk.”

Namun atas alasan politik atau keegoan - pelbagai alasan diberikan. Pemimpin merasakan seolah-olah merekalah yang terhebat. Merekalah yang betul. Dan alam yang mengamuk sekarang seolah-olah tiada kaitan dengan mereka.

Oleh : Zaini Hassan

Tuesday, December 30, 2014

Demi Menghindar "Melayu Menang Sorak Kampung Tergadai"

Tema yang hendak dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah soal betapa perlunya unsur perpaduan dalam memastikan kuasa politik terus dapat dipertahankan oleh orang Melayu.

Katanya, hakikat perwakilan politik Melayu kini diungguli tiga entiti politik – Umno, PAS dan PKR -- menonjolkan realiti bahawa kini asas kekuatan politik Melayu amat mudah dilarutkan.

Walaupun orang Melayu mempunyai kelebihan membentuk seramai 60 peratus daripada keseluruhan pemilih dalam sistem demokrasi negara, kini ada tiga parti yang menawarkan khidmat kepimpinan politik kepada mereka.

Hukum akal mengatakan jika peratusan ini dibahagi secara saksama, setiap parti akan dapat meraih kira-kira 20 peratus sokongan Melayu sepihak.

Ini bermakna jika dikumpulkan sokongan Melayu kepada PAS dan PKR di bawah satu payung Pakatan Rakyat, 40 peratus Melayu masih belum boleh membentuk sebuah kerajaan majoriti di Malaysia.

Ini bermakna jika mahu mendapat kuasa politik dan memerintah negara ini, sudah tentu, PAS dan PKR perlu kepada bantuan dan ihsan politik daripada rakyat bukan Melayu.

Bagi memudah bicara, Tun Mahathir mengkelompokkan pengundi bukan Melayu sebagai Cina dan menyebut ihsan politik yang diperlukan itu tentulah daripada rakyat kelompok ini.

Kini pola kesatuan politik pengundi Cina yang mewakili bukan Melayu ialah DAP. Lantas yang memegang teraju “kata putus” dalam menentukan sama ada kuasa politik selama 57 tahun yang didominasi Melayu-Umno, bakal berpindah ke tangan DAP.

Malah trend pilihanraya umum lalu menunjukkan memang magnet politik di Malaysia ialah DAP. Ia memenangi 38 kerusi parlimen berbanding 30 PKR dan 21 PAS.

Mujur realiti politik tidak begitu mudah dicongak. Dalam PRU lalu, Umno sendirian memenangi 88 daripada 120 kerusi parlimen yang ditandinginya. Umumnya boleh disimpulkan PKR dan PAS kini mempunyai 46 (PAS 21, PKR 15) kerusi parlimen Melayu.

Memang ada banyak faktor yang menentukan kemenangan ketiga-tiga parti berteras Melayu ini. Paling utama ialah soal sokongan dan tokokan undi daripada bukan Melayu. Sebab itu kerjasama dengan parti bangsa lain itu penting.

Sesungguhnya Tun Mahathir yang pernah memimpin Malaysia selama 22 tahun cukup akur hakikat ini. Yang menjadi fokus sekarang ialah adakah status quo politik ini wajar dipertahankan?

Tamadun manusia menunjukkan bahawa jika terlalu lama sesuatu kaum majoriti di sesebuah negara dinafikan kelebihan bilangan mereka untuk memerintah dan memeta halatuju negara, ia akan pasti menjadi “ancaman” kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara itu sendiri.

Lambat laun faktor bilangan ini akan meluapkan semangat kaum teras untuk menuntut tempat mereka dalam hiraki pentadbiran negara. Malaysia belajar mengenai hakikat ini pada tahun 1969. Sejarah Afrika Selatan juga tidak jauh berbeza.

Apabila soal “bilangan” tidak disaksamakan dengan faktor “hak”, pasti ia akan memercikkan kecurigaan, iri hati, kebencian dan mengundang keganasan.

Maka fokus Tun Mahathir membangkitkan soal kuasa Melayu ini adalah bagi meraikan hakikat bahawa perhatian harus diberi kepada pembelaan orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi bangsa teras di negara ini.

Namun memang menjadi ragam siasah, setiap kenyataan politik akan mengundang pelbagai reaksi dan serangan daripada parti pesaingnya jua.

PKR segera menegaskan bahawa soal hilang kuasa politik Melayu bukan masalahnya kerana ia adalah sebuah parti berbilang kaum. Sementara DAP pula menyindir bahawa yang lebih gusar Melayu hilang kuasa politik ialah Umno.

Isu sebenar di sebalik kemelut dan dilema politik Malaysia ialah masih perlukah ada konsep bangsa teras dalam membina sesebuah negara?

Jika diperinci senario di Malaysia hari ini, konsep inilah yang cuba hendak dikuburkan oleh Pakatan Rakyat.

Dengan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR menggembleng masa dan tenaga untuk meleburkan dominasi Umno dan memusatkan perhatian orang Melayu kepada partinya (dan mungkin juga PAS), ia secara langsung menghakis pengaruh dan kuasa politik Melayu.

PKR nampaknya menjadi agen kepada DAP untuk melabelkan suara majoriti Melayu – Umno – sebagai bersikap rasis dan jika mereka cuba kembali berpegang teguh kepada agama mereka – Islam – akan dijenamakan sebagai ekstremis pula.

Demikian ialah gula-gula politik PKR untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu ia berjuang untuk kesaksamaan seluruh rakyat Malaysia. Walhal hasrat asasnya ialah untuk menggunakan bukan Melayu untuk melonjakkannya berkuasa.

PAS pula teruja untuk turut menyambar kuasa dengan bantuan, kerjasama dan ihsan DAP. Sebab itu ia dalam Pakatan Rakyat. Status ini dihalalkan dengan menjaja konsep tahaluf siyasi.

Namun kini apabila sudah terang dan nyata bahawa DAP apabila sudah mula selesa dalam kedudukan sebagai “tauke kuasa politik” di Malaysia, ia menunjukkan sikap tidak perlukan sangat sumbangan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kini dengan gigih dan celuparnya DAP menyindir dan mencela PAS kerana perjuangan hudud yang dianggap “nyawa”nya dan memperlekeh sistem kepimpinan PAS di hadapan khalayak.

Reaksi kalangan ulama PAS adalah tegas – sama ada DAP suka atau tidak, hudud tetap diteruskan juga. Namun sedihnya, ada pula di pemimpin “progresif” PAS yang “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong” masih mahu menatang DAP “bagai minyak yang penuh” dan mahu tahaluf siyasi dipertahankan.

Bagi DAP, sokongan PKR sudah memadai. Memahami bahawa PKR pun mempunyai ramai keahlian bukan Melayu, kerjasama dengan parti itu adalah “selamat” bagi DAP untuk merebut fungsi penentu halatuju politik Malaysia.

Dalam konteks ini di mana salahnya jika Tun Mahathir menyatakan parti-parti politik Melayu seperti PKR dan PAS terpaksa “mengemis” kuasa politik daripada parti orang-orang Cina (bukan Melayu)?

Bagaimanapun dalam kes Umno, ia memang sudah lama insaf keperluan bekerjasama dengan rakyat keturunan bukan Melayu memeta pembangunan Malaysia berdaulat, bermula dengan Perikatan dan kemudian Barisan Nasional.

Namun dalam kes PKR terutamanya ia adalah sebuah parti politik yang mendakwa berbilang kaum tetapi sebenarnya kini sedang membuka pintu kuasa Malaysia kepada bukan Melayu.

Yang dikhuatiri Tun Mahathir ialah Melayu nanti “menang sorak tetapi kampung tergadai”. Berjaya tumbangkan Umno tetapi DAP pula yang mendalangi kuasa politik Malaysia. PKR hanya tempelan wajah Melayu tetapi bakal jadi pak turut DAP sahaja.

Oleh : Zainal Saleh

Sunday, December 28, 2014

Hudud Dan Banjir

Kesungguhan Pas Kelantan untuk melaksanakan hu­dud nampak terserlah. Sejak dihebohkan lebih 24 tahun lalu, kali ini seperti tiada lagi hadangan dan tekanan politik yang mampu menggagalkan pelaksanaan hukum itu.

Pas Kelantan seperti telah menemukan kekuatan sen­di­ri untuk mengharungi arus deras penentangan dan po­litiking daripada rakan sekutu bahkan sebahagian pim­pinan tinggi parti sendiri. Rasanya semangat dan kemahuan itu tidak pernah setinggi sampai ke tahap ini.

Tentangan daripada DAP yang disokong PKR dianggap tidak lebih hanya gimik, umpama anjing menyalak bukit. Penolakan dari dalam kumpulan pimpinan Pas yang cenderung berpendapat hudud akan menjadi penghujung hubungan dengan DAP dan PKR dilayan secara ala kadar.

Muncul pula kalimat berslogan baharu bahawa hu­dud keutamaan nombor satu manakala perjuangan ke Put­ra­jaya jatuh nombor dua. Terpukul sungguh Datuk Seri An­war Ibrahim dan juak-juaknya yang diketahui sejak sekian lama sanggup menghalalkan apa sahaja demi menggapai Putrajaya.

Kini Pas Kelantan berkata sebaliknya. Putrajaya bukan tujuan utama mereka. Rancangan 16 September ciptaan Anwar yang kini cerita tentangnya sedang terdedah di mah­kamah, hanyalah cerita nafsu seorang itu.

Mungkin banyak yang keliru tentang dasar kesepakatan pakatan pembangkang. Dahulu perjuangan Pas ialah mem­bentuk negara Islam kemudian bertukar kepada ne­gara berkebajikan. Kemudian konsensus setuju untuk ti­dak bersetuju dan kini tinggal tidak bersetuju sahaja.

DAP dan PKR yang merasa pihak paling rugi. Mereka me­lihat cita-cita ke Putrajaya yang hanya selangkah sa­ha­ja bakal berkubur. Sudah dua kali pilihan raya mereka ber­jaya menafikan pencapaian dua pertiga BN.

Sedang mereka giat menanam keyakinan dan meng­ge­rakkan strategi bakal menawan Putrajaya pada pilihan ra­ya tiga tahun lagi, Pas pula menukar haluan. Bagi DAP, tindakan Pas itu telah mengelirukan pengundi yang me­mi­lih pakatan pembangkang dalam pilihan raya lalu. Ke­lak mereka akan dihukum dan yang ditakuti tsunami pe­ngundi Cina akan membadai mereka pula.

Bagi Pas pula, hudud ialah nyawa parti itu. Kedudukan Kelantan adalah realiti tetapi menawan Putrajaya belum pasti lagi. Nampaknya Pas sendiri pun tak yakin DAP dan PKR yang sekian lama menentang keras perjuangan asas par­ti itu mampu membawa pakatan pembangkang ke Put­rajaya.

Dalam keadaan ini, DAP pula cuba mengambarkan ba­hawa Pas telah menipu parti itu dan PKR. Pas telah menipu pengundi sehingga terpacul di mulut supremo DAP, Lim Kit Siang: ‘Apa yang memeranjatkan, pemimpin Pas kini mendakwa tiada salahnya dalam tindakan itu.’

Sejak sekian lama diketahui hudud dan hukum Islam bukan dasar pakatan. Hudud malah wujud sebelum pakatan terbentuk. Cuma ma­sa­lahnya mereka selalu buat-buat setuju. Kini terserlah se­mua permainan selama ini apabila dasar itu mahu di­lak­sanakan di negeri yang me­re­ka kuasai.

Tiada lagi hujah, helah atau ‘lubang-lubang’ politik yang boleh digunakan untuk memperdaya pengundi mere­ka terutama bukan Islam. DAP dan PKR sudah terlanjur berjanji tidak akan tunduk ke­pada desakan untuk melak­sa­nakan hudud Pas.

Hanya satu jalan keluar ia­itu terus menyakat Pas. Sen­jata ini pun yang mereka gunakan selama ini demi un­di kaum Cina. Mereka tahu pim­pinan Pas akhirnya akan akur. Itulah yang selalu berlaku, Pas akan mengalah.

Memperlekeh
DAP dan PKR tahu ha­buan Putrajaya atau menum­bangkan kerajaan BN akan membutakan mata hati pim­pinan Pas terhadap teras per­juangannya. Banyak kali Pas di­acah dan diuji termasuk yang terbaharu isu kalimah Allah.

DAP dan PKR menakut-na­­kutkan Pas kononnya ti­dak berdaya malah tidak akan mencapai kedudukan se­karang tanpa bantuan pe­ngundi kedua-dua parti itu. Entah berapa kali pula kedua-kedua parti itu mengherdik dan memperlekeh pimpinan Pas hanya kerana hudud.

DAP dan PKR seperti se­ngaja mahu menendang ke­luar Pas. Ada pemimpin DAP malah mencadangkan Pas digantung daripada kesepakatan longgar mereka. Ada yang mengancam untuk tidak hadir pada mesyuarat tertinggi pakatan pembangkang akan datang.

Tetapi gempuran berterusan daripada sekutu DAP dan PKR ini serta sebahagian pemimpin Pas tidak se­di­­­kitpun membuatkan Pas Kelantan gentar. Pada saat-sa­at akhir Kerajaan Pas Kelantan tetap komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2014) yang dijadualkan Isnin ini.

Hanya semalam setelah Kota Darul Naim, yang me­nem­patkan bangunan DUN turut ditenggelami air, ke­ra­jaan negeri mengumumkan untuk menangguhkan si­dang khas itu sekali gus cuti peristiwa bagi Kelantan. Be­­gitu sekali semangat dan kemahuan kerajaan negeri walaupun pentadbiran harian juga dikhabarkan terpaksa dipindahkan ke Masjid Telipot.

Hanya banjir besar yang disifatkan terburuk dalam se­jarah negeri itu yang mampu menangguhkan impian membara dan semangat untuk melaksanakan hudud.

Nampaknya DAP dan PKR serta sebahagian pimpinan Pas terpaksa mengharapkan keajaiban lain untuk me­nye­kat kesungguhan tinggi kerajaan Kelantan ini. Rasanya ke­mahuan itu tidak akan surut, sesurutnya kelak banjir yang melanda Kelantan kali Ini.

Oleh :  Zulkefli Hamzah