Friday, February 15, 2013

Keberanian Pas Semakin Terhakis

SALAH satu sikap yang semakin terhakis daripada Pas sejak menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ialah keberanian.

Begitulah juga dalam isu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pas tidak berani menyatakan secara terbuka atau lebih tepat lagi membuat kenyataan rasmi bahawa mereka mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menduduki jawatan berkenaan.

Sebaliknya, apabila tercetus khabar bahawa Majlis Syura Ulama Pas menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin Pas cepat-cepat menafikannya dan menganggap ia mengarut.
Tetapi tidak ada satu pun kenyataan yang menegaskan siapa yang mereka mahu sama ada Abdul Hadi atau Anwar.

Dalam soal ini, kita memahami Pas berasa serba-salah ibarat ditelan mati emak, ditelan mati bapa. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin sudah terperangkap dalam situasi politik yang mereka ciptakan sendiri.

Dari satu sudut, pemimpin-pemimpin Pas amat memahami bahawa di dalam parti itu terdapat arus yang kuat yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri dan ia sudah diterjemahkan melalui kenyataan seorang wakil Dewan Ulam ketika muktamar tahunan parti itu baru-baru ini.

Kenyataan berkenaan disokong oleh ramai pemimpin Pas khususnya dalam kalangan ulama. Dari satu sudut lain pula, Pas mahu menjaga hati Anwar dan hubungan bersama PKR serta DAP.

Pas tidak mahu jika mereka membuat kenyataan rasmi menolak Anwar ia boleh menjejaskan hubungan berkenaan, apatah lagi pemimpin Pas yang menyokong ketua pembangkang itu terlalu ramai dalam parti tersebut.

Oleh itu cara yang paling selamat ialah menafikan berlakunya perbincangan berhubung penolakan ke atas Anwar dan dalam masa yang sama tidak menyatakan siapa yang mereka mahu.

Inilah sikap Pas sekarang, dari semasa ke semasa keberanian untuk menyatakan sebuah kebenaran semakin terhakis. Apa salahnya mereka berterus-terang supaya pemimpin dan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak terus bingung.

Tetapi pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu berbuat demikian kerana mahu menjaga hati Anwar, PKR dan DAP.

Mungkin bagi pemimpin-pemimpin Pas menjaga hubungan dengan kedua-dua parti itu adalah lebih penting berbanding menilai perasaan ahli sendiri.

Selain itu, sikap tidak berani menyatakan secara rasmi siapa pilihan mereka untuk menjadi Perdana Menteri telah menimbulkan persoalan apakah Pas secara senyap-senyap sememangnya mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri?

Jika itu benar, apakah ia bermaksud kepimpinan Pas tidak mempedulikan desakan akar umbi yang mahukan Abdul Hadi menduduki jawatan tersebut?

Atau sememangnya benar ada perancangan untuk memujuk pemimpin di luar pakatan pembangkang bagi tujuan tersebut?

Sepatutnya, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama dan pemimpin bertaraf ulama dalam Pas berani ke hadapan untuk menyatakan kebenaran. Kalau betul mereka tidak mahu Anwar maka nyatakan secara terbuka.

Tetapi malangnya itu tidak berlaku kerana Pas bimbang jika kenyataan rasmi dibuat untuk menolak Anwar, ia akan menjejaskan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.

Mungkin juga, sikap Pas ini ada kaitan dengan kekuatan parti itu untuk melawan kehendak PKR dan DAP.
Pemimpin-pemimpin Pas amat memahami DAP begitu konsisten mempertahankan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, oleh itu sudah pasti mereka tidak berani hendak menyanggah DAP.

Tambahan pula, Pas bukanlah tonggak utama dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak mempunyai kekuatan untuk tidak akur kepada kehendak PKR dan DAP.

Apa sahaja yang diinginkan dan diputuskan oleh kedua-dua parti itu, Pas tidak adan kudrat untuk melawan.
Namun soal terhakisnya keberanian Pas bukanlah isu baru malahan dalam beberapa isu sebelum ini pun parti itu dilihat terlalu takut untuk menyatakan pendirian.

Kalau pun pendirian dibuat ia dilakukan secara berlapik sehinggakan ia menimbulkan kekeliruan yang mana satu pendirian rasmi Pas. Inilah yang berlaku dalam isu kalimah Allah. Jika dalam isu berkaitan Islam pun Pas tidak ada keberanian apatah lagi isu yang melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang lain.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas sebenarnya sudah terperangkap dalam mainan politik yang mereka ciptakan sendiri.

Justeru kata beliau, Pas terpaksa berhati-hati memandangkan banyak isu yang tercetus menyaksikan ahli-ahli parti itu semakin tidak berpuas hati.

''Begitulah juga dalam isu berkaitan kedudukan Anwar ini, Pas tidak mahu membuat pendirian rasmi kerana memahami sebahagian besar ahli-ahli mereka menolak Anwar.

''Pelbagai isu yang melumuri ketua pembangkang itu menyebabkan beliau dilihat tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.

''Malahan satu kajian yang dijalankan dalam kalangan orang Melayu menunjukkan Anwar tidak sesuai untuk memimpin negara,'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar.

Ketika ditanya, apakah pendekatan politik Pas sekarang menyebabkan parti itu semakin terhakis keberaniannya, Dr. Mohamed Mustafa berkata, semua itu berlaku kerana kesilapan Pas sendiri.

''Mereka yang memilih untuk mewujudkan kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi akhirnya hanya sekadar menjadi pak turut sahaja. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli Pas dan inilah yang membimbangkan kepimpinan parti itu,'' kata beliau.

Dr. Mohamed Mustafa berkata, berikutan keadaan itu, pemimpin-pemimpin Pas dilihat lebih berhati-hati supaya tindakan mereka tidak dilihat terus menyinggung perasaan ahli-ahli.

''Kepimpinan Pas bimbang, jika ahli-ahli Pas terus marah dengan situasi yang berlaku, mereka tidak akan bekerja dalam pilihan raya, keadaan ini boleh membahayakan pakatan pembangkang,'' katanya.

Apa yang dikatakan oleh Dr. Mohamed Mustafa itu sememangnya benar kerana jentera pilihan raya Pas dianggap paling terbaik berbanding jentera PKR dan DAP.

PKR tidak mempunyai jentera pilihan raya yang tersusun manakala DAP pula ala kadar sahaja, oleh itu kedua-dua parti itu bergantung kepada Pas.

''Persoalannya, mahukah jentera pilihan raya Pas bekerja bermati-matian sedangkan yang akan untung akhirnya PKR dan DAP,'' tanya Dr. Mohamed Mustafa.

Semua keadaan ini sudah tentulah merimaskan kepimpinan Pas, apatah lagi dalam kalangan ahli dan penyokong termasuklah guru-guru pondok mereka melihat parti itu sudah tidak ada keberanian lagi.

''Banyak isu yang menyebabkan penyokong dan ahli Pas kecewa ia termasuklah isu kalimah Allah, syiah dan liberalisme,'' kata Dr. Mohamed Mustafa lagi.

Berdasarkan apa yang diperkatakan, jelaslah kepada kita kenapa Pas kini semakin terhakis keberaniannya.
Akibat daripad

Oleh itu tidak perlu kita mengharapkan apa-apa ketegasan daripada Pas selepas ini kerana sudah terbukti kepentingan politik telah meragut keberanian Pas sebagai sebuah parti bermaruah.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Thursday, February 14, 2013

Konflik di Selatan Thailand Kian Parah

SERANGAN 60 pejuang pemisah ke atas pangkalan tentera marin di daerah Bacho, Narathiwat malam kelmarin yang mengakibatkan 19 maut, menunjukkan konflik di selatan Thailand kian sukar dibendung.

Konflik masih lagi berbentuk konflik pemisah walaupun terdapat penambahan isu dan aktor dalam segmen konflik.

Konflik wilayah selatan Thailand atau konflik Patani hari ini sebenarnya amat berkait rapat soal pertembungan budaya dan agama - sehingga menyebabkan keputusan untuk berkompromi sukar dicapai.

Akibatnya, konflik yang sudah lama berlaku sejak tahun 1786 lagi apabila wilayah kesultanan Melayu Fathoni dikuasai oleh kerajaan Siam semakin parah. Meskipun sekitar awal tahun 2000 konflik ini didakwa dapat dikawal dengan ketiadaan insiden-insiden besar, namun hakikatnya, konflik masih lagi berterusan.

Dan sehinggalah serangan yang terbaharu dan telah diketahui awal oleh Bangkok itu menyaksikan 19 pejuang pemisah memakai celoreng seperti tentera maut manakala anggota pemisah lain melarikan diri.

Hakikatnya konflik di selatan Thailand tidak pernah reda. Jika diimbas rekod 10 tahun bermula 1993 hingga 2004, sebanyak 2,593 insiden berkaitan keganasan berlaku. Sepanjang tempoh itu, 29 peratus berlaku sepanjang tahun 1993 hingga 2003, manakala 71 peratus terjadi dalam 2004.

Narathiwat merupakan wilayah yang paling kerap berlaku insiden keganasan, diikuti wilayah Patani dan Yala.

Insiden dan peristiwa yang berlaku hari ini lebih kepada penyerangan, pertempuran, sabotaj dan demonstrasi. Sebelum 1990, telah banyak berlaku insiden-insiden pertembungan antara orang Melayu Islam Patani dengan pihak berkuasa kerajaan Thailand.

Antaranya, peristiwa di Kampung Dusun Nyior, Narathiwat pada 28 April 1948 apabila polis memulakan serangan ke atas sekumpulan orang Islam Patani yang sedang mengadakan kenduri.

Pihak polis menuduh sekumpulan orang Melayu Islam itu bertindak cuba melawan mereka. Lantaran itu, hampir 400 orang termasuk orang tua dan kanak-kanak telah mati. Dalam insiden itu, 30 anggota polis turut terkorban dalam pertempuran yang berlangsung selama 36 jam.

Demonstrasi turut berlaku di selatan Thailand apabila orang Islam Patani cuba menahan tindakan kerajaan untuk merobohkan Masjid Besar Menara bagi digantikan dengan masjid baru. Demonstrasi ini berlaku pada 15 November 1975 yang mana Perdana Menteri Kukrij Pramoj ingin merobohkan Masjid Besar Menara tetapi ditentang oleh orang Melayu. Ekoran daripada itu, ramai tentera telah dihantar ke wilayah tersebut.

Pada 29 November 1975, tentera telah memaksa enam orang pemuda Melayu Islam menyembah berhala Buddha dan kemudian dibunuh. Kejadian ini berlaku di wilayah Patani apabila mereka disekat oleh Tentera Laut Thai ketika dalam perjalanan pulang. Tindakan ini terbongkar apabila salah seorang daripada mereka terselamat.

Ekoran daripada itu berlaku demonstrasi pada 11 Disember 1975 menentang kezaliman tentera kerajaan di samping menuntut tentera terlibat dihadap ke muka pengadilan.

Seterusnya pada 21 April 1990 satu perarakan besar-besaran telah diadakan oleh orang Melayu untuk menuntut kerajaan Thailand supaya membenarkan mereka memperbaiki Masjid Kerisik. Masjid ini merupakan yang tertua di Asia Tenggara dan sebagai tanda kedatangan agama Islam di Patani.

Selepas kejadian demonstrasi tersebut, antara tahun 1990 hingga 2003, didapati tiada insiden-insiden yang menarik perhatian ramai.

Seterusnya menjelang tahun 2004, konflik meletus kembali apabila pada 4 Januari 2004 berlaku penyerangan ke atas Kem Tentera di Kg. Pileng, Daerah Pecah Airong dalam wilayah Narathiwat oleh sekumpulan militan yang tidak dikenali.

Dalam serangan tersebut, empat anggota tentera telah terbunuh dan 366 laras senjata jenis M16, 24 laras Gun, 7 laras RPG (M79) dan 2 laras M60 telah dirompak. Dalam masa yang sama 18 buah sekolah dalam 10 daerah di Narathiwat turut dibakar.

Konflik di selatan Thailand perlu dilihat dari skop yang luas, untuk mencari titik penyelesaiannya.

Populasi kepadatan penduduk Patani, Narathiwat, Yala dan Satun ialah 12 peratus daripada rakyat Thailand. Jumlah penduduk seramai 1.3 juta adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam dan 360,000 orang adalah berbangsa Siam dan Cina yang beragama Buddha.

Jika dibandingkan kadar peratus jumlah keseluruhan rakyat Thailand, orang Melayu di selatan Thailand berjumlah 4 peratus.

Dari segi ekonomi, wilayah Patani, Narathiwat dan Yala masih berada di bawah paras garis kemiskinan.

Contohnya, pendapatan bulanan 20.7 peratus penduduk wilayah Patani adalah berada di bawah RM81.80 sebulan, 46 peratus penduduk wilayah Narathiwat berpendapatan di bawah RM80.80 sebulan manakala 37 peratus penduduk wilayah Yala pula berpendapatan di bawah RM84.50 sebulan. Kebanyakan penduduk tempatan masih lagi bergantung kepada sumber pertanian sebagai kegiatan utama.

Dan taraf kehidupan mereka sebahagian besarnya masih lagi di tahap yang rendah berbanding wilayah-wilayah lain walaupun dikatakan mendapat bantuan dan dorongan daripada kerajaan Thailand.

Dalam penyelesaian konflik selatan Thailand perlu ada inisiatif dan strategi baru. Ini termasuk pembinaan perdamaian (peace building) dengan kerjasama masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Konflik di selatan Thailand yang diburukkan dengan serangan terbaru Narathiwat kelmarin memerlukan langkah-langkah komprehensif yang turut melibatkan strategi transformasi konflik untuk penyelesaian yang berkekalan.

Oleh : Zulkifli Jalil

Wednesday, February 13, 2013

KFC Baru...!

Tahniah Ghani-Akhirnya Lim Kang Hoo kuasai KFC?

AKHIRNYA segala kebimbangan dan usaha sebahagian besar rakyat Johor agar kerajaan Negeri pimpinan Ghani Othman mempertahankan pegangan dalam Kentucky Fried Chicken (KFC) tidak dipedulikan malah keluh kesah dan denyut nadi mereka yang mahu terus berbangga terhadap KFC sebagai harta mereka hanya tinggal kenangan semata-mata.

Tanggal 14 Februari 2013 nanti berakhirlah pegangan Johor Corporation (JCorp) terhadap perniagaan Kentucky Freid Chicken (KFC) yang selama ini menjadi kebangaan rakyat Johor apabila Tripple Plate yang dikuasai oleh Zaki Zahid yang dilantik sebagai PemudahCara akan menjual saham dalam KFC sebanyak 51 % dan Jcorp sebanyak 30 % kepada CVC Capital dan jumlah jualan ini melibatkan pertukaran saham sebanyak 81% dan selebih bakinya dipegang oleh Jcorp dan KWSP.

Peringkat awalnya,Tripple Plate sebelum ini adalah gabungan tiga syarikat sebagai Pemegang Aamanah saham bagi oihak KFC apabila Suruhanjaya Sekuriti meluluskan penstrukturan semula KFC dan QSR Berhad yang akhirnya JCorp memegang saham KFC sebanyak 51 %.KWSP 25 % dab CVC Capital 24 %.

Namun sekarang saham tersebut telah dijual kepada Iskandar Water Front City sebanyak 30% manakala saham KWSP sebanyak 25 % itu dibeli semula oleh Jcorp dan dijual semula kepada CVC Capital sebanyak 25 %. CVC Capital dan Iskandar Water Front City adalah milik majoriti Lim Kang Hoo.Jadi siapa pemegang saham terbesar?Berapa peratus milik JCorp?Berapa peratus milik KWSP?

Hebat Zaki Zahid,dia buat duit jual atas jual dan adakah ini kita boleh panggil sebagai jenayah terancang?Ada pula orang kata,dimana ada Zaki Zahid maka pasti disitu akan ada penjualan aset.

Selain Zaki Zahid,siapa lagi yang mengaut keuntungan disebalik semua ini?Mustahil Tripple Plate sahaja yang meraih keuntungan dan yang pasti rakyat Johor semakin menanggung kerugian bila segala aset-aset mereka dicairkan untuk kepentingan-kepentingan individu tertentu.

Bayaran dari hasil penjualan sahama sebanyak 5 bilion telahpun siap sedia akan dibayar melalui CIMB Finance dan kita tidak tahu berapa pula komisen yang bakal diterima oleh Zaki Zahid yang jual atas jual ini dan juga telah berjaya mengawal minda MB Johor Ghani Othman untuk bersetuju melepaskan pegangan Jcorp dalam KFC kepada CVC Capital yang majoriti sahamnya dpegang oleh Iskandar Water Front City sebanyak 51 % dan baki pegangan saham dimiliki oleh seorang warga Britain.

Sebelum ini STJ pernah mendedahkan konspirasi disebalik skandal KFC ini dan diserang dalam komen dengan berbagai-bagai serangan tetapi akhrinya terbukti apa yang dibimbang dan diselusuri melalui tulisan terebut telah menjadi kenyataan,akhirnya rakyat Johor terlopong melihat KFC bukan lagi milik penuh JCorp ataupun kerajaan Malaysia.Tulisan sebelum ini boleh dibaca disini.

Kita harus mengucapkan tahniah kepada Ghani Othman,Zaki Zahid dan terutama sekali kepada Lim Kang Hoo kerana akhirnya berjaya meruntuhkan mercutanda pernigaan yang dibanggakan oleh seluruh rakyat Johor dan agenda Ghani Othman ini dilihat bukan untuk mengkayakan orang-orang Melayu terutamanya di Johor tetapi lebih kepada mahu memiskinkan rakyat negeri itu.

Ghani yang sedang menggunakan talian hayatnya untuk kekal lagi sebagai MB Johor dilihat langsung tidak memahami tentang denyut nadi rakyat.keresahan rakyat apabila beliau mengambil pendekatan menjual satu demi satu harta rakyat Johor kepada bangsa asing terutama sekali kepada Lim Kang Hoo,ahli perniagaan Cina yang sedang menguasai sebahagain besar pembangunan hartanah di Johor ketika ini.

Selepas KFC yang terlepas ini kita tidak tahu apa lagi harta-harta rakyat Johor yang akan dijual oleh Ghani kepada kroni-kroni tertentu dan adakah kerana Ghani menyedari bahawa tempohnya sebagai Menteri Besar Johor akan berakhir ataupun tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam PRU13 ini membuatkan beliau mengambil keputusan untuk menjual segala harta-harta yang yang menjadi milik rakyat Johor termasuklah difahamkan beratus-ratus ekar tanah juga dijual kepada Lim Kang Hoo atas dasar kononnya untuk melakukan pembangunan di negeri tersebut.

Pun ada juga yang mendakwa walaupun sebahagian besar rakyat Johor menolak Ghani untuk dicalonkan semula dalam PRU13 nanti ataupun sebagai Menteri Besar Johor, Najib dikatakan masih berminat untuk mengekalkan beliau atas kepentingan individu serta kelompok-kelompok tertentu dan tindakan Najib ini disifatkan sebagai melawan arus dengan menolak desakan-desakan rakyat yang mahu kepimpinan Ghani ditamatkan ekoran kerakusan beliau mempergunakan kuasa sebagai Menteri Besar.

Suara hati Sanggah Tok Janggut  juga lihat di SINI   juga di SINI