Friday, December 14, 2012

Wajah Islam di Indonesia dan Malaysia

MALAYSIA dan Indonesia ialah dua negara berjiran yang ibarat saudara kandung. Kedua-duanya penduduknya majoriti beragama Islam dan dari rumpun Melayu. Walaupun masyarakatnya banyak persamaan, namun majoriti ulama dan rakyat Indonesia tidak mahukan ‘Negara Islam’ sedangkan ramai ulama dan sebahagian masyarakat Islam di Malaysia menuntut didirikan ‘Negara Islam’ dan melaksanakan hudud. Mengapa begitu?

Hujung minggu lepas, Haji Agus Sunyoto, seorang ahli sejarah dan pensyarah falsafah di Universitas Brawijaya di Malang, datang ke Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan ketua Lesbumi iaitu Lembaga Seni Budaya Muslim Indonesia, di bawah Nahdlatul Ulama, sebuah pertubuhan Islam terbesar di Indonesia.

Pak Agus Sunyoto berkongsi ilmu di sebuah forum anjuran Sisters in Islam, mengenai sejarah pengembangan Islam di Tanah Jawa, Indonesia.

Menurutnya, Islam di Indonesia hanya berkembang luas pada abad ke 14 dan 15, dan antara pengembang Islam yang penting di Tanah Jawa ialah para ulama berasal dari Champa, Vietnam. Di Indonesia dan juga Malaysia, pendakwah-pendakwah tersebut dikenali sebagai Wali Songo (Wali Sembilan) manakala di Mindanao, mereka dikenali sebagai Wali Pitu (Wali Tujuh). Ada ulama Wali Songo, seperti Syeikh Datuk Abdul Jalil yang dikenali sebagai Syeikh Siti Jenar, berasal dari Melaka dan Sunan Kalijaga juga berguru di Pulau Upih, Melaka.

Mesra budaya dan pejuang hak rakyat berbilang agama
Menurut Pak Agus, antara sebab utama masyarakat tempatan waktu itu sudi menerima ajaran Islam yang diperkenalkan oleh para Wali Songo ialah kerana para ulama Wali Songo dapat memahami cara hidup dan amalan budaya masyarakat tempatan. Mereka menggunakan hikmah dan budi bicara yang lembut serta bersikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya masyarakat tempatan.

Beberapa ulama Wali Songo seperti Sunan Bonang ialah orang-orang yang mula sekali memperkenalkan musik gamelan dan pertunjukan wayang kulit di Indonesia dan juga Malaysia, yang mereka gunakan sebagai alat penyampai dakwah.

Masyarakat tempatan waktu itu juga tertarik dengan ajaran Wali Songo seperti Syeikh Datuk Abdul Jalil yang dikenali sebagai Syeikh Siti Jenar, kerana beliau menentang penindasan dan ketidakadilan. Dengan berasaskan konsep tauhid iaitu mengakui bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Tuhan, Syeikh Siti Jenar telah merubah struktur masyarakat agar rakyat jelata tidak dieksplotasi dan ditindas oleh pihak Istana. Beliau telah mengangkat darjat rakyat sebagai anggota masyarakat yang berdaulat dan yang mempunyai hak-hak penuh sebagai manusia.

Salah seorang ulama Wali Songo bernama Sunan Ja’far Shodiq atau dikenali sebagai Sunan Kudus. Sunan Kudus telah melarang umat Islam di daerah Kudus, Jawa Tengah, dari makan daging lembu bagi menghormati penganut agama Hindu yang ramai di Kudus waktu itu. Fatwa beliau telah diteruskan sebagai tradisi oleh sebahagian masyarakat Kudus sehingga kini.

Nahdhatul Ulama dan Gus Dur
Sejarah Wali Songo membuatkan kita bertanya apakah peranan dan cara ulama masakini, terutamanya di Malaysia. Apakah mereka berdakwah dengan lemah lembut, atau dengan cara keras dan caci maki? Apakah mereka menjadi tokoh penaung kesenian dan adat budaya tempatan, atau apakah mereka yang malah mahu mematikan kesenian dan budaya tempatan? Apakah mereka menjadi tokoh yang menggalakkan umat Islam untuk menghormati agama lain atau adakah mereka yang malah menghasut masyarakat agar menghina dan membenci agama lain? Apakah mereka pejuang keadilan dan lantang menentang penindasan di kalangan masyarakat, atau apakah mereka tidak ambil peduli?

Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) masih terus menggunakan pendekatan yang dilakukan oleh para Wali Songo. Bekas ketua NU (yang juga mantan Presiden Indonesia), Abdur Rahman Wahid atau dikenali sebagai Gus Dur, merupakan ulama besar yang tegas mempertahankan hak asasi manusia termasuklah dalam isu kesetaraan gender, melindungi golongan-golongan minoriti, yang lemah dan terpinggir serta memastikan hak penganut-penganut agama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain, sentiasa terjamin. Gus Dur juga tegas mempertahankan agar kesenian dan budaya tempatan terus dilestarikan.

Yang menarik sekali, Nahdlatul Ulama dan Gus Dur dengan tegas menolak konsep ‘Kerajaan Islam’ (atau Islamic State) dan menolak pelaksanaan hudud di Indonesia. Gus Dur menolak penafsiran hukum agama dilakukan oleh Negara kerana ia boleh menjurus kepada autokrasi. Menurut beliau, umat Islam bebas untuk mengamalkan urusan agamanya, namun negara harus ditadbir secara demokrasi dan adil untuk semua rakyat, dan tanggungjawab Negara ialah melindungi hak asasi setiap rakyatnya terutama golongan minoriti.

Di sambutan Hari Raya Puasa beberapa bulan lalu, ketua Nahdlatul Ulama sekarang iaitu Kiyai Said Aqil Siradj, mengingatkan umat Islam bahawa “melindungi non-Muslim adalah Jihad” dan bahawa “tidak toleran (terhadap agama lain) itu melawan Tuhan”. Kiyai Said Aqil Siradj yang pernah belajar selama sepuluh tahun di Madinah, Arab Saudi, seterusnya mengingatkan firman Allah swt bahawa seandainya Allah menghendaki, semua orang akan menganuti satu agama, dan Allah juga telah berfirman bahawa tiada paksaan dalam beragama. Oleh yang demikian, jika ada orang Islam yang tidak bertoleransi dengan orang bukan Islam, bererti mereka melawan kehendak Tuhan. Menurut beliau, Nabi bersabda bahawa tidak boleh ada permusuhan kecuali terhadap orang-orang zalim atau orang yang melanggar undang-undang.

Saya secara peribadi tidak tahu apakah ada ulama di Malaysia yang mengajarkan toleransi agama sehingga berfatwa bahawa melindungi non-Muslim merupakan suatu jihad.

Ulama di kedua-dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama dan Muhamadiyyah tegas menolak penubuhan ‘kerajaan Islam’ dan pelaksanaan hudud. Padahal, penduduk Islam Indonesia sekitar 85% dan penduduk bukan Islam hanya sekitar 15%.

Wajah Islam di Malaysia
Di Malaysia pula yang masyarakat bukan Islam merupakan sekitar 40% dari penduduk Malaysia, ramai ulama, terutamanya ulama dan pemimpin PAS, masih kuat mahu membentuk ‘kerajaan Islam’.

Pemimpin Umno pula, walaupun mendakwa mahu menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini sering memainkan sentimen yang tidak menyenangkan hati rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

Lihat saja ucapan-ucapan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Rhetorik “Kita orang terpilih” bukan saja menakutkan orang bukan Melayu dan bukan Islam, malah saya yang Melayu dan Islam ini pun seriau mendengarnya. Laungan Zionist begitu jugalah, mengaku mereka sajalah orang yang dipilih oleh Tuhan.

Pemimpin Umno sebagai pemimpin di salah satu parti yang memerintah kerajaan tidak seharusnya memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama. Jika Umno mahu memastikan kemenangan di pilihanraya akan datang, bersikap anti itu dan ini bukanlah cara yang matang.

Ulama dan pemimpin-pemimpin Islam sama ada dari parti Umno, PKR atau PAS sebaiknya, ambillah pendekatan cuba memahami agar masyarakat Islam lebih matang dalam berfikir dan dalam memahami apakah masalah-masalah yang penting dan genting untuk diselesaikan.

Pancasila Indonesia dan Rukun Negara Malaysia
Ulama-ulama di Indonesia sangat faham sejarah pembentukan dan kuat mempertahankan Pancasila mereka.

Namun, saya kurang pasti apakah ulama-ulama di Malaysia peka dengan sejarah dan wawasan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta tahu apakah nilai yang mahu diketengahkan oleh Rukun Negara Malaysia.

Di sekolah kita sudah diajarkan lima prinsip Rukun Negara. Akan tetapi, berapa ramaikah antara kita, termasuk semua agamawan di Malaysia yang pernah baca atau tahu Mukadimah (Preamble) Rukun Negara kita yang sangat penting untuk difahami, iaitu:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
-mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
-memelihara satu cara hidup demokratik;
-mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
-menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
-membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Sepertinya Mukadimah kepada lima prinsip Rukun Negara kita tidak begitu berbeza dengan Pancasila Indonesia yang juga terdiri dari lima prinsip itu. Sekiranya ulama Indonesia boleh menjiwai dan menjunjung tinggi Pancasilanya, bukankah bertambah jati diri kita sebagai rakyat Malaysia jika ulama dan ahli masyarakat menjiwai nilai-nilai dan wawasan Rukun Negara, termasuk Mukadimahnya?  

Oleh : Norhayati Kaprawi

Thursday, December 13, 2012

Polemik Pas: Sini Terpelau Sana Terlepas

"BALIK Pulau Bayan Lepas, sini terpelau sana terlepas." Itulah nasib Pas jika dikaitkan dengan polemik terbarunya di Kelantan. Isunya bukan soal hukum, tetapi kebijaksanaan dan konsistensi Pas dalam melaksanakan hukum.

Pas tiba-tiba bertindak keras dan tegas dalam isu orang perempuan tidak boleh menggunting rambut pelanggan lelaki. Ini termasuk kes tangkapan 'khalwat' empat orang bukan Islam di Kelantan.

Tetapi Pas berlembut pula dalam isu penjualan arak dan penyebaran agama Kristian di Selangor. Bahkan Pas sanggup kehilangan Dr. Hasan Ali dalam konflik tersebut.

Sebenarnya Pas masih keliru dan tercari-cari titik noktah 'Tahalluf siasi' yang dijadikan alasan untuk bersekedudukan dengan DAP. Pas pernah berusaha untuk memujuk 10 orang Ahli Parlimen UMNO supaya menyertainya jika rancangan kerajaan 16 September Anwar Ibrahim berjaya.

Jika itu berlaku, kerusi Pas di Parlimen akan bertambah kepada 32 yang melebihi 28 kerusi milik DAP. Maka Pas lebih berhak daripada DAP menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Senangnya Pas mencongak kuasa dengan taktik yang tidak realistik itu. Baru-baru ini dalam muktamar tahunannya Pas menuntut pula jawatan Perdana Menteri.

Apakah congakan terbaru Pas, sedangkan parti itu hanya bertanding 66 kerusi pada Pilihan Raya umum (PRU) 2008 dan menang 22 kerusi sahaja. Justeru pilihan terbaik Pas ialah mempertahankan Kelantan, iaitu kekal sebagai parti kenegerian. Di situlah barangkali kenapa dua isu kontroversi itu timbul.

Pas perlu membuktikan kepada rakyat Kelantan bahawa parti itu masih berlandaskan perjuangan Islam. Pas juga mula merasakan bahang 'gelombang merah' UMNO.

Pas bimbang kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dalam pilihan raya kecil di Gua Musang akan menjadi wabak dalam PRU-13. Maka Pas menggunakan kaedah pelaksanaan hukum Islam sebagai bukti 'janji ditepati' di Kelantan.

Tetapi seperti yang dijangka, tindakan Pas mendapat tentangan daripada rakannya PKR apatah lagi DAP. Bukan Islam turut tidak senang dengan tindakan Pas.

Lebih mengejutkan ialah tentangan daripada sayap barunya iaitu Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Bahkan sayap ini turut mengemukakan bukti surat saman yang dikeluarkan terhadap empat orang bukan Islam itu.

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chaw mendakwa sayap ini mempunyai keahlian seramai 80,000 orang. Ini satu tamparan kepada Pas. Dalam muktamar lalu Pas bersetuju meletakkan calon daripada DHPP untuk bertanding dalam PRU-13.

Keputusan itu menimbulkan perpecahan pendapat dalam kalangan akar umbi. Akar umbi Pas masih sangsi dengan keikhlasan DHPP. Pada mereka DHPP hanya mahu mengambil kesempatan.

Sayap Pas itu dituduh memecah belahkan dominasi Pas sebagai parti politik orang Melayu apatah lagi DHPP tetap mempertahankan prinsip-prinsip perjuangan untuk survival kaum Cina. Pendirian mereka terhadap dua kes di Kelantan itu adalah bukti sebenar sikap DHPP.

Di peringkat akar umbi, DHPP ada masalah dengan Pas di peringkat Kawasan dan Ranting. DHPP dianggap bergerak secara ala kadar kerana tidak mempunyai tenaga penggerak dan kekurangan sumber kewangan. Ia hanya gagah di peringkat Pusat. Sebab itu peranan mereka sebagai jentera untuk menjelaskan isu hudud dan hak kaum lain di bawah pemerintahan Pas amat terbatas.

DAP juga tidak senang dengan DHPP. Sayap baru Pas ini dituduh cuba bergerak di kawasan majoriti Cina hanya untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Ia dilihat cuba membina kekuatan sendiri di kalangan orang Cina. Ia mengukuhkan lagi kesangsian antara Pas dan DAP.

Masalahnya, apakah Pas dapat untung atau 'tahalluf siasinya' itu makan diri. Yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Pas juga yang rugi.

Oleh : Dr. Mohd Puad Zarkashi