Friday, September 6, 2019

Identiti Negara Sedang Dirombak Oleh Pihak Dominan Ketika Ini

Hegemoni dicabar, Melayu diasak melutut kepada Kapitalis
HEGEMONI ialah pengaruh kuasa yang mendapat keakuran rakyat secara sukarela. Selama lebih 50 tahun, majoriti rakyat akur dengan hegemoni orang Melayu. Bahasa, budaya, agama Persekutuan, identiti dan naratif sejarah negara ini berpaksikan kepada pegangan orang Melayu.

Hegemoni ini disemai oleh pihak dominan – kerajaan Perikatan kemudian BN – menerusi proses pendidikan formal, non formal dan informal; dalam silibus sekolah dan universiti, kursus-kursus jati diri, persekitaran dalam badan-badan kerajaan, acara-acara rasmi, media di bawah pengaruh kerajaan dan lain-lain.

Bagaimanapun, hegemoni Melayu ini akhirnya dicabar, dipersoal dan dalam proses penghapusan sekarang. Ini berpunca daripada dua kesilapan UMNO (pihak dominan masa itu), satu kesilapan PAS sebagai pencabar terdekat pihak yang dominan.

Kesilapan pertama UMNO ialah tidak jujur dengan perjuangan bangsa; pimpinan lebih sibuk bolot peluang untuk kepentingan sendiri berbanding mengukuhkan identiti negara. Sebagai contoh tulisan jawi mati di tangan mereka. Akhirnya, retorik agama, bangsa, tanah air hanya untuk kekalkan kuasa UMNO.

Kesilapan kedua UMNO ialah memberi muka kepada sekolah vernakular, yang membuka peluang kepada penyemaian hegemoni Cina dan India dalam persekutuan Tanah Melayu, sehingga melahirkan generasi warganegara yang bukan saja jahil dengan identiti negara, malah membencinya.

Kesilapan PAS ialah bermesra dengan DAP, yang telah merombak naratif wajah hodoh DAP di minda anak muda Melayu selama ini sebagai penerus perjuangan Parti Komunis Malaya. Membersihkan air muka DAP sama dengan bencana, manakala membawa DAP ke kerusi kuasa (kesilapan Tun) sama dengan malapetaka.

Kini, pihak yang dominan, PH yang ditunjangi generasi sekolah vernakular yang berkiblatkan identiti asing, sedang berusaha keras menyemai hegemoni bukan Melayu ke atas rakyat negara ini. Identiti negara ini sedang dirombak. Orang Melayu kecoh, tapi lama-lama mereka akan akur secara sukarela.

Itu sebab mereka sentuh silibus agama dan sejarah, selain protes berterusan terhadap apa-apa saja berkaitan identiti Islam dan Melayu negara ini. Selain kuasa hegemoni, mereka juga mengasak Melayu ke satu sudut; keterpaksaan melutut kepada Kapitalis setelah lengkap negara dimiskinkan nanti.

Nota: Tulisan tidak bertujuan mencari kesalahan, tetapi menerangkan mengenai konsep hegemoni yang menjana keakuran sukarela, kaedah menjayakan dan faktor penggagalannya.

Oleh;   Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman
            Naib Presiden Berjasa

Jemaah Menteri Bodoh Sombong

Sengaja pekakkan telinga ketepi isu Islam, Melayu dalam pentadbiran
Pendirian jemaah menteri terhadap apa yang disebut mereka ‘usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam’ di negara ini, jelas menunjukkan sikap memekakkan telinga dan bodoh sombong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mereka tidak begitu faham apa yang sebenarnya berlaku di kalangan rakyat, tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Katanya, mereka seolah-olah tidak mahu mendalami bahawa kempen yang digerakkan ketika ini adalah ‘Kempen Beli Produk Muslim’ bagi membantu ekonomi umat Islam dan bukannya kempen memboikot produk lain.

“Kabinet Malaysia buat masa ini bukanlah kabinet yang berwibawa. Menteri-menteri PH yang mabuk dengan retorik sama rata barangkali tidak faham tekanan yang dihadapi oleh masyarakat majoriti Islam di bawah.

“Setelah kerajaan dilihat gagal memberi keadilan kepada mereka untuk mendapat hak maju bersama bangsa lain, lalu mereka bertindak sendiri untuk membela nasib mereka,” kata Ustaz Abdullah kepada Ismaweb.net.

Bahkan, beliau berkata, jemaah menteri secara sengaja memekakkan telinga dan bersikap bodoh sombong untuk menyepikan isu Islam dan Melayu dalam arus pentadbiran negara.

Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri menyifatkan usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini sebagai sangat tidak wajar.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

Katanya, ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara, sekali gus meminta rakyat untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana memberi kebaikan kepada negara. - www.ismaweb.net

Thursday, September 5, 2019

Kalau Pemimpin Tidak Diyakini...

Pelabur lari setiap kali Guan Eng buka mulut, kata Umno
Umno mendakwa antara punca ekonomi negara merosot adalah disebabkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengatakan ia tidak memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di negara ini.

Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah berkata setiap kali Lim “buka mulut” dan membuat sebarang kenyataan berhubung kedudukan ekonomi negara, maka setiap kali itulah harga saham di bursa saham akan menurun.

“Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang tidak berkeupayaan mewujudkan keyakinan kepada pelbagai pihak, baik rakyat Malaysia atau peniaga dan pelabur.

“Kalau pemimpin tidak diyakini, ia akan memberi masalah kepada negara, kemudiannya memberi kesan kepada rakyat.

“Apa yang diucapkan perdana menteri, menteri kewangan atau menteri lain tidak diyakini. Apabila tidak diyakini, ia akan menjadi masalah kepada negara dan menjadi masalah kepada mereka (menteri Kabinet) juga,” katanya dalam jelajah ceramah umum sempena himpunan penyatuan ummah di Taman Maluri, malam tadi.

Sewaktu berucap di depan kira-kira 300 hadirin yang hadir, Shamsul turut mempersoalkan keupayaan Dr Mahathir Mohamad membawa pelaburan masuk ke dalam negara yang menurutnya sehingga kini masih tidak kelihatan hasilnya.

“Mana sahaja negara yang perdana menteri kita tidak pergi, dia sudah pergi ke Jepun, China, Amerika Syarikat, Pakistan, Turki dan pelbagai negara lagi sewaktu siri lawatannya ke luar negara, apakah pelaburan yang dibawa masuk.

“Zaman kita (Barisan Nasional) tidak perlu perdana menteri yang pergi, cukup menteri kewangan sahaja yang pergi, itupun sudah banyak pelaburan. Kalau perdana menteri ketika itu yang pergi maka lagi banyaklah pelaburan dibawa masuk,” katanya.

Menurutnya, pada 2016 sewaktu dalam rangka lawatan Najib Razak ke China, bekas perdana menteri itu berjaya membawa pelaburan ke dalam negara dengan nilai yang cukup besar.

“Tidak kurang RM143.46 bilion dalam bentuk pelaburan. Apabila pelaburan berjaya dibawa balik ke dalam negara, maka rahmatnya adalah untuk rakyat.

“Kini, sudah berapa kali perdana menteri kita pergi China, apakah pelaburan yang dibawa, mana ada. Kenapa tidak ada, kerana orang tidak yakin,” katanya. - www.freemalaysiatoday.com