Wednesday, August 8, 2018

PKM Pejuang Kemerdekaan?

AGAK menarik beberapa hari lalu muncul kembali desakan mengangkat peranan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam gerakan ke arah kemerdekaan negara. Kali ini mereka mahukan keganasan yang dikatakan satu perju­angan itu dimasukkan ke dalam sukatan mata pelajaran Sejarah negara. Usaha sebegini dan yang seumpamanya bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ia sudah lama disuarakan oleh sesetengah pihak yang berpartisan.
 Kepada golongan ini, penglibatan komunis semasa Perang Dunia Kedua dalam gerakan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan Bintang Tiga yang berte­rusan walaupun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dianggap suatu pengorbanan sekelompok pejuang rakyat yang tiada tolok bandingannya dalam sejarah negara.

Justeru, telah kedengaran dan wujud gelombang massa khususnya ‘budak-budak politik’ mendesak supaya dimasukkan se­jarah ‘sumbangan PKM’ ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dalam kurikulum sejarah yang diajar di sekolah-sekolah.
 Namun, benarkah gerakan bersenjata secara terbuka oleh PKM menentang British dan kemudian Angkatan Tentera Diraja Malaysia dianggap gerakan menuntut kemerdekaan negara? Persoalannya apakah yang hendak dimerdekakan? Dari siapakah kemerdekaan hendak diraih? Siapa pula yang akan menjadi kerajaan setelah gerakan menuntut kemerdekaan dicapai?

Sebenarnya agak pelik jika dikatakan gerakan komunis adalah gerakan kemerdekaan negara ketika tujuan utama gerakan komunis ialah menghalau British dan membunuh seberapa ramai orang Melayu yang boleh.

Sepanjang ‘perjuangan komu­nis’ di Tanah Melayu, tujuan utama mereka hanyalah hendak mendirikan sebuah kerajaan komunis di Tanah Melayu. Kerajaan yang ditubuhkan itu tidak ber­asaskan penduduk Melayu sebagai penduduk asal dan sistem politik yang sudah diamalkan sejak ratusan tahun. Sebaliknya mereka mahukan sistem politik baharu yang diambil dari luar.

Niat dan hasrat mereka ini jelas dengan tindakan keganasan yang berterusan menentang Angkatan Tentera Malaysia walaupun Malaysia telah merdeka. Mereka tidak iktiraf kemerdekaan 1957 kerana bukan mereka yang me­nguasai Malaysia. Ke­tika Perang Dunia Kedua tidak ada sebarang rekod dan maklumat pun yang membuktikan MPAJA ataupun Bintang 3 bertempur dengan Jepun bagi menamatkan pendudukan Jepun di Tanah Me­layu. Sebaliknya semua senjata yang British bekal dan latihan ketenteraan yang anggota MPAJA terima dari British semasa pendudukan Jepun disimpan.

Semasa Perang Dunia Kedua, MPAJA dan Bintang Tiga hanya menyembunyikan diri dan mengamuk di kawasan kampung-kampung Melayu. Peristiwa MPAJA dan Bintang Tiga membunuh orang Melayu di Batu Pahat, Johor dan Sungai Manik, Perak semasa pendudukan Jepun adalah antara contoh keganasan PKM yang tidak dapat dilupakan oleh orang Melayu dan Cina sehingga ke hari ini. Ramai terkorban ekoran keganasan komunis ketika itu. Pengalaman di kedua-dua tempat ini lebih dahsyat daripada peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Malangnya peristiwa tersebut tidak dipaparkan di dalam sukatan mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah. Zaman Perang Dunia Kedua hanya banyak memaparkan penderitaan ekonomi orang Melayu dan kezaliman tentera Jepun terhadap Orang Cina sahaja. Walhal, waktu itu orang Melayu lebih teraniaya dan dizalimi oleh pengganas Komunis.

Kita memahami peristiwa dahsyat ekoran keganasan MPAJA dan Bintang Tiga terhadap orang Melayu di kampung-kampung Melayu semasa Perang Dunia Kedua kurang sesuai dijadikan bahan pembelajaran di peringkat sekolah. Namun, niat murni dasar pendidikan negara yang mahu mewujudkan keharmonian masyarakat bukan sahaja gagal memberikan pengajaran kenegaraan, malah diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang masih lagi mengekalkan hubungan de­ngan saki baki anggota komunis yang masih hidup. Justeru, amat mengelirukan dan lebih menyesatkan apabila keganasan PKM yang di dalam wajah MPAJA dan Bintang Tiga dianggap pejuang kemerdekaan atau pejuang rak­yat.

Satu persoalan akhir ialah mengapa mesti dimasukkan da­lam kurikulum sejarah negara ketika mata pelajaran Sejarah tidak dianggap penting dalam Sijil Peperiksaan Bersama (UEC)? Jika benar ‘sumbangan PKM’ dalam usaha menuntut kemerdekaan memang besar, masukkan dahulu ke dalam sukatan sejarah dalam sijil UEC yang hendak diiktiraf itu. Kita mahu lihat sejauh mana hebatnya apa yang dikatakan sejarah pejuang rakyat yang ‘tiada tolok bandingnya’ dalam sukatan sijil Dong Zong

Bagi sesetengah pihak jangan terlalu mudah memberi pengiktirafan kepada pihak-pihak yang mahukan menafikan sejarah negara ini. Selagi ada orang Melayu yang mengetahui dan mengalami kepahitan hidup zaman keganasan komunis, jangan dilayan ke­rana mahukan pengganas diangkatkan sebagai pejuang negara.

Kenapa Benci Komunis?

Parti Kominis Malaya (PKM) telah ditubuhkan pada 1927 di Negeri Sembilan sebelum ditubuhnya secara rasmi di Singapura pada 1930. Penyebaran ideologi kominis ini telah disebarkan ke Tanah Melayu melalui sekolah sekolah malam, kesatuan sekerja, persatuan pelajar, wanita dan pemuda dalam kalangan orang Cina, India dan segelintir orang Melayu.

Parti itu tidak begitu kelihatan dipermukaan politik negara kecuali apabila British membuat perjanjian bagi menentang pendudukan Jepun pada 1942. British dan PKM melalui Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA)/Bintang Tiga, telah memerangi tentera Jepun secara gerila, British memberi bantuan senjata dan latihan kepada PKM.

British juga memberi PKM menjaga Tanah Melayu sebelum kemasukannya semula ke Tanah Melayu apabila Jepun dikalahkan. Dengan itu apabila Jepun dikalahkan, PKM telah mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu.

Mereka telah keluar daripada hutan dan menguasai bandar serta bangunan kerajaan. Mereka juga melakukan penangkapan ke atas orang yang dianggap sebagai tali barut Jepun. Dalam hal ini orang Melayu menjadi mangsanya secara besar-besaran. Orang Melayu yang menjadi kampetai, tok imam, penghulu atau ketua kampung atau sesiapa sahaja yang dilihat telah bekerjasama dengan tentera Jepun, menjadi mangsanya.

Prof. Cheah Boon Kheng, seorang ahli sejarah yang telah membuat kajian tentang zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu dalam bukunya Red Star Over Malaya terbitan Universiti Nasional Singapura, telah merekodkan hal ini dengan jelas. Beliau menamakan perbicaraan tangkap muat ini sebagai Kangaroo Court.

Orang Melayu yang dikatakan bersalah telah ditangkap dan dizalimi. Mereka dibawa masuk ke hutan dan hilang tanpa khabar berita. Rumah-rumah juga dibakar dengan penghuninya dibiarkan rentung. Ada juga yang bertindak membawa lari anak-anak gadis ke dalam hutan. Ada yang ditempeleng dan dipaksa minum air sabun seperti apa yang dilakukan oleh tentera Jepun. Masjid diceroboh.

Ini semua membangkitkan kemarahan orang Melayu. Mereka telah mengambil tindakan balas dengan menyerang orang Cina.

Kumpulan pembelaan Melayu secara fisabilillah atau jihad juga telah muncul dengan banyaknya di luar bandar. Kumpulan-kumpulan yang menamakan diri sebagai Selendang Merah dan pelbagai lagi muncul. Gerakan itu berlaku di beberapa tempat seperti di Batu Pahat, Johor; Sungai Manik dan Sungai Siput di Perak, dan Malim, Pahang.

Rekod-rekod British menjelaskan bahawa pertumpahan darah itu antara orang Melayu dan Cina telah berlaku di antara bulan Julai sehingga September 1945.

Apabila British memperkenalkan Malayan Union pada 1946, PKM dan golongan kiri Melayu telah menyokongnya. Mereka menyokong Malayan Union kerana dasar British membuang kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua negeri, agama Islam diletakkan di bawah Gabenor Malayan Union yang bukan Islam, dan kerakyatan dibuka untuk semua orang kecuali rakyat Jepun.

Terkorban
Orang Melayu telah menentangnya sehingga tertubuhnya Kongres Melayu 1946 yang menubuhkan UMNO. Semua cerdik pandai Melayu termasuk golongan kiri seperti Dr. Burhanudin dan Ahmad Boestamam telah hadir untuk menubuhkan UMNO di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946.

Golongan ini kemudian meninggalkan UMNO pada Ogos 1946 kerana kepimpinan UMNO dipegang oleh golongan aristokrat/feudal yang memang tidak disukai oleh golongan itu. Mereka dipengaruhi oleh Revolusi Indonesia yang menegakkan sebuah republik.

PKM menentang Malayan Union bersama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1946, yang ditaja oleh PKM. Ini memang dilakukan bagi menyebarkan fahaman kominis dalam kalangan orang Melayu.

Di Selangor telah ditubuhkan Parti Kominis Melayu, tetapi tidak dapat sambutan dalam kalangan orang Melayu dan berkubur begitu sahaja. Oleh itu PKM tidak mahu menamakan PKKM sebagai Parti Sosialis Malaya kerana bimbang tidak dapat sambutan orang Melayu.

Bagaimanapun, PKM telah menubuhkan Rejimen 10 khas untuk orang Melayu, yang dipimpin oleh Abdullah CD. Perjanjian Persekutuan 1948 telah diadakan bagi menggantikan Malayan Union.

Kedudukan Raja-Raja Melayu dan agama Islam dipulihkan dan UMNO jadi wakil politik orang Melayu bagi menarik semula Malayan Union. Akibat rasa tidak puas hati PKM mengangkat senjata menentang British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.

Maka Darurat diistiharkan pada Jun 1948. British telah menganggap PKM sebagai pengganas dan memburunya. Pasukan tentera dan polis tempatan telah diperbesarkan. British juga membawa masuk tentera dari negara-negara Komanwel untuk mengatasi ancaman PKM.

Banyak tentera tempatan dan luar negara yang terkorban. Rancangan Briggs telah membuat dua tindakan penting. Pertama membina Kampung Baru bagi meletakkan mereka yang bersimpati dengan PKM, lebih 450 buah telah ditubuhkan.

Dalam skim ini mereka diberi tanah percuma 10 ekar dan diberi rumah, sekolah, elektrik dan bekalan air untuk memujuk mereka supaya tidak menyokong PKM. Pemberian tanah percuma ini lebih awal daripada FELDA yang dibuat Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, iaitu pada 1970, selepas Peristiwa 13 Mei 1969 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Langkah kedua ialah memberi kerakyatan secara jus soli oleh Raja-Raja Melayu pada 1951, dengan menerima mereka yang lahir di Negeri Melayu untuk menjadi rakyat negeri dan Persekutuan Tanah Melayu.

Hal ini kemudian dilanjutkan lagi apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, dengan itu semua yang lahir di sini menjadi wargenegara secara jus soli. Ini bermakna, untuk dapat kemerdekaan kerakyatan dibuka secara sama rata dengan imigran.

Begitulah pengorbanan orang Melayu yang berkongsi kuasa dengan orang lain dan pemimpin Melayu itu adalah UMNO. Parti itu juga bersama Parti Perikatan menubuhkan Malaysia. UMNO jugalah sebagai ketua membangunkan negara ini sejak merdeka. Pada hari ini rasa tak puas hati PKM adalah kerana gagal melemahkan UMNO itu tercapai dan dapat 'ditebus' dengan memasuki parti politik yang dapat mendokong cita-citanya.

Menurut seseorang dalam Seminar Peoples History Malayan Emergency pada 27-29 Julai lalu di Chinese Assembley Hall: “Perang saudara yang berlaku itu bukan antara rakyat tetapi menentang pihak berkuasa, ertinya menentang kerajaan UMNO. Tetapi pilihan raya kali ini sudah capai matlamat kami. Dalam pilihan raya ini golongan kiri mencurah tenaga dan menyokong Pakatan Harapan.

"Jadi kemenangan Pakatan Harapan adalah satu usaha pihak kami. Tun Dr. Mahathir melakar sejarah kali kedua, pertama Tun Mahathir melakar sejarah 29 tahun dulu bersetuju menandatangani persetujuan damai di Hatyai mengakhiri warisan British.

"Boleh dikatakan Tun Mahathir telah melakar sejarah kali kedua dan dengan ini kami berharap Tun Mahathir dan kerajaan PH dapat mengubah dasar-dasar buruk UMNO, dan menunaikan janji-janjinya dalam perjanjian damai Hatyai seperti mengizinkan abu Chin Peng dibawa balik ke tanah air.

"Sejarah mesti sesuai dengan keadaan sebenar. Dia siar di televisyen kata pengganas tak sesuai dengan sejarah, memperjuang kemerdekaan tidak boleh dinafikan.”

Kata-kata ni menunjukkan PKM berdendam dengan UMNO, kerajaan Melayu yang telah menegakkan kedudukan orang Melayu. Kejayaannya menumbang UMNO, BN seperti sebutannya sendiri, adalah manifestasi satu perjuangan sejak 1930. Sebab itu sejarah penting direkod dan ditulis pada masa itu.

Dokumen cukup banyak dalam khazanah negara di dalam dan luar negara. Terpulang pada kita membaca dan menilainya. Hari ini mungkin ada orang percaya apa yang dikatakan bertentangan dengan apa sebenarnya berlaku.

Kesian datuk nenek kita menentang Malayan Union apabila hari ini cucu cicitnya lupa pada sejarah.

Oleh : Dr. Ramlah Adam

Monday, August 6, 2018

Petualang Dijulang, Satu Keterbukaan Baharu?

Setiap kali sambutan Hari Pahlawan ada satu acara yang sentiasa ditunggu-tu­nggu iaitu persembahan pantomim perjuangan pasukan keselamatan menentang pengganas komunis ketika zaman darurat. Pantomim ini jarang berakhir dengan cerita gembira sepertimana dalam filem perang iaitu kemenangan.

Yang kerap digambarkan ia­lah tragedi sedih menyayat hati anggota tentera, polis, pasukan keselamatan atau rakyat marhaen. Mereka dibunuh de­ngan kejam dan tanpa perikemanusiaan.

Pantomim itu adalah lakonan semula kejadian sebenar yang me­nimpa pasukan keselamatan negara. Pengorbanan para perajurit negara dalam melawan musuh demi mempertahankan tanah air daripada pengganas komunis bukan cerita dongeng. Mereka berjuang dengan sepenuh jiwa raga bersulam darah dan air mata. Kesan dan bukti perjuangan tersebut dapat dilihat sampai sekarang.

Banyak peristiwa menyedih­kan berlaku ke atas anggota pa­sukan keselamatan sepanjang mempertahankan pertiwi ini. Kisah perjuangan anggota tentera, polis dan pasukan ke­selamatan diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi oleh mereka yang terlibat secara langsung atau waris atau mangsa. Cerita ini kekal dalam khazanah sejarah negara.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini semacam ada satu ge­rakan hebat sedang berjalan untuk memberi pengiktirafan baharu kepada kumpulan haluan kiri dalam sejarah negara termasuk pengganas komunis.

Gerakan ini dipelopori oleh sekumpulan anak muda yang lahir dalam era ketika Menara Berkembar Petronas sudah lama terpacak di depan mata dan perkhidmatan LRT bersimpang siur menjalar di tengah ibu kota selain segala maklumat boleh diakses di hujung jari. Ibu bapa dan datuk nenek mereka pun barang kali lahir selepas merdeka.

Sekelompok anak muda ini yang menganggap mereka sebagai ‘aktivis’ dan berpegang kepada ‘idealisme suci kebebasan bersuara ‘meminta sejarah negara berhubung gerakan haluan kiri dikaji semula dan diperbetulkan. Mereka mahu ‘kebaikan’ perjuangan kumpulan itu dimasukkan dalam buku teks sekolah.

Anak-anak muda ‘hebat’ dan ‘berbakat’ ini secara lantang meminta agar sumbangan golongan haluan kiri termasuk komunis dalam sejarah negara diberi tempat yang sewajarnya untuk dinilai oleh para pelajar sekolah.

Bersungguh-sungguh benar kelompok ini sehingga sampai pada tahap menganjurkan wacana, pameran serta menjemput bekas pengganas berkongsi pengalaman dalam satu forum terbuka. Motifnya sudah terang lagi bersuluh.

Sejarah kejahatan dan kekejaman pengganas ini yang sudah membunuh beribu-ribu nyawa rakyat tidak berdosa selain mencedera dan mencacatkan puluhan ribu lagi sepanjang tempoh darurat tidak pula di­sentuh.

Salah satu kehebatan ‘era baharu’ pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 ialah keterbukaan pihak berkuasa dalam berhadapan dengan isu dan gerakan seperti ini. Walaupun insiden ini menjadi bualan sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat, setakat ini tidak ada sebarang tindakan diambil. Malah pihak yang ada kuasa pun ketika diminta reaksi, kebanyakannya memberi jawapan selamat dan ‘cuci tangan.’

Isu ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Mengambil kira amalan keterbukaan kerajaan pada hari ini, apa kata kerajaan penuhi sahaja tuntutan kumpulan ini. ‘Perbetulkan’ balik sejarah dan ‘sumbangan besar’ gerakan haluan kiri termasuk komunis dalam teks sejarah sekolah. Kalau dulu mereka petualang, ubahkan sahaja menjadi pejuang negara!