Thursday, July 5, 2018

Jangan Langgar Perlembagaan

SESUDAH 60 tahun lebih kemerdekaan Malaysia, seharusnya tidak timbul sama sekali isu bahasa negara, sebuah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi­nya. Sesiapa juga yang memimpin kerajaan hendaklah menjunjung keluhuran Perlembagaan.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi yang mesti dijaga dan jangan dilanggar secara sengaja. Kita masih dalam proses pembentukan sebuah negara bangsa (nation state) yakni satu bangsa satu negara (a single nation in a single state). Satu bangsa yang bersatu padu di negara ­moden yang maju.

Dari latar belakang kepelbagaian yang ada, kita akan bina sebuah kesatuan. Matlamat itu tidak akan tercapai di bawah pemerintahan yang longgar. Orang politik dan para pemimpin semua keturunan perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk kebersamaan adalah hak bersama bukannya mendorongkan perbezaan yang memecahkan. Malaysia akan tinggal hanya nama tanpa isi pada masa akan datang sekiranya konsep kenegaraan terbiar dan tinggallah kulit bersepah tanpa isi.

Di Malaysia, bahasa Melayu te­lah dikanunkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan) dan diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Ini bermakna Malaysia ada Dasar Bahasa Negara.

Dasar ini menjadi ‘Tanggungjawab Perlembagaan’ dari segi pelaksanaan, penggunaan dan penyebarluasannya oleh semua pihak, apa lagi urusan bagi me­laksanakan maksud-maksud kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) yakni sektor awam, bahkan sektor swasta. Aspirasi Perlembagaan adalah aspirasi pembinaan kenegaraan.

Perkara ‘bahasa’ adalah salah satu syarat perjanjian Perlembagaan bagi orang asing waktu itu yang mahu memilih Tanah Melayu sebagai negara kediaman. Dari tangan Raja-raja Melayu, maka negara Persekutuan dibentuk dan demokrasi diperkenalkan. Rakyat jangan jadi ‘kacang lupakan kulit’.

Kini tahun 2018, senario politik sedang berubah. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti akan mengubah haluan bahtera negara. Sepintas lalu, akhir-akhir ini dan dalam tempoh yang pendek, bukan sahaja status bahasa negara mahu diperlekeh warga Malaysia sendiri, bahkan beberapa pancang kenegaraan lain dipermainkan termasuk kedudukan Raja-raja Me­layu dan status Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, status agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Sepatutnya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam, Raja-Raja Melayu dan meminggirkan Bahasa Kebangsaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa. Perkara bahasa itu adalah wasiat keenam, Wasiat Raja-Raja Melayu (1957) tatkala Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Bahasa Melayu adalah salah satu aspek penting dalam kontrak sosial yakni ikrar janji antara kaum bagi Malaysia merdeka dan berdaulat ke arah kesatuan dan persatuan bangsa Malaysia..

Apakah kerana perbalahan politik atau kepentingan perkauman yang keterlaluan di Malaysia kian mengambil tempat pada awal abad ke-21 ini, maka sehingga semacam tiada lagi dipertahankan prinsip Keluhuran Perlembagaan sebagai ideologi negara dalam Rukun Negara? Di dalam media sosial, ada tanda-tanda ‘kedurhakaan’ terhadap institusi Raja-Raja. Dalam beberapa hal seperti ada pula kesengajaan atau ‘pengkhianatan’ terhadap pelaksanaan Dasar Bahasa Negara.

Jika tanggungjawab Perlembagaan ini gagal dihayati dan dilaksanakan, bagaimanakah matlamat utama perpaduan negara bangsa ini dapat dicapai? Perpa­duan bertambah kukuh dengan kestabilan politik antara kaum dan etnik. Sayugia diingatkan bahawa bahasa Melayu itu bahasa nasional sebagaimana negara-negara lain dengan bahasa nasional masing-masing. Bahasa Mandarin di China, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Rusia di Rusia atau bahasa Jepun di Jepun dan seumpama­nya. Kita jangan tergelincir faham. Bahasa Melayu adalah unsur utama jati diri bangsa Malaysia.

Makna negara bangsa (nation state) boleh menjadi keliru dalam kalangan rakyat sekiranya tidak dibuat penjelasan dari semasa ke semasa. Apakah itu konsep fe­deralisme dan apakah matlamat aspirasi Perlembagaan. Tindakan mempromosikan bahasa-bahasa lain pada kedudukan rasmi memang melanggari Perlembagaan. Rakyat sekian lama sudah memahami dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Kita boleh belajar dan menguasai apa sahaja bahasa tetapi jangan sekali-kali mempertentangkan bahasa tidak rasmi dengan bahasa negara. Ingat­lah, perbezaan antara rasmi dengan tidak rasmi itu. Tutup perkara.

Fahaman yang mempertikai dan mempersoalkan Perlembagaan negara sebagai pegangan kenegaraan ini boleh membawa padah. Ada puak yang sudah tidak menghormati kontrak sosial dan berada di luar nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan.

Generasi muda atau belia sebagai generasi baharu merupakan ‘penerus’ yang perlu memahami dan menghayati pemantapan serta pembinaan bahasa dalam meningkatkan semangat nasio­nalisme dan patriotisme bangsa. Generasi muda tidak perlu terikut-ikut dengan irama permainan lagu politik yang tidak berniat baik sampai berlakunya khianat terhadap pancang-pancang negara Malaysia tercinta ini.

Senario pelaksanaan dasar bahasa kini seolah-olah menuntut ‘jihad bahasa’ digerakkan. Tindakan ini bukan bermakna rakyat Malaysia menutup diri sehingga menolak keperluan menguasai bahasa-bahasa dunia yang utama seperti bahasa Inggeris.

Yang penting citra Malaysia itu mesti jelas bahawa negara berdaulat ini memiliki sebuah bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya sendiri yakni bahasa Melayu, sebuah bahasa besar milik 300 juta umat di Asia Tenggara. Ya! Ada keperluan terhadap keazaman politik para pemimpin dan kebijaksanaan para pelaksana di semua peringkat memenuhi tanggungjawab Perlembagaan tadi. Kerajaan “Malaysia Baharu” sepatutnya bina teladan mengukuhkan aspirasi Perlembagaan kita di sebuah negara Persekutuan. Wallahu’alam.

Tuesday, July 3, 2018

Mengkhianati Bahasa Melayu

PADA Jumaat lalu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) telah menganjurkan demonstrasi bagi membantah penggunaan bahasa asing dalam urusan rasmi kerajaan. Bantahan ini dirasakan perlu selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin.

Tokoh negarawan yang menghadiri perhimpunan itu menganggap wujud kewajipan ke atas rakyat untuk mengingatkan menteri-menteri di Malaysia tentang angkat sumpah yang mereka ikrarkan semasa pelantikan mereka. Ini termasuklah ikrar untuk menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan seperti yang dimaktubkan di bawah Jadual Keenam, Perlembagaan Persekutuan.

Ikrar ini turut merangkumi peruntukan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 menyebut bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris hanya boleh dipakai dalam tempoh terhad selama 10 tahun selepas kemerdekaan.

Genap 10 tahun selepas kemerdekaan, negara telahpun menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) yang memperuntukkan di bawah Seksyen 2 bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan untuk semua maksud rasmi. Takrifan bagi ‘maksud rasmi’ seperti di bawah Perkara 152(6) adalah apa-apa perkara yang melibatkan Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Guan Eng menjelaskan kenyataan berbahasa Mandarin itu hanyalah sebagai terjemahan kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan secara betul dalam bahasa Melayu. Harus diperhatikan Seksyen 3 Akta 32 hanya membenarkan kerajaan untuk menggunakan apa-apa terjemahan bagi dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

Maka jelas, penterjemahan hanya boleh digunakan apabila wujud kepentingan awam untuk membenarkan penggunaan bahasa lain. Adakah Menteri Kewangan ingin menyatakan selepas hampir 61 tahun Malaysia mencapai merdeka, negara ini masih memerlukan bahasa selain bahasa kebangsaan untuk menjaga kepentingan rakyatnya?

Tindakan mana-mana badan kerajaan yang tidak menghormati bahasa kebangsaan dalam semua perkara rasmi adalah tindakan yang merendahkan kedaulatan undang-undang. Namun masih ramai yang tidak segan untuk memaafkan kebiadaban ini dengan menghujahkan kononnya undang-undang dan Perlembagaan tidak mengehadkan penggunaan bahasa selain bahasa Melayu. Mereka menganggap hak untuk menggunakan bahasa ibunda adalah sama taraf dengan kewajipan untuk menggunakan bahasa kebangsaan secara menyeluruh dalam semua perkara rasmi.

Seluruh rakyat Malaysia harus amati bagaimana dalam Laporan Suruhanjaya Reid, badan yang dipertanggungjawabkan untuk membantu penderafan cadangan Perlembagaan Tanah Melayu, telahpun menerangkan penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi hanya boleh terus dibenarkan untuk masa terhad. Pandangan suruhanjaya ini adalah bersandarkan hakikat selepas mengambil kira realiti pada masa itu, didapati masih ramai rakyat negara ini yang tidak berkesempatan untuk mempelajari bahasa Melayu secara fasih.

Tetapi bagi pandangan ahli-ahli Suruhanjaya Reid, mereka dengan nyata tidak mencadangkan supaya bahasa lain dijadikan bahasa rasmi kerana sungguhpun mungkin wujud keperluan pada masa lalu dan namun mereka berpendapat membenarkan bahasa lain sebagai bahasa rasmi hanya akan membawa kepada yang kesulitan yang besar. Malahan, Suruhanjaya ini turut menyatakan penggunaan bahasa Inggeris sepatutnya hanya dibenarkan untuk tempoh terhad selepas negara merdeka bagi memastikan pentadbiran dapat dijalankan dengan baik sebelum bahasa rasmi ditukar sepenuhnya kepada bahasa kebangsaan.

Menteri-menteri yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan sumpah mereka kepada negara haruslah memastikan mereka tidak mengkhianati ikrar yang diangkat. Yang paling utama adalah untuk memahami bahawa identiti negara yang berpaksikan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai menerapkan acuan yang baik untuk membentuk identiti ini, menteri-menteri yang membentuk kerajaan wajib menghayati sejarah dan naratif negara.

Monday, July 2, 2018

Orang Melayu ‘tersentak’?

KETAKSUBAN rakyat Malaysia berpolitik sangat ‘me­ngagumkan’. Mereka boleh berbicara tentang politik tanpa mengira masa dan tempat, waima ketika sedang bekerja, beraya, memandu kereta atau bersembang di kedai kopi sekali pun.

Walaupun pilihan raya hanya berlangsung lima tahun sekali, rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak sekolah rendah sudah kenal UMNO, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Warisan Sabah (Warisan), MIC, MCA dan DAP.

Ada yang berhujah dengan berpaksikan fakta dan disokong oleh faktor kebenaran. Namun tidak kurang juga mengeluarkan kata-kata jelik sehingga menyakitkan hati pihak sebelah dan akhirnya mencetuskan perbalahan dan caci maki.

Semua ini adalah warna-warni dalam kehidupan jutaan rakyat Malaysia yang semakin terbuka dalam melontarkan pandangan masing-masing. Ada yang menegur secara berhemah dan sangat berhati-hati tetapi ada juga yang mengikut nafsu tanpa berfikir panjang kesan di sebalik kata-kata keras mereka.

Rata-rata kakitangan awam di Putrajaya juga tidak terlepas daripada turut bercakap perkara sama tentang perkembangan terbaharu di sekeliling mereka. Masakan tidak kerana ada yang memilih untuk memangkah Barisan Nasional (BN) dan ramai juga yang mahu mencari pembaharuan sehingga kerajaan memerintah bertukar tangan.

Jika diperhatikan di Facebook contohnya, harapan sebilangan besar netizen ialah mahukan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji yang telah dibuat dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan mereka mula mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk meme­nuhi kehendak para pengundi.

Menurut mereka, sudah sampai masanya untuk kerajaan berusaha sedaya mungkin melunaskan janji-janji tersebut tanpa memberikan alasan kononnya Pakatan Harapan tidak sangka boleh menang dan mendakwa manifesto bukan janji yang perlu mengikat mereka untuk mengotakannya.

Kini, semakin ramai yang meluahkan kekecewaan apabila harga barang tidak turun seperti diharapkan walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah berada pada kadar sifar. Ini kerana peniaga tetap mengaut keuntungan walaupun amaran keras sudah diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Begitu juga dalam soal penurunan harga minyak, impian rakyat untuk menikmati harga petrol RM1.50 sen seliter seperti hanya satu ‘harapan’ yang sangat memeritkan. Alasan yang diberi adalah kerajaan sudah menanggung RM3 bilion subsidi minyak sehingga hujung tahun ini.

Alasan hutang negara sering kali dijadikan modal dan suka atau tidak rakyat perlulah berlapang dada untuk menerima penjelasan kerajaan itu, kerana saban hari rakyat dimaklumkan hutang negara menjadi punca janji-janji itu tidak dapat ditunaikan.

Jika dahulu kerajaan sekarang adalah pembangkang, sekarang ini mereka sudah duduk di dalam pejabat-pejabat kerajaan dan sudah tentunya alasan-alasan yang diberikan semakin sukar untuk diterima bulat-bulat oleh rakyat yang mengharapkan imbuhan daripada mereka.

Kebelakangan ini rakyat dikejutkan pula oleh isu-isu lain seperti penggunaan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi kerajaan, mempersoalkan status dan hak orang Melayu Islam dan mereka mula menyifatkan perkembangan ini sudah mula membawa bibit-bibit perpecahan dalam perpaduan kaum di Malaysia.

Orang Melayu nampaknya mula ‘tersentak’ dan ada yang sudah terluka dengan perkembangan yang selama ini dibimbangi akan berlaku. Jika dalam kempen pilihan raya lalu ada pemimpin yang mendakwa UMNO sengaja menggunakan isu agama dan perkauman untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak memilih parti-parti tertentu tetapi nampaknya semakin jelas apa yang dibimbangi itu mula berlaku secara perlahan-lahan.

Ibarat api dalam sekam, dasarnya nampak molek namun di bawahnya mula membakar secara diam. Adakah orang Melayu mula melihat garis sempadan yang selama ini dijaga rapi semakin terobek dan terbelah? Adakah ia amat pedih dan menyakitkan?

Harapan rakyat harus dipandang serius. Jangan nanti sehingga menangkis keyakinan dan kepercayaan mereka kepada kerajaan.