Monday, March 14, 2016

Hati-Hati Dengan Projek Bernafsu Tinggi

Projek hartanah Forest City di Johor yang baru dirasmikan dikatakan bakal mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035. Jika dihitung bermula tahun 2016 ini, iaitu 19 tahun ke hadapan, purata bagi setahun peluang pekerjaan yang bakal wujud itu sebanyak 11,579 peluang.

Peluang ini dikatakan muncul dalam sektor industri di bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan. Projek ini berkonsep atau bercirikan mesra alam.

Ini satu angka yang agak besar dan fakta yang menarik, yang seharusnya akan menggembirakan rakyat Johor.

Namun, pertama sekali kita wajar berhati-hati dengan ramalan angka-angka ini kerana realitinya, belum tentu mengikut perkiraan yang dijangkakan. Keadaan mata wang ringgit dan harga pasaran minyak mentah sedunia hari ini sudah menceritakan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Kedua, kita perlu melihat anatomi bagaimana projek-projek ini direncanakan dalam aspek proses dan pelaksanaannya termasuk dalam aspek pemantauannya.

Ramalan peluang kerja
Ramalan ini amat mudah dibuat kerana kebiasaan bagi setiap projek pembangunan yang dibuat, pastinya ia berdasarkan input dan output.
Contoh langsung yang sangat jelas iaitu, setiap premis bangunan atau premis fizikal (jalan atau taman), pastinya memerlukan penyelenggaraan. Maka peluang pekerjaan pertama itu muncul disini.

Kita ambil contoh projek yang telah selesai dibangunkan. Pusat Janakuasa Tanjung Bin di Tanjung Piai. Antara banyak peluang pekerjaan yang wujud disitu, yang ditawarkan kepada buruh tempatan adalah pekerjaan dalam aspek pembersihan, yakni pekerjaan dalam kategori buruh kurang atau tidak mahir.

Begitu juga dengan kontraktor tempatan, peluang kerja atau tender yang wujud kebanyakannya dalam aspek keselamatan, pemantauan dan juga kebersihan. Yang mana, kerja-kerja ini bukan berasaskan kemahiran dan pengetahuan (teknologi).

Soalnya, daripada pengalaman ini, adakah prospek seperti ini yang dimaksudkan (akan wujud) peluang pekerjaan untuk warga tempatan dalam jumlah 220,000 peluang pekerjaan, dari tiga bidang utama itu?

Ini belum kita tinjau projek di Pengerang yang sedang berjalan. Setakat yang kita tahu, projek-projek di Pengerang, banyak menggunakan tenaga kerja mahir yang pakar dari luar yang dikatakan ia tidak dapat dibekalkan oleh tenaga tempatan, baik kontraktornya mahupun juruteranya.

Projek Forest City yang sedang berjalan ini juga menggunakan sumber tenaga daripada luar khususnya China termasuk subkontraktor dan buruhnya.

Proses
Jika kita tinjau aspek pelaksanaan projek-projek mega di Johor ini, ada beberapa perkara fundamental yang mendatangkan persoalan yang sehingga kini, masih tidak jelas kedudukannya.

Sebagai contoh, bagaimana Country Garden dipilih sebagai pemaju dalam projek Forest City ini? Adakah memang tidak perlu tender terbuka untuk projek seperti ini yang boleh disertai oleh pemaju-pemaju tempatan yang berkebolehan?

Begitu juga dengan proses penambakan laut yang luas itu. Bagaimana projek yang tidak wujud dalam perancangan Wilayah Iskandar sebelumnya, tetapi hari ini ada? Bagaimana ia boleh berlaku sedemikian rupa?

Contoh-contoh ini mendorong satu persoalan, adakah kerajaan telah mengkaji sehalus-halus prospek dan kesan pelbagai aspek daripada projek ini?

Proses-proses ini amat penting dalam apa jua jenis pembangunan yang melibatkan kos yang besar dan kesan jangka masa yang panjang khususnya yang melibatkan sosioekonomi rakyat tempatan.

Merobohkan sesuatu tidak sesukar membinanya, membina sesuatu tidak sesukar mengekalkannya. Maka kemapanan projek-projek mega di Johor ini harus diberi perhatian yang lebih oleh semua pihak.

Berkaitan dengan projek di Wilayah Iskandar. Keghairahan projek perumahan di Wilayah Iskandar ini telah diberi amaran agar berhati-hati oleh sekumpulan penganalisis dari Maybank bahawa kemungkinan terdapat lebihan bekalan rumah yang akan memburukkan keadaan dan boleh berlaku perang harga hartanah dan perumahan di kawasan Selatan Johor.

Ini tidak baik untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang di negeri Johor khususnya. Malah, semua projek-projek ini dimonopoli oleh syarikat dari China. Keadaan di Selatan Johor menjadi sangat sukar dan terhad dalam persaingan ekonomi.

Landasan keretapi berkembar
Projek bernafsu tinggi dalam bentuk landasan keretapi berkembar di Johor juga menimbulkan banyak persoalan. Kontrak ini juga telah diberikan kepada syarikat China yang tidak pernah ada pengalaman atau reputasi membuat apa-apa projek pembinaan di Malaysia. Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa ada tender terbuka? Apakah justifikasinya?

Kita juga tidak dibekalkan dengan maklumat sama ada syarikat ini akan mengimport ribuan pekerja asing untuk bekerja di sini sepertimana Country Garden lakukan di Johor Bahru, atau akan menggunakan tenaga tempatan.

Kita tidak menolak pembangunan, malah kita mahu ekonomi negeri dan negara berkembang maju. Namun, kita mahu pihak kerajaan berhati-hati dengan projek berskala besar agar ia tidak membebankan generasi akan datang. – Roketkini.com

Sunday, March 13, 2016

Nilai-Nilai Lee Kuan Yew Sedang Terhakis




















Gambar ini dirakamkan di hadapan Pasar Geylang Serai di Joo Chiat Road Singapura pada kira-kira jam 9 pagi 6 Mac 2016. Orang yang lalu lalang tidak mempedulikan seorang manusia terbaring samaada dia tertidur,pengsan atau telah mati atau disinilah tempat rehatnya pada setiap hari maka dia tidak dipedulikan lagi.

Jika anda telah jalani sejarah Singapura pimpinan Lee Kuan Yew (LKY)dari sejak awal yang bersiri tindakan dramatik, keras, tegas, pintar dan berani untuk membentuk masyarakat dan negara Singapura yang maju, kuat, bersih, berdisplin, setia, moden dan terpelajar maka sekarang anda akan dapat mengenali hakisan nilai-nilainya samaada dengan disedari oleh pemerintah atau pemerintah tidak lagi dapat mengawalnya seperti dahulu.

Rakyat Singapura keturunan Cina sendiri merasa tidak senang kerana keruntuhan ini yang berlaku kerana pendatang asing dari negara besar China telah menjejaskan maruah Cina tempatan.

Pendatang asing dari China bekerja sebagai pembantu kedai dan lain-lain kerja bertaraf rendah, tidak sahaja pelayan di restoran-restoran orang Cina tetapi juga di restoran- restoran mamak dan di kedai-kedai makan Melayu, umpamanya di Zam Zam Restoran di Arab Street atau di kedai-kedai makan Melayu di Geylang Serai.

Majoriti rakyat keturunan Cina Singapura dikenali sebagai pekerja kolar biru atau golongan profesional. Mereka hanya mahu menjadi "Taukeh" atau" Tuan".

Orang-orang Malaysia seolah-olah tidak percaya apabila pembawa makanan kepada mereka di restoran Melayu atau mamak di Singapura terdiri dari orang Cina.

Seperti anak-anak Melayu di Malaysia tidak mahu menjadi pekerja atau pelayan di kedai mamak atau Cina maka demikianlah juga Cina rakyat Singapura.

Bagaimanapun mereka terpaksa menerima keadaan ini seperti kita terpaksa menerima pekerja-pekerja dari Indonesia kerana kita mahu menjadi "Raja"

Kita mudah mengenali pendatang asing dari Cina di Singapura. Kebanyakan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, berbasikal sehingga tiga orang, membawa anak dan isteri melintas jalan tanpa mengikut peraturan.

Sekarang di tepi-tepi jalan di Singapura juga terdapat peniaga-peniaga haram yang menjual berbagai barangan dan juga pakaian murah. Mereka akan lari bila diserbu polis tetapi datang kembali ke tempat yang sama bila polis tiada. Ini saya lihat sendiri dalam perjalanan dengan teksi di jalan menuju ke Geylang Serai.

Kedai-kedai mamak juga bebas meletakkan kerusi meja makan di luar restoran, di lorong-lorang atau laman penjalan kaki seperti kedai-kedai mamak di Malaysia.

Tidak ramai perkerja Indonesia atau Bangladhesi di Singapura. Tentunya kepimpinan negaranya mempunyai pertimbangan dari segi keselamatan, ekonomi dan juga motif politik dalam mengutamakan pengambilan pekerja asing dari India dan China. Mereka akhirnya akan diberikan permastautin tetap dalam proses menjadi rakyat Singapura. Jumlahnya telah berjuta.

LKY sering mengingatkan rakyat Singapura bahawa mereka berada di tengah-tengah Nusantara Melayu.

Kajian dan rujukan secara terperinci perlu dibuat untuk memperkatakan pekara ini tetapi tulisan ini sekadarkan untuk memberitahu apa yang saya lihat bahawa kemasukan pendatang asing dari China ke Singapura sedang menghakiskan beberapa kualiti yang mahu dijadikan keagungan imej Singapura oleh LKY.

Bagaimanapun harus diingatkan LKY sendiri pun sebelum meninggal telah ber sikap pragmatik, bertolak ansur dengan nilai-nilai yang mahu ditegakkannya demi untuk survival Singapura walaupun beliau telah menyatakan akan bangun dari kuburnya kiranya dasar-dasar asas yang diletakkannya diganggu gugat.

Beliau telah membenarkan perjudian dan kebudayaan kuning (pelacuran dan sebagainya) di Singapura.

Beliau telah membangunkan Singapura dengan tangan besi dari pekara kecil hingga sebesar-besarnya termasuklah tidak mahu budaya Cina mendominasikan Singapura. Beliau mengharamkan pembakaran gaharu dan perarakan mayat, menghukum keras mereka yang berludah dan membuang sampah di merata tempat, menyebat orang asing yang menconteng Singapura (Grafitty) dan mengotorkannya dengan chewing gum.

Demikian hakikat dunia, pengalaman menjadikan manusia pragmatik dan bertolak ansur tetapi yang terpenting kepimpinan negara berjaya meletakkan negara dan majoriti besar rakyatnya mengenali dan berpegang terus kepada nilai-nilai yang baik yang telah membawa perubahan besar dalam membahagiakan kehidupan mereka sebagai bangsa yang maju, makmur dan bermaruah.

Betapa pun cuba dibangkitkan kesilapan LKY tetapi Singapura tetap lebih menonjol sebagai sebuah negara maju yang terbina kejayaan atas nilai dan asas-asas yang teruji dan terbukti benar. - zamkata.blogspot.my

Thursday, March 10, 2016

Hak Malaysia Disana Bagaimana?

China berhak ke atas Laut China Selatan kerana nenek moyang
BEIJING – Menteri Luar China, Wang Yi semalam menegaskan bahawa Laut China Selatan merupakan antara laluan perkapalan paling bebas dan selamat di dunia, manakala kawalan Beijing ke atas perairan itu adalah berasas.

Wang Yi berkata, China merupakan negara pertama yang ‘me­nemui’ pulau dan terumbu karang di laut itu.

Beijing sebelum ini dikecam Washington dan sekutu-sekutunya kerana melakukan aktiviti menambak laut di Laut China Selatan yang menjadi laluan maritim utama dengan nilai dagangan mencecah AS$5 trilion (RM20.5 trilion) setahun.

Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) juga melakukan misi kebebasan navigasi dengan kapal-kapal perangnya berlayar hampir dengan beberapa pulau tuntutan bertindih untuk menegaskan hak AS beroperasi di Laut China Selatan.

“Sebenarnya, berdasarkan usaha sama China dan negara-negara lain di rantau ini, Laut China Selatan kini menjadi laluan perkapalan pa­ling bebas dan selamat di dunia.

“China merupakan yang terawal meneroka, menamakan, membangun dan menguruskan pulau-pulau di perairan ini (Laut China Selatan). Nenek moyang kami bekerja keras di sini sejak sekian lama, sejarah akan buktikan siapa pelawat dan siapa tuan yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, China akan mempertimbangkan untuk menjemput wartawan asing ke pulau-pulau di bawah kawalannya apabila keadaan mengizinkan.

Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter pernah memberi amaran akibat buruk akan berlaku jika China mengambil tindakan agresif di Laut China Selatan . – Reuters