Thursday, January 14, 2016

PKR/PAN Berimamkan DAP

Selamat Berjuang
Muktamadnya proses menandatangani Perjanjian Bersama PKR, PAN dan DAP Sabtu lalu tentu melegakan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan betapa kemungkinan punca perbalahan hingga menguburkan Pakatan Rakyat tidak akan berulang.

Kini pakatan baru itu sudah meloloskan diri daripada ikatan rantai setiakawan yang longgar iaitu “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan menganut konsep kerjasama baru yang tidak mengizinkan sebarang perbalahan pendapat berlaku lagi.

Ini bermakna semua keputusan Pakatan Harapan mestilah dipersetujui ketiga-tiga parti dan tiada mana-mana kerabat pakatan itu boleh bertindak sendiri melaksanakan keputusan parti masing-masing.

Ini jelas menuju kesepaduan matlamat perjuangan dan strategi politik yang sama rata. Mana-mana parti yang engkar boleh dinyahkan dari pakatan yang ditilik berpotensi menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.



Yang utama sekali, perjanjian yang ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu itu memberi kuasa penuh pada suara majoriti Majlis Presiden Pakatan itu melucutkan keahlian anggota pakatan yang melanggar janji.

Justeru, tidak mungkin berulang kes ada ahli mahu melaksanakan ideologinya sendiri tanpa persetujuan kerabat politik lain. Ini bagi mengelakkan kes PAS, misalnya, mahu melaksanakan hukum hudud sewaktu menganggotai Pakatan Rakyat kerana kononnya itu pegangan parti Islam itu, tidak akan berulang.

Dalam kes itu, oleh kerana DAP tegas tidak mahu hukum Islam dilaksanakan di Malaysia yang diyakininya menganut faham sekular, ia segera memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Ini menerima tindak balas PAS yang menetapkan dalam Muktamarnya Jun lalu untuk bermufarakah dengan DAP. Parti dominan Cina itu kemudian secara unilateral mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur.

Itu pegangan DAP dan perjanjian bersama itu kini menghirup dan mahu menghayati intipati perjuangan DAP itu.

Maka terkabul juga hasrat mendiang pemimpin DAP, Karpal Singh, mencabar sesiapa (atau parti apapun) perlu langkah mayatnya sebelum hukum syariah dilaksanakan di Malaysia. Kini itu bukan isu lagi. Kerabat DAP, PKR dan PAN sudah faham dan akur pada “kewaspadaan” Karpal.

PAN yang mendakwa ia parti Islam dan dipimpin kumpulan yang tewas dalam pemilihan PAS dan kempunan melihat Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa di Putrajaya, awal-awal lagi akur dan tunduk pada fahaman DAP bahawa Islam hanya rasmi-rasmian sahaja.

Apa yang pasti ialah, baik PKR mahupun PAN tidak mungkin berdaya untuk mempertahankan lagi semangat dan azam untuk memastikan Malaysia dipimpin melalui lunas-lunas syariah Islam.

Jika mengikut Perjanjian Bersama itu, sekuat manapun PAN atau PKR bertempik menghebahkan kepada dunia bahawa ia parti Islam, kedua-duanya itu tiada hak melaksanakan hukum Islam sesempurnanya jika DAP tidak bersetuju.

Malaysia akhirnya sudah terjual kepada demokrasi barat dan fikiran liberalisme ala-DAP! Syabas PKR dan PAN.

Terkecuali keadaan dan pemikiran kedua-dua parti ini berubah dan bertegas mahu ajaran Islam sepenuhnya dikuatkuasakan apabila Pakatan Harapan memerintah, Malaysia bolehlah meraikan semangat sekularisme.

Ini mungkin mampu PKR dan DAP lakukan jika bilangan kerusi Dewan Rakyat mereka mengatasi DAP. Jika DAP terus tidak bersetuju, kuasa majoriti PKR dan DAP boleh menghalaunya keluar dari Pakatan Harapan.

Maknanya, untuk meyakinkan umat Islam Malaysia supaya menyokong mereka, PKR dan DAP perlulah giat membisikkan di telinga mereka bahawa sebenarnya mereka hanya bersandiwara sahaja dengan DAP – ada jalan parti Cina itu boleh ditendang bila-bila masa, demi Islam.

Malangnya, realiti politik hari ini tidaklah begitu. Yang pasti sehingga hari ini, DAP ialah parti terbesar di kalangan pembangkang. Sukar dibayangkan kombinasi kerusi PKR dan PAN mampu mengatasi koleksi DAP.

Sejak tahun 2008 lagi trend politik yang sama-sama dipupuk oleh DAP dan PKR ialah apa jua kosnya, rakyat perlu tumbangkan Umno dan Barisan Nasional jika mereka mendapat keadilan sosial dan ekonomi.

Dalam proses itu, PKR nampaknya berjaya meyakinkan pengundi Melayu-Islam bahawa DAP tiada sebarang agenda yang merugikan mereka. Pada masa yang sama DAP giat mencernakan pemikiran politik pengundi bukan Melayu bahawa ia mampu “menguruskan” PKR dan PAN melalui perjanjian bersama ini.

Dalil yang terbentang luas ialah, DAP kini mempunyai 37 kerusi Dewan Rakyat berbanding dengan PKR, 30 dan PAN, 8. Trend pertambahan kerusi DAP kini menjalar dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak.

Dengan hakikat undi Melayu-Islam sudah terbelah kepada Umno, PAS, dan PAN, hampir satu kemustahilan bagi PKR dan PAN menggembleng majoriti dalam Pakatan Harapan mahupun kerajaan.

Senario ini sudah lama dita’kuli oleh PAS yang tidak “buta warna” terhadap politik DAP ini. Belajar dari ketegaran DAP langsung tidak mahu beranjak menolak hukum Islam, PAS sudah menghidu selera politik DAP sebenar.

Justeru berpisah dari Pakatan Rakyat pun tidak menjadi masalah bagi PAS kerana ia yakin bersama DAP ia akan menemui jalan mati dalam cita-citanya mahu mendaulatkan Islam di bumi Malaysia.

Ini belum lagi mengambilkira faktor semakin meningkatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan amal yang amat selesa dengan iklim politik yang dijanjikan oleh DAP.

Atas nama kebebasan, muncul pelbagai pertubuhan yang mendambakan ada entiti politik seperti Pakatan Harapan yang mungkin mampu memerangi dan menundukkan kumpulan yang mahu hukum ahkam Islam dilaksanakan, diberi kuasa terus memerintah Malaysia.

Bagaimana agaknya pemimpin PAN seperti Salahuddin Ayub, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mahu menolak desakan kumpulan mantan Melayu profesional seperti G-25 yang mahu hukum syariah dihapuskan sama sekali jika mahu Malaysia maju?

Selamat berjuang PKR dan PAN berimamkan DAP.

Oleh : Lokman Ramlee

Wednesday, January 13, 2016

STAR-Kebanggaan Anak FELDA

Kini FELDA Sudah Mempunyai Stadium Bertaraf Antarabangsa
Kelab Bola Sepak Felda United merupakan kelab bola sepak yang mewakili FELDA untuk bertanding dalam Liga Malaysia. Kelab ini bertanding dalam Liga Super Malaysia 2015.

Felda United telah ditubuhkan pada 19 Januari 2007. Kelab ini ditubuhkan untuk mewakili FELDA. Pada awalnya, kelab ini mengadakan perlawanan di Stadium Petronas, Bangi dan Stadium MINDEF, Kuala Lumpur. Apabila dinaikkan ke Liga Perdana, Felda United mula menggunakan Stadium KLFA, Cheras.

Felda United dikenali dengan nama Budak Felda. Para penyokong pasukan ini menggunakan sorakan Serang Bang Serang setiap kali perlawanan Felda United berlangsung.

Stadium Pasukan Felda United Kini 90% Siap! Tak lama lagi Felda United bakal mempunyai stadium sendiri standard eropah di bandar Jengka.

Stadium khusus untuk bolasepak dan tiada running track. Pasukan Felda mempunyai perancangan jangka panjang, Untuk melengkapkan perancangan yang telah dirancang Pengurusan Felda United mengambil langkah membina Stadium sendiri dan ianya sudah siap 90%.

Stadium ini telah dinamakan sebagai Stadium Tun Abdul Razak atau singkatannya STAR yang mana sebagai tanda penghargaan kepasa Bapa Pembangunan Malaysia yang bertanggungjawab sepenuhnya membangunkan Felda untuk rakyat miskin pada masa itu.

Kini jika ada hayat Tun Abdul Razak sudah tentu beliau amat berbangga dengan pencapaian Felda dimasa kini bukan sahaja diperingkata perladangan malahan di peringkat sukan khasnya. Semua pencapaian ini adalah usaha gigih anak anak Felda dalam menentukan hala tuju Felda sekarang.

Stadium ini dilengkapi kemudahan Kelas A dan juga menggunakan Rumput Tiruan yang di iktiraf Oleh FIFA dan dijangka akan menjadi salah satu Stadium tercanggih dan termoden di Malaysia.

Kemungkinan Stadium ini akan beroprasi sepenuhnya pada Musim 2016. Stadium ini sedang dalam pembinaan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2016. Ciri Rumput tiruan gred 2 stars recommended by FIFA. Rumput tiruan jenis ini lulus untuk main AFC Cup dan kejohanan antarabangsa.

Bermula tahun 2016 ini pasukan bolasepak FELDA United FC tidak lagi perlu menumpang di stadium Selayang kerana Felda United sudah ada rumah nya sendiri , atau dalam istilah bolasepak “home” game.

Pengurusan FELDA yang sentiasa memandang kehadapan telah beberapa tahun lalu merancangkan agar pasukan Felda United seharusnya ada tempat sendiri dan dengan itu terhasil lah STAR.

Oleh : rmf

Tuesday, January 12, 2016

Hadi Mahu Padamkan Dosa Amanatnya

Ramai di kalangan orang PAS dan rakyat Malaysia mendakwa, amanat Hadi inilah titik tolak bermulanya kafir-mengkafir di negara kita terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

Ramai yang tertanya-tanya. Apa sudah jadi dengan Tuan Guru Haji Hadi Awang? Kenapa berubah 180 darjah dalam pendirian politiknya hingga menyeret PAS dan Pakatan ke kancah perpecahan. Lebih-lebih lagi yang telah lama mengikutinya. Ketika itu beliau adalah ‘the Rising Star of PAS’. Beliau membina ikutan dengan kepetahan retoriknya dalam berceramah. Tidak kurang pula yang fanatik dengannya.

Bintangnya terus bersinar hingga membolehkan beliau menjadi ikon perjuangan Islam. Ke mana sahaja beliau pergi, ramai pendengar dan penontonnya. Ceramah dan kuliahnya di Rhu Redang menarik ribuan, malah adakalanya puluhan ribu. Begitu juga kuliah tafsirnya di Masjid Mujahidin Damansara Utama dinanti-nanti pengikutnya dan setiap minggu menjadi seperti pesta.

Popularitinya terus berkembang begitu juga ketokohannya yang dapat membantu beliau mengambil alih sebagai Presiden PAS setelah Almarhum Ustaz Fadhil Nor. Salah satu yang menyebabkan beliau begitu popular ialah Amanat Haji Hadi yang dirakamkan ketika ceramahnya di Bagol Peradong pada 7 April 1981.

Amanat itulah yang menjadi pegangan hampir semua pengikut PAS dan bukan PAS tapi condong kepada Islam ketika itu. Walaupun Hadi tidak pernah mengaku bahawa amanat itu amanat beliau, tetapi sudah cukup bukti beliau merestuinya lantaran beliau tidak pula pernah menolak dan menghalang sehingga poster dan kaset amanat itu dicetak dan disebarkan secara meluas.

“Saudara-saudara sekalian, percayalah! Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN, bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.

Percayalah saudara – saudara! Perjuangan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak – puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, Kita tidak payah masuk Buddha tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.


Ramai di kalangan orang PAS dan rakyat Malaysia mendakwa, Amanat Hadi inilah titik tolak bermulanya kafir-mengkafir di negara kita terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Isteri berpisah dengan suami, orang PAS tidak solat berimamkan imam tertentu dan di masjid tertentu.

Kuatnya pengaruh Amanat itu juga menyebabkan majlis perkahwinan dan kenduri diboikot hanya kerana perbezaan parti dan kefahaman politik. Dan tidak ada usaha dari Hadi dan pengikutnya membetulkan suasana itu ketika itu. Dan ramai orang mendakwa kemuncak dari amanat tersebut ialah terkorbannya Almarhum As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 14 orang pengikutnya di Memali di tangan pihak yang berkuasa ketika itu.

Tapi kenapa sekarang Hadi berubah? Apakah sikap kerasnya itu kendur seusai usianya? Atau apakah Hadi berubah kerana Perlembagaan Malaysia sekarang tidak lagi Perlembagaan Penjajah? Apakah terdapat perbezaan Perlembagaan Malaysia tahun 80an ketika Tun Dr Mahathir berkuasa dengan perlembagaan sekarang ketika Najib berkuasa? Yang pasti Amanat Hadi itu seolah-olah menggambarkan Hadi tidak menerima Perlembagaan Malaysia yang sedia-ada, yang tidak berubah sejak merdeka hingga ke hari ini. Dan amanat itu mengajak pengikut PAS untuk menolak Perlembagaan Malaysia yang ditakrifkan sebagai Perlembagaan Penjajah, Peraturan Kafir, Peraturan Jahiliah.

Atau perubahan Hadi lantaran serangan jantung yang dideritai ketika di Turki? Atau kerana janji Najib untuk menyokong Hudud PAS? Atau Mungkin kerana Kerajaan Kelantan telah menerima royalti minyak daripada Najib? Atau imbalan-imbalan yang kita tidak tahu. Semua itu menjadi tanda tanya di kalangan ramai yang mengikuti perkembangan perubahannya yang mendadak itu.

Yang pasti tiada jawapan yang meyakinkan. Kalau hendak menjadi penasihat kepada kerajaan kenapa tidak dilakukan sejak dulu. UMNO tetap UMNO, BN tetap BN. Perlembagaan Malaysia tetap sama. Yang beza cuma dahulu Mahathir, sekarang Najib. Yang beza dahulu tak ada 1MDB, sekarang ada 1MDB sehingga terhutang RM47 bilion. Dahulu tidak kelihatan wang derma RM2.16 bilion masuk akaun peribadi seseorang, tetapi sekarang ada.

Dan tiada penentangan, teguran mahu pun nasihat dari Hadi tentang kedua-duanya itu. Orang yang berprinsip Islam pasti akan bersuara lantang dalam ruang lingkup amar maaruf nahi mungkar bahawa orang berjawatan awam tidak sepatutnya menerima derma sebegitu banyak dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Hadi seharusnya menasihati Najib supaya berehat sementara dari menjadi perdana menteri supaya penyiasatan secara terbuka dan telus dapat dijalankan. Hadi seharusnya mengingatkan Najib kalau wang derma itu untuk UMNO, kenapa akaun UMNO tidak menunjukkan perkara itu di mesyuarat agung UMNO.

Ini yang memusykilkan ramai orang akan niat sebenar dan perubahan Hadi. Yang lebih malang, perubahan Hadi menggoncang kestabilan PAS dan kekuatan pembangkang yang mula dapat momentum sokongan rakyat sejak tahun 2008.

Ada pula yang mendakwa apa yang berlaku adalah untuk Hadi memadam dosa dari Amanat tersebut. Tapi mereka memperingatkan Hadi supaya tidak lupa kepada pengorbanan Almarhum As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan pegikutnya dan ramai lagi pengikutnya yang telah menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman pihak berkuasa lantaran perpegang teguh kepada amanatnya.

Mahukah dan mampukah Hadi memohon maaf kepada mereka dan waris mereka?

Oleh : Yunus Tasim