Wednesday, October 14, 2015

Negara Berpendapatan Tinggi Konon......!

Rumah mampu milik: Mimpi indah tidak kesampaian?
DUA minggu lalu saya tinggal semalam dua di Johor Bharu kerana menjalankan tugas. Dalam perbualan saya dengan le­bih 30 warga korporat dan pengamal undang-undang yang menyertai seminar hartanah yang saya kendalikan di sebuah hotel di bandar raya itu, dapatlah saya simpulkan bahawa pada umumnya rumah yang baharu dibina dan dijual oleh pemaju perumahan di bandar raya itu tidak lagi mampu milik – hanya ‘mampu tengok’.

Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Research Institute (KRI), Datuk Charon Mokhzani pada 25 Ogos lalu bahawa rumah yang baharu dibina dan dijual oleh pemaju perumahan di negara kita sekarang adalah seriously unaffordable (teruk sekali tidak mampu dibeli).

Beliau turut menegaskan sekiranya kerajaan gagal menangani isu ini dengan segera, 40 peratus warga negara ini di peringkat bawahan dan 40 peratus di peringkat pertengahan akan memerlukan social housing di masa depan.

Situasi yang tidak menyenangkan ini wujud di bandar raya Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Difahamkan mengikut data Ja­batan Perangkaan Malaysia, kini terdapat 7.3 juta rumah di seluruh negara, manakala mengikut Pusat Maklumat Hartanah Negara (National Property Information Centre, NAPIC), terdapat 4.3 juta rumah. Wujud perbezaan tiga juta unit rumah ini kerana NAPIC hanya mengambil kira rumah yang dibina selepas 1970, di mana cukai setem dibayar untuk urusan pindah milik.

Memandangkan populasi negara ini kini hampir mencecah 30 juta orang, Charon berpendapat kerajaan perlu mencari jalan bagaimana kos membina rumah (yang kini terlalu tinggi) dapat dikurangkan lagi.

Yang menarik perhatian saya dalam laporan KRI itu adalah kenya­taannya bahawa harga rumah yang tinggi menyebabkan harga tanah menjadi tinggi, bukan sebaliknya.

Sebelum ini, kita sering dimaklumkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa harga rumah yang tinggi sekarang adalah disebabkan oleh harga tanah yang tinggi. Laporan KRI itu juga menyatakan bahawa walaupun harga binaan sekarang telah menurun, harga rumah masih tidak turun lagi.

Pada 11 September lalu, Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ada menyatakan bahawa dalam Bajet 2016 (yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir Oktober ini), keutamaan akan diberi oleh kerajaan kepada projek pro rakyat, termasuklah rumah mampu milik yang berkualiti, menerusi beberapa inisiatif dan dasar yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

Berikutnya, pada 23 September lalu, Jabatan Perumahan Negara menyuarakan harapan Kerajaan Persekutuan akan meluluskan tambahan 10,000 unit rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Saya (My Home Scheme) dalam Bajet 2016.

Mengikut Pengarahnya, Murali Jayabalan, penambahan ini akan menampung permintaan yang kian meningkat oleh warga negara ini yang mahukan lebih banyak lagi rumah mampu milik.

Saya kira ramai masih ingat bahawa sewaktu Perdana Menteri membentangkan Bajet 2013 pada 28 September 2012 lalu, Kerajaan Persekutuan memperun­tukan RM1.9 bi­lion untuk membina 113,000 rumah mampu milik di beberapa lokasi di seluruh negara.

Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

Sehubungan itu, RM500 milion akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 80,000 rumah di beberapa lokasi di seluruh negara, di mana setiap rumah ini akan dijual dengan harga antara RM100,000 dan RM400,000.

Antara lokasi yang dipilih adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru, Seremban dan Kuantan.

Selain itu, PRIMA juga akan mewujudkan dana (Housing Facilitation Fund) bernilai RM500 juta untuk membina rumah dengan kerjasama beberapa pemaju perumahan.

Harga rumah yang dibina di bawah skim ini adalah 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, dan semua rumah ini akan diagihkan menerusi sistem undi terbuka.

Kita dimaklumkan pada masa itu bahawa mereka yang layak mendapatkan rumah di bawah skim ini mestilah warganegara Malaysia berusia tidak kurang dari 21 tahun, dan punyai pendapatan bulanan isi rumah antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan.

Khabarnya SPNB (yang diberi peruntukan sebanyak RM320 juta) akan membina 1,855 apartmen kos sederhana di Shah Alam dan Sungai Buloh dengan harga jualan antara RM120,000 hingga RM220,000 setiap satu. Selain itu, di bawah skim Rumah Mesra Rakyat, sebanyak 21,000 unit rumah akan dibina dan dijual dengan harga RM65,000 setiap satu, dengan subsidi RM20,000.

Kita juga dimaklumkan pada masa itu Jabatan Perumahan Negara diberi peruntukan RM543 juta untuk melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), melibatkan sejumlah 20,454 unit rumah, dibina dengan menggunakan sistem pembangunan industri (Industrialised Building System, IBS).

Rumah dalam kelompok ini akan dijual dengan harga antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit, iaitu lebih murah dari harga pasaran (yang dianggarkan sekitar RM120,000 se­unit).

Kerajaan menyatakan bahawa 20 peratus rumah PPR ini akan dikhaskan untuk kakitangan kerajaan dan satu peratus darinya untuk orang kurang upaya (OKU).

Soalnya apakah yang perlu kita lakukan untuk memastikan rumah yang ditawarkan dalam pasaran benar-benar mampu milik? Mengikut satu cadangan, caranya adalah dengan meningkatkan bekalan unit rumah dalam pasaran. Apabila bekalan bertambah berbanding permintaan, harga rumah akan lambat-laun turun.

Walau bagaimanapun, cadangan ini dibantah oleh pihak lain yang menyatakan jika penambahan bekalan ini tidak terkawal ia boleh membawa kepada lambakan dalam pasaran harta (glut in the property market) dan ini mungkin akhir­nya menyebabkan krisis pin­jaman subprima seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.

Dua tahun lalu (pada penghujung Oktober 2013), sewaktu kita menunggu kerajaan membentangkan Bajet 2014, kita dimaklumkan bahawa kerajaan bercadang me­nubuhkan Majlis Perumahan Negara (National Housing Council, NHC), yang dianggotai oleh wakil kerajaan persekutuan dan negeri, Jabatan Perumahan Negara, PR1MA, SPNB dan sektor swasta.

Tugas utama majlis berkenaan adalah merangka perancangan yang rapi menyediakan satu juta unit rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dalam tempoh lima tahun. Ini bermakna pada setiap tahun, 200,000 rumah mampu milik mesti dibina.

Malangnya, mengikut laporan media selama ini sejak tarikh itu, hanya 50,000 unit rumah mampu milik yang dapat dibina setiap tahun.

Dasar Perumahan Negara kita (yang dilancarakan pada tahun 2010) ada menyatakan matlamatnya untuk menyediakan perumahan yang “mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik” bagi meningkatkan kelestarian kehidupan rakyat.

Soalnya, apakah dasar ini telah dikuat kuasakan sepenuhnya? (sila lihat Azman Anuar, “Mana penguatkuasaan Dasar Perumahan Negara?” Utusan Malaysia, 21 September 2014).

Nampaknya mimpi indah ge­nerasi muda memiliki rumah mereka sendiri dalam masa terdekat tidak akan kesampaian.

Monday, October 12, 2015

Suara Rakyat Yang Tak Mahu Didengari....!

Kaji semula dasar perpaduan kaum
Dalam begitu banyak isu yang berlaku sepanjang ming­gu ini, saya terkesan dengan masalah sikap perkauman masyarakat kita sekarang. Sikap biadap dua pemuda bukan Melayu yang menghamburkan kata-kata kesat dan mencampakkan wang di depan penguat kuasa wanita Melayu yang berkhidmat dengan Majlis Bandar Raya Pulau Pinang menunjukkan satu sisi negatif dalam minda masyarakat majmuk negara ini.

Satu lagi isu ialah hasrat baik penganjur 'Baju Kuning' dan 'Baju Merah' yang tidak jemu-jemu hendak mengadakan perhimpunan. Kini terserlah si baju kuning disertai majoritinya kaum Cina dan si baju merah didokongi oleh kaum Melayu.

Perkara ini menunjukkan tanpa mengira bangsa, masyarakat berbilang kaum negara ini semakin hari semakin terhakis rasa hormat menghormati dan bekerjasama antara kaum. Makna perpaduan antara kaum kian pupus dalam minda mereka.

Masalah sekarang yang semakin menghambat perasaan rak­yat negara ini ialah sikap kurang ajar dan tidak meng­hormati antara kaum.

Ada masa orang Melayu tidak dapat mengawal perasaan akan mengutuk orang Cina atau India. Ada ketika yang lain orang Cina dan India menghina orang Melayu. Perkara ini rasanya kurang atau tidak pernah dilaporkan berlaku di Sabah dan Sarawak. Rasanya masyarakat berbilang kaum di sana rasa tolak ansur kalangan mereka lebih tinggi berbanding dengan masyarakat di Semenanjung. Kenapa?

Sekarang secara terang-terangan segelintir orang Cina tanpa takut menghina orang Melayu. Penghinaan secara simbolik atau terang-terangan ini dilakukan oleh pemimpin politik mahupun orang awam. Banyak insiden yang dilakukan tanpa sedar dan dimulakan oleh kaum bukan Melayu itu lambat-laun akan membakar jiwa penyabar umat Melayu.

Kekecohan
Bangsa Melayu tidak selama-lamanya akan terus bersa­bar. Saya percaya akan pertimbangan yang lebih besar diam­bil oleh orang Melayu setakat ini. Apa yang negara ini perolehi jika kekecohan dan tunjuk perasaan terus-terusan diadakan antara orang Melayu dan bukan Melayu terutama di Kuala Lumpur?

Sedangkan di negara yang mem­­punyai satu bangsa pun boleh bergaduh dan berperang inikan pula negara kita yang komposisi pen­duduknya pelbagai kaum. Jangan­lah difikirkan apabila umat Melayu dihasut supaya berpecah-belah maka perasaan untuk menghormati kaum Melayu diketepikan.

Rasa hormat kepada Raja-raja, agama Islam, pemimpin kerajaan, anggota polis dan penguat kuasa yang majoritinya Melayu dicampak ke longkang. Dulu tidak macam ini. Kenapa sekarang lain? Sudah kuat sangatkah mereka dan mahu menguasai negara ini.

Saya lihat masalah yang berlaku sekarang adalah kesan daripada pendidikan sekolah dan institusi pengajian tinggi negara ini sejak 10 hingga 20 tahun lalu. Inilah hasil yang sedang kita tuai.

Murid Cina dengan corak pe­mi­kiran dan pergaulannya adalah kesan didikan yang dipu­puk melalui aliran Sekolah Jenis Ke­bangsaan (SJK) Cina. Begitu juga dengan murid India di SJK Tamil. Murid Me­layu masih dengan kesetiaan dengan semangat dasar pelajaran kebangsaan di sekolah kebangsaan.

Sebut tentang dasar kerajaan ini, sudah lenyapkah Da­sar Budaya Kebangsaan, Dasar Sosial Negara dan dasar-dasar yang memupuk semangat perpaduan antara kaum. Rasanya dasar itu masih ada tetapi tidak ada sesiapa yang mahu mempopularkannya. Banyak pihak ambil langkah tidak ambil kisah.

Boleh kita tanya bagaimana hasil Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan peserta berbilang kaum itu. Lepas selesai program, sambung pengajian di institusi tertentu atau masuk bidang pekerjaan, mereka kembali dengan sikap perkauman yang sudah sebati sejak di bangku sekolah.

Saya lihat dasar perpaduan kaum negara ini kurang berjaya. Kenapa sesetengah pemimpin negara kita enggan meng­akuinya. Dari semasa ke semasa semakin teruk sikap perkauman yang mem­biak dalam minda anak-anak muda.

Bodoh sangatkah orang Melayu mentadbir negara ini? Hina sangatkah Raja-raja Melayu menasihatkan rakyatnya supaya menjaga perpaduan? Bangsat sangatkah orang Melayu dalam memastikan negara ini terus aman, maju dan makmur?

Perkembangan sekarang, baik pemimpin atasan poli­tik mahupun rakyat bawahan sering tuduh-menuduh dalam mem­pertahankan kaum masing-masing. Dengan kedudukan dan suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan, mereka menambah masalah dengan pergolakan politik antara kaum pula.

Dahulu ada sebuah kementerian yang mempromosikan aktiviti perpaduan masyarakat, apakah ia perlu diwujudkan semula? Entahlah terserah kepada bijak pandai di Putrajaya.

Kalau rasa sistem pendidikan menjadi sarang memecah-belahkan generasi muda berdasarkan kaum masing-masing maka bertindaklah dengan berani. Usah cakap pusing-pusing dan berbelit-belit akhirnya tidak ada apa yang berubah. Tapi jurang perpaduan antara kaum semakin membesar.

Perpaduan antara kaum adalah isu 'wajib bincang' baik peringkat pembuat dasar ataupun sesa­ma golongan remaja sendiri. Kalau belum ada perancangan ke arah mengkaji semula dasar perpaduan kaum, maka lakukanlah segera.

Friday, October 9, 2015

Jangan Cepat Salah Tafsir Dan Kecoh Isu Agama

SELEPAS isu khutbah yang dibangkitkan oleh sekumpulan Melayu DAP di Pahang yang turut disokong oleh pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam DAP, timbul pula isu azan di Pulau Pinang. Jika isu kandungan khutbah Hari Raya Aidiladha di Pahang yang menyeru kepada perpaduan umat Islam dianggap berunsur fitnah, isu azan pula dikatakan berkait rapat de­ngan politik. Nampaknya agama seolah-olah mahu dijadikan modal politik yang akhirnya boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Orang luar pula melihat bagaimana umat Islam bercelaru dengan agama mereka. Kenapa isu-isu seperti ini yang berkait rapat dengan kehidupan umat Islam dijadikan isu? Apakah sudah tidak ada isu lain yang boleh dijadikan modal politik? Kenapa ada pihak semakin berani mempertikaikan tentang jabatan atau agensi berkaitan agama termasuk isi kandungan khutbah?

Ada ketikanya sesuatu keputusan itu dibuat untuk kepentingan umum tetapi diolah sehingga dilihat bermotif politik. Contohnya isu khutbah. Ini bukan kali pertama kandungan khutbah dipertikaikan. Menyelak kembali isu berkaitan, pada awal tahun ini, ada pihak yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat. Pihak berkenaan menganggap khutbah mempunyai unsur-unsur provokasi. Begitu jugalah dengan khutbah Hari Raya Aidiladha di Pahang baru-baru ini.

Semua pihak perlu terlebih dahulu memahami khutbah yang disampaikan. Lihat kepada siapa sasaran khutbah itu. Faham betul-betul kandungannya. Kaji dahulu apakah yang perlu ada di dalam khutbah. Ambil kira realiti, Perlembagaan, budaya dan masyarakat. Bertenanglah semasa mengeluarkan kenyataan supaya pandangan yang diberi tidak menimbulkan rasa kurang senang atau kemarahan orang lain. Pihak yang mahu mengkritik juga hendaklah benar-benar memahami bahawa khutbah adalah syarat sah solat Jumaat.

Kebanyakan masjid pula menye­diakan teks khutbah yang diluluskan oleh jabatan agama Islam di negeri masing-masing. Malangnya ada khutbah yang dibaca oleh khatib tanpa mengikut teks yang diluluskan sebaliknya ‘karangan’ sendiri sehingga kedengaran se­perti ceramah politik. Ini juga satu masalah kepada mereka yang diamanahkan sebagai khatib. Secara sedar atau tidak, ada khatib yang menyelitkan unsur-unsur politik dalam khutbah. Di Pahang baru-baru ini, khutbah dijadikan isu apabila DAP mendakwa isi kandungannya merujuk kepada parti itu sebagai menentang Islam. DAP kemudiannya memberi amaran supaya khutbah itu ditarik balik atau berhadapan tindakan undang-undang. Bagaimanapun Mufti Pahang, Dr. Abdul Rahman Osman mempertahankan isi kandungan khutbah itu yang baginya merupakan nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama-sama dengan pihak yang dilihat cuba mencabar Islam. Baginya, DAP yang perlu memohon maaf kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam.

Adakah menjadi satu kesalahan, khutbah yang menyeru umat Islam bersatu padu walaupun mereka berlainan ideologi politik? Adakah salah menyeru umat Islam mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu? Tidak dinafikan perpecahan yang berlaku akibat orang Melayu Islam mengutamakan parti mereka sama ada UMNO, Pas, PKR dan Amanah. Masing-masing mengaku hebat dan secara sedar atau tidak semakin melonggarkan perpaduan dan persaudaraan sesama Islam. Seperti yang dikatakan Abdul Rahman, isi kandungan khutbah adalah merujuk kepada al-Quran yang menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin. Kandungan khutbah Ai­diladha bukan hasutan tetapi satu dakwah kepada orang Islam mengenai perkara yang sudah di­nyatakan dalam al-Quran.

Begitu juga dengan azan di Pulau Pinang. Isu ini juga isu lama yang diperbaharui beberapa fakta mengenainya. Cuma apabila orang Islam di Pulau Pinang atau negeri-negeri lain sudah biasa dengan keadaan sebelum ini, peraturan itu dilihat sebagai penghalang, sekatan, kongkongan atau lebih parah sebagai tindakan politik. Sekali lagi persoalannya kenapa baru hari ini isu ini timbul? Kenapa tidak selama ini? Adakah orang dahulu lebih to­leransi? Adakah hanya hari ini, orang Islam baru tersedar? Hakikatnya, alasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama ada asasnya.

Berkaitan pembesar suara ini, penulis masih ingat, suatu masa dulu jika ada kenduri kahwin di kampung (Bukit Mertajam, Pulau Pinang), mesti ada pembesar suara bagi memeriahkan majlis. Ketika itu piring hitam digunakan. Pada waktu pagi akan dipasang bacaan al-Quran oleh qari/qariah terkemuka seperti Ismail Hashim. Ini diikuti pula lagu-lagu nasyid di sam­ping lagu-lagu 60an dan Hindi. Tiba waktu solat, ‘siaran’ dihentikan seketika. Sebelah malam akan lebih meriah jika ada persembahan ghazal. Begitulah peranan pembesar suara. Apabila ada kelas agama, pembesar suara yang boleh dide­ngar dalam jarak jauh juga digunakan untuk menarik perhatian ramai. Menjelang subuh, alunan bacaan al-Quran diperdengarkan untuk ‘mengejutkan’ orang ramai supaya bersedia bangun menunaikan solat.

Bangun atau tidak terserahlah kepada individu berkenaan. Maka setiap kali azan subuh, ada ayat tambahan yang membawa maksud sembahyang itu lebih baik dari tidur. Dalam hal ini, seorang sahabat ketika mengulas mengenai isu azan ini bertanya, adakah ada orang yang tidak boleh tidur atau mati ketika mendengar azan? Tidak pasti ada atau tidak orang yang tidak dapat tidur atau mati kerana azan yang kuat melalui pembesar suara tetapi hakikatnya, ketika azan subuh ramai juga yang ‘tidur mati’. Berkaitan isu pembesar suara ini, tidak timbul masalah bagi penggunaannya ketika azan dan iqamat. Jangan cepat salah tafsir dalam persoalan ini. Tidak perlu mana-mana pihak menimbulkan polemik. Larangan penggunaan hanya melibatkan bacaan al-Quran menjelang subuh. Jika larangan itu dilanggar sekali pun, biarlah tempohnya amat minimum, contohnya mungkin lima minit menjelang azan. Lebih baik lagi jika pihak berkuasa me­nyerahkan kepada budi bicara jawatankuasa kariah masjid atau surau masing-masing untuk menentukannya. Bagi kalangan penduduk yang semuanya beragama Islam terutama di kawasan luar bandar atau kampung, bacaan al-Quran bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mengganggu. Mungkin bacaan menjelang subuh itu dapat membantu mengejutkan orang daripada dibuai mimpi indah. Pada bulan puasa ada juga yang menggunakan pembesar suara luar ini untuk ‘mengejutkan’ orang bangun bersahur. Ketika inilah budi bicara digunakan.

Kebenaran menggunakan budi bicara juga hendaklah melibatkanprogram lain seperti qiamullail, kuliah agama dan mesyuarat. Pada masa yang sama, fahamilah suasana sekitarnya kerana ke­adaan sudah berubah. Jika dahulu, orang tidak peduli dengan bacaan al-Quran yang didengar begitu kuat di luar masjid, hari ini keadaan berbeza. Ramai yang sudah pandai membuat aduan dan merungut bahawa kehidupan mereka terganggu. Bagi menjawab isu gangguan ini dan untuk mewajarkan larangan berkenaan, semua pihak perlu berpegang bahawa dalam beribadat, kita tidak sewajarnya mengganggu orang lain. Pada masa yang sama, ‘larangan’ berkenaan juga jangan hanya terbatas kepada ‘aktiviti’ orang Islam sahaja kerana dalam beberapa acara lain, bunyi kuat yang dihasilkan oleh pembesar suara turut mengganggu. Semoga kekecohan berkaitan pembesar suara ini tidak berpanjangan serta tidak timbul soal pilih kasih.