Monday, July 20, 2015

Cerita Kambing Hitam-i

Iktibar, sejarah...
Insiden rusuhan di Plaza Low Yat yang mencetuskan ketegangan di ibu negara adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ternyata insiden itu telah menguji kita semua betapa hal yang kecil boleh bertukar menjadi rusuhan. Lebih buruk lagi ia dipanaskan dengan sentimen perkauman walaupun hakikat itu cuba dinafikan.

Awang berdoa agar rakyat Malaysia bertenang dan cepat berusaha memulihkan keadaan. Keamanan yang dinikmati adalah harga paling mahal, yang tidak boleh dikorbankan. Jangan jadikan satu insiden ini sebagai petunjuk menakutkan untuk kita bina Malaysia berteraskan Perlembagaan negara, yang menjanjikan harapan buat semua. Tiada sesiapa mendapat faedah daripada ketegangan seperti itu yang sebaliknya hanya memalukan negara di kaca mata pelancong, diplomat dan media asing. Ia juga menyerlah hakikat betapa mudahnya terpercik rusuhan hanya disebabkan manipulasi menerusi media sosial.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, rakyat digemparkan dengan berita kononnya 40,000 warga Bangladesh diterbangkan ke Malaysia untuk menjadi pengundi hantu yang isu dijaja oleh pembangkang terutama DAP dan PKR. Terbukti akhirnya ia pembohongan oleh Red Bean Army (RBA). DAP dan PKR menang banyak kerusi atas "ihsan" isu tersebut.

Dalam insiden Plaza Low Yat, ia membawa risiko berlakunya satu rusuhan kaum besar. Bayangkan nasib rakyat terutama yang tidak berdosa jika negara ini ditimpa rusuhan kaum sebagaimana 13 Mei 1969. Kemungkinan ia terjadi tidak boleh ditolak selepas insiden Plaza Low Yat. Apa yang berlalu ini menuntut semua pihak melihat ke hadapan dengan memperbaharui iltizam supaya tidak mudah termakan hasutan dan agar tidak berulang rusuhan.

Lebih-lebih lagi hubungan kaum kita masih rapuh selain keghairahan parti politik ekstrem yang suka menghina agama dan kaum. Sejarah mudah berulang jika kita tidak mengambil iktibar.

Khalid disalaherti?
Apa antara iktibar yang wajar diambil? Awang setuju dengan pandangan ramai, rusuhan di Plaza Low Yat bukan sekadar isu curi, jika benar itu puncanya. Ia lebih daripada itu.Sudah lama sebahagian peniaga di plaza tersebut dikaitkan dengan kegiatan menjual produk dan gajet tiruan di samping penipuan harga. Banyak pelanggan meliputi semua kaum termasuk pelancong Arab selalu menjadi mangsa.

Diburukkan lagi dengan kegiatan gengsterisme dan gejala rasuah penjawat awam. Tauke gengster lebih berpengaruh dan digeruni berbanding pihak berkuasa. Awang tidak ingat bila kali terakhir pihak berkuasa menjalankan operasi cegah gajet dan telefon tiruan di plaza tersebut. Maka inilah masa terbaik untuk membersihkan Plaza Low Yat daripada aktiviti penjualan produk tiruan, gengsterisme dan rasuah. Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat Peguam Negara perlu bertindak memandangkan ia berisiko mencetuskan konflik dan sudah menjadi isu ancaman keselamatan. Lakukan forensik terutama gejala gensterisme dan rasuah. Bongkar dan berkas sesiapa sahaja biarpun tokoh berjawatan besar.

Jika tiada langkah drastik, Plaza Low Yat akan kekal sebagai bom jangka menanti ledakan. Awang juga berharap Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar lebih berhati-hati dalam menangani isu rusuhan Plaza Low Yat supaya tidak menambah luka dan mudarat. Kenyataan beliau pada sidang akhbar berkaitan kes rusuhan tersebut tidak banyak membantu mencari penyelesaian terbaik. Biarpun kita menolak perlakuan jenayah namun kurang wajar membuat rumusan seolah-olah suspek sudah bersalah, mendahului tugas mahkamah.

Setakat ini hanya seorang suspek didakwa. Sentimen kurang senang dengan kenyataan Khalid masih berlegar. Lebih-lebih lagi seorang pemimpin politik Melayu di bahagian yang menulis komen dalam kumpulan sembang WhatsApp ditahan sedangkan para pemimpin pembangkang yang membuat kenyataan liar dan provokatif, terlepas? Mengapa kumpulan yang membelasah suspek di dalam Plaza Low Yat, tidak didakwa lagi?

Inilah antara yang meresahkan akar umbi Melayu. Seorang pemimpin NGO berpesan, janganlah kerana mahu memperlihatkan ketegasan polis, Melayu dijadikan kambing hitam. Awang percaya Khalid sudah dapat semua maklum balas ini termasuk menerusi kenyataan peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyatan bercanggah dengan fakta sebenar seorang lagi anak guamnya. Inilah cabaran Khalid sebagai Ketua Polis Negara, mudah terdedah kepada dakwaan, disalah ertikan malah tohmahan.

Beban yang beliau galas cukup besar, yang semua pihak perlu berikan sokongan. Awang tetap sokong beliau dan yakin Ketua Polis Negara seorang yang lasak, terbuka menerima teguran dan tidak mudah defensif. Beliau juga mesti berlaku adil dan kelihatan berlaku adil, itu salah satu prinsip akauntabiliti dan integriti. Khalid tentu lebih faham. Pada masa yang sama, beri peluang kepada beliau untuk selesaikan kes rusuhan supaya bara benar-benar mampu terpadam dan tidak menjadi api.

Oleh : Awang Selamat

Thursday, July 16, 2015

Baliklah Kampung, Duit Boleh Dicari...

RAMAI marah-marah dan memuat naik status ‘berangin’ dalam laman-laman sosial apabila mengulas mengenai satu cadangan supaya orang ramai khususnya umat Islam tidak balik ke kampung tahun ini sebagai langkah berjimat cermat kerana kos sara hidup yang meningkat.

Cadangan berkenaan dikemukakan oleh seorang pakar kewangan dalam satu program televisyen, baru-baru ini.

“Nasib baiklah dia tidak cadang Hari Raya tahun ini ditangguhkan kerana hendak berjimat,’’ kata seorang lelaki dalam satu laman sosial.

Sememangnya, sejak kebelakangan ini, kita sudah biasa dengan cadangan-cadangan yang kadang-kala seperti tidak masuk akal dan membangkitkan rasa marah orang ramai mengenai hal-hal berjimat cermat.

Hakikatnya, bagi yang berpendapatan rendah, rata-rata mereka sudah tidak tahu apa lagi hendak dijimatkan. Apa lagi perbelanjaan yang hendak dipotong dan apa lagi kemudahan yang perlu dikorbankan.

Kita juga sudah biasa dengan saranan boikot, kalau harga ayam naik, jangan makan ayam, bila kadar tol naik, cari jalan alternatif, kalau harga petrol naik, naik kenderaan awam, jalan kaki atau berbasikal ke pejabat, itu lebih menyihatkan badan.

Cadangan-cadangan yang tidak banyak membantu ini, sebenarnya menambah lagi rasa ‘sesak’ kepala orang ramai. Maka sebenarnya, perlu difikirkan betul-betul sebelum hendak memberi cadangan kepada orang ramai, biarlah bernas. Fikirkanlah juga perasaan golongan rakyat yang berpendapatan rendah yang lebih merasa tertekan dan terbeban. Dan janganlah seperti memperbudak-budakkan mereka. Jika tidak, eloklah duduk diam-diam saja.

Dan apabila ada cadangan yang meminta orang ramai memikirkan agar jangan balik kampung pada Aidilfitri ini untuk mengubah cara perbelanjaan, kerana tidak perlu bayar tol dan bayar petrol selain perbelanjaan sampingan lain di kampung, ini lagilah menjentik-jentik serabut di kepala orang ramai yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup ini.

Apa yang sepatutnya ditekankan di sini ialah berbelanja secara berhemat semasa membuat persiapan Hari Raya. Rancang perbelanjaan. Jika wang tidak cukup untuk petrol dan tol, janganlah banyak berhabis untuk membeli pakaian dan kuih muih.

Jangan cakap trend balik kampung setiap kali musim perayaan perlu diubah kepada yang tidak berduit. Pekerja asing yang membanjiri tempat-tempat awam setiap kali Hari Raya atau cuti umum, pun pasti pulang berjumpa keluarga masing-masing sekiranya keluarga mereka berada di negara ini.

Sudah tentu, wang bukan segala-galanya sehingga kita terpaksa pula mengorbankan hubungan dan nilai kekeluargaan semata-mata hendak jimat petrol dan tidak mahu bayar tol. Hubungan kekeluargaan bukan boleh dibeli dengan wang. Sudahlah kurang harta, kurang pula hubungan sesama keluarga dan rasa insani, apa lagi yang tinggal?

Sedangkan Hari Raya adalah masa untuk bersama-sama keluarga. Yang jarang-jarang balik ke kampung kerana sibuk dengan kerja atau mungkin juga faktor kewangan, tidak dapat pulang selalu, inilah masanya untuk menemui ibu bapa masing-masing.

Bukan saya kata Hari Raya baru hendak jenguk ibu bapa di kampung. Sepatutnya selalu. Tetapi tanyalah semua yang bergelar ayah dan ibu, mereka mahu anak mereka berada di depan mata pada setiap hari lebaran. Sanggupkah kita mengetepikan harapan orang tua, semata-mata mahu berjimat.

Maka baliklah kampung, gembirakanlah hati ibu bapa, sementara mereka masih ada dan berjumpalah dengan sanak saudara. Duit walau dalam payah pun masih boleh dicari dan diikhtiarkan. Ibu bapa jika sudah tiada, tidak akan mungkin ada gantinya lagi.

Oleh : Fauziah Arof

Saturday, July 11, 2015

Tutup TV Dari Maghrib Ke Isyak

JAKARTA – Bimbang budaya solat berjemaah, membaca al-Quran dan belajar agama diabaikan, pentadbir agama di Jawa Barat mengarahkan televisyen ditutup pada waktu Maghrib.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Daerah Purwakarta di Jawa Barat, Dedi Mulyadi bagi membolehkan kanak-kanak solat berjemaah, belajar agama dan mengaji al-Quran.

Katanya, larangan berkenaan berkuat kuasa pada waktu solat Maghrib sehingga solat Isyak.

Dedi berkata, Ramadan waktu paling sesuai untuk menguatkuasakan larangan berkenaan kerana umat Islam meningkatkan amalan sepanjang bulan mulia itu.

“Ketika ini, budaya solat Maghrib berjemaah, membaca al-Quran dan belajar agama mulai Maghrib hingga Isyak sudah banyak ditinggalkan.

“Semuanya berpunca daripada program televisyen yang tidak berguna pada waktu Maghrib yang menyebabkan kanak-kanak tidak mahu mengamalkannya,” katanya.

Katanya, walaupun sedar larangan itu tidak popular, tetapi ia diputuskan selepas berbincang dengan pemimpin masyarakat, ketua mukim dan ketua kampung.

Sumber : utusan malaysia