Wednesday, July 8, 2015

Anehnya Negara Ku.....Milik Kita Hak Orang Lain !

Rumah Api Pulau Pisang Di Tanah Kita
PEMANDANGAN dari udara, Pulau Pisang yang terletak di perairan Johor, kira-kira 20 kilometer dari Pontian. Bulatan menunjukkan rumah api yang diurus oleh Singapura sebagaimana di Batu Putih.


BARU-BARU ini, Malaysia digegarkan dengan isu sem­padan negara yang bolos dan tidak dikawal rapi. Bagaimana pula dengan pulau-pulau di perairan ki­ta? Adakah pulau-pulau ini di bawah pengawasan kita sepenuhnya?

Pulau Pisang adalah sebuah pulau kecil di pantai barat daya Johor yang dikelilingi perairan Selat Melaka. Terdapat sebuah rumah api yang dibina di atas pulau yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pontian Kecil dan lima kilometer dari Benut ini. Sehingga kini, rumah api ini diselenggara oleh Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura. Terdapat keresahan bahawa sekiranya keadaan ini berlarutan, mungkinkah Pulau Pisang akan menjadi Pedra Branca kedua?

Selat Melaka antara laluan per­kapalan tersibuk di dunia. Bagi me­mastikan kelancaran pelayaran, pihak British telah membina sebuah rumah api di puncak Pulau Pisang pada 1914. Selama lebih seabad, rumah api Pulau Pisang berfungsi sebagai instrumen bantuan pelayaran bagi kapal-kapal yang menuju ke arah bukaan barat Selat Melaka membentang ke Selat Singapura. Walaupun Pulau Pisang tetap berada di bawah kedaulatan Malaysia, rumah api Pulau Pisang sehingga kini masih diselenggara pihak Singapura.

Aturan aneh ini lahir hasil perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1900 di antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim ketika itu dengan Sir James Alexander Sweethenham, Gabenor negeri-negeri Selat. Perjanjian ini antara lain mengakui kedaulatan Johor ke atas Pulau Pisang dan sebagai galang ganti, pihak Johor memberikan hak kekal kepada British untuk selama-lamanya menguruskan rumah api tersebut (termasuk tanah di mana rumah api itu akan didirikan) serta lot tanah di mana jalan dari jeti menuju ke rumah api itu akan dibina.

Apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia pada 1965, tanggungjawab mengelolakan rumah api tersebut dianggap telah bertukar tangan kepada kerajaan Singapura dan Malaysia setakat ini­ be­lum mempunyai niat untuk mengambil alih pengurusan rumah api tersebut dari MPA.

Pada 2002, terdapat panggilan-panggilan yang menyeru kerajaan Malaysia memajukan pulau tersebut dan meminda fasal-fasal di dalam perjanjian yang ditandata­nga­ni oleh Sultan Johor lebih seabad lalu. Sejak tahun berkenaan, penjaga rumah api dari Singapura dikehendaki memasuki Pulau Pisang melalui kaunter imigresen Malaysia di Kukup sebelum ke sana.

Pada 2003, Menteri Luar Singa­pura memaklumkan kepada Parlimen Singapura bahawa Pulau Pisang adalah milik Malaysia. Beliau mengulangi pendiriannya bahawa Singapura tidak pernah mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang, akan tetapi, peng­urusan rumah api Pulau Pisang harus kekal bersama Singapura.

Setelah bertahun-tahun meng­uruskan rumah api ini, pihak Singa­pura telah memperluaskan kawasan rumah api di puncak Pulau Pisang apabila negara tersebut membina pagar kedua yang terletak 100 meter dari pagar lama. Singapura juga telah memperbesarkan jalan bagi memudahkan pergerakan kendera­an-kenderaan berat menuju ke rumah api berkenaan. Sehingga kini, pengunjung-pengunjung Malaysia ke pulau berkenaan tidak dibenarkan mendekati rumah api tersebut. Kehadiran pihak Singapura di pulau ini menunjukkan, secara tersurat atau tersirat, bahawa kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang belum sepenuhnya muktamad.

Undang-undang antarabangsa menyebut bahawa sesebuah negara boleh memiliki wilayah baru mengikut beberapa cara, iaitu menerusi preskripsi atau penyerahan. Sesebuah negara boleh mendapatkan kedaulatan ke atas sesebuah wilayah sekiranya kedaulatan tersebut dipindahkan atau diserahkan oleh sesebuah negara kepada negara lain.

Sultan Johor menerusi Perjanjian 1900 memberikan hak selama-lama­nya kepada British sebahagian dari wilayahnya (kawasan di mana terletaknya rumah api, jalan yang menuju ke rumah api dan jeti) kepada kerajaan negeri-negeri Selat di Singapura. Ini adalah sebab utama kenapa sehingga kini rumah api Pulau Pisang masih diuruskan oleh MPA walaupun kedaulatan ke atas Pulau Pisang adalah bersama Malaysia.

Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemilikan kedaulatan ke atas sesuatu wilayah melalui amalan pemerintahan (actual exercise of sovereignty) yang dikekalkan untuk sesuatu jangka masa lama dengan tidak dibantah oleh mana-mana negara lain. Pengurusan Pulau Pisang oleh pihak Singapura telah berlangsung sejak tahun 1900 dan berterusan sehingga hari ini tanpa sebarang bantahan rasmi dibuat oleh pemerintah Malaysia.

Dalam menentukan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligi­tan, Mahkamah Keadilan Antara­bangsa (ICJ) mengambil kira soal ‘amalan pemerintahan sebenar’ atau effective occupation, sama ada telah diamalkan secara berterusan oleh negara yang membuat tuntutan.

Sejak 1914, pihak British meng­ambil langkah-langkah bagi meng­urus dan mengawal pengambilan telur penyu di atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan tanpa sebarang bantahan dari kerajaan Belanda yang memerintah Kalimantan Utara pada ketika itu. Aktiviti-aktiviti ini kemudiannya terus dijalankan tanpa henti oleh Sabah ketika menyertai gagasan Malaysia pada 1963, sekali lagi tanpa sebarang bantahan yang berterusan oleh negara pewaris Hindia Timur Belanda, Indonesia.

Oleh itu, pihak ICJ telah memberikan pengakuan kedaulatan Malaysia ke atas pulau-pulau ini berlandaskan effective occupation yang ditunjukkan oleh pemerintah Sabah, sebelum dan selepas kemerdekaan melebihi langkah-langkah yang diambil oleh pihak Belanda atau Indonesia.

Dengan merujuk kembali kepada rumah api Pulau Pisang, Singapura telah dengan secara aktif terlibat di dalam pengurusan rumah api tanpa bantahan berterusan dari pihak Malaysia. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, kedaulatan penuh Malaysia ke atas Pulau Pisang mungkin, pada masa akan datang, dipersoalkan terutama sekali di kawasan tanah yang mana rumah api itu didirikan.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana jika Singapura berhasil menuntut sebahagian kecil wilayah di atas Pulau Pisang, negara tersebut juga berhak mendapatkan wilayah kelautan di Selat Melaka yang ketika ini hanya dikongsi oleh dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Setelah kehilangan Pulau Batu Puteh yang sekarang ini secara rasmi dinamakan semula sebagai Pedra Branca, Malaysia tidak boleh membiarkan pisang berbuah dua kali.

Tujuh tahun telah berlalu sejak keputusan mengenai Pedra Branca dibuat oleh ICJ, namun ia masih menghantui rakyat dan pemerintah Malaysia. Memang benar Singapura telah membuat kenyataan yang memperakukan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang. Akan tetapi, bagaimanakah sesebuah negara itu boleh secara positif benar-benar memastikan kedaulatan ke atas seluruh wilayahnya jika sebahagian daripadanya masih lagi diuruskan oleh negara asing?

Bagi mengukuhkan kedaulat­an Malaysia ke atas Pulau Pisang, Perjanjian 1900 itu perlu disemak semula dan pengurusan ke atas rumah api ini perlu diserahkan kepada Jabatan Marin Malaysia. Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk menempatkan boya-boya di kawasan Pulau Pisang bagi menggantikan rumah api tersebut sebagai alat bantu pelayaran. Fungsi rumah api sebagai alat bantu pelayaran sebenarnya sudah luput ditelan zaman dan tidak secekap penggunaan boya dalam pelayaran zaman moden.

Dengan adanya boya-boya ini, rumah api ini boleh dinyahfungsikan dan MPA Singapura tidak ada keper­luan untuk terus berada di Pulau Pisang yang diakui oleh pemerintah Singapura sendiri sebagai milik Malaysia.

Pemerintah Johor boleh mem­pertimbangkan juga untuk men­trans­formasikan Pulau Pisang sebagai destinasi ekopelancongan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang ke atas Pulau Jerejak. Langkah ini pen­ting bagi memastikan penguasaan Malaysia sepenuhnya ke atas Pulau Pisang tidak dilecehkan. Pulau Pisang adalah sah milik Malaysia dan kita perlu memastikan agar pulau ini tidak terlepas ke tangan negara lain.

Tuesday, July 7, 2015

Kerana.......Ada Gerombolan Jahat Ingin Memusnahkan Proton

Tiga Dekad Lawan Persepsi
MUKADIMAH : PADA 7 Julai, Proton Holdings Berhad (Proton) akan menyambut ulang tahun ke-30 tahun penubuhannya sebagai pengeluar kereta nasional. Tidak ramai menyedari Proton sudah mengeluarkan sebanyak 4 juta buah kenderaan dalam tempoh tiga dekad ini.

Tidak ramai juga yang ingat bahawa Proton memiliki kelengkapan pembuatan automotif berkelas dunia iaitu Proton City di Tanjung Malim, yang menjadi antara faktor utama mengapa banyak syarikat automotif global mahu "meminang" Proton.

Sebaliknya, ramai yang memilih untuk mengingati perkara negatif, sekali gus mengakibatkan Proton berterusan berada di bawah awan gelap persepsi.

Faktor persepsi ini menyebabkan jualan Proton menyusut sedikit demi sedikit, sehingga kehilangan kedudukannya sebagai peneraju segmen kereta nasional kepada Perodua, yang merupakan kenderaan dijenama semula dari Daihatsu. Proton kini hanya memegang 17 peratus penguasan pasaran.

Keadaan menjadi agak memeranjatkan apabila data bulan April menunjukkan Proton menurun ke tangga keempat, selepas Perodua, Toyota dan Honda. Walaupun memiliki model terbaik Proton Iriz, jualannya masih lemah. "Persepsi adalah puncanya. Saya pun tidak tahu apa lagi hendak dilakukan. Kami berikan kereta bagus, pada harga bagus. Malah lebih nilai berbanding kereta lain,’’ kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini merupakan pengerusi Proton yang beliau sangat instrumental dalam penubuhannya 30 tahun lalu.

Ikuti wawancara wartawan Mingguan Malaysia, Johardy Ibrahim bersama Tun Dr. Mahathir sempena ulang tahun ke-30 Proton, yang antara lain beliau turut menyentuh tentang fokus beliau kepada Proton yang tidak pernah lentur, hala tuju syarikat dan pelancaran tiga model baharu tahun depan.

MINGGUAN : Bagaimana menangani isu "persepsi" yang membelenggu Proton?
Dr. Mahathir: Kami menyedari isu kualiti pada model-model sebelum ini menjadi punca kepada persepsi ini. Kereta Proton sentiasa diingati kerana tingkapnya yang tidak boleh naik. Bila sampai di Plaza Tol, pemandu yang kena buka pintu untuk membayar tol ialah pemilik kereta Proton. Itu kata mereka.

Orang tidak mudah lupa. Benda-benda buruk mereka tidak akan lupa. Benda-benda baik, mereka mudah lupakan.

Memanglah, masalah persepsi ini tercetus kerana kita sendiri. Contohnya model Preve yang dilancarkan ke pasaran agak tergesa-gesa, menyebabkan banyak aduan diterima. Selepas beberapa ketika, kami berjaya mengatasinya dan jualan Preve semakin baik.

Begitu juga dengan Iriz yang terjejas akibat persepsi walaupun memiliki ciri keselamatan dan elektronik yang setanding dengan model kereta import.

Soal kualiti kini menjadi tumpuan utama Proton. Dalam kilang pengeluaran, diwujudkan stesen kualiti untuk memeriksa kenderaan di banyak bahagian pemprosesan. Jika ditemui sesuatu yang tidak mencapai standard, ia akan diperbaiki.

Sebelum ini, pemeriksaan terhadap kereta dibuat secara rawak iaitu satu daripada 40 kereta. Sekarang, setiap kereta diperiksa dan dipandu uji bagi menilai kualiti.

Apakah komen Tun tentang pencapaian Proton sehingga 30 tahun ini?

Dr. Mahathir: Ya, sudah 30 tahun. Kita sudah mencapai kemajuan yang sewajarnya. Kereta pertama Proton hanya ada 18 peratus kandungan tempatan. Hari ini, kereta Proton adalah 100 peratus kandungan tempatan, malah bermula dari reka bentuk, ujian, model tanah liat – semuanya dibuat oleh jurutera Proton sendiri.

Pada masa ini, prestasi kami kurang memberangsangkan, atas pelbagai faktor. Sekarang, kami mahu merubah imej Proton. Ia tidak akan lagi merupakan pengeluar kereta murah, sub standard. Kami mahu mengeluarkan kereta yang boleh dijual di seluruh dunia, dan mematuhi segala piawaian termasuk di Eropah.

Pada masa ini, kita bergantung kepada pasaran tempatan. Jika pasaran asing mengadakan halangan (untuk kereta Proton) daripada segi teknologi, maka kita akan mendapatkan teknologi itu. Kami akan memperkenakan model baharu tahun depan, dan ia akan sangat berbeza dengan model sedia ada.

Dari segi kepakaran, Proton sudah memiliki jurutera-jurutera automotif untuk membawa syarikat memacu masa depan?
Dr. Mahathir:
Kesilapan masa lalu ialah mereka tidak memberikan tanggungjawab kepada jurutera kami. Ini kerana dalam pengurusan sekali pun, mereka beranggapan jurutera tidak memiliki kecekapan untuk mengurus. Hari ini, polisi kami ialah jurutera harus melakukan tugas mereka sendiri, mempelajari serba-serbi. Jika kami mahu menghantar mereka ke luar negara, kita akan lakukan.

Jurutera Proton adalah sangat cekap. Kami belajar dari kesilapan. Percayalah cakap saya. Saya sangat bangga dengan mereka. Mereka bekerja kuat, sehingga lewat ke tengah malam. Terdapat suatu semangat pada mereka. Mereka mahu bersaing, berjaya dan membina kereta yang bagus.

Antara model baru yang akan dilancarkan Proton ialah model pengganti Perdana. Apakah yang menarik tentangnya?
Dr. Mahathir : Semasa proses penyelidikan dan pembangunannya, kami menjemput bendor dan pengunjung tempatan serta asing. Apabila kereta itu ditunjukkan, reaksi yang diterima ialah 'wow! Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (pemilik Kumpulan DRB-Hicom yang menguasai Proton) telah mengambil alih sebuah syarikat pembinaan pesawat, yang juga mempunyai kapasiti untuk mereka bentuk kereta. Jadi, mereka bekerjasama dengan kami. Semua dibawa untuk membantu Proton menghasilkan kereta berkualiti.

Jurutera Proton memiliki kemahiran dan kapasiti. Masalahnya mereka tidak diminta melakukannya. Cara mudah ialah meminta orang luar buat. Misalnya kereta yang direka oleh Italdesign Giugiaro – yang kita belanja wang yang banyak. Sekarang, kami lakukan sendiri.

Dalam segmen kereta mewah, Nissan memiliki Infiniti, Toyota ada Lexus. Perdana akan menjadi kereta mewah bagi Proton.

Jalinan kerjasama Proton dengan Suzuki baru-baru ini, apakah ia menandakan Proton tidak akan menjalin kerjasama dengan syarikat lain yang berminat, misalnya dari Eropah?
DR. Mahathir:
Proton ada kerjasama dengan Honda, dan sekarang Suzuki. Ada lagi syarikat yang menawarkan kerjasama dan kita tengah mengkajinya. Cuma kita tidak mahu ada pertindihan.

Hakikatnya, orang datang kepada kami, mahu menjadi rakan kongsi kami, mahu mengadakan usaha sama, membuka kilang di negara mereka. Jika benarlah sebagaimana persepsi orang mengatakan Proton adalah syarikat yang buruk, mengapa orang luar datang kepada Proton?

Kami memerlukan rakan kongsi teknologi yang bersesuaian. Kami tidak mahu rakan kongsi yang mahu mengambil alih syarikat. Proton adalah syarikat Malaysia. Saya rasa Suzuki akan memberikan teknologi tertentu yang tidak dimiliki Proton sekarang. Kami memerlukan kepakaran dari segi pengeluaran kereta kecil. Kami bukan sahaja memikirkan pasaran Malaysia atau bersaing dengan Perodua. Kami mahu menghasilkan kereta Malaysia yang boleh dieksport.Ia tidak akan menjadi sebuah kereta Suzuki, seperti formula Perodua dengan Daihatsu. Ia mungkin sebuah kereta serba baru Proton tetapi komponennya dari Suzuki.

Bagaimana pula dengan usaha sama Proton untuk membina kereta nasional Indonesia?
Dr. Mahathir: Kedua-dua pihak telah bertemu dan menghalusi pelan tindak iaitu apa yang perlu dilakukan dan sumbangkan. Mereka telah membeli sebuah kilang pembuatan kereta sedia ada di Indonesia, dan Proton akan mereka cipta kereta. Usaha sama ini adalah bagi menghasilkan kereta nasional Indonesia tetapi Proton tetap memasuki pasaran republik itu untuk menjual kereta Proton.

Apakah wawasan Tun terhadap masa depan Proton?
Dr. Mahathir: Kami yakin, Proton akan berjaya kembali mencatat keuntungan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun.

Kami menjangka, model-model baharu Proton akan diterima baik. Daripada segi bilangan, kami mahu menghasilkan sehingga 200,000 buah setahun. Kami kini memberi tumpuan kepada pasaran eksport. Misalnya di Indonesia, kenderaan tujuh tempat duduk sangat disukai. Di Eropah, mereka suka transmisi manual. Kami akan mengeluarkan kereta yang memenuhi cita rasa pasaran.

Pada masa yang sama, kami akan mengeluarkan kereta Proton yang dipulih semula (reconditioned) untuk eksport supaya ia mempunyai nilai kereta terpakai.

Kami juga mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kereta berpemanduan sebelah kiri (LHD) bagi Preve, Persona dan Suprima. Pasaran LHD adalah lebih besar. Kami juga sudah membeli enjin Petronas, yang akan dipasang pada kereta Proton.

Mengapa Proton sentiasa dekat di hati Tun?
Dr. Mahathir:
Ia adalah permulaan kepada langkah negara bertukar menjadi negara perindustrian. Pada satu ketika, Proton sangat menguntungkan. Ia ada rizab tunai sebanyak RM4 bilion. Kilang di Tanjung Malim dibina tanpa bantuan sesiapa.
Orang mungkin tidak melihatnya sebagai suatu kejayaan. Tetapi bagi saya, ia adalah kejayaan dan saya sangat berbangga dengannya. Inilah sebab, bila saya bersara sebagai perdana menteri, saya minta menjadi penasihat kepada Proton.

Setiap Selasa, saya mengadakan pertemuan dengan pengurusan. Saya turut terlibat dalam memandu uji semua kereta baharu, termasuk yang diubah suai. Saya pandu di litar ujian dan juga di bandar, untuk mengetahui sama ada kereta itu memenuhi jangkaan saya.

Saya tahu orang kata pada usia 90 tahun seperti saya tidak sepatutnya memandu. Tetapi saya suka memandu dan masih boleh memandu uji dengan baik. Ia menyeronokkan pada saya.

Proton adalah syarikat Malaysia. Kami memerlukan kepakaran dari segi pengeluaran kereta kecil. Kami bukan sahaja memikirkan pasaran Malaysia atau bersaing dengan Perodua. Kami mahu menghasilkan kereta Malaysia yang boleh dieksport.

Sumber : utusan malaysia

Sunday, July 5, 2015

Ubah Sejarah Melayu Supaya Disini Tidak Ada Lagi Tanah Melayu

Sejarah Pulau Pinang: Antara Mitos Dan Realiti
ADA pihak mendakwa sejarah Pulau Pinang bermula apabila Francis Light menandatangani perjanjian dengan Sultan Kedah, sedangkan kajian-kajian arkeologi menunjukkan bahawa penghunian di Pulau Pinang sudah berlaku beribu ribu tahun dahulu.

Sungguh mengecewakan apabila sebahagian daripada masyarakat Malaysia masih percaya pada mitos bahawa - “Sejarah Pulau Pinang bermula dalam tahun 1786, apabila Kapten Francis Light membuat perjanjian dengan Sultan Kedah.” Mitos ini dipaparkan dalam laman web rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Sumbernya ialah Biro Penerangan Pulau Pinang.

Saya menganggap ini sebagai suatu mitos kerana Pulau Pinang telah pun dibuka dan diduduki oleh beberapa kumpulan dari Kepulauan Melayu beberapa dasawarsa sebelum tibanya Light.

Kumpulan dari Sumatera Barat yang diketuai oleh Datuk Nakhoda Intan telah membuka pelabuhan Batu Uban pada 1734.

Beliau telah diberi kebenaran oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah 11.

Pulau Pinang seperti Seberang Perai, adalah sebahagian daripada wilayah pemerintahan Kesultanan Kedah.

Saudara-saudara Nakhoda Intan membuka kawasan-kawasan lain di Bayan Lepas dan Jelutong.

Tidak sah
Seorang lagi yang bertanggungjawab atas pembukaan Pulau Pinang sebelum Light ialah Datuk Janatun yang telah dihadiahkan “100 ekar tanah di pantai barat Pulau Pinang oleh Sultan Kedah.”

Pengikut-pengikut Janatun dan Nakhoda Intan terlibat dalam kegiatan pertanian dan perdagangan.

Fakta-fakta tentang asal-usul Pulau Pinang telah dikaji dan dikemukakan kepada khalayak ramai oleh beberapa sarjana tempatan, antaranya Muhammad Haji Salleh, Md. Salleh Yaapar dan Mahani Musa.

Malah, ahli sejarah, mendiang Rollins Bonney, dalam bukunya tentang sejarah Kedah berhujah bahawa pengambilan Pulau Pinang oleh Light tidak sah dan merupakan rampasan daripada Sultan Kedah.

Ahli arkeologi, Mokhtar Saidan, bersandarkan kajian-kajian arkeologi menunjukkan bahawa penghunian dan penempatan di Pulau Pinang termasuk Seberang Perai sudah berlaku beribu-ribu tahun dahulu dan kedatangan Light hanyalah riak kecil dalam lautan sejarah.

Kenapa fakta-fakta tentang sejarah Pulau Pinang tidak diketahui umum dan tidak menjadi sebahagian daripada pengetahuan arus perdana?

Mungkin kerana kejahilan sebahagian besar golongan-golongan yang berpengaruh dalam masyarakat kita.

Mungkin kerana pendidikan sejarah dalam sistem persekolahan kita yang meminggirkan sejarah sebenar Pulau Pinang.

Memutarbelit
Ini adalah kerana sebahagian daripada subjek sejarah yang masih dipelajari oleh generasi kontemporari diwarisi daripada zaman kolonial British.

Kolonialisme dengan sengajanya menyebarkan beberapa mitos tentang negara-negara dan bangsa-bangsa yang dijajahnya antaranya mitos tentang sejarah.

Mitos yang dimaksudkan saya dinamakan dalam pengajian kolonialisme sebagai mitos penemuan (myth of discovery).

Mitos penemuan ini memutarbelitkan kebenaran sejarah dan cuba memberi gambaran palsu bahawa pihak kolonial yang menemui sebuah negeri atau wilayah dan membukanya, dan secara langsung, membawa “ tamadun” kepada tempat itu.

Pendustaan terhadap sejarah ini mempunyai dua motif yang jahat.

Pertama, untuk mengesahkan penjajahan dan penguasaan kolonial agar semua pihak terutamanya mangsa penjajahan menerima penguasaan terhadap mereka sebagai sesuatu yang memanafaatkan mereka.

Dalam lain perkataan, pengambilan tanah atau perampasan wilayah atau pulau adalah untuk kebaikan mangsa itu sendiri kerana sebelum penjajahan, tidak wujud masyarakat atau budaya atau tamadun!.

Kedua, melalui mitos tersebut, penjajah secara langsung merendahkan martabat, kedudukan dan kemuliaan bangsa atau negara yang dijajah.

Menafikan sejarah
Gambaran yang dicipta adalah seolah-olah tiada sebutir nilai dalam budaya, agama, politik, mahupun ekonomi mangsa kolonialisme.

Segala-segalanya yang wujud sebelum kolonialisme adalah hodoh dan mundur.

Dua motif yang jahat ini begitu ketara dalam beberapa peristiwa yang jauh lebih dahsyat daripada kes Pulau Pinang.

Dalam menonjolkan Kapten James Cook sebagai pengasas Australia, penjajah menafikan sejarah dan tamadun masyarakat pribumi Australia yang telah menghuni benua itu ribuan tahun lamanya.

Penafian ini memudahkan pembunuhan dan penghapusan pribumi Australia tanpa perikemanusiaan.

Begitu juga, pengisytiharan Christopher Columbus sebagai pengasas Amerika bermakna bahawa sejarah tamadun-tamadun pribumi yang kaya seperti Incas dan Aztec dipencil dan dipinggirkan.

Sedangkan hakikatnya sebahagian daripada penduduk pribumi di utara dan di selatan benua Amerika dibunuh dan dihapuskan secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Itulah sebabnya kita wajib memahami mitos penemuan ini dan implikasinya dan jangan hanya percaya tanpa usul periksa.

Kita harus membebaskan minda kita daripada unsur-unsur pemikiran kolonial yang bertentangan sama sekali dengan kemuliaan insan dan keutuhan bangsa.

Unsur-unsur pemikiran kolonial ini lebih bahaya dalam konteks negara kita atas satu sebab lagi.

Penghayatan
Sebahagian daripada masyarakat Malaysia tidak menganggap peminggiran sejarah Melayu Pulau Pinang sebagai isu kerana mereka sendiri kurang menghargai dampak sejarah Melayu khususnya dalam pembentukan identiti negara dan bangsa Malaysia.

Bagi mereka ini, penerimaan sejarah Melayu akan menjejas kedudukan mereka sebagai warganegara. Mereka akan menjadi "warga kelas kedua", kononnya, kerana mengiktiraf latar belakang kemelayuan negara.

Ini adalah satu pendapat yang tidak berasas sama sekali.

Sebagai contoh, warga keturunan Cina generasi kedua dan ketiga di negara Filipina menghargai dan menghayati perjuangan nasionalisme Filipina dan wira-wira nasionalis seperti Jose Rizal dan Andres Bonafacio walaupun mereka adalah daripada masyarakat pribumi.

Warga keturunan Cina di Filipina menerima sejarah pribumi negara itu sebagai sejarah mereka sendiri.

Penghayatan mendalam tentang sejarah negara kita adalah pra-syarat dalam usaha kita mencapai perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara tercinta kita.