Tuesday, May 6, 2014

Rawat Kegatalan Miss V !

KEGATALAN di bahagian sulit pastinya membuatkan seseorang perempuan itu berasa kurang selesa dan emosinya juga terganggu. Apatah lagi, bagi remaja perempuan bawah umur yang kurang pengetahuan mengenai penjagaan kebersihan alat kelamin.

Topik yang ingin dikongsi pada minggu ini mungkin dianggap ringan oleh golongan remaja perempuan yang baharu sahaja mengalami akil baligh namun ia boleh menyebabkan kesan buruk seperti berbau busuk di bahagian tersebut sehingga menggangu orang lain yang berdekatan dengan anda.

Oleh itu, ayuh ikuti beberapa tip yang dikongsikan pada minggu, mudah-mudahan ia dapat menghentikan kegatalan di bahagian sulit kamu!

GUNTING, CUKUR
GUNTING atau cukur rerambut apabila anda mendapati ia telah menjadi panjang. Rerambut yang telah digunting atau dicukur pendek akan memudahkan kamu untuk menjaga bahagian sulit tersebut.
Untuk pengetahuan kamu, rerambut yang tidak dijaga dengan rapi dan dibiarkan panjang terdedah kepada pembiakan kuman. Sekali gus, ia akan menyebabkan bahagian sulit menjadi kemerahan, mengalami kegatalan dan menyebabkan berbau busuk.

HENTIKAN GUNA SABUN MANDIAN
UNTUK pengetahuan kamu, sabun mandian berfungsi untuk membunuh segala bakteria yang terdapat pada tubuh badan manusia termasuk bakteria baik yang terdapat pada bahagian sulit perempuan.

Hal ini akan menyebabkan kulat mudah membiak kerana kurangnya bakteria baik di bahagian sulit tersebut. Sebaik-baiknya gunakan pencuci khusus untuk mencuci bahagian sulit ataupun dengan air yang bersih.
JANGAN BIAR LEMBAB
JANGAN terus memakai seluar dalam selepas bahagian sulit kamu baharu sahaja dicuci. Hal ini akan menyebabkan seluar dalam kamu lembab lalu menyebabkan pembiakan bakteria, kuman dan kulat. Langkah tepat ialah megelap dahulu dengan tuala atau tisu tandas sehingga kering cuma berhati-hati ketika mengelap bahagian tersebut kerana sekiranya terlalu kasar akan melukannya pula.
 
TUKAR SELUAR DALAM
SELUAR dalam yang dipakai berulang kali bukan sahaja menjadi kotor malah boleh mendatangkan kegatalan kepada pemakainya akibat pembiakan bakteria ke seluruh kulit di bahagian sulit.
Oleh itu, jadikan rutin menukar seluar dalam sekurang-kurangnya dua kali sehari utuk mengelak perkara ini berlaku.

Sumber asal : utusan@kesihatan

Monday, May 5, 2014

Bahana Putus Tunang

BERTUNANG bukan wajib dalam Islam. Sebab itu ramai yang bersikap endah tak endah apabila berlaku putus tunang.

Kaum wanita sendiri masih kabur akan hak-hak mereka dalam kes putus tunang yang mana dalam terma undang-udang ia dikatakan kemungkiran janji untuk berkahwin.

Lagi pula masyarakat kerap melihat hal putus tunang sebagai remeh kerana beranggapan itu bukan perkara wajib berbanding nikah. Ada yang beranggapan bertunang sekadar adat. Jadi, apabila ada pihak yang mungkir, tidak ada apa yang perlu dibesar-besarkan.

Jadi, fokus kali ini adalah kepada pembatalan perkahwinan sebelum berlakunya akad nikah (pembatalan sebelum berkahwin) atau lebih kerap disebut sebagai putus tunang.

Walaupun bertunang itu tidak wajib kerana bukan satu akad perkahwinan yang sah, tetapi ia merupakan adat masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam.

Pertunangan merupakan suatu ikatan janji antara pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan. Cincin atau sesuatu hadiah yang diberikan semasa peminangan menjadi tanda ikatan pertunangan itu.

Jadi, apakah hak-hak wanita yang pertunangannya dibatalkan sebelum tiba hari perkahwinan?
Oleh kerana pertunangan merupakan satu ikatan janji antara kedua-dua pihak, dari aspek perundangan ia merupakan satu kontrak yang mengikat kedua-duanya.

Dalam Islam, setiap kontrak yang ditandatangani wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip syariat. Implikasi kontrak ini bukan sahaja ke atas hak sesama manusia, malah kesannya berkait langsung dengan hak Allah SWT.

Islam memandang serius aspek amanah dan mematuhi setiap perbutiran yang dipersetujui dalam kontrak termasuk dalam hal pertunangan.

Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:"Wahai orang yang beriman!Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam kontrak)".(Surah Al-Maidah: 1)

Sunday, May 4, 2014

Filem Cina The Journey lebih Islamik

Filem Cina tempatan, The Journey mencatatkan kutipan lebih RM17 juta. Itu termasuk duit tiket Siti yang menonton filem itu sebanyak tiga kali. Walaupun tidak ada CGI (satu istilah yang pengarah Melayu kerap menyebutnya) The Journey menghamparkan satu wacana budaya dan sosial yang sangat tinggi.

Kalau Siti adalah pengarah filem Melayu terutama yang gemar melondeh pelakon, sudah tentu Siti hantuk kepala ke dinding kerana malu. Siti malu kerana The Journey sebuah filem Cina, diarahkan oleh orang Cina dan dilakonkan juga oleh Cina tapi ia lebih Islamik berbanding filem arahan orang Melayu dan Islam.

Tapi sesetengah pengarah Melayu mana ambil pot semua itu. Entah-entah mereka tak menonton pun The Journey. Iyalah filem ini tak ada adegan bogel-bogelan atau londeh-londehan. Tak ada juga kisah sekular kerana filem ini tentang pelestarian budaya Cina walau di mana mereka berada.

Siti melihat dunia filem Melayu hanya banyak kecoh, kepoh dan riuh rendah termasuk berpesta-pestaan dan penuh dengan skandal sambil memperagakan pakaian mahal. Filem Melayu tidak membawa idealisme, yang banyak ialah gambar-gambar mati yang bergerak. Balik-balik cakap tentang mesej kononnya filem mereka menyumbang melahirkan manusia yang baik-baik. Tapi nak baik macam mana niat pengarah yang buat filem itu pun banyak yang tak betul.

Sebab itu Siti sakit hati dengan sebahagian besar filem Melayu. Siti bayar untuk menonton tapi tak setimpal dengan duit yang Siti keluarkan. Rasa macam nak lontar telur kemuruk saja kepada pengarah begini. Menyesal menonton.

Bila pertama kali menonton The Journey, hati kecil Siti berbisik, "Filem beginilah yang aku cari. Bukan filem sengal cinta-cintaan atau filem hantu yang setengah masak."

Filem Melayu yang pelakon wanitanya suka kangkang koyak, londeh melondeh tak boleh jual macam The Journey. Kenapa? Lepas ini pengarah-pengarah berkenaan kenalah fikir sikit adakah resipi yang merosakkan agama, bangsa dan negara itu masih boleh buat untung?

Ini menunjukkan penonton sudah memilih karya yang menjadi penawar, bukannya racun. Memang orang Cina banyak menonton filem The Journey dan mereka tidak menonton filem Melayu.

Siti fikir orang Cina menonton The Journey bukan kerana ia sebuah filem Cina. Sebabnya Siti sendiri tak merasakan The Journey sebuah filem Cina tapi sebuah paparan peradaban manusia.

Yang peliknya orang Melayu Islam pula suka dengan filem menceritakan dunia gengster, penagih dadah dan orang menjual orang. Bagi orang Melayu filem gengster boleh membina insan untuk memacu negara pada masa depan. Maka mereka pun menontonlah filem-filem yang sebenarnya telah dibakulsampahkan oleh Barat.

Ini juga membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa filem hantu dan kisah tahyul banyak ditonton oleh orang Melayu Islam. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Malah orang Melayu Islam sepatutnya bercitra tinggi dan memilih filem yang baik.

Orang Cina pula menonton filem yang mengangkat peradaban bangsa mereka. Mereka menonton kisah kemanusiaan yang sejagat, merentasi geografi, budaya dan sosial. Mereka tahu menghargai filem yang baik untuk membina jiwa dan rasa kemanusiaan.

Filem The Journey mengenai seorang wanita Cina tempatan membawa pulang seorang lelaki Perancis ke rumah keluarganya di Cameron Highland. Mereka akan berkahwin dan peringkat awal lelaki Perancis itu tidak boleh menerima budaya Cina keluarga kekasihnya.

Si wanita itu sanggup memutuskan hubungan dan membatalkan perkahwinan sekiranya lelaki itu tidak boleh menerima budaya Cina. Satu lagi yang menarik dalam budaya Cina pasangan yang belum berkahwin tidak boleh tidur sebilik. Ironinya banyak filem Melayu menonjolkan seks bebas termasuklah keluarga Melayu yang kononnya elit tidak hirau tentang seks bebas ini.

Siti melihat The Journey lebih Islamik berbanding filem Melayu yang dihasilkan oleh orang Melayu Islam. Sepatutnya bila orang Islam membuat filem, filem mereka tak menjadi perkakas menyebarluaskan budaya songsang dari Barat. Tapi ini tidak berlaku kerana banyak orang Melayu yang buat filem menjadi lebih sekular daripada Barat.

Siti menyimpulkan untuk menghasilkan sebuah filem yang baik, pembuatnya mesti seorang manusia dan pemikir. Kalau pembuatnya umpama robot yang tidak berperasaan, filem yang dihasilkan hanya layak dilontar telur kemuruk. Tak berguna langsung.

SITI JARUM : Sesetengah pengarah Melayu memang tak tahu malu.