Tuesday, January 31, 2023

Untungnya Jadi Penceroboh....Alahai Pemimpin Tanah Air Ku

Isu tanah Raub: Gesaan DAP bakal halalkan yang haram
BANGI – Gagasan Bangsa tidak menolak kemungkinan lebih banyak kompromi bakal berlaku berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.

Ia susulan desakan seorang Ahli Parlimen DAP yang menggesa kerajaan Pahang mengkaji semula dasar pajakan tanah kepada pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, pekebun-pekebun durian Musang King daerah Raub sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi suatu penyelesaian berbentuk menang-menang.

Dia menegaskan hal itu susulan kenyataan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meminta agar pekebun durian Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub mempertimbangkan semula permohonan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya.

Menteri Besar Pahang itu pada Jumaat berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelasnya merupakan tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan Sistem Torrens (diguna pakai di dalam sistem pentadbiran tanah Malaysia), ia merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal (indefeasibility of title) walaupun dalam konteks ekuiti.

Mengulas perkara itu, jurucakap GB, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan berkata, beliau yakin dalam keadaan politik pada hari ini, bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk segala apa yang haram seperti pencerobohan dihalalkan nanti.

“Kini dan buat kali pertama, DAP berada dalam kerajaan negeri dan menjawat jawatan EXCO dan pelbagai jawatan agensi dalam kerajaan.

“Lebih parah lagi, dengan keadaan UMNO yang dalam ‘mood’ mensuci dan memanjakan DAP, maka saya kira akan ada lebih banyak kompromi yang bakal berlaku. Pastinya bukan di Raub sahaja, tetapi seluruh Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi PEMBELA juga secara sinis mengucapkan tahniah kepada rakyat Pahang yang mengundi Barisan Nasional (BN) serta Pakatan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Biarlah tanah tergadai asalkan parti kita menang, kan?

“Kepada orang-orang Raub dan bekas-bekas tentera yang kempunan dinafikan hak untuk memiliki tanah di Raub, berdoa sahajalah.

“Saya dan rakan-rakan sudah buat apa yang saya termampu sahaja. Mungkin tiada apa lagi saya dapat tolong.

“Pergilah menghadap ADUN-ADUN DAP dan BN kesayangan kalian itu. Rayulah pada Menteri Besar tercinta. Moga berjaya,” katanya.

Sebelum ini, dua notis permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi di mana kumpulan pertama melibatkan 110 pekebun memfailkannya pada 21 Ogos 2020 dan seterusnya kumpulan kedua membabitkan 94 pekebun pada 9 Disember tahun sama.

Semua pekebun yang melibatkan tanah seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, PKPP dan Royal Durian Resources PKPP Sdn Bhd. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment