Wednesday, November 30, 2022

UEC Ancam Kedaulatan Negara

BANGI – Parti BERJASA menggesa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pendirian tegas tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

UEC dilaksanakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang berasal dari luar negara serta dibangunkan pertubuhan Dong Zong.

Sijil ini menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Meskipun, pengiktifan UEC termasuk dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), kerajaan baharu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong ini haruslah komited untuk terus menambah baik sistem pendidikan negara mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ini bagi melahirkan rakyat yang bersatu padu serta saling bekerjasama ke arah membawa Malaysia ke mercu kemajuan, kata Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah Ashari.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan yang sama.

“Ini sudah terbukti sejak merdeka, berjaya memupuk perpaduan kaum dan masyarakat saling hormat-menghormati.

“Malangnya, beberapa tahun kebelakangan ini, desakan untuk mengiktiraf UEC makin tercetus dan ia sangat bahaya kepada keamanan dan kedaulatan negara.

“Apabila sistem pendidikan diambil dari luar negara dan digubal khusus untuk sesuatu kaum, ia boleh menggugat ketaatan serta kecintaan mereka kepada Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong dilaporkan menggesa kerajaan baharu mengiktiraf UEC dan memberi peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan termasuk menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf UEC serta menginstitusikan Sekolah Menengah Persendirian Cina secepat mungkin. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment